Friday, February 25, 2011

Menolak Keganasan Ikhwan Muslimun

Ikhwan Muslimin bukannya pengganas - Memperjuangkan Islam sebagai Penyelesaian Kemelut Umat Manusia, Kerana kebaikan ISlam itu adalah untuk semua manusia. ISLAM FOR ALL




http://lotfialfikri.blogspot.com/2011/02/ikhwan-bukannya-pengganas.html

Tengah malam tadi semasa menelusuri internet, saya terkejut dengan suatu laporan berita yang dipanjangkan dalam Facebook. Di bawah tajuk “Malaysian PM: Muslim Brotherhood Must Renounce Violence or Be Left Out” Seth Mendel melaporkan dalam National Review Online bahawa DS Najib menyebut semasa di Istanbul bahawa Ikhwan Muslimin “shouldn’t be part of the process as long as they don’t reject violence and extremism.” Kenyataan tersebut seterusnya mencurigai kewibawaan Shaykh Yusuf al-Qaradhawi, yang disebut sebagai Muslim Brotherhood Spiritual Leader*, seolah-olah membayangkan beliau menyokong keganasan dan ektremisme.

Saya termanggu dengan kenyataan ini. Cuba saya bayangkan apa yang berlegar di dalam pemikiran Perdana Menteri. Siapakah yang menasihati beliau sehinggakan mengeluarkan pandangan yang cukup tersesar daripada kebenaran dan out-of-synch dengan nada pandangan dunia kini, yang menyeru agar dialog dengan Ikhwan dipertingkatkan. Malah James Clapper, Ketua Inteligen di bawah Obama, juga berubah nada kini.

Tuduhan atau persepsi bahawa Ikhwan mendokong keganasan adalah suatu tohmahan yang sentiasa dibajai oleh regim-regim represif di Timur Tengah, untuk meraih sokongan Barat bagi membendung kemaraan Gerakan Islam, terutamanya Ikhwan Muslimin yang amat popular di sana. Namun ianya tetap satu mitos yang tidak berpijak di bumi nyata, yang sengaja digembar-gemburkan oleh mereka yang berkepentingan, bagi memadam kebangkitan demokrasi dan kebebasan rakyat untuk memilih sendiri secara telus dan saksama bentuk pemerintahan yang mereka mahu.

Suatu jenaka yang kerap berlegar di Timur Tengah ialah bagaimana Madeleine Korbel Albright, Setiausaha Negara Amerika di zaman Bill Clinton, pergi menemui Mubarak untuk menuntutnya membuka lebih ruang demokrasi di negaranya. Beliau berceramah panjang lebar berkenaan dengan peri pentingnya sistem demokrasi dalam era moden yang terbuka luas kini dan betapa Amerika memegangnya sebagai suatu prinsip penting. Setelah selesai ucapan tersebut, Mubarak perlahan-lahan membisikkan ke telinga Setiausaha Negara Amerika itu, “kamu tahu tak, kalau kita ada demokrasi bebas, Ikhwan akan menang hands down?” Albright lantas terkejut, lalu terdiam sejenak. Setelah berfikir seketika, beliau terus berkata, “shall we go for tea now?”

Hakikatnya ialah, Gerakan Ikhwan Muslimin telah lama meletakkan bahawa salah satu daripada sepuluh tsawabit atau perkara pokok yang tidak boleh berubah baginya ialah “Tarbiyyah dan menentang kekerasan adalah jalan kita”. Ia menekankan bahawa tidak ada cara lain untuk menegakkan sistem Islam, melainkan dengan mendidik masyarakat, menambahkan ilmu dan kefahaman mereka, membentuk individu-individu yang yakin dan menjiwai Islam itu sendiri, bukannya jalan pintas yang lain. Ia telah lama menolak pendekatan keganasan dan kekerasan, walaupun terhadap pemerintah yang zalim dan fasiq.

Di seluruh dunia di mana mereka berada, mereka tetap bersabar menanggung penderitaan lantaran ditindas, dipenjara, disiksa malah dibunuh oleh regim-regim yang zalim dan represif, seperti di Iraq di bawah Saddam Hussin, di Mesir, di Syria, di Tunisia di bawah Habib Bourguiba dan Ben Ali, di Libya dan di tempat-tempat lain. Namun mereka tetap beristiqamah dengan pendirian mereka walaupun diperlakukan sedemikian. Ada di kalangan mereka yanhg tidak sabar terus menolak pendirian ini, lalu berpecah menjadi kumpulan yang lebih ekstrim dan ganas, seperti Gama'a at-Takfir wa al-Higra, Jamaah Islamiyyah, al-Qa'idah dan suku-sakat mereka, tetapi pihak kepemimpinan Ikhwan tetap bersabar dan berpegang teguh dengannya. Malah, tiada kumpulan lain yang telah disiksa, ditindasi dan diganasi oleh regim-regim zalim Timur Tengah ini, lebih daripada Ikhwan sendiri, lantaran berpegang teguhnya mereka terhadap prinsip-prinsip Islam itu.

Namun di sebalik itu mereka sentiasa ditohmah dan difitnahkan. Pihak yang tidak sabar dan ekstrem menuduh mereka bersekongkol dengan regim, dan sebaliknya pihak regim dan Barat memfitnahkan mereka melakukan keganasan. Insiden-insiden keganasan sengaja diada-adakan lalu telunjuk dituingkan kepada mereka, sedangkan mereka sekali-kali tidak melakukannya. Ini terbukti contohnya dalam kes terakhir di mana sebuah gereka Qibti telah dibom di Mesir dan pihak yang hendakkan Islam dipersalahkan. Akhirnya kini terbongkar bahawa yang menjadi dalang kepada kejadian tersebut sebenarnya ialah Habib Ibrahim el-Adly, Menteri Dalam Negeri Mubarak sendiri, untuk menunjukkan kepada Barat bahaya “Islam fundamentalis” dan agar tetap mendokong pemerintahan kuku besi mereka.

Adapun bangun menentang penjajahan seperti yang berlaku di Palestin, adalah hak setiap bangsa bagi mempertahankan tanah air mereka. Tidak sesiapapun berhak menafikan hak sesuatu bangsa untuk mempertahankan diri dan tanah air daripada dicerobohi oleh musuh mereka dari luar. Ini bukannya keganasan, tetapi menentang keganasan penjajah. Setiap negara yang merdeka mempunyai sejarah kebangkitan terhadap penjajahan, termasuk Amerika Syarikat sendiri (ingat semasa George Washington memimpin rakyatnya menentang tentera Inggeris?). Maka janganlah sesekali kaitkan kebangkitan rakyat Palestin terhadap penjajahan Zionis Eropah ke atas tanah air mereka di Palestin sebagai pengganasan; sebaliknya itu adalah perjuangan mulia yang harus disokongi dan didokongi. Hanya talibarut penjajah sahaja yang akan memanggil perjuangan kemerdekaan sebagai keganasan.

Lantaran itu, sebarang seruan agar Ikhwan Muslimin meninggalkan keganasan adalah bagaikan menyeru seorang lelaki yang tidak biasa menyentuh wanita ajnabi agar meninggalkan zina. Sungguh pelik, tanpa asas dan tak kena pada tempatnya.

Reference:
https://mail.google.com/mail/h/9sux80wdtuwv/?v=c&th=12e60643ffff2350