Adis Album

Loading...

Wednesday, April 2, 2008

Impak 'Ibadah Terhadap Kualiti Insan

HUBUNGKAIT IMPAK IBADAT DENGAN KUALITI INSAN
(Atharu al-‘ibdaadat nahwa al-Qiyami al-Insan)

Oleh:

Abu 'Amrullah Muhammad ADIS el-Merbawiy
Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), UiTM Perlis
Arau
PERLIS DARUS SUNNAH

4.1 Pendahuluan

Manusia adalah makhluk ciptaan Allah swt, dijadikan sebagai khalifah dan hambaNya yang akan melaksanakan segala kehendak dan perancanganNya di muka bumi. Segala apa yang ada padanya adalah milik Allah swt termasuk hidup, mati, tenaga, kekuatan memahami, rezki, perjuangan, kebaktian, keseronokan, sahabat, musuh, anak, isteri, harta benda dan sebagainya. Semuanya dilakukan demi untuk Allah swt. (Haron, Manusia dan Islam, 1988:17)

Sebagai hamba, manusia khalifah hanyalah sujud, menyembah dan mengagungkan Allah swt di dalam taat, patuh, menyerah diri dan menyucikanNya daripada sebarang syirik dan penyamaan selain daripadaNya. Mengabdikan diri dengan sujud dan sembah inilah merupakan watak manusia yang dikasihi Allah swt, malah itulah tujuan mengapa Allah swt menjadikan manusia.

4.2 Membina Insan Berkualiti

Pengertian Ibadah di Dalam Islam

1. Aspek bahasa ‘I-B-D atau YA‘BU-DU ATAU ‘IBA-DA-TAN, mengikut al-Maududi bererti merendah diri, tunduk dan taat terhadap sesuatu. Kata pelaku perbuatannya ialah ‘ABIDAN bererti yang menyerah diri. Dalam kontek Islam, seiring dengan kata pasif – ‘passive voice’ S-L-M, YASLIMU atau SILMUN. Mengikut kata melampau – ‘active voice’, ASLAMA atau YUSLAMU atau TASLIMUN yang bererti menyerah diri tanpa bantahan. Kata perilakunya ialah MUSLIMUN – bererti orang yang menyerah diri kepada Allah swt.

2. Aspek Syarak atau Istilah Islam, Ibadat bererti taat serta tunduk dan meyerah diri sepenuhnya kepada Allah swt. Berdasarkan Ibn Taymiah ibadat :“Gabungan perasaan kehinaan dan kecintaan sekaligus ketika mengadap dan menyembah Allah swt. Inilah puncak segala pengabdian kepadaNya.” Imam al-Tabariy menjelaskan ibadat bererti: “Khusyuk, merendah diri dan tetap hati kepada Allah swt.”

3. Ibadat sesungguhnya suatu gambaran hubungan rapat manusia dengan Allah swt dalam suasana hurmat, taat patuh kepada aturanNya, merendah diri, penuh kerelaan dan kecintaan serta merasakan keperluan kepada Yang Maha Kuasa dan Maha Kaya. Perasaan kebesaran dan kebangaan menjadi hamba kepada Allah swt memenuhi seluruh hati, perasaan dan jiwa manusia. Hasilnya ia melahirkan kualiti yang terbaik sebagai persembahan kepada yang ditaati dan dicintai, Allah swt Tuhan; pemilik dirinya dan sembahannya (ma‘bud bi haqqin).

4.3 Pengertian Kualiti Dalam Islam

4. Hubungkait antara Ibadah dan Kehidupan Insan Berkualiti

Ibadah atau mengabdikan diri kepada Allah swt, Tuhan sekelian alam dengan sesempurnanya melahirkan suatu natijah penyempurnaan pembentukan jati diri insan dari sifat-sifat kerendahan hawa nafsu kepada ketinggian pertimbangan akal dan wahyu, dari kedangkalan pengalaman kepada keluasan ilmu pengetahuan, pendedahan mehnah ibtilaa’ dan perhitungan strategik hari akhirat, beralih dari pergantungan terhadap pihak-pihak yang lemah kepada keyakinan kepada pemujaan Allah swt yang Maha Perkasa lagi bijaksana, meninggalkan kesibukan kehidupan kerana duniawi sementara kepada penghidupan akhirat yang lebih kekal abadi (selepas mati) dengan mengutamakan aspek-aspek tunduk dan sujud kepada syariat Allah swt yang lebih menjamin kebahagiaan dan pahala di sisiNya.

Ditinjau dari satu sudut yang lain, pengabdian diri kepada Allah swt itu adalah proses meningkatkan nilai diri dan amalan manusia untuk dipersembahkan kepada Tuhan yang Maha Agung, sudah pasti nilai kerja yang dilakukan itu terbaik dan cemerlang, bukan amalan yang rendah mutunya sehingga Allah swt menolak amalan tersebut dari kategori amalan soleh. Hasilnya, dengan ibadat dalam Islam, sikap individu dan kualiti kerja Muslim wajar bertambah baik dari masa ke semasa kerana proses kerja Umat Islam menuju ke arah keefisyenan dan kecekapan, secekap para malaikat Allah swt berkerja dan sebagai mana Allah swt menyukai dan melaksanakan kesempurnaan dalam setiap ciptaannya. Itulah piawaian mukminin ketika memperkatakan tentang Ibadat dan kualiti jati diri serta pekerjaan dan hubungkait antara keduanya.

