Sunday, April 25, 2010

Kembalikan Kerangka Epistemologi Islam untuk membina Tamadun Islam Sejati

Osman Bakar: Bangkitkan kembali epistemologi Islam

Oleh:
Aqil Fithri

Mutakhir ini, wacana epistemologi Islam mula mendapat sorotan. Sama ada kita menyedari atau tidak, merasakan atau tidak, tapi perlahan-lahan, buku, institusi serta gerakan penyelidikan mengenai epistemologi Islam kian bercambah. Namun, tampaknya denyut keghairahan ini seperti terabai — terutamanya dalam kalangan Muslim di Malaysia — sehingga tidak melihat peri-pentingnya peranan epistemologi dalam kehidupan beragama. Maka, atas hasrat untuk menanam kefahaman inilah yang mempertemukan kita dengan Prof Emiritus Datuk Osman Bakar, timbalan ketua pegawai eksekutif, Institut Kajian Islam Lanjutan Antarabangsa, (International Institute of Advanced Islamic Studies), Malaysia (IAIS). Bersama AQIL FITHRI — zamil Cendikiawan Awam Asia 2009/2010, Nippon Foundation, Jepun — maka, murid dekat Seyyed Hossein Nasr ini sempat ditemuramah sewaktu kunjungannya ke Pusat Kajian dan Maklumat Falsafah Islam atau Center for Islamic Philosophical Studies and Information (CIPSI), Jakarta baru-baru ini.


Aqil Fithri: Kita tahu, tidak semua yang kuno adalah kuno. Sebab itu, dewasa ini wacana klasik tentang ilmu hushuli dan ilmu hudhuri mulai diangkat dalam wacana Islam, khususnya wacana falsafah Islam. Difahamkan pembahagian ini — ilmu hushuli dan ilmu hudhduri — ini dibuat oleh Suhrawardi. Kebetulan, anda pula pernah menulis buku The Classification of Knowledge in Islam. Justeru, buat pengenalan, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ilmu hushuli dan ilmu hudhuri ini?

Osman Bakar: Dalam tradisi Islam, terdapat beberapa pengelasan ilmu. Tentunya ada persoalan, mengapa terdapat beberapa sistem pengelasan ini? Ini kerana, ada perspektif yang mendorong kita melakukan pengelasan tersebut. Sebagai contoh, ada pembahagian ilmu antara fardu ain dan fardu kifayah. Ini juga sebenarnya adalah satu contoh pembahagian. Walau bagaimanapun, itu bukan bermakna hanya terdapat satu pembahagian saja dalam pengelasan ilmu-ilmu Islam. Sebaliknya, setiap pembahagian dilakukan kerana ada asasnya, serta ada juga kegunaannya yang penting bagi masyarakat. Jadi, pembahagian ilmu hushuli dan ilmu hudhuri ini adalah termasuk dalam satu contoh pembahagian ilmu yang terdapat dalam Islam.

Namun, pembahagian ini dibuat lantaran ada perbezaan kaedah, iaitu merujuk kepada pemerolehan sumber ilmu. Perlu diketahui, pembahagian ini — ilmu hushuli dan ilmu hudhuri — sebenarnya sudah terdapat dalam tulisan al-Ghazali lagi, iaitu sebelum Suhrawardi al-Maqtul. Yang dimaksudkan dengan ilmu hushuli ini adalah, ilmu yang manusia peroleh dengan kognitifnya, dengan daya usahanya, sama ada dengan menggunakan pancaindera atau dengan akalnya (acquired knowledge). Manakala ilmu hudhuri, itu merujuk kepada ilmu yang berdasarkan pengalaman keruhanian manusia, yang mana ini berasaskan kepada penerimaan langsung dari Tuhan (presential knowledge). Jadi, ilmu hudhuri ini sudah tentu ada kaitan dengan perkataan, “hadhir,” “hadhrah,” “hudhur,” yang mana kata-kata ini dari akar yang sama—yang semuanya mengusung makna kehadhiran Ilahi. Dalam kata lain, ini juga semacam ilmu laduni, iaitu datang dari sisi Tuhan.

Sungguhpun demikian, perlu ditegaskan, bahawa ilmu ini bukan hanya untuk para Nabi saja, tapi juga termasuk untuk manusia-manusia seperti awlia, ulama, ilmuan, hukamak, dan lain-lain, yang Tuhan mahu anugerahkan keistimewaan pada manusia-manusia pilihannya. Sebab itu, ilmu ini dikaitkan dengan pengalaman keruhaian (spiritual life) yang dicapai oleh individu tertentu. Jadi, memang berbeza dengan ilmu hushuli, iaitu ilmu yang dikaitkan dengan pancaindera dan rasional yang sarat dengan nalar dan logik. Maka, ilmu hudhuri lebih khusus, lebih istimewa, lebih terpilih, yang mana ini disebut oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas, “walaupun semua ilmu itu berasal dari Tuhan, tapi terdapat banyak cara untuk ilmu tersebut sampai kepada manusia.” Salah-satu daripadanya adalah ilham/inspirasi/intuisi. Inilah kaedah untuk memperoleh ilmu hudhuri. Namun, perlu diingat juga, ilham itu ada pelbagai peringkat, dan ilham inilah yang akhirnya membuahkan ilmu hudhuri.

Namun, bagaimana pula kita dapat menentukan, atau mengelaskan, tingkat-tingkat yang terdapat dalam ilmu hudhuri ini?

Penentuan tingkat ini adalah berdasarkan keakrabannya dengan sumbernya. Jika kita bermula dari atas, maka sumber yang tertinggi, ialah Tuhan. Kemudian, ada ilmu yang datang dari sisi Tuhan, yang dikurniakan kepada manusia-manusia terpilih, selain dari para Nabi. Jadi, kita boleh letakkan ilmu wahyu itu sebagai contoh ilmu hudhuri, tapi hanya khusus untuk para para Nabi saja. Kemudian, ilham boleh saja dianugerahkan pada manusia-manusia terpilih. Tapi, harus diperhatikan bahawa sebuah ilmu itu bukan saja merujuk kepada caranya sampai pada manusia, tapi juga merujuk kepada mauduk (objek/bahan yang disampaikan).

Jadi, di sini, bukan saja tingkat ilham, tapi juga tingkat objek yang dikaji oleh ilmu tersebut. Persoalan tentang adakah objek tersebut merujuk pada alam rendah, atau alam sederhana, atau alam tinggi, itu semua adalah bergantung pada tingkat alam. Sebab itu, dalam buku The Classification of Knowledge in Islam itu ada tiga pengelasan, iaitu berasaskan ontologi (berhubung dengan martabat maujud yang dikaji), kaedah, dan etika. Jadi, hakikatnya, martabat yang tertinggi adalah apabila Tuhan menjadi objek kajian.

Disebut bahawa ilmu hudhuri itu adalah bernuasakan kata “hadir.” Maknanya, pengalaman peribadi dalam kehadiran Tuhan. Namun persoalannya, apakah pengalaman peribadi ini dapat diluaskan sebagai sebuah ilmu universal, tidak hanya untuk peribadi saja?

Ya, memang! Ilham itu berdasarkan kepada ajaran al-Quran, dan hadith-hadith, yang memang dengann jelas menunjukkan ilham itu adalah sebuah fenomena universal. Maknanya, yang berpeluang untuk mengalami itu bukan hanya muslim, tapi juga seluruh anak Adam. Walau bagaimanapun, kekerapan penerimaannya adalah bergantung kepada pengalaman keruhaniannya, dan juga tahap intelektualnya, serta sukatan ilmunya. Islam percaya bahawa pengalaman ilham ini boleh disuburkan, atau dikerapkan, melalui sebuah cara hidup yang dianjurkan dalam keruhanian Islam. Jadi, kita boleh menyemarakkan pengalaman ilham ini, dan ternyata ilmu ini adalah universal.

Mithalnya, kita tahu bahawa dalam sejarah sains moden terdapat saintis bukan Muslim yang menemui ilmu baru dari ilham. Maknanya, ada alam ideal yang terbuka pada semua manusia. Terbukti, bahawa Tuhan tidak bataskan ilham ini pada Muslim saja. Kalau berbalik pada ilmu hudhuri itu, memang dari tingkat tertinggi, iaitu wahyu, adalah tidak khusus. Wahyu hanya untuk para Nabi saja. Namun, pada tingkat yang lebih bawah — ilmu atau hikmah yang berdasarkan kepada pengalaman keruhanian, serta pencapaian intelektual — ini terbuka, dan boleh diterima oleh bukan Muslim.

Tapi, persoalannya, bagaimana kita dapat menerangkan bahawa sesuatu ilmu dapat juga diperoleh bukan hanya melalui pancaindera dan akal?

Tentu sekali mereka yang menerima ilmu di luar pancaindera dan akal ini dapat mengetahui. Bahkan, kita juga dapat mengesahkan dakwaan tersebut dengan menguji kebenaran ilmu itu — sama ada berdasarkan logik, atau sebarang kaedah yang terima dalam epistemologi. Tapi, prinsipnya tetap sama, iaitu apa saja ilmu yang dihebahkan, oleh sesiapa saja, maka kita boleh buat pengesahan. Ini seperti juga ilmu empirikal. Jika ada seorang saintis menemui sebatian, atau formula, maka kita akhirnya boleh uji penemuan tersebut.

Begitu juga dengan ilmu hudhuri. Tapi, harus diingat, hanya mereka yang berkelayakan saja boleh menguji ilmu-ilmu tersebut. Tidak perlu kita takut pada kata “kelayakan” ini. Sebab, untuk penemuan ilmu empirikal, memang terdapat ramai yang dapat mengesahkannya. Sebaliknya, ilmu yang berdasarkan pengalaman kerohanian, barangkali adalah lebih sedikit. Sebab, kelayakan ini adalah sesuatu yang normal, sekalipun pada ilmu empirikal. Misalnya kalau kajian tentang bunyian, sudah mereka yang pekak tidak boleh mengambil bahagian. Kalau kita nak buat kajian tentang warna, sudah tentu mereka yang buta tidak boleh ambil bahagian. Jadi, ada kelayakan untuk mereka yang mahu membuat pengesahan ilmu ini.

Demikian juga al-Quran mendakwa bahawa solat itu dapat mencegah kemungkaran. Itu dakwaan al-Quran. Tapi, bagaimana untuk kita mengesahkannya? Maka, kita kumpul ambil data dari mereka yang telah melakukan solat. Namun kita perhatikan tetap mereka yang solat juga melakukan kemungkaran. Maka, kita perlu semak pula apakah solat itu telah dilakukan dengan syarat-syaratnya, dengan kehadhiran rohaninya, dengan sepenuh hatinya. Jadi jelas, prinsipnya tetap sama untuk ilmu hushuli mahupun ilmu hudhuri. Hanya jumlah individu yang melibatkan diri dalam membuat pengesahan saja yang terbatas.

Jadi, nampaknya ilmu wahyu boleh disahkan melalui data-data emperikal?

Ilmu wahyu hanya boleh disahkan pada peringkat rasional. Kita himbau balik, al-Quran yang turun pada kurun ke-7, itu membentangkan beberapa fenomena alam, dan hari ini kita sudah saksikan pengesahan tersebut melalui sains. Pada kurun ke-7 itu, memang tidak ada yang mampu untuk mengesahkan. Mereka terima saja ayat tersebut atas nama keimanan. Urusan pengesahan kemudian.

Atau, mungkinkah kita juga boleh katakan bahawa ilmu hudhuri juga adalah sebuah rasional yang tidak terungkap?

Sebenarnya, soalan ini adalah menyentuh mengenai peranan bahasa dalam mengungkapkan kebenaran. Sebab, bahasa ada batasannya dalam mengungkapkan kebenaran — saatnya bersangkutan dengan fenomena yang dikaji. Ilmu hushuli adalah mengkaji fenomena yang fizikal. Jadi, bahasa lebih mampu untuk mengungkapkan kebenaran alam kerana itu juga adalah pengalaman bahasa kita seharian (alam fizikal). Sementara, ilmu hudhuri pula merujuk kepada keruhanian. Jadi, bila kita mahu mengungkapkan realiti kerohanian, maka penggunaan bahasa seharian memang ada batasannya. Sebab itu, ada bahasa tanda. Ini semacam juga al-Quran, jika mahu menceritakan mengenai alam keruhanian, disampaikan dalam bahasa perumpamaan… masalu, masalu, masalu.

Tapi, ada persoalan menarik hubungan antara ilmu hudhuri dengan kosmologi. Dikatakan, soal mikrokosmos ini mendapat sorotan besar dari Saidina Ali Abi Talib, terutamanya saat disemak dari buku kumpulan pemikirannya, Nahjul Balaghah. Apakah ini benar?

Mikrokosmos itu adalah prinsip penting yang digunakan dalam banyak ilmu, termasuklah dalam ilmu kosmologi, dalam ilmu psikologi, dalam ilmu sains politik, dalam ilmu kimia, malah betapa banyaknya lagi ranting-ranting ilmu yang menerapkan prinsip mikrokosmos dalam sejarah ilmu Islam. Sebagai contoh, persoalan hikmah itu sebenarnya sangat dekat dengan persoalan mikrokosmos. Ini juga adalah antara ilmu hudhuri sepeti yang kita bicarakan itu. Dalam sejarah, idea alam as-Saghir itu ditemui oleh Saidina Ali Abi Talib, yang mendapat idea itu menerusi himpunan data wahyu, serta kemudian menggunakan akal kullinya, atau kuasa inteleknya, atau kecerahan sukmanya, untuk menafsirkan data-data tersebut. Itu memang sumbangan intelektual terbesarnya.

Kita boleh memahami hal ini kerana banyak ayat al-Quran yang mengungkapkan mengenai penciptaan manusia. Memang, dalam sesetengah ayat, hanya menyentuh sebahagian unsur-unsur manusia saja. Tapi, dalam ayat-ayat lain, turut disentuh unsur-unsur yang lain pula. Justeru, kalau kita mahu mendapat gambaran menyeluruh tentang manusia, maka kita kena kumpulkan semua ayat yang berkaitan dengan penciptaan manusia, sebelum melakukan sebuah “renungan akal.” Lalu, pada kesimpulannya, kita akan berkata, “setiap hal yang ada di luar diri kita, maka sebenarnya turut ada di dalam diri kita.” Itulah idea mikrokosmos, iaitu alam as-Saghir, atau alam kecil. Jadi, terdapat keselarian antara dua semesta: semesta luar diri kita dengan semesta dalam diri kita, iaitu one to one correspondence antara kedua semesta tersebut.

Hal inilah yang menarik minat kalangan saintis Barat untuk dikembangkan dalam penyelidikan mereka. Sebab itu, dalam pengertian inilah, Ikhwan as-Safa berkata, “Kalau kita mahu mengetahui hakikat alam ini, tidak perlulah kita menjelajah ke angkasa, cukup hanya pergi ke alam diri kita saja.” Kerana, sebenarnya diri kita ini juga adalah satu universe, atau satu semesta. Ini juga sebenarnya pesan al-Quran apabila Tuhan memanifestasikan tanda-tandanya bukan saja dalam makrokosmos, tapi juga dalam mikrokosmos.

Lantaran dengan adanya kesejajaran antara makrokosmos dan mikrokosmos ini, maka apakah kerana itu Islam turut menekankan mengenai tazkiyatun nafs, sebagai satu kaedah untuk mendekatkan diri pada Tuhan? Dan, apakah tazkiyatun nafs ini dapat dirasionalkan?

Sebelum itu, kita harus melalui proses-proses pembersihan jiwa, atau tazkiyatun nafs ini dahulu. Perlu diingat, tazkiyatun nafs ini bukan proses sembarangan, bukan proses yang tidak berperaturan, dan bukan proses yang tidak berprinsip. Malahan, tazkiyatun nafs ini juga adalah satu sains dan satu seni. Satu sains, sebab terdapat prinsip yang perlu kita faham tentang jiwa iaitu; apa itu jiwa, apa itu realiti jiwa, apa itu juzuk jiwa, apa itu komponen jiwa, dan lain-lain. Jadi, bila kita mahu melakukan tazkiyatun nafs, maka kita perlu tahu apa itu nafs. Dalam konsep manusia, nafs itu adalah salah-satu komponen manusia. Kemudian, perlu dirungkai persoalan lain, tentang hubungan nafs dengan akal, dengan qalb, dengan roh — dan, semua ini sebenarnya adalah sebahagian dari sains yang kita perlu belajar kalau benar-benar mahu melakukan tazkiyatun nafs.

Satu seni pula, sebab ada tahap praktikal, dan inilah seni yang kita warisi dari pada Nabi, yang diturunkan pada sahabat, lalu pada tabiin, dan sebagainya. Persoalannya dewasa ini, adakah kita mewarisi amalan ini dari ulama-ulama kita, atau dari intelektual-intelektual kita, ataupun secebis saja? Jadi, untuk menjernihkan hal ini, maka kita perlu mengenal siapa pakar dalam ilmu tazkiyatun nafs ini. Dalam sejarah, ulama yang ada kepakaran dalam bidang ini adalah ulama dari kalangan tasawuf atau sufi, sebab ini memang keahliannya. Bukan ulama fekah. Tidak hairanlah, ulama tasawuf memang sering membicarakan tentang tazkiyatun nafs, supaya mereka lebih dekat dengan Tuhan.

Menyentuh mengenai sufi, atau tasawuf ini, apakah bezanya dengan irfan, yang begitu dekat dengan tradisi Iran?

Itu ada persamaan dan perbezaaan. Sebenarnya, irfan ini merujuk kepada satu bentuk ilmu, atau suatu pengalaman manusia yang aspek kerohanian dan intelektual itu terjalin dalam satu kesatuan yang indah. Justeru, irfan ini kita harus bezakan dengan aliran kerohanian lain yang tidak menekankan aspek keintelektualan, iaitu tentang peranan akal dalam pengalaman kerohanian.

Jadi, adakah itu bermakna dimensi intelektual tidak ada dalam tasawuf atau sufi?

Bukan. Irfan itu juga satu bentuk tasawuf. Kalau kita ambil tasawuf sebagai satu genus, maka irfan itu adalah salah satu spesis darinya. Maknanya, irfan itu juga adalah dari aliran tasawuf yang objektifnya untuk membersehkan jiwa dan mendekatkan diri pada Tuhan. Soal bagaimana cara mencapainya, itu ada perbezaan pendekatan. Sebab itu, ada tiga asas dalam hubungan manusia dengan Tuhan. Ini adalah hal yang lazim dalam tasawuf, iaitu makhafah, mahabbah, makrifah. Makhafah iaitu berdasarkan pada rasa takut. Jadi, sebilangan manusia, mereka lebih menekankan dimensi takut, untuk mendekatkan diri pada Tuhan. Kedua, mahabbah ini pula berdasarkan pada cinta, iaitu kita lakukan sesuatu kerana cinta, dan tidak memikirkan ganjaran. Ketiga ialah makrifah, yang berdasarkan pada ilmu, dengan kita melaksanakan sesuatu dengan kefahaman dan keyakinan.

Persoalan terakhir, kita tahu, Muslim dewasa ini bergelut dengan pelbagai persoalan nyata, sama ada dalam aspek fizik mahupun metafizik, atau aspek semesta nyata (kehidupan seharian) mahupun semesta jiwa (kerohanian). Apakah ini menunjukkan Muslim sedang berdepan dengan masalah epistemologi?

Dari segi teori, Muslim tidak mempunyai masalah dalam persoalan epistemologi. Kita mewarisi tradisi epistemologi yang lengkap, yang serba mencakupi di mana pada teorinya mencukupi untuk menangani persoalan-persoalan semasa. Ini dari segi teori. Namun, dari segi realiti, tidak begitu. Sebab, sebahagian besar tradisi epistemologi Islam itu tidak dibangkitkan. Epistemologi Islam hanya wujud dan hidup dalam teks semata, tidak dalam wujud dan hidup dalam konteks kita. Itulah masalahnya.

Maka, apa yang patut kita lakukan? Yang patut kita lakukan ialah, seluruh ajaran Islam tentang epistemologi harus ketengahkan kembali pada khalayak. Kita mesti menanam di sanubari masyarakat tentang kepentingan epistemologi Islam ini. Tentunya, dengan langkah ini, kita akan menghadapi banyak pertanyaan, juga kritikan, barangkali juga cercaan. Walau apapun, kita harus jelaskan dengan menggunakan bahasa terkini, dengan bidalan terkini, dengan ungkapan terkini, yang mungkin dengan kekiniaan ini akan membantu khalayak untuk lebih memahami mengenai epsitemologi Islam ini.

Reference:
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=23217:osman-bakar-bangkitkan-kembali-epistemologi-islam&catid=95:agama2&Itemid=132

Saturday, April 24, 2010

Isu APCO-Worldwide - Antara Fatwa dan Durhaka Agong?

Surat terbuka buat Mufti Perak

Oleh:
Mohd Akmal Kamarudin

Dengan penuh rasa insaf dan tanggungjawab saya mewakili sahabat-sahabat yang cintakan keamanan dan membenci kekejaman rejim Zionis Laknatullah ingin melontarkan pandangan berdasarkan jika benar laporan di dalam naskhah Berita Harian keluaran 17 April 2010 yang dipaparkan di muka hadapan atau di laman web :

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/2010041705331320100417053313/Article/

PENDAHULUAN

Matlamat Yahudi Yang Utama : Memerintah Setiap Negara

Pada tahun 1897 di Basle, Swirtzeland 300 sarjana Yahudi telah berkumpul secara sulit untuk merancang beberapa agenda atau Protokol Yahudi. Perhimpunan ini dipimpin oleh Teodrl Hezl. Matlamat utama perhimpunan ini adalah untuk memastikan bahawa bangsa Yahudi akan kekal memerintah di setiap negara walaupun negara itu diperintah oleh bangsa selain Yahudi.

Protokol Yahudi ini akhirnya telah dibawa ke pengetahuan umum pada tahun 1901M, apabila seorang wanita Perancis telah berjaya mencuri naskhah protokol ini daripada seorang pemimpin tertinggi Freemasonary. Wanita tersebut telah mencurinya diakhir Muktamar Rahsia (Jewish Masonic Conspiracy) yang diadakan di Perancis. Protokol-protokol ini telah diterjemahkan ke Bahasa Arab oleh Ust Mohd Khalifah Attunisi. Di bawah tajuk “Protokol Hukama Sohyuni”

Salah satu protokolnya ialah:Protokol Kedua

Bantuan-bantuan yang diberikan oleh bangsa Yahudi melalui agen-agen Yahudi akan memperkuatkan kaum Yahudi. Yahudi akan memerintah bangsa lain seperti bangsa itu memerintah negaranya sendiri, tanpa disedari bahawa mereka telah berada di bawah genggaman Yahudi. Ketua pentadbir yang dilantik untuk mengatur pentadbiran negara, mestilah terdiri daripada orang-orang yang berjiwa budak, yang mudah diarah untuk kepentingan Yahudi. Melalui akhbar, Yahudi menggerakkan fikiran orang ramai serta mengambil kesempatan untuk mendapatkan emas, meskipun dari lautan darah dan airmata. Pengorbanan adalah perlu, kerana setiap nyawa dikalangan Yahudi berharga seribu orang bukan Yahudi.

PENDEDAHAN APCO WORLDWIDE DI PARLIMEN OLEH MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

Dalam jawapan secara bertulis kepada YB Tian Chua (PKR Batu), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz telah mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa satu kontrak telah dimeterai antara Kerajaan Malaysia dengan Firma Perunding Perhubungan APCO Worldwide bernilai hampir RM77 juta setahun.

Syarikat Firma Perunding Perhubungan APCO Worldwide ini telah dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan “Strategi Komunikasi” dan “Membina Imej” Negara serta mengagongkan Perdana Menteri Malaysia iaitu Dato’ Seri Najib Tun Razak.

SIAPAKAH APCO?

Perkara ini telah didedahkan Ketua Pembangkang YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di dalam Parlimen yang mulia .

Ahli Lembaga APCO termasuk dua bekas duta Israel iaitu:-

1. Shimon Stein (bekas duta kepada Jerman)

2. Itamar Rabinovich (bekas duta kepada Amerika Syarikat)

3. Doron Bergerbest-Eilon, bekas ketua keselamatan Agensi Keselamatan Israel (Israeli Security Agency, ISA) yang lebih dikenali sebagai Shabak atau Shin Bet. Jawatan ini adalah bersamaan dengan pangkat Mejar Jeneral dalam tentera Israel.

Shin Bet bertanggungjawab menjaga keselamatan dalam negeri Israel, termasuk menghadapi Intifada Palestin. Semasa intifada Al-Aqsa, Shin Bet memainkan peranan untuk mengenalpasti identiti dan lokasi pemimpin-pemimpin Palestin yang dijadikan mangsa pembunuhan oleh serangan udara tentera Israel.

Shin Bet turut terkenal dengan kaedah-kaedah menyeksa tahanan mereka semasa soal-siasat. Seorang wartawan Palestin, Mohammed Omer, mendakwa beliau ditahan oleh Shin Bet pada tahun 2008 dan dibogelkan, dibelasah oleh lapan pegawai Shin Bet yang bersenjata mengakibatkan beliau terpaksa dirawat seminggu di hospital. Makhamah Tertinggi Israel sendiri memutuskan bahawa kaedah-kaedah soalsiasat Shin Bet adalah berketerlaluan, melanggar hak asasi manusia, dan bersifat menyeksa.

APCO dan ASERO seumpama satu keluarga, dengan pemimpin-pemimpin yang sama. Doron Bergerbest-Eilon adalah presiden ASERO, manakala Mara Hedgecoth anak kepada Margery Kraus, Presiden APCO – merupakan Naib Presiden di kedua-dua APCO dan ASERO. Denise Teeling pula, adalah Ketua Kewangan (CFO) bagi kedua-dua APCO dan ASERO juga. Menurut laporan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Denise Teeling dan Margery Kraus adalah direktor APCO Worldwide Sdn Bhd, yang ditubuhkan di Malaysia.

APCO tidak hanya terlibat dengan aktiviti Zionis dan pencabulan hak asasi sahaja, malah juga dengan aktivisme anti-Islam.

1. Jonathan Winer yang merupakan Naib Presiden APCO di Washington DC. Pada 2003, Winer memberi keterangan di Jawatankuasa Senat Amerika Syarikat di mana dia menuduh gerakan Ikhwan Muslimin (Muslim Brotherhood) serta beberapa badan kebajikan Islam sebagai pengganas, dan berusaha untuk menghentikan segala aktiviti kewangan badan-badan ini.

2. Marc Ginsberg pula, ahli lembaga APCO dan bekas duta Amerika Syarikat, memanggil tokoh pemikir Islam Sayyid Qutb (inspirasi kepada Ikhwan Muslimin dan penulis karya Ma’alim Fil Tariq dan Fi Zilal Al-Qur’an) seorang “musuh” dan membandingkan beliau dengan Adolf Hitler.

Peranan APCO di Negara-negara lain

1. Klien dan bekas klien APCO juga termasuk beberapa ‘tokoh’ yang cukup terkenal. Di antaranya adalah Jeneral Sani Abacha, yang mencuri hampir RM 10 billion duit rakyatnya semasa menjadi Presiden Nigeria. Jeneral Sani Abacha turut dikenali kerana pencabulan hak asasi manusia yang cukup parah, termasuk penahanan dan pembunuhan aktivis-aktivis.

2. Nursultan Nazarbayev, diktator Kazakhstan yang didakwa bersama keluarganya terlibat dalam rasuah yang cukup besar serta beberapa pembunuhan, turut merupakan seorang klien APCO. Di antara strategi APCO adalah untuk “membeli” beberapa laporan dari institusi pengajian tinggi untuk mengharumkan nama Kazakhstan di Barat.

3. Narenda Modi pula, Ketua Menteri Gujarat di India yang dikatakan membiarkan rusuhan kaum berlaku antara rakyat Hindu dan Muslim, mengakibatkan hampir 2,000 kematian – kebanyakannya Muslim – juga pernah mengupah APCO untuk mengharumkan balik imejnya.

ISU DEMONSTRASI BANTAHAN HUBUNGAN KERAJAAN MALAYSIA DENGAN APCO DI PERKARANGAN MASJID SULTAN IDRIS SHAH II

1. Setiap muslim yang beriman pasti mahukan kemanisan iman. Terdapat tiga perkara yang menjaminkan seseorang mendapat kemanisan iman. Salah satu nya sebagaimana yang disebut dalam kitab Sahih Bukhari dan Muslim ialah seseorang itu membenci maksiat (kemungkaran) seperti ia benci jika di campakkan ke dalam api neraka. Oleh yang demikian, sebab itulah kita guna halaman luar masjid kerana ia berkaitan dengan iman kerana mempertahankan agama dari ancaman musuh laknatullah adalah wajib. Jesteru itu, Allah menjanjikan jaminan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
2. salah satu cara membenci ialah seperti yang diriwayatkan bahawa ketika Nabi Ibrahim a.s sedang berjalan-jalan di suatu tempat, maka dia digoda iblis dan syaitan. Lalu, junjungan besar itu telah membaling batu ke arah iblis tersebut.

Tindakan peserta himpunan tempohari itu sebenarnya warisan daripada sunnah Nabi Ibrahim a.s.

Yahudi Zionis adalah iblis besar abad ini. Maka.. sikap pesrta himpunan hanya luahan daripada fitrah, sunnatullah dan sunnah Nabi Ibrahim ke atas musuh-musuh Allah seperti Iblis dan kaum-kaum yang ingkar kepada suruhan Allah.

Sesiapa yang pergi menunaikan fardhu haji, mereka tentunya pernah merasai pengalaman membaling batu di Mina ini. Kita diminta bermalam di Mina sebelum melontar batu-batu kepada 'iblis' di ketiga-tiga tiang; Jamratul Aqabah, Jamratul Wusta dan Jamratus Sughra. Bermalam di Mina itu bertujuan persediaan untuk meneruskan agenda besar ini; simbolik baling batu kepada iblis.

Maka, apabila tiba zaman Nabi Musa a.s (Taurat) hingga ke zaman Nabi Muhammad s.a.w. (al-Quran), maka terteralah satu hukum; lelaki dan wanita yang berzina sesudah berkahwin, maka hukumannya adalah direjam (dibaling) dengan batu sampai mati.

Kesimpulannya, inilah antara contoh-contoh sunnatullah yang telah diterjemahkan dalam bentuk hukum rejam dan sunnah nabi. Ia sesuai dengan fitrah asal kesemulajadian manusia. Iaitu, apabila kita mula membenci sesuatu perkara, hati kita akan terdorong untuk baling dan mencampakkan sesuatu kepada sesuatu yang kita benci itu. maka bidapkah kami yang hanya membaling telur ke arah papan yang tertera lambang zionis.

3. Isu penggunaan telur busuk : ? Telur busuk itu hanyalah laungan dibibir kami sahaja, sesuai dengan Yahudi dan Israil yang lebih busuk dari telur busuk .Dalam demontrasi ini kami tidak gunakan batu sebab mungkin akan terkena kepada orang ramai dan ada yang tercedera, Telur adalah simbolik penentangan kami terhadap isu APCO. Disini juga kami ingin memaklumkan bahawa pihak kami tidak menggunakan telur busuk seperti yang didakwa dan hanya melibatkan 7 biji telur ayam yang baru dibeli dikedai berdekatan. kami juga menggunakan kasut sebagai ganti kepada batu yang boleh membahayakan orang ramai ke arah papan yang tertera lambang Israel dan Umno, peristiwa lontaran ini berlaku berdekatan pintu pagar luar masjid dan agak jauh dari org ramai. Perbuatan inikah yang menyebabkan Tuan Mufti kata kami biadab dan hukumnya haram. Dan yang peliknya kenapakah Tuan Mufti orang yang pertama menghidu bau telur busuk sedangkan kami peserta demonstrasi tidak dapat menghidu bau busuk tersebut.

4. Ulama meletakkan satu kaedah iaitu sesuatu perkara yang ingin dijadikan hukum, hakim atau mufti mesti terlebih dahulu ada gambaran sesuatu perkara itu, maknanya ia mesti ada gambaran dan suasana himpunan seperti di manakah himpunan itu diadakan, guna telur busuk atau tidak, apa tujuan mereka berhimpun , apakah objek yg mereka lontar dan sebagainya.

Para ulama menyebut kalau berhukum tanpa ada gambaran maka hukum itu salah seperti yang sabit dari hadis Nabi SAW bahawa hakim yang berhukum tanpa pengetahuan dan gambaran terlebih dahulu maka tempatnya di neraka

5. Berkenaan dengan perlantikan Ahli JawatanKuasa Masjid tanpa mengikut tatacara perlantikan yang betul dengan membelakangi peraturan yang diguna pakai sebelum ini, adalah merupakan pencemaran terhadap masjid yang di lakukan oleh Parti UMNO dan Barisan Nasional. Pegawai Penyelaras Masjid Daerah (PPMD) seluruh Perak yang dilantik hanya mereka yg menyokong Parti UMNO sahaja. Terdapat di kalangan pengerusi masjid jarang- jarang datang ke masjid malahan ada yg tak pernah datang ke masjid. Dan yang paling memalukan mereka ini mempunyai masalah moral. Sebenar nya, inilah pencemaran yang paling besar pernah yang di lakukan umno pada masjid seterusnya membunuh peranan institusi masjid yang sebenar iaitu sebagai rumah ibadah dan gedung ilmu.

Mengapa pencemaran dan penghinaan terhadap masjid yang dilakukan oleh Umno dan Barisan Nasional tidak dikritik oleh SS Mufti, sedangkan ini adalah suatu yang lebih besar tidah dilihat oleh Mufti

Almarhum Dato’ Fadhil Nor pernah menceritakan, seorang murid yang belajar sepuluh tahun dengan seorang guru tetapi tidak pernah naik darjah. Suatu hari dia bertanya kepada gurunya. “ Tuan, saya telah belajar hampir sepuluh tahun tetapi kenapa tidak naik darjah?” maka tuan guru itu pun pergi dekat satu tembok lalu dia mengambil arang dan membuat titik pada tembok tersebut. Maka beliau bertanya kepada muridnya itu, “ apakah yang kamu nampak di hadapan kamu?” Jawab murid itu: “ Titik hitam” . “ Sebab itulah kamu tidak naik darjah, tembok yang besar kamu tidak nampak tetapi titik hitam yang kecil itu kamu nampak.”

Telur yang dilontar ke arah lambang zionis di luar masjid sekitar 5 minit dikritik hebat dan diiktiraf sebagai biadab. Pengerusi dan jawatankuasa masjid yang tidak berakhlak dan terlalu jarang datang masjid sehingga ada yang tak pernah peduli untuk meningkatkan peranan masjid tetapi masih dilantik untuk tempoh tiga tahun tidak dikritik dan tidak biadab

6. Sekiranya pihak Tuan Mufti merasakan bahawa dengan menyokong kami akan menjejaskan Tuan Mufti, maka diam adalah sebaik-baik jawapan. Rasulullah s.a.w pernah bersabda :

ومن كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليقل خيرا أو ليصمت

“Sesiapa yg beriman dgn Allah dan hari akhirat maka berkatalah perkara yg baik atau diam”

(Hadis riwayat bukhari dan muslim)

Perjuangan kami ada fakta melalui hadis yang pernah diungkapkan oleh Junjungan besar Nabi SAW :

أفضل الجهاد كلمة حق عند سلطان جائر

“Jihad yang paling afdhal perkataan yg benar di hadapan pemerintah yg zalim”

Persoalan jihad ini mesti didahulukan bagi yang mampu dan pihak kami mampu serta sanggup menerima ancaman dari pemerintah dan sama sekali tidak sanggup menerima ancaman Allah seperti firman Allah :

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda Yang kamu usahakan, dan perniagaan Yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal Yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara Yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang Yang fasik (derhaka).

(Surah Taubah ayat 24)

Dengan pendedahan yang telah dijelaskan di atas maka disini saya ingin bertanya kepada Tuan Mufti dan agar saya diberikan PENJELASAN secara Ilmiah dari pihak Tuan Mufti :

Pertama : Mengapakah Kerajaan Malaysia sanggup melantik sebuah Syarikat Firma Perunding yang mempunyai hubungan yang amat rapat dengan Rejim Zionis dan dipimpin oleh individu yang terlibat dengan organisasi yang terkenal menyeksa dan menzalimi orang Palestin diberi peluang untuk membentuk dasar-dasar sensitif Malaysia?

Dengan pengupahan APCO sebagai Firma Perunding kepada Kerajaan Malaysia, ini bermakna pengaruh Zionis, kini telah mula dibenarkan untuk menentukan hala tuju negara, serta mempunyai akses kepada semua kepentingan kerajaan termasuklah maklumat-maklumat yang berpotensi menjejaskan keselamatan dan kepentingan negara. Adakah ini tidak membimbangkan pihak Tuan Mufti?

Selain Israel dan Amerika Syarikat yang dapat mengakses maklumat-maklumat ini, perlu diketahui juga oleh pihak Tuan Mufti bahawa di antara pemimpin ASERO, satu-satu individu yang bukan warganegara Amerika, UK atau Israel adalah Kelvin Tan Wee Peng iaitu seorang bekas polis Singapura.

Kedua : Apakah Pendirian Tuan Mufti setelah mendengar penjelasan yang telah saya jelaskan di atas, adakah Tuan Mufti masih lagi menyokong usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia pimpinan YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak atau akan bersama-sama kami menentang kerjasama antara Kerajaan Malaysia dengan Syarikat Firma Perunding APCO Worldwide. Dengan ini saya serta sahabat-sahabat yang cintakan keamanan dan keselamatan negara Malaysia memohon Tuan Mufti untuk menyatakan pendirian Tuan Mufti. (Kenyataan ini disiarkan didalam Blog Dewan Pemuda PAS Negeri Perak : dppperak.blogspot.com).

KESIMPULAN

1. Keputusan Perdana Menteri untuk bekerjasama dan berganding bahu serta membuka ruang Malaysia kepada pengaruh rejim Zionis dan anti-Islam wajib dipertikai oleh setiap rakyat yang cintakan Malaysia.

2. Perdana Menteri Malaysia mesti memohon maaf kepada seluruh masyarakat dunia umumnya dan Malaysia khususnya yang cintakan keamanan dan prihatin pada rakyat palestin kerana telah bekerjasama dengan rejim Zionis.

3. Semua Ulama dan ahli fikir yg mengetahui tindakan Kerajaan Malaysia ini mesti memandang perkara ini sebagai suatu perkara yang besar. Ada seorang datang bertanya kepada Sayyidina Abdullah ibnu Umar Radhiyallahu ‘Anhu tentang hokum darah nyamuk yang terkena baju. Abdullah ibnu Umar Radiyallahu Anhu bertanya: “orang ini datang dari mana?“ mereka memberitahu bahawa dia datang dari Iraq. Kata Abdullah bin Umar: Darah Sayyidina Hussin Cucu Rasulullah SAW yang ditumpahkan dengan zalim kamu tidak tanya tetapi darah nyamuk yang terkena baju yang kamu tanya” Sepatutnya mufti jawab begitu kepada wartawan berita harian, kenapa tidak Tanya tentang APCO zionis busuk ceroboh Negara kita “ kamu datang dari akhbar yang besar untuk Tanya hokum telur busuk ?

4. Harapan kami agar mufti tegas dengan ilmunya seperti Imam Nawawi iaitu Penyusun Kitab Riadhus Solihin yang selalu Dato Mufti gunakannya ketika mengajar di Masjid dan Surau-surau. menurut riwayat bahawa apabila Baginda Sultan Az Zahir telah mengadakan persiapan perang untuk memerangi orang-orang Tatar(Monggol), timbul satu persoalan adakah diharuskan mengambil harta rakyat untuk kepentingan perang melawan musuh. Lalu Baginda bertitah meminta fatwa dari Imam Nawawi. Imam NAWAWI telah memberikan penjelasan seperti berikut:-

“Ampun Tuanku

Adalah patik sememangnya mengetahui bahawasanya tuanku dahulunya adalah seorang tawanan yang tidak ada sebarang harta benda, tetapi dengan pertolongan Allah dilimpahkan kurnianya kepada tuanku dengan dijadikan tuanku seorang raja.

Ampun Tuanku

Adalah patik telah mendengar bahawasanya tuanku ada memiliki seribu orang hamba, tiap-tiap seseorang ada mempunyai beberapa ketul emas. Manakala 200 org khadam wanita milik tuanku, masing-masing mempunyai barang-barang perhiasan yang bernilai.

Andaikata tuanku sendiri membelanjakan semua itu untuk keperluan perang sehingga mereka tidak lagi mempunyai barang-barang itu, maka patik bersedia memberikan fatwa untuk membenarkan tuanku mengambil harta rakyat”.

Kesimpulannya, beliau berfatwa bahawa baginda tidak dibenarkan mengambil harta rakyat selamamana kekayaannya sendiri masih dapat dipergunakan. Baginda sultan Az Zahir murka kepadanya kerana fatwanya yang amat menggemparkan sehingga baginda mengeluarkan perintah supaya Imam Nawawi segera keluar dari damsyik. Imam Nawawi menerima sahaja perintah pengusiran itu dengan girang hati. Lalu beliau pun keluar ke Nawa. Para ulama’ syam telah berusaha menjemput beliau balik semula ke Damsyik, tetapi beliau enggan sambil berkata ‘ saya tidak akan balik ke Damsyik selagi baginda masih berkuasa”

5. Harapan kamai agar mufti tidak seperti Ali Abdul Raziq seorang ulama Azhar suatu ketika dahulu yang menulis buku memisahkan agama dengan politik pemerintahan islam. yang mahu meletakan agama di masjid sahaja tanpa melibatkan politik islam. Politik islam perlu disangkut dipintu masjid. Akhirnya Majlis ulama azhar telah menarik balik segala anugerah akademik dan gelaran yang diberi oleh Al Azhar. Ini menunjukkan betapa hinanya ulama seperti itu.

Rasul pernah mengecam mereka yang mengetahui sesuatu perkara tetapi menyembunyikannya dgn sabdanya :

من سئل عن علم يعلمه فكتمه ألجم يوم القيامة بلجام من نار

Sesiapa yang ditanya tentang sesuatu ilmu yang diketahuinya maka dia menyembunyikannya nescaya pada hari kiamat kelak dia akan dikekang dengan tali kekangan dari api neraka.

(hadis riwayat ahmad)


Mohd Akmal Kamarudin,
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Perak.

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

Reference:
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=26245:-surat-terbuka-buat-mufti-perak&catid=27:surat-pembaca&Itemid=46

Wednesday, April 21, 2010

Gambaran Sebenar APCO-Media Pemerintah

Oleh

ROHANI IBRAHIM
rencana@utusan.com.my

BIARPUN berhadapan dengan tindakan beberapa penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang keluar parti kebelakangan ini, kreativiti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menghasut dan meracuni fikiran rakyat tidak pernah luntur.

Semua ini dilakukan demi mengelirukan rakyat dan meraih sokongan untuk mencapai matlamat peribadi yang diidam-idamkan selama ini.

Anwar mendakwa gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dipengaruhi oleh Israel melalui khidmat syarikat perunding komunikasi antarabangsa Apco Worldwide (Apco) yang dipilih kerajaan.

Ini ditambah pula dengan dakwaan ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen dalam satu artikel yang dihasilkan bersama Unit Penyelidikan Parlimen Parti Keadilan Rakyat (KPRU) dan disiarkan dalam Malaysian Insider.

Artikel tersebut mendakwa ketuanan Melayu yang pe rnah dilaungkan UMNO sebagai mempunyai persamaan dengan Zionis di Israel.

Isu Apco memberikan ruang kepada beberapa pihak untuk mengambil kesempatan menangguk di air keruh untuk menyerang dan menyemai kebencian kepada UMNO.

Terdapat gerakan di laman web sosial facebook seperti gerakan sejuta rakyat yang mahukan Apco keluar dari Malaysia serta UMNO Love Apco & Israel yang menyifatkan UMNO sebagai pihak yang bertanggungjawab memberi ruang kepada Apco untuk masuk ke Malaysia.

Dakwaan in dilontarkan ekoran tindakan kerajaan menggunakan khidmat perunding komunikasi global Apco dalam menyalurkan maklumat mengenai segala misi dan visinya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika dihubungi baru-baru ini berkata, pembangkang akan terus mengaitkan pelbagai tindakan kerajaan dengan Israel seperti mana yang dilakukan dalam isu Apco.

''Sebelum ini terdapat tuduhan ada perisik Israel di Bukit Aman. Itu tidak benar," katanya lagi.

Apco yang membuka pejabatnya di Malaysia pada tahun lalu mempunyai pengalaman 25 tahun dalam memberikan khidmat komunikasi strategik kepada 29 buah negara dan organisasi seperti Bank Dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kesatuan Eropah (EU) dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Apco mempunyai seramai 50 anggota Majlis Penasihat Antarabagsa (IAC) dari pelbagai latar belakang dan pengalaman termasuklah bekas duta, pemimpin negara dan penasihat pelbagai badan dan organisasi dunia.

Daripada 50 anggota berkenaan, tiga penasihat mempunyai pengalaman bekerja dengan Israel iaitu Doron Bergerbest-Eilon yang pernah menjadi pegawai kanan di Agensi Keselamatan Israel, Itamar Rabinovich yang pernah berkhidmat sebagai duta Israel ke AS dan menjadi presiden Tel Aviv University dan Shimon Stein iaitu bekas Duta Israel ke Jerman.

Tiga penasihat ini menjadi sasaran pembangkang untuk mengaitkan Apco dengan Israel. Bagaimanapun, majoriti daripada mereka iaitu lebih 40 penasihat Apco yang lain mempunyai latar belakang yang pelbagai.

Antara penasihat Apco yang lain ialah bekas Menteri Rusia, Igor V.Kostikov; bekas presiden Poland, Aleksander Kwasniewski; bekas Duta India ke AS, Lalit Mansingh dan bekas Duta Mexico ke United Kingdom (UK), Andres Rozental.

Penasihat lain ialah bekas Pengerusi China Ocean Shipping Company America, Gao Weijie; bekas Duta Mexico ke United Kingdom, Andres Rozental dan bekas Duta Sri Lanka ke AS, Devinda R.Subasinghe.

Turut menjadi penasihat Apco ialah pensyarah felo di London School of Economics and Political Science, Maurice Fraser; bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Kellogg, Carlos Gutierrez dan bekas pengerusi majlis Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Sergio Marchi.

Apco juga pernah menafikan kaitannya dengan Israel dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman web www.apcoworldwide.com bertarikh 18 Mac 2010.

Apco menjelaskan bahawa syarikat berkenaan tidak pernah mewakili kerajaan Israel mahupun Perdana Menteri, Ehud Barak.

''Apco tidak pernah terlibat dalam kempen perhubungan awam berkaitan konsep One Israel dan segala kenyataan yang dikeluarkan di Parlimen Malaysia mengenai penglibatan Apco dalam kempen tersebut adalah palsu," tambah kenyataan berkenaan.

Jelas kenyataan tersebut, dalam tahun 2009 Apco diminta untuk membantu kerajaan Malaysia selain berkongsi pengalaman mengenai pembangunan komunikasi strategik di Eropah, Amerika Utara dan Afrika.

''Tugas-tugas yang dilaksanakan Apco termasuklah memberikan khidmat sokongan komunikasi dalam pelbagai inisiatif yang diambil oleh kerajaan Malaysia termasuklah mewujudkan pekerjaan, mempromosikan pendidikan dan memantapkan penyampaian pelbagai bentuk khidmat kepada rakyat.

''Apco rasa bangga dengan peluang yang diberikan oleh kerajaan Malaysia dalam membantu melaksanakan tugas penting ini," tambahnya.

Kata kenyataan yang sama, 1Malaysia dilahirkan oleh Perdana Menteri sebelum menggunakan khidmat Apco.

''Apco tidak memainkan sebarang peranan dalam mewujudkan konsep 1Malaysia, konsep berkenaan digubal dan diumumkan sebelum khidmat Apco diambil," jelasnya.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi dari laman web Apco, khidmat syarikat berkenaan di Tel Aviv, Israel ialah membantu syarikat-syarikat Israel dalam menstrukturkan pelaburan, menjalankan tanggungjawab korporat dan pemantauan media melalui penyelidikan serta khidmat analisis.

Tidak ada maklumat yang menyatakan mengenai One Israel.

''Apco menjalankan peranan mewujudkan jaringan di antara masyarakat Yahudi di seluruh dunia. Kami menawarkan khidmat memberikan kefahaman mengenai perhubungan awam masyarakat Yahudi, membantu pelanggan berhubung dengan rakan yang sesuai dan menyatakan mesej mereka secara kreatif dan efisien," jelas kenyataan tersebut.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini dilaporkan berkata, beliau tidak hairan dengan langkah pembangkang yang terus memainkan isu Apco dalam kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor yang bakal diadakan.

"Apco adalah sebuah syarikat bertaraf antarabangsa yang dilantik oleh kerajaan bagi membolehkan Malaysia lebih dikenali dunia. Syarikat itu bukan syarikat zionis atau Israel. Untuk melakukan tugas memperkenalkan Malaysia, ia bukanlah satu tugas yang mudah, oleh itu kita memerlukan syarikat yang profesional melakukannya.

"Kita hendak memberikan gambaran yang betul kepada dunia, apa itu Malaysia sebenarnya. Pembangkang sengaja memutar-belitkan fakta jadi mereka sebarkan dakyah kononnya 1Malaysia sama dengan One Israel dengan mengaitkan Apco," katanya.

Sebagai sebuah organisasi berteraskan komunikasi dan perhubungan awam Apco semestinya mengutamakan profesional tanpa dipengaruhi sebarang ideologi.

Tidak dinafikan terdapat penasihat yang mempunyai kaitan dengan Israel dalam Apco. Bagaimanapun, ia tidak bermaksud Apco merupakan satu organisasi yang berorientasikan Israel.

Sebahagian besar daripada penasihat Apco ialah profesional AS yang berjaya dalam pelbagai pengkhususan. Namun masih belum pasti sama ada mereka penyokong kuat rejim Zionis atau sebaliknya.

Ini kerana di kalangan masyarakat AS sendiri ada yang menyokong kebebasan warga Palestin melalui gerakan Americans United for Palestinian Human Rights.

Justeru, tindakan melabelkan Apco sebagai syarikat berkaitan Israel hanya kerana tiga penasihatnya berkenaan tidak lebih dari bertujuan menghasut rakyat.

Reference:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0422&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

Tuesday, April 20, 2010

Wabak Hedonenistic Cultures - Meruntuhkan Umat

Budaya hedonisme binasakan masa depan - 20/04/2010
Iman menjadi benteng kepada anasir yang meruntuhkan akhlak.

Oleh
ZUARIDA MOHYIN

MUDA hanya sekali... Itulah yang selalu dipegang oleh segelintir daripada kita, waima lelaki, perempuan, tua mahupun muda.

Lantas yang berfikiran pendek, mereka sanggup mencuba apa sahaja, waima membelakangkan syariatullah dan sunnatullah. Yang pasti, matlamat mesti dikota.

Pun begitu, masih ramai juga yang tidak melupakan kehidupan kekal selepas kematian. Lalu berusaha memperoleh kedua-duanya sekali.

Maka, mereka inilah orang-orang yang beruntung di dunia dan di akhirat. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta nasihat-menasihati dengan kesabaran. (al-'Asr: 1-3)

Ayat ini secara tidak langsung menjelaskan bahawa menghargai zaman muda bererti menghargai masa. Di samping itu, pesanan Allah SWT tentang keberuntungan bagi mereka yang menjaga masanya dan memanfaatkan masa hidupnya dengan perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan.

Lantaran itu, tidak hairanlah kalau kita terbaca atau diberitahu tentang kisah Imam Syafie yang telah menghafal al-Quran pada usia sembilan tahun. Setahun kemudian pula berjaya menghafal isi kitab Al Muwatha' karangan Imam Malik yang berisi 1,720 hadis dengan sempurna.

Malah bukan itu sahaja, kehebatan generasi muda Islam terdahulu juga terbukti menerusi pencapaian Usamah bin Zaid menjadi panglima perang seawal usia 18 tahun.

Muhammad bin Qasim pula memperoleh kedudukan serupa pada usia beliau 17 tahun. Sementara Tharafah bin Al Abdu Syahid pada usia 26 tahun.

Persoalan besar timbul ialah ke manakah hilangnya wawasan belia hari ini? Kes-kes salah laku jenayah sivil, jenayah syariah, masalah disiplin dan adab sering dikaitkan dengan belia. Hal ini tentunya mengundang rasa bimbang dan gusar di kalangan ibu bapa, masyarakat serta pemimpin negara.

Justeru Rasulullah SAW berpesan kepada semua golongan belia agar dapat memanfaatkan umur dan masa muda dengan sebaik-baiknya. Diriwayatkan oleh imam at-Tirmidzi yang bermaksud: Rasulullah SAW bersabda kepada seorang lelaki yang dinasihati baginda. "Rebutlah lima perkara sebelum lima perkara. Mudamu sebelum tua, sihatmu sebelum sakit, kayamu sebelum miskin, senangmu sebelum susah dan hidupmu sebelum mati."

Berdasarkan hadis ini, belia yang cemerlang adalah yang memanfaatkan masa dengan betul seperti berusaha menuntut ilmu, berbuat kebaikan dan paling penting memantapkan diri dengan iman dan takwa.

Dengan iman dan takwa, jati diri belia dapat dipertingkatkan dan menjadi mantap. Sekali gus, tidak mudah goyah oleh anasir-anasir dan gejala-gejala yang merosakkan jiwa, minda, akidah dan akhlak seperti penyalahgunaan dadah, minum arak, zina, merempit, ajaran sesat, bersekedudukkan dan sebagainya.

Menurut Jabatan Perangkaan, jumlah golongan belia di negara ini pada tahun 2008 mencecah seramai 16 juta orang.

Belia adalah harta yang amat berharga serta tonggak dan kekuatan masa depan negara. Mereka juga adalah pewaris kepimpinan negara dan kesinambungan umat di masa hadapan.

Justeru, adalah perlu golongan belia ini diasuh, dididik dan dibimbing ke jalan yang benar dan diredai Allah SWT sehingga mampu menjadi generasi yang boleh diharap dan dibanggakan iaitu belia yang beriman, berilmu, beramal dan berakhlak mulia.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohammad Nidzam Abdul Kadir menegaskan, fenomena runtuh akhlak ini seandainya tidak dibendung secara berhikmah, sudah pastinya menjadi barah dan seterusnya memusnahkan bangsa dan agama.

Katanya, perkara paling asas ialah membetulkan kefahaman akidah dan memantapkannya.

Abdullah ibnu Umar diriwayatkan berkata, bahawa generasi mereka diberikan iman sebelum menerima al-Quran. Namun hari ini, generasi kita sarat dengan maklumat dan ilmu, namun jiwanya hampir kosong daripada iman. Al-Quran adalah kitab hidayah kepada golongan beriman dan bertakwa.

"Dalam wasiat Nabi SAW kepada Muaz ketika diutus ke Yaman, pesanan nabi ialah agar seruan kepada iman dan kemantapan akidah. Apabila sudah mantap, barulah diberitahu tentang kewajipan solat. Ini satu pedoman Nabi SAW dalam berdakwah dan mendidik.

"Terdapat pemikiran segelintir Muslim yang tidak cuba menghalang gejala negatif ini, sebaliknya mencadangkan alternatif kononnya lebih selamat. Pemikiran ini seolah-olah menghalalkan zina dan seks bebas dengan syarat mesti selamat. Ini suatu pemikiran yang jauh daripada Islam," ujar beliau kepada Mega, baru-baru ini.

Tambah Mohammad Nidzam, meskipun telah banyak penjelasan diberi berkaitan peranan dan harapan yang diletakkan kepada golongan muda, remaja masih tidak sedar kepentingan menghargai usia emas mereka.

"Mereka sibuk berseronok-seronok, muda hanya sekali dan sebagainya. Bila mereka sedar? Mungkin ketika terkandas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mungkin ketika usia sudah hampir 30 tahun dan sebagainya. Maknanya peluangnya untuk membaiki dan meningkat kualiti diri sudah kurang atau terhad," tegas beliau.

Menurut Mohammad Nidzam, jika pemikiran remaja hari ini rosak, maka anak mereka akan lebih teruk. Jika remaja hari ini melihat menutup aurat bukan kewajipan, generasi anak mereka tidak akan malu lagi untuk memakai bikini.

"Oleh itu, remaja perlu bijak menghargai dan memanfaatkan usia remaja. Islam tidak melarang kita untuk berseronok tetapi hendaklah ada tahapnya. Ikut syarak," katanya yang teringat satu syair Arab, "Jika kekal akhlak mulia, maka kekallah bangsa atau negara tersebut. Jika akhlak rosak, maka hancurlah negara".

Hakikatnya, jelas Mohammad Nidzam, Islam menghargai semua lapisan umur. Ada hadis menyatakan agar pemuda menghormati insan yang lebih tua.

Dengan berbuat demikian, apabila dia tua nanti akan ada para pemuda yang menghormatinya pula. Itulah putaran hidup.

Katanya lagi, Nabi SAW menggunakan kekuatan dan semangat para pemuda dalam usaha dakwah. Ali ibnu Abi Talib adalah pemuda yang sanggup mengorbankan nyawa demi Islam.

Begitu juga, Musa'b ibnu U'mair, A'mmar ibnu Yasir, Bilal ibnu Rabah dan banyak lagi watak di zaman Nabi SAW adalah pemuda. Mereka dididik dalam madrasah nabawi.

"Para pemuda pada zaman nabi ada yang tergelincir. Namun ia diperbetulkan dengan baik dan berhikmah. Ada pemuda yang ingin berzina dan meminta izin Nabi untuk berzina. Kalau kita hari ini, mungkin kita akan mengumpat dan mengata macam-macam. Namun Nabi SAW dengan sabar mendidik agar ia benci kepada zina.

"Sebab itulah saya melihat usaha menyeluruh bagi menangani masalah ini adalah perlu. Antaranya, memantapkan lagi undang-undang Islam termasuk hukum hudud. Allah menjanjikan pencegahan jika ia dilaksanakan.

"Di samping itu, segala tindakan umat Islam semestinya dipandu dengan syariat Islam. Islam bukan sekadar untuk dibacakan doa sahaja, tetapi Islam mestilah diangkat, dimartabatkan dan didaulatkan," tegasnya.

Pun begitu, pada dasarnya Islam mengharuskan hiburan kerana ia menjadi sebahagian daripada fitrah kehidupan manusia.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud: "Sesungguhnya Abu Bakar masuk kepadaku, sedang di sampingku ada dua gadis hamba daripada orang Ansar sedang menyanyi dengan nyanyian yang dinyanyikan oleh orang Ansar pada hari peperangan Bu'ath. Aku berkata, kedua-dua orang ini bukanlah penyanyi. Abu Bakar berkata, adakah di rumah nabi ini terdapat serunai syaitan? Sedangkan pada hari ini adalah hari raya Aidilfitri. Rasulullah bersabda: Wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kamu ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita". (riwayat Ibnu Majah)

Namun, kecenderungan yang berlebihan kepada kesenangan dan hiburan menjadikan manusia alpa dan lalai dengan tipu daya dunia.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pembangunan Remaja & Belau, Kelab Remaja Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Mohd. Hafiz Abd. Hamid mengakui, dunia Islam menghadapi pelbagai cabaran yang boleh menghancurkan nilai-nilai rohaniah.

Apatah lagi, tanpa benteng akidah yang konkrit dan akhlak sebagai pendinding, nescaya umat Islam tidak mampu menghadapi serangan musuh dari pelbagai sudut.

"Dalam membincangkan kerangka hedonisme, sudah pastilah unsur keseronokan dan kegembiraan merupakan intisari penting dalam aliran tersebut.

"Manusia dikatakan hidup bahagia apabila mereka mencapai klimaks keseronokan dan kegembiraan di tahap yang paling tinggi dan cuba mengelakkan elemen-elemen yang mendatangkan kesedihan dan kesukaran," katanya.

Menurut Mohd. Hafiz, yang sebenarnya, budaya hedonisme jauh menyimpang dengan ajaran agama Islam yang kaya dengan nilai-nilai luhur yang terpuji.

Apa yang jelas budaya tersebut bertentangan dengan akidah Islam kerana ia bertuhankan nafsu.

"Ali Syariati, seorang ulama terkemuka Timur Tengah pernah berkata, tentangan terbesar bagi remaja Muslim masa ini adalah budaya hedonisme (kesenangan adalah hal yang paling penting dalam hidup) yang seolah sudah mengurat nadi," jelasnya.

Oleh itu, tegas Mohd. Hafiz, petunjuk dan garis panduan yang ditetapkan oleh Islam perlu dijadikan pedoman dan sempadan untuk dipatuhi oleh manusia.

Sesungguhnya iblis dan syaitan sentiasa mencari jalan untuk menyesatkan manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan; dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir. (al-An'am: 32)

Atas kesedaran itulah, Kelab Remaja JIM dengan kerjasama Masjid As-Syakirin KLCC menganjurkan program Offline with Hedonism di dewan masjid tersebut, baru-baru ini.

Alhamdulillah, program yang terbuka kepada remaja antara usia 13 hingga 17 tahun itu mendapat sambutan kira-kira 70 peserta.

"Para peserta kebanyakannya ditemani ahli keluarga berada di perkarangan masjid seawal 8 pagi. Mereka disajikan sarapan pagi sebelum memulakan program.

"Dalam segmen Say No To Hedonism, kami cuba menjelaskan dan memahamkan para peserta tentang maksud sebenar budaya hedonisme dengan cara bersahaja dan diselang seli dengan komunikasi dua hala," katanya.

Program sehari itu turut dimuatkan dengan pelbagai segmen agar tidak membosankan peserta.

Reference:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm

Demi Menjaga Adab, Rampasan Kuasa tidak dilakukan di Dewan Undangan Negeri Perak

Adab penentu jatuh bangun negara

Berkata Hudhary Bek :

"Sesungguhnya umat itu akan kekal jika akhlak mereka masih terpelihara. Dan ketika mana akhlak mereka runtuh, luputlah sesebuah peradaban umat tersebut".

Oleh
Siti Mariam Md. Zain

KUALA KANGSAR 19 April - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, adab bukan sahaja berperanan besar dalam membentuk sebuah masyarakat, malah melahirkan sebuah negara bangsa yang stabil lagi makmur.

Titah baginda, kuasa dan sumber yang diuruskan oleh individu yang tidak memahami idea induk atau adab luhur, akan menyebabkan berlakunya penyalahgunaan kuasa dan pembaziran sumber selain suasana kekeliruan intelek serta moral.

Tegas baginda, jika berlaku masalah salah urus sumber, ia akan mengakibatkan kemiskinan berpanjangan dan kemusnahan institusi-institusi penting.

"Justeru, adab adalah penentu terhadap jatuh bangunnya pemimpin, bangsa dan negara.

"Adab memperingati bahawa taraf kemuliaan seseorang itu bukan ditentukan oleh faktor-faktor kuasa, kekayaan mahupun keturunan tetapi ditentukan oleh kriteria-kriteria yang terkandung di dalam al-Quran dari segi pengetahuan, kecerdasan otak dan sifat murni," titah Raja Nazrin.

Raja Nazrin bertitah demikian pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-82 Sultan Perak di sini hari ini.

Baginda menarik perhatian, usaha raja-raja Melayu memperkenalkan sistem pemerintahan dengan berlandaskan adab dan tertib telah berjaya membina satu budaya yang halus dan ketamadunan tinggi.

"Istiadat yang berlangsung pada pagi ini adalah satu cerminan kehalusan budaya dan satu bayangan ketinggian tamadun yang telah lama terbina.

"Amatlah penting bagi seseorang insan memahami kedudukan masing-masing menurut urutan adab. Bahawa adab itu adalah ketertiban budi atau intellectual discipline," titah baginda.

Adab, titah baginda merangkumi elemen-elemen kemanusiaan, kebajikan, kasih sayang serta sifat menghormati ibu bapa, orang tua, kanak-kanak, jiran tetangga dan menghormati pemimpin.

Baginda menjelaskan malangnya elemen-elemen kurang beradab hingga mencetuskan berlakunya kelakuan tidak beradat semakin hari semakin jelas kelihatan.

"Ia bukan lagi dicerminkan melalui perangai dan tingkah laku anak-anak yang belum mencapai usia baligh, tetapi lebih memalukan ia turut dilakukan oleh insan-insan dewasa berjawatan besar - berjawatan penting, berkelulusan tinggi - berkelayakan profesional.

"Ia bukan berlaku di tepi-tepi jalan atau di pasar-pasar, tetapi turut berlaku di tempat-tempat yang sepatutnya mencerminkan setinggi tertib dan sehalus budi," tegas baginda.

Baginda turut melontarkan persoalan tentang rupa bentuk negara bangsa yang akan terbina nanti sekiranya elemen adab dan adat sudah tidak lagi dititikberatkan di kalangan warganya.

"Adakah lengkap ukuran sebuah negara maju - sebuah negara kaya, jika warganya mundur dengan adab dan miskin adat," titah baginda.

Justeru baginda berharap, penting bagi negara, masyarakat serta individu untuk memberikan perhatian utama pada elemen adab dan adat dalam program membangunkan modal insan supaya insan yang dibangunkan kelak seimbang dengan kemajuan dicapai negara.

Terdahulu, dalam titahnya, baginda bertekad mempertahankan kedaulatan Sultan Perak daripada sebarang usaha atau tindakan berunsur menghina serta meruntuhkan sistem berkerajaan sedia ada.

Pada masa sama, Raja Nazrin yang turut mewakili kerabat lain mengulangi ikrar taat setia dalam membantu Sultan Perak memenuhi amanah serta tanggungjawab sebagai raja pemerintah di negeri ini.

"Di samping setiap seorang bertekad dan sekaliannya berazam untuk seia sekata mempertahankan kedaulatan raja pemerintah dari sebarang usaha dan tindakan berunsur menghina apatah lagi bertujuan meruntuhkan sistem berkerajaan dan bernegara yang telah lama bertunjang dan berakar di bumi Melayu ini," titah baginda.

Titah Raja Nazrin, kedudukan raja-raja Melayu telah terpahat di tinta sejarah sebagai raja yang berdaulat dan kerajaan berpaksikan raja itu telah membina tamadun negara bangsa selain melaksanakan sistem pemerintahan yang membawa kemakmuran.

Kemakmuran itu, titah baginda, bukan sahaja dinikmati rakyat pribumi tetapi juga mereka yang memilih untuk berhijrah ke bumi ini dan tertakluk di bawah naungan serta adat resam sedia ada.

Reference:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_07.htm

Tujuh Wasiat Bangsa Melayu Jangan dicabar - UMNO atau PKR mencabarNya?

Jangan cabar tujuh wasiat

Sultan Azlan Shah bersama Raja Permaisuri Perak,Tuanku Bainun berangkat ke Balairong Seri di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar semalam. Turut kelihatan,Raja Muda Perak,Raja Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak,Tuanku Zara Salim.

Segala puji diangkat ke hadrat Allah SWT. Hamba-Mu ini menzahirkan kalimah kesyukuran atas limpah rahmat dari-Mu Ya Allah yang telah membolehkan hamba-Mu sekali lagi menyambut hari ulang tahun keputeraan dalam keafiatan dan terus bersemayam di takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dalam suasana negeri yang aman lagi sejahtera serta terlindung daripada malapetaka dan bencana. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad SAW, para keluarga dan para sahabat baginda, seterusnya ke atas para tabiin dan para ulama.

Penzahiran kesetiaan oleh Paduka Anakanda Raja Muda, demikian juga ikrar taat setia yang dilafazkan oleh Mamanda Menteri Besar membuktikan terjalinnya kerukunan hubungan di antara takhta dengan para pembesar negeri dan rakyat jelata. Pengucapan tersebut beta tafsirkan sebagai lafaz kesetiaan terhadap institusi Raja Pemerintah kepada sebuah kerajaan.

Seseorang Sultan adalah batang tubuh yang diamanahkan oleh Ilahi untuk memenuhi tanggungjawab tertentu. Yang penting dipertahankan adalah institusi pemerintahan di bumi ini yang telah diwarisi sejak zaman berzaman, institusi pemerintahan yang mempunyai akar sejarah lalu menentukan rupa bentuk dan memberikan wajah kepada budaya berkerajaan dan bernegara, berpaksikan prinsip rakyat beraja – negeri bersultan.

Seseorang Raja Pemerintah itu di samping memenuhi peranan tersurat sebagai payung naungan dan lambang perpaduan kepada warga pelbagai kaum, turut mempunyai peranan secara tersirat yang perlu dilaksanakan dengan sabar lagi tabah, penuh berhikmah lagi bijaksana. Apabila negeri dilanda krisis, kearifan Raja Pemerintah sebagai penimbang tara sangat kritikal. Baginda perlu mengimbangkan secara saksama keperluan pelbagai kumpulan warga. Ia menjadi lebih rumit dalam sebuah negeri yang warganya terdiri daripada pelbagai agama, keturunan dan budaya dengan tahap pencapaian sosial dan ekonomi yang masih mempunyai jurang yang ketara.

Raja Pemerintah di bumi ini wajib melihat perspektif yang luas, menghargai salah silah sejarah negara bangsa dan bertanggungjawab tidak menderhakai Tujuh Wasiat yang telah diamanahkan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia sembilan Raja Melayu ketika memberi perkenan menurunkan tanda tangan kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957.

Tujuh Wasiat Raja- Raja Melayu itu berbunyi :

Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami tujuh perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya, selama itulah kamu akan aman dan damai dan selamat sejahtera :

PERTAMA : Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).

KEDUA : Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kami, selain gunung- ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah lima puluh peratus, selebihnya rebutlah bersama kaum- kaum lain.

KETIGA : Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu, selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.

KEEMPAT : Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini.

KELIMA : Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.

KEENAM : Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu.

KETUJUH : Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum- kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak)

Wasiat tersebut diamanatkan menjelang kemerdekaan kepada rakyat-rakyat Melayu yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu. Wasiat ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, mengekalkan kedaulatan dan kuasa serta kesinambungan kedaulatan negara yang terletak kepada Raja- Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat melalui wakil-wakil sah yang mempunyai locus standi. Dengan itu, Perlembagaan Persekutuan yang digubal telah memaktubkan fasal-fasal tertentu yang memerlukan izin Majlis Raja-Raja sebelum sebarang pindaan Perlembagaan dibenarkan berkuat kuasa.

Formula tersebut yang selama hari ini menjadi gagasan menjamin kestabilan negara, jangan sama sekali mahu dirombak atau cuba dicabar secara keterlaluan. Perbuatan sedemikian dikhuatiri akan menjemput kepada risiko besar yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum dan antara agama.

Kegiatan dan usaha untuk mendapat pengaruh politik perlu ada etika dan batasan. Usaha mendapatkan sokongan politik jangan sampai ke peringkat melanggar sempadan dan cuba merombak apa yang telah sekian lama dipersetujui.

Toleransi sesuatu kaum begitu juga kesabaran penganut sesuatu agama ada batasannya. Perkembangan-perkembangan semasa yang sedang berlaku telah menaikkan suhu politik dan sudah mula menimbulkan keresahan pelbagai pihak. Sedarilah bahawa usaha membina sesuatu kejayaan memakan masa yang panjang, sementara melalui tindak tanduk yang kurang bijak, keruntuhan boleh berlaku dalam sekelip mata .

Dewan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri adalah institusi perundangan negara. Dewan-dewan tersebut dirujuk sebagai dewan yang mulia atau The August House. Ahli kepada dewan-dewan tersebut dirujuk sebagai Yang Berhormat atau The Honourable Member of The August House. Amatlah memalukan jika prosiding dewan-dewan berkenaan berlangsung dalam suasana memekik dan menjerit dengan mengeluarkan kata-kata yang kasar lagi kesat. Adalah satu penghinaan kepada dewan-dewan tersebut jika ahli-ahlinya membawa placard mengandungi kata-kata yang merendah dan menghina antara satu sama lain. Untuk itu, perilaku ahli kepada dewan-dewan tersebut hendaklah menghormati kemuliaan dewan-dewan berkenaan dan mencerminkan sifat seorang yang telah diberi pengiktirafan dengan panggilan Yang Berhormat.

Perbuatan memperkecilkan hingga ke peringkat menghina institusi-institusi perundangan dan badan-badan penguatkuasaan undang-undang, adalah satu perkembangan yang amat tidak sihat. Undang-undang dan institusi perundangan kelihatan hanya diterima dan dihormati apabila keputusan berpihak kepada sesuatu kumpulan.

Di sebaliknya, undang-undang dan institusi perundangan dicerca dan dihina apabila keputusan tidak memihak kepada sesuatu kumpulan. Perasaan kekitaan secara ekstrem telah melahirkan insan-insan yang terlalu taksub kepada kumpulan, lalu bertindak berdasarkan emosi sehingga hilang pemikiran rasional.

Lebih membahayakan, kegiatan menghina negara sendiri dilakukan tanpa segan silu di forum-forum antarabangsa bagai membuka laluan, menjemput campur tangan pihak luar dalam urusan negara sendiri. Warga yang mempunyai jati diri dan kesetiaan kepada negara bangsanya, hendaklah mempunyai kekuatan pendirian untuk mempertahankan maruah negara bangsanya tanpa sama sekali membenarkan campur tangan pihak luar.

Beta menyeru agar warga menggunakan sebaik-baik kebijaksanaan akal kurniaan Ilahi demi kepentingan masa hadapan negara-bangsa. Tindak-tanduk yang terlalu dipengaruhi emosi berpandukan nafsu, pada akhirnya akan membawa kerugian besar. Masih banyak agenda untuk membela nasib warga yang perlu dilaksanakan. Warga tidak harus dijadikan mangsa persengketaan politik yang bagaikan tidak ada penghujungnya. Segala sumber tenaga, fikiran dan material perlu ditumpukan kepada kerja-kerja yang lebih produktif kepada negara.

Beta hargai sokongan dan persepakatan yang Beta peroleh daripada Paduka Anakanda Raja Muda, Paduka Adinda Raja Di Hilir, kesemua Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Diraja, Orang Besar dan ahli Dewan Negara membantu Beta memenuhi peranan seorang Sultan. Beta menzahirkan penghargaan kepada Mamanda Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, anggota kehakiman dan perundangan, anggota perkhidmatan awam, para ulama dan imam-imam, Angkatan Tentera, Polis Diraja Malaysia, badan-badan beruniform, para penghulu dan Jawatankuasa Kemajuan Kampung yang telah melaksanakan tanggungjawab serta saling bekerjasama untuk memastikan negeri sentiasa berada dalam keadaan aman lagi stabil serta warga berada dalam suasana selamat lagi sejahtera.

Beta amat mengalu-alukan peranan pihak swasta, badan-badan sukarela, badan-badan kebajikan, badan-badan sukan serta warga keseluruhannya yang telah membantu memperlengkapkan usaha-usaha pembangunan yang dirintis oleh Kerajaan Beta .

Kepada Allah SWT, Beta memohon petunjuk dan panduan. Semoga Allah Subhanahu Wata‘ala sentiasa melimpahkan nikmat dan rahmat, perlindungan dan keselamatan kepada Raja, negeri dan warga. Amin, Ya Rabul Alamin.

Reference:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

Saturday, April 17, 2010

Apco-Worldwide dan Peranannya di Malaysia

APCO dan 1Malaysia

Oleh
Anwar Ibrahim - Ucapan DSAI di Parlimen ketika ucapan menjunjung kasih titah DYMM Sultan Mizan Zainal Abidin di sesi pembukaan Dewan rakyat tahun ini.

MUKADIMAH

Terima kasih kepada Tan Sri Speaker kerana memberi ruang kepada saya untuk memberi penjelasan mengenai peranan dan skop penglibatan firma perhubungan awam bernama APCO. Isu ini wajar diberi perhatian khusus kerana ianya bukan sekadar isu 1Malaysia atau 1Israel atau tohmahan yang dilemparkan kepada saya sebagai seorang agen Yahudi.

Namun demikian, isu-isu terbabit ditenggelami jika hendak dibandingkan dengan skandal dahsyat yang bakal didedahkan hari ini