Tidak ada jalan ringkas untuk menjadikan seluruh amalan individu manusia di dunia kekal dan memberikan kebahagiaan hakiki melainkan dengan jalan mengabdikan diri dengan semua pekerjaan dan amalan ketika berada di duinia ini hanya kepada Allah swt. Dia berhak disembah dan berkuasa pula memberikan ganjaran yang tidak termampu oleh seisi alam raya ini berikan kepada manusia, zahir dan batinnya. Jadi proses menjadikan penghidupan duniawi bermakna di sisi Allah swt dan berfaedah kekal untuk manusia, hanya terdapat melalui prosidur Ibadah di dalam Islam yang melayakkan seluruh manusia bergelar hamba-hamba Allah swt yang diredai dan dicintaiNya. Hasilnya kehidupan beribadah di dalam Islam mampu memberikan situasi yang positif kepada diri dan kehidupan individu insan, kepada kehidupan bermasyarakat dan bernegara serta dalam usaha membina peradaban dan ketamadunan manusia di muka bumi. Jadi antara impak ibadah di dalam Islam yang boleh mengubah tamadun manusia termasuklah;

4.1 Melahirkan Kesatuan Matlamat (wahdat al-Ghaayat)

Sifat asli Ibadah ialah memfokuskan terhadap segala tujuan dan matlamat ibadah adalah untuk yang Esa, iaitu kerana Allah swt. Kesatuan matlamat inilah diajar oleh Allah swt kepada nabi Muhammad saw untuk seluruh umat baginda dalam setiap pekerjaan yang baik dan makruf. Allah swt menyebut di dalam firmanNya bermaksud: “katakanlah (wahai Muhammad saw), sesungguhnya solatku, dan ibadatku, kehidupan dan segala urusan kematianku adalah dikerjakan hanya untuk Allah swt, Tuhan sekelian alam. Aku tidak mesyirikkanNya, dan kerana itulah aku diperintahkan dan aku termasuk di kalangan golongan yang terawal tunduk menyembah Allah swt.” Maka ibadah ini memerlukan pilihan sendiri, kerelaan dan keredhaan hati dan keikhlasan. Inilah sahaja jalan terang untuk memperolehi Islam agama Allah swt yang berpaksi dan beroperasi di dalam diri setiap individu Muslim.

Inilah keindahan Ibadat di dalam Islam yang boleh menyatukan hala tuju perjuangan (unified vision) dan penghidupan suci di muka bumi ini (sacred way of life) agar semuanya di bawah pengendalian dan bimbingan Ilahi melalui syarak, kerana amalan manusia dibuat hanya untuk mengabdikan diri kepada Allah swt, bukan untuk mengambil keuntungan peribadi daripada perlaksanaan Islam tersebut demi kepentingan duniawai seseorang individu yang rendah dan murahan (baiy’at bi ‘aradhin min al-dunya qaleel). Sifat Ibadah dalam Islam inilah membezakan pekerjaan umat manusia yang benar-benar berbakti untuk Allah swt dan yang berbakti untuk hawa nafsu dan tujuan-tujuan duniawi semata-mata. Kesatuan matlamat inilah juga adalah suatu hakikat yang tidak boleh didustai oleh hati kecil insan (dhamir); kerana keikhlasan dan kemunafikannya dapat dinilai sendiri oleh individu yang memperolehi hidayah dari Allah swt di dalam perjuangan untuk agama Islam dari Allah swt ini. Firman Allah swt di dalam surah al-Bayyinah : 5, yang bermaksud : “dan tidak Aku perintahkan kamu (wahai Muhammd saw), melainkan untuk mengabdikan diri kepada Allah swt dengan penuh keikhlasan dan dia akan memperolehi agama tersebut (al-Din).”

Impak inilah yang secara pasti menyatukan barisan umat Islam mengikut formula Islam. Jawapan manusia Muslim berpecah dan tidak bersatu padu serta tidak berpegang dengan tali Allah swt (agama Allah swt) adalah kerana kesalahan mereka di dalam Ibadat dan niat mereka di dalam amalan seharian adakah untuk Allah swt dan agamaNya atau hanya untuk kepentingan hawa nafsu dan keseronokan hidup di dunia ini sahaja, tidak pernah bercita-cita untuk kembali bertemu Allah swt dengan sebeban tanggung jawab duniawi yang telah ditunaikan keranaNya. Selagi tujuan ibadah ini tidak dilaksanakan untuk Allah swt, lafaz niat kita, solat kita, puasa, gerakan zikir lidah dan bacaan al-Quran kita masih dikuasai oleh Syaitan untuk disesatkan ke arah tujuan-tujuan yang bersifat dunaiwi, jauh dari mendapat pahala dan ganjaran amal soleh dari Allah swt. Begitu jugalah hakikatnya dengan amalan seharian kita yang tidak bersifat ibadat, maka kesan kekuatan amal tersebut sangat rapuh dan hilang kewibawaan sebagai amalan golongan mukminin dan solihin disebabkan hilang keberkatan pekerjaan tersebut.

4.2 Terbentuk Budaya Hidup Islam

Ibadah di dalam Islam akan menghasilkan kesan tingkah laku, tindakan berterusan dan perlaksanaan nilai-nilai hidup Islam (Islamic values) serta iltizam mereka kepada Allah swt, Tuhan pengabdian mereka (ma‘bud bi haqqin) yang sebenarnya. Inilah yang dinamakan sebagai budaya hidup Islam yang telah di asuh oleh Allah swt menerusi kewajipan-kewajipan Syariat Islamiah dari al-Quran dan al-Sunnah Nabawiyah merentasi pentarbiyahan yang panjang – seumur hidup. Allah swt menegaskan di dalam kitabNya yang mulia bermaksud : “Acuan atau celupan dari Allah swt! (rujukan dari manifestasi ajaran Islam), dan tidak ada yang terbaik kecuali sesuatu acuan dari Allah swt, dan kami ini mengabdikan diri hanya kepadaNya.” Oleh itu yang hanya menentukan penghayatan nilai-nilai Islam itu adalah sejauh manakah Muslim beribadah kepada Allah swt menerusi kepatuhan mereka kepada suruh dan tegah dari Allah swt hanya keranaNya semata-mata. Asas inilah mencegah manusia dari sifat-sifat kemunafikan, kerana Islam dan isi kandungannya tidak boleh dilakunkan atau diperkatakan secara sia-sia tanpa iltizam keimanan dan penghayatan kepadanya dengan tidak berbelah bahagi. Jadi, setiap langkah adalah terjemahan tingkah laku Muslim tersebut sebagai tindakan ikhlas, berakhlak dan dipertanggung jawabkan di hadapan Allah swt ke atas diri setiap individu Muslim.

Muslim yang taat kepada suruhan agama Islam, tidak dilahirkan secara spontan dan dalam masa yang relatif singkat, kerana Allah swt mahu mempastikan sikap pengbdian itu sebati di dalam diri mukminin dengan melakukan amal soleh yang menyubur dan meningkatkan keimanan dan ketaqwaan mereka, melampaui batasan dan sempadan Islam yang mereka anuti sebagai dasar penerimaan ketundukan kepada Allah swt dan agamaNya di peringkat awal. Hadith Rasulillah saw ada menyentuh tentang kualiti ini apabila sekumpulan ‘muallaf ’ – golongan yang baru masuk Islam mendakwa mereka telah beriman dengan penuh yakin. Rasulullah saw membimbing mereka dengan bersabda : “janganlah kamu berkata kami telah beriman [‘aamannaa], tetapi ucapkanlah kami telah menerima Islam [aslamnaa], dan belum masuk lagi keimanan itu ke dalam jiwa kamu.” Pengabdianlah yang akan menentukan Budaya Hidup Islam itu berjalan dan terjadi secara berkesan di dalam kehidupan seseorang Muslim. Umat Islam perlulah melaksnakan banyak amalan soleh agar segala prinsip dan nilai-nilai keislaman, keimanan dan ketaqwaan dapat dilaksanakan dengan suasana penuh taat kepada Allah swt.

Ketika budaya ketaatan perintah Allah swt telah subur di dalam jiwa umat Islam, maka tingkah laku mereka diwarnai oleh kebaikan makruf dan menjauhi kemunkaran. Maka inilah wajah Budaya Hidup Islam yang sangat unggul lahir dari masyarakat umat Islam yang telah melaksanakan Ibadah kepada Allah swt sepenuhnya di dalam aspek zahir dan batin; di dalam ibadat khusus maupun ibadat umum. Firman Allah swt yang bermaksud : “dan hendaklah kamu melaksanakan sifat Ihsan (kecemerlangan amal) sebagai mana Allah swt mekakukannya ke atas kamu. Maka janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi.” Ibadatlah benteng yang akan menyekat umat Islam daripada segala bentuk pengaruh Budaya Hidup Barat atau Timur – yang rosak seperti semangat anti beragama, yang hanya menitikberatkan urusan duniawi dan kebendaan semata tanpa campurtangan agama – secularism., yang penuh dengan kenikmatan dan syahwat – hedonism dan yang menolak adanya Tuhan yang layak menentukan nilai-nilai sejagat untuk kebaikan manusia – ilhad atau Athiesm.

4.3 Mendidik Sifat Jujur dan Amanah

Sifat jujur (sidq) dan amanah (ameen) boleh terhasil dari hati insan yang menerima, mengakui dan memperjuangkan kebenaran Ilmu pengetahuan dan realiti yang berlaku di peringkat zahir atau pun batin; dengan kata lain kebenaran fizikal mahu pun spiritual – kerohanian. Ibadah dalam Islam terikat dengan rukun wajib dan sunat, syarat sah dan batal, diterima atau ditolak oleh Allah swt, berkesan atau sis-sia – lagha, berhasil membeikan pahala atau mengakibatkan tanggungan dosa serta balasan azab dari Allah swt. Hanya golongan yang benar sikap dan pendirian mereka serta bertanggung jawab dengan kewajipan yang difahaminya sahaja dapat melaksanakan Ibadah dengan selamat, lalu mereka perolehi pahala, ganjaran dan kelebihan beribadah di sisi Allah swt dengan insaf dan penuh keimanan. Tegasnya sifat-sifat jujur dan amanah boleh lahir dari aktiviti-aktiviti pengabdian secara langsung di dalam menyempurnakan tuntutan ajaran agama Islam.

Firman Allah swt yang bermaksud:

“sesungguhnya Allah swt telah memerintahkan kamu melaksanakan amanah terhadap golongan yang berhak, dan apabila kamu memutuskan sesuatu hukuman (keputusan), hendaklah kamu melakukannya dengan seadilnya.”

Dalam Islam kaitan antara amanah dengan kebenaran ilmu dan realiti keperluan semasa, sangat berkait rapat. Oleh kerana itu hanya golongan Muslim dan Mukmin yang memahami bahawa setiap kewajipan syarak dan tuntutan agama Islam itu sebagai kebenaran dan tanggung jawab sahajalah mampu menunaikannya kerana Allah swt agar menepati piawaian ibadah. Hasilnya sikap jujur dan amanah pasti menjadi milik individu tersebut yang melaksanakan dengan kerelaan dan penuh keikhlasan.

4.4 Tidak Disukai Syaitan (dimusuhi – ‘adaawat)

Ibadah kepada Allah swt menjadi suatu aktiviti yang bercanggah dengan kehendak Syaitan. Walau pun pada asalnya Syaitan atau al-Quran menamakannya Iblis adalah merupakan hamba Allah swt di kalangan jin yang dekat dengan Allah swt. Disebabkan oleh salah perhitungan, dia mempertikaikan kewibawaan Adam a.s. menjadi khalifah di bumi dan enggan sujud kepadanya ketika di arahkan Allah swt berbuat demikian. Arahan sujud adalah merupakan setinggi-tinggi pengabdian kepada Allah swt, malangnya syaitan enggan melaksanakan perintah yang satu-satunya ini mengakibatkan dia dilaknat (ar-rajeem) oleh Allah swt hingga ke hari kiamat. Sebagai tindak balas, syaitan bersumpah dengan kekuasaan Ilahi agar dapat melalaikan umat manusia dari beribadat kepada Allah swt kecuali golongan yang ikhlas dalam pengabdian tidak mampu digugat olehnya. Firman Allah swt yang bermaksud : “dengan kekuatanMu, aku akan menghasut ke jalan kelalaian semua keturunan Adam a.s., dari beribadat kepadaMu, kecuali mereka yang menjadi hambaMu yang ikhlas sahaja.”

Jelaslah, ibadat memiliki impak yang sangat kuat terhadap Syaitan yang dikutuk dan dilaknati Allah swt, namun ibadat kepada Allah swt perlulah berdasarkan ilmu pengetahuan dan hakikat serta realiti alam zahir dan ghaib yang dibimbimg oleh Islam. Contoh jelas ketika syeikh Abdul Kadir Jailani – ‘abid yang agung di muka bumi, dapat mengenali tipu daya Iblis dengan kekal berpegang kepada pengabdian diri kepada Allah swt tanpa kompromi. Maka ketika Iblis datang menawarkan berita gembira dari Allah swt agar berhenti dari ibadah kerana telah memiliki Maqam atau darjat kesolehan yang hebat di sisi Allah swt. Abdul Kadir mengetahui secara pasti helah Iblis apabila ianya menyanggahi kewajipan ketaatan bagi seseorang Muslim iaitu beribadah. Selamatlah beliau dari tipu daya iblis laknatullah dari mempengaruhi dan menarik Abdul Kadir Jailani ke neraka.

4.5 Terselamat dari Kejahatan dan Maksiat (al-najaat minal-Naar)

Ibadat yang tulus dan suci kepada Allah swt berjaya menempatkan jiwa dan peribadi individu itu benar-benar kenal, takut dan harap kepada yang diabdikan diri kepadaNya iaitu Allah swt (ma‘bud bi haqqin). Dengan kemurahan dan kasih sayang Allah swt serta redhaNya, perasaan ketaqwaan bakal dianugerahkan Allah swt ke dalam diri para ahli ibadat. Tiada kekuatan dan helah manusia untuk tidak terhindar ke lembah kejahatan dan maksiat, kecuali pilihan Allah swt, setelah hambaNya bertungkus lumus mentaatiNya dengan sepenuh tenaga dan usaha tidak mengenal jemu. Di sinilah rahmat dan kasih sayang Allah swt menjadikan manusia gerun untuk membuat maksiat kerana takutkan Allah swt dan mengharapkan keredhaan Allah swt sahaja.

Firman Allah swt yang bermaksud : “dan barang siapa yang takut akan maqam Tuhan mereka, dan ia akan mencegah jiwanya dari dikuasai al-hawa (nafsu serakah).[40] Maka sesungguhnya syurgalah menjadi tempat kembalinya [41].”

Antara ahlu ibadah dan ahlu maksiat adalah dua golongan yang berbeza, permulaan dan destinasinya. Ahli ibadah telah dijanjikan oleh Allah swt untuk memperolehi tempat di sisiNya dan mendapat layanan yang baik dariNya. Manakala golongan yang derhaka dan maksiat, telah di janjikan kepada mereka dengan azab kesengsaraan di dunia dan di hari akhirat nanti mereka akan menerima azab yang pedih. Friman Allah swt bermaksud : “barangsiapa yang suka untuk bertemu (Allah swt)Tuhannya, maka hendaklah dia beramal dan jangan sekali-kali mensyirikkan Dia dalam pengabdian dengan sesuatu yang lain.” FirmanNya lagi yang bermaksud : “Barangsiapa yang berpaling dari mengingati Allah swt, maka baginya suatu penghidupan yang gersang (sengsara di dunia), dan akan dihimpunkan mereka itu di hari akhirat dalam keadaan buta.”

4.6 Menghasilkan Pekerjaan yang Berkualiti (itqaan)

Perkataan ‘amalan soleh dan kesempurnaannya itu mengambarkan kualiti kerja manusia Muslim yang beribadah. Kualiti di dalam Islam merangkumi piawaian zahir iaitu aspek quantitatif dan qualitatif yang akan mendasari dan menepati sifat-sifat ilmu pengetahuan tentang aturan sistem alam raya dari berbagai sudut. Maka mematuhi piawaian-piawaian ilmu pengetahuan tersebut adalah ukuran kualiti pekerjaan yang dikehendaki oleh Islam di dalam amal agar dapatlah dikenali sebagai “itqaan” – ketelitian dan kesempurnaan tugas manusia lakukan untuk Allah swt yang Maha Teliti hasil ciptaanNya lagi menyerlahkan Kemahiran dan KepakaranNya – al-lateef dan al-khabeer. Satu aspek kualiti di dalam Islam ialah kejayaan dari aspek sikap diri insan terhadap Allah swt di dalam amalan soleh yang dikawal selia olehNya pada setiap tingkat usaha, maka hakikat ini dikenali sebagai pencapaian cemerlang iaitu “Ihsaan ”. Golongan ini dikenali sebagai Muhsineen billah.

Firman Allah swt bermaksud : “dan hendaklah kamu melakukan pencapaian cemerlang ke tahap ‘Ihsan’ – wa ahsin, sebagai mana Allah swt telah mengurniakan kepadamu ciptaan dan anugerah yang terbaik – kamaa ahsanaLlah ilayka, dan janganlah kamu melakukan kerosakan di bumi, sesungguhnya Allah swt tidak menyukai golongan perosak – mufsideen ”. Rasulullah saw pernah mengungkapkan kata ‘Ihsan’ tersebut dengan sabda baginda: “Ihsan itu ialah bahawa kamu mengabdikan diri kepada Allah swt seakan-akan kamu melihat Allah swt (di dalam pekerjaan kamu), dan sekiranya tidak demikian, yakinlah bahawa Allah swt sentiasa memantau dan melihat amalan dan tindakan kamu.”

Oleh kerana urusan ibadah di dalam Islam merangkumi ibadah khusus dan ibadah umum, maka impak ibadah-ibadah tersebut menghasilkan kesempurnaan amal dan kualiti amal di dalam solat, zakat, puasa, haji, korban dan sebagainya. Begitu jugalah dengan kesempurnaan amalan duniawi yang telah dicorakkan oleh Islam dalam skema pengabdian diri kepada Allah swt, tentulah cemerlang prestasinya seperti berkerja di pejabat, pertanian, perusahaan, pendidikan, pembangunan ekonomi, pemerintahan dan berbagai lagi usaha memajukan kehidupan duniawi insan di dalam acuan amalan soleh.

4.7 Mencetuskan Perasaaan Bebas dan Merdeka

Islam mengajar penganutnya agar bersifat merdeka diri dari semua konkongan dan perhambaan selain dari Allah swt. Para ahli ibadat telah meletakkan Allah swt sebagai ketaatan yang mangatasi keperluan dan kepatuhan selain dariNya. Jelasnya tujuan ibadah di dalam Islam adalah semata-mata menguji kesetiaan penganut kepada Allah swt dan sanggup mengenepikan segala selain Allah swt dengan penuh kemegahan, kepercayaan dan kepastian (yakin) kerana ianya tidak dapat mengikat dan memaksa Muslim tunduk kepada selainNya. Perasaan pengabdian diri kepada Allah swt, membuang pergantungan dengan selainNya dari sudut kekuasaan, keefisyenan dan akibat langsung yang bakal mendatangkan pengaruh terhadap manusia. Allah swt sahaja yang layak dan berpengaruh dalam menentukan keputusan untuk manusia, jadi kesan dan pengaruh selainNya itu hanya berlaku dengan izin Allah swt. Inilah alasannya mengapa jiwa mukmin akan menyerahkan seluruh kemerdekaan kepada Allah swt, dan ia bebas merdeka dari apa jua pengaruh makhluk di muka bumi dan di alam raya. Kemerdekaan inilah yang diingini oleh setiap hamba dan manusia di dunia ini, malangnya mereka tidak akan menemukannya kecuali dengan menganut dan melaksanakan pengabdian diri di dalam Islam.

Firman Allah swt bermaksud :

“Allah swt itu merupakan waliy kepada orang-orang beriman, Dialah yang mengeluarkan manusia dari kegelapan (jahiliyah) kepada cahaya (keimanan), sedangkan golongan kafir (ingkar kepadaNya), waliy mereka adalah syaitan (taghut), yang akan mengeluarkan mereka dari cahaya (keilmanan) kepada kegelapan (jahiliyah)…”

Kekuatan ibadah bergantung kepada peningkatan keimanan, yang menyakini kuasa Allah swt secara tuntas (jazam), mengatasi yang lain. Keimanan hasil dari pengabdian inilah mengajar penganutnya agar tidak menjadi hamba kepada sesuatu yang lemah dari kalangan makhluk. Hasilnya tiada ketakutan, keterikatan, pengaruh, penghambaan, tunduk dan patuh kepada makhluk, memberikan suatu perasaan kebebasan yang tiada tandingan di dalam hidup manusia. Umat Islam tidak memerlukan Piagam Antarabangsa Tentang Hak Kebebasan Manusia, kerana Muslim sendiri telah merasakan dan memperolehi kebebasan tersebut dengan keimanan dan ketaqwaan di jiwa mereka terhadap Allah swt dan taat kepada ajaranNya. Dokumen dan piagam hanya dokumen resmi di dunia secara zahir, namun jiwa Umat Islam telah pun merasai nikmat kebebasan menjadi hamba Allah swt. Umat Islam tidak akan menukarkan kemerdekaan Islam ini dengan wang ringgit dan habuan dunia yang murah dan sedikit nilainya di sisi Allah swt. Itulah hujjah Umat Islam bahawa mereka tidak akan menjual agama Islam ini dengan ganjaran-ganjaran duniawi yang hina, murah dan sedikit. Malah mereka akan membeli agama Islam ini menerusi penghayatannya (jihad mempertahankannya) dengan harga yang sangat mahal di sisi Allah swt; iaitu darah, jiwa dan nyawa mereka.

4.8 Terbentuk Akhlak (Mahmudah) dan Jiwa tenteram (mutma’innah)

Akhlak Islam mestilah lahir dari proses pengabdian diri kepada Allah swt tanpa syirik sedikit pun dengan selainNya. Akhlak tidak lahir dari jiwa yang tidak tunduk kepada pencipta yang menentukan Syariat Islamiah serta aturan kebaikan untuk dipatuhi manusia. Kesan kepatuhan melalui ibadah di dalam Islam, menghasilkan ketenteraman jiwa – itmi’nan al-qulub atau nafs al-mutma’innah kerana hati, jiwa dan akal budi insan telah kembali kepada kebenaran dan kepatuhan yang diperlukan oleh jiwa sejak azali. Kerana itulah Allah swt menghujjahkan dengan firmanNya yang bermaksud : “sesungguhnya solat itu akan mencegah manusia dari kekejian dan kemungkaran.” Dan Allah swt menjelaskan lagi maksudnya : “..ketahuilah bahawasanya dengan mengingati (dhikrullah) Allah swt itu akan mententeramkan hati-hati kamu.”

Pengabdian diri kepada Allah swt melahirkan jiwa tunduk dan mengakui kebesaran dan kekuasaan Allah swt. Manusia merasa tenang bernaung di bawah pemerintahanNya dan sangat yakin dengan janji-janji pahala, syurga dan masa penghidupan abadi yang baik – husnu al-ma’aab kepada golongan Muslim Mukmin. Akhlak ahlu ibadah ialah akhlak ahli-ahli syurga di dunia ini, pastilah mereka adalah golongan terbaik dan terpuji di dalam kehidupan duniawi mereka.

4.9 Melahirkan Masyarakat Produktif (ta‘meer wa tasdir sinaa‘ah)

Sebelum memahami Masyarakat Produktif, eloklah difahami sudut pandang Islam terhadap perkataan ‘imarah’ dan ‘sinaa‘ah’ serta ‘barakah’ di dalam memahami persoalan kemajuan dan produktiviti. Jika tidak, umat Islam termasuk ke dalam perangkap konsep produktiviti dan kemajuan materialistik barat yang tidak berpenghujung, dipenuhi tamak haloba, kikir, perebutan kekayaan, persaingan antarabangsa, rakus dan memperhambakan manusia yang akan membawa banyak krisis kemanusiaan dan ketamadunan. Apakah kaitan antara pembangunan dengan pengabdian diri kepada Allah swt?. Bagaimanakah pengabdian diri kepada Allah swt menentukan produktiviti dan kemakmuran di muka bumi?.

Bermula dari firman Allah swt yang bermaksud : “Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah swt, nescaya Dia akan mengemukakan jalan penyelesaian hidup di dunia, dan Dia akan memberikan banyak rezki dari sumber yang tidak di duga, sesungguhnya Allah swt telah menjadikan pada setiap sesuatu itu ukurannya.” Bandingkan pula dengan firmanNya yang bermaksud : “Dan apabila kami ingin menghancurkan sesebuah wilayah, nescaya kami akan limpahkan kepada mereka dengan segala bentuk kemewahan (kekayaan - mutrafeeha), lalu mereka melaksanakan pelanggaran hukum Tuhan dengannya (aktiviti-aktiviti fasiq). Maka berhaklah mereka itu mendapat perintah (Allah swt), Justru, Kami telah binasakan mereka sebinasa-binasanya.”

Jelas sekali di dalam ayat Allah swt, telah digandingkan kemakmuran dan rezki melimpah ruah dengan syarat, penghuni wilayah bertaqwa. Kalimah taqwa datang dari penghayatan ibadah secara tepat oleh warganya, kerana orang bertaqwa mulia di sisi Allah swt bahkan menjadi piawaian perbandingan status manusia di dalam Islam. Orang bertaqwa adalah golongan yang cermat melaksanakan perintah Allah swt dan berhati-hati (warak) dan menjauhi larangan serta kemurkaan Allah swt. Oleh kerana itulah jika sekiranya dibuat pemeriksaan terhadap tingkah laku dan pekerjaan golongan mukmin dan muttaqin ini, sudah semestinya amalan mereka bermutu tinggi, bebas dari curi tulang, berjihad untuk mencapai kecemerlangan dan bermati-matian mendapatkan pengiktirafan hakiki di dalam amal dan tindakan dari Allah swt dan seperti yang dihendaki di dalam ajaran Islam. Inilah jawapan manifestasi jihad generasi awal (al-sabiquun al-awwaluun) yang menguasai ilmu, beramal dan berjuang serta berusaha tanpa mengenal jemu untuk menegakkan suruhan agama Allah swt di dalam setiap sektor penghidupan. Maka tidak hairan mengapa umat Islam mampu memimpin peradaban manusia selama tidak kurang dari 900 tahun, di dalam bidang ilmu pengetahuan dan ketamadunan manusia sebelum diambil alih oleh Tamadun Barat.

Hasil produk umat Islam ialah ‘imarah’ – pencetus kemakmuran, kerukunan dan perdamaian di dalam usaha dan tindakan memanipulasikan sumber alam raya dan peradaban manusia di dunia ini. Kesan keredaan Ilahi menjadikan negara Islam itu layak diberikan anugerah “baldatun tayyibatun, wa rabbun ghafuur” – Negara yang sejahtera dan Tuhan maha pengampun kepada warganya. Begitu juga dengan hasil industri (bahasa moden) – al-sinaa‘ah dan perindustrian – al-masoni ‘ telah dilaksanakan mengikut piawaian ilmu pengetahuan anugerah Ilahi diperolehi dengan semangat jihad beragama untuk ketinggian Islam di sektor pembuatan dan kemajuan kebendaan demi mendapat reda Allah swt. Kesannya, tidak akan berlaku penyelewengan kuasa dan kewangan, salah guna kedudukan dan penipuan, mengurangkan sukatan dan manipulasi, jatuh menjatuhkan rakan seperjuangan kerana semua usaha dibuat untuk Islam dan mendapat keredaan Ilahi, bukan kepentingan diri yang tidak akan diberi ganjaran oleh Allah swt di akhirat nanti. Inilah jawapan kepada peningkatan hasil produktiviti dan keutuhan ekonomi umat Islam yang beribadah kepada Allah swt.

Akhirnya segala usaha kemajuan duniawi yang dibuat di dalam acuan pengabdian diri kepada Allah swt ini, akan menjadi stabil, subur, terpelihara dari keruntuhan dan kerugian, malah negara akan mendapat keuntungan berlipat ganda dengan usaha ikhlas murni kerana Islam untuk Allah swt. Walaupun usaha manusia sangat sedikit dan kerdil, namun impak tawakkal dan penyempurnaan usaha dari Allah swt, memberikan keuntungan dan kesan yang luar biasa di dalam segala sektor penghidupan. Inilah hakikat keberkatan – ‘barakah’ dari usaha pengabdian diri kepada Allah swt di dalam sektor kemajuan duniawi di dalam Islam.

4.10 Menghasilkan Negara yang Melaksanakan Ajaran Islam

Ibadah di dalam politik, pengurusan dan perlembagaan – siyasiah wa idariyah wa huquqiyyah, memungkinkan umat Islam secara sepakat bersetuju untuk memacu negara melaksanakan ajaran-ajaran Islam secara menyeluruh dan syumul. Maka paksi perundangan negara, tidak ragu-ragu lagi wajib ditukarkan kepada Perlembagaan Negara Islam – the Constitution of Islamic State atau berusaha menjadikannya sebuah Perlembagaan Islam yang membolehkan seluruh sektor pekerjaan menjadi ibadah kepada masyarakat. Maka kesan perlaksanaan tersebut, warga negara Umat Islam dan bukan Islam mendapat faedah yang besar hasil dari pemerintahan adil dengan acuan pengembalian kepada ilmu pengetahuan intelek berserta dengan ilmu wahyu Ilahi. Gabungan kedua-dua ilmu ini, negara akan diterajui oleh sebuah perlembagaan yang kuat dan pemerintahan yang bijaksana – a firmeth constitution and a wiseth governance.

Ibadah di dalam pemerintahan dan bernegara menghubungkan antara hamba Allah swt sebagai pemerintah dengan kekuasaan pinjaman dari Allah swt yang dizahirkan melalui mandat rakyat (bai‘ah – pengundian dan pemilihan rakyat). Firman Allah swt bermaksud : “diberikan kekuasaan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, ditarik kekuasaan daripada sesiapa yang dikehendaki, dikuatkan kedudukan kepada yang dikehendaki, dilemahkan ke atas sesiapa yang dikehendakiNya, di tangan Engkaulah segala kebaikan (al-khayr), sesungguhnya Engkau Maha berkuasa ke atas segala sesuatu.” Kekuasaan yang dapat difahami dari firman Allah swt ini menjelaskan bahawa di dalam Islam, kekuasaan yang Allah swt kurniakan adalah wajar digunakan untuk melaksanakan perintah Allah swt dan mencegah laranganNya di dalam sepanjang pemerintahan dan pentadbiran di muka bumi ini. Sedang kemuliaan dan kehinaan sesuatu pemerintahan itu di tangan Allah swt, sejauh tujuan dan matlamat kekuasaan Ilahi itu direalisasikan atau sebaliknya. Setiap keputusan dari Allah swt, mengangkat dan menjatuhkan sesuatu kekuasaan adalah bertujuan kebaikan, dan Dia Maha berkuasa menentukannya ke atas segala sesuatu.

Dalam konteks pemerintahan negara, golongan pemegang kuasa mengurus – uli al-‘amri, wajib menggunakan kekuasaan yang diberi kepada mereka untuk melaksanakan ajaran-ajaran Islam di dalam semua sektor penghidupan di bawah pemerintahan mereka agar tercapai hakikat makna keadilan, kebenaran dan keamanan serta kebahagian warganya. Oleh yang demikan Islam adalah suatu agama yang berkait rapat dengan urusan pengibadatan dan pemerintahan berdasarkan prinsip-prinsip Syariat Islamiah dari al-Quran dan al-Sunnah serta hasil-hasil Ijtihad para ulama’ umat Islam sejak berzaman lamanya. Perasaan beribadahlah bertanggung jawab menggesa manusia untuk memerintah dengan prinsip-prinsip ajaran Islam dan melaksanakan banyak sekali tuntutan beragama Islam dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besarnya, contoh dari urusan bersuci dari dari hadath (taharah) sehinggalah kepada urusan mentadbir negara dan politik dunia sejagat (idarah wa tadbir al-hukumah wa siyasat ad-dawliyah). Maka tidak ada keraguan, sebuah negara yang melaksanakan ajaran Islam di setiap sektor penghidupan di dalamnya berpandukan penguatkuasaan Perlembagaan dan Perundangan Islam, ditabalkan dan disahkan secara ijmak (consensus) sebagai Negara Islam Hakiki – al-hukumah wa al-dawlah al-Islamiah al-haqiqiyah atau the Islamic State in practice. Hakikat Negara Islam seperti ini tidak lagi dipertikaikan oleh umat Islam kerana jelasnya hubungkait antara pemerintahan dan kerajaan dengan kepatuhan kepada prinsip-prinsip Syariat Islamiah untuk menjadikan sesebuah negara itu tunduk kepada kehendak hukum syarak melayakkan semua aktiviti-aktiviti pemerintahan ke atas warganya; Islam dan bukan Islam di atur secara Islam. Inilah impak ibadah di dalam Islam dalam melahirkan negara yang melaksanakan ajaran-ajaran Islam di sesebuah negara umat Islam.

4.11 Mendapatkan Kebaikan Dunia dan Akhirat

Tidak ada kesan langsung dari sebuah pengabdian kepada Allah swt itu melainkan kebaikan, keselamatan, ketenangan dan kebahagiaan hakiki yang menjadi buruan semua manusia. Jelasnya perburuan kebahagiaan harus berakhir di dalam perlaksanaan Islam sebagai al-Din kerana semua perkara yang dikerjakan padanya adalah pengabdian tulus ikhlas kepada Allah swt yang menjanjikan kebaikan di dunia dan kebaikan abadi di akhirat. Prinsip al-Quran dalam amal Islami atau ibadah kepada Allah swt di dunia ini ialah berpaksikan kepada kekudusan dan keabadian matlamat. Lihat sahaja firman Allah swt yang bermaksud : “..hendaklah kamu sibuk berusaha mencari daripada apa yang Allah swt kurniakan untuk rumah di akhirat [daar al-‘aakhirah], dan janganlah kamu melupakan bahagian kamu di dunia [wa laa tansa naseebaka min al-dunya]. Dan berbuat cemerlanglah kamu [wa ‘ahsin], sebagaimana Allah swt telah melakukan yang terbaik untuk kamu [kamaa ahsanaLlahu ilayka], dan janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi [wa laa tabghi al-fsaada fi al-‘ardh].”

Mengapakah nampak seolah-olah persoalan diskriminasi kebahagiaan sedemikian rupa harus terjadi di dalam ajaran Islam sahaja?. Bagaimanakah dengan dengan bangsa lain, agama selain dari Islam, bukankah mereka juga melakukan kebaikan dan memperolehi kepuasan dan kenikmatan duniawi?. Islam menekankan bahawa kebahagiaan hakiki tidak relatif, sebaliknya ia muktamad, pasti dan yakin dari sumber yang terpercaya (infallibility sources), menerusi pengabdian diri kepada Allah swt, Tuhan Pencipta dan Penguasa alam raya, Dialah Maha berkuasa dan Maha Mengetahui. Oleh kerana kebahagiaan di dalam Islam bukan sahaja usaha ikhtiar dari manusia semata-mata, malah penyempurnaan dan anugerah dari Allah swt hasil dari ketundukkan hamba kepada Tuannya tanpa syirik dengan sesuatu pun. Kejayaan untuk kekal di dalam pengabdian menerusi dasar Tawhid dan mencari redha Allah swt seperti yang telah dibimbingNya mempastikan mereka mendapat kebaikan usaha mereka di dunia dan akhirat.

Perbedaan ketara antara kebaikan dan keburukan; bahagia dan derita sengsara bertolak dari manusia itu sendiri yang memilih untuk tunduk, taat dan mematuhi segala perintah Allah swt dan menjauhi tegahanNya, sudah pasti ianya mendatangkan kesan baik dan kebahagiaan kerana pengabdian itu berdasarkan ilmu pengetahuan dan perintah dari syariat perundangan Ilahi yang Maha sempurna dan menjanjikan kesempurnaan kepada manusia dan alam raya yang mematuhi peraturan tersebut. Maka kerana itulah semua usaha pengabdian dinamakan sebagai al-ma‘ruuf – berasaskan ilmu pengetahuan dan peraturan Allah swt yang Maha mengetahui.

Manakala manusia yang memilih untuk ingkar, menentang dan menyanggah segala perintah Allah swt dan laranganNya, sudah pasti ianya akan mendatangkan kesan buruk, penyesalan dan kesengsaraan kerana keingkaran itu hanya berdasarkan ilmu pengetahuan manusia yang sangat terbatas dan dangkal. Tambahan pula dengan hasutan syaitan dan hawa nafsu, pertimbangan pengingkar ini hanya berdasarkan hawa nafsu dan keseronokan duniawi serta kepuasan syahwat di dunia sahaja. Pastilah Allah swt menjanjikan mereka penyesalan dan azab yang berkekalan di akhirat nanti. Oleh yang demikian segala usaha keingkaran tersebut dinamakan sebagai al-munkar – berdasarkan penentangan terhadap ilmu pengetahuan Ilahi dan menyanggahi kebenaran Ilahi. Di manakah tempat untuk golongan yang malang dan jahil ini ditempatkan melainkan keseronokan sedikit di dunia dan mengalami krisis jiwa yang berpanjangan (severedly psychotic) di dunia, di akhirat kelak Allah swt tempatkan mereka di neraka yang penuh dengan azab sengsara.

4.12 Layak Mendapat Pertolongan Allah swt (nasrun minaLlah).

Para ahli ibadah di dalam ajaran Islam adalah golongan yang hampir (muqarrabeen), dikasihi dan diredhai (rahmatih wa mardhatih) oleh Allah swt, Tuhan yang disembah mereka dan diabdikan diri mereka kepadaNya. Allah swt dalam memperkatakan pemberian pertolongan menjelaskan di dalam al-Quran bermaksud : “dan adalah merupakan tanggung jawab Kami, iaitu menolong golongan beriman kepadaKu.” Arb., [wa kaana haqqan ‘alayna nasru al-mu’mineena] Dalam memahami pertolongan kepada golongan beribadah dan golongan ingkar, umat Islam perlu tahu membedakan antara keduanya. Pertolongan kepada ahli-ahli ibadah di kalangan Muslim dan Mukminin dikenali dengan karamah – tanda Allah swt memuliakan mereka dengan kemuliaan dariNya untuk mereka (karamatu al-insaan – human dignity). Manakala bantuan kepada golongan ingkar untuk menjayakan lagi keingkaran dan penentangan mereka kepada Allah swt, Rasul saw dan golongan mu’minin di kenali sebagai istidraaj – tanda suatu penghinaan dari Allah swt kepada mereka berkekalan melakukan keingkaran terhadap ajaran Islam.

Rahsia kemenangan dan pertolongan Allah swt terhadap golongan mu’minin diungkapkan oleh sayyidina Umar al-Khattab r.a., dengan jelas sekali iaitu bila mana orang bertanya tentang bagaimanakah umat Islam boleh memenangi peperangan, sedang jumlah musuh jauh lebih ramai dari umat Islam.? Tegas beliau bahawa umat Islam menang di medan peperangan disebabkan oleh dosa dan maksiat pihak musuh, berbanding dengan umat Islam yang taat beribadah kepada Allah swt walau di mana mereka berada. Maka jika umat Islam juga melakukan dosa dan maksiat, Allah swt akan kalahkan mereka kerana dosa mereka sama dengan dosa musuh, sedang musuh masih ada kekuatan senjata dan kuda-kuda perang serta anggota perajurit yang ramai berbanding umat Islam.

Maka pengabdian diri kepada Allah swt sangat berkait rapat impaknya kepada pertolongan Ilahi kepada umat Islam. Allah swt menjelaskan bahawa golongan yang berjihad di jalan Allah swt untuk memungkinkan perlaksanaan ajaran Islam di semua aspek sebagai menolong agama Allah swt. Sebagai balasannya, Allah swt berjanji menolong mereka itu dan akan megukuhkan kedudukan dan kekuasaan mereka di muka bumi kerana kesetiaan mereka menyembah Allah swt. Firman Allah swt yang bermaksud : “sekiranya kamu menolong Allah swt (memperjuangkan agama Islam agar dihayati dan dilaksanakan), maka nescaya Dia akan menolong kamu. Dan Dia akan mengukuhkan kedudukan kamu.” Mengimbas peristiwa peperangan Badar Kubra, di mana Rasulullah saw mengadu kepada Allah swt secara langsung dengan menghujjahkan mengapa perlu memenangkan tentera umat Islam yang kecil jumlahnya berbanding dengan musyrikin Quraisy. Baginda mengadu kepada Allah swt seraya mendoakan : “ sekiranya Engkau kalahkan tentera umat Islam yang kecil pada hari ini, maka tidak akan ada lagi golongan yang akan mengabdikan diri kepadaMu Ya Allah swt.” Jadi faktor kemenangan umat Islam dalam peperangan dan perjuangan hidup mereka, mestilah dicorakkan dengan pengabdian diri kepada Allah swt. Ekoran daripada itulah pertolongan yang hakiki datang dari Allah swt untuk hambaNYa yang diredhai.

Rumusan dan Penutup

Islam suatu agama yang menghubungkaitkan antara pengabdian diri kepada Allah swt di dalam segala usaha manusia dengan impak positif dan kecemerlangan terhadap kehidupan manusia di dunia dan di akhirat. Apabila manusia memberi tumpuan kepada usaha untuk matlamat hari akhirat seperti yang dijanjikan Allah swt, maka semua kesan kebaikan, keselamatan dan kebahagiaan manusia akan diperolehi di kedua-dua penghidupan duniawi atau ukhrawi. Inilah kesan agung Islam sebagai al-Din ke atas manusia.

©Hakcipta dan milik Intelektual dari Allah swt untuk disebarkan dan diguna pakai demi kebaikan bersama di dunia dan akhirat – Abu ‘Amrullah Muhammad el-Merbawiy April 2008.

No comments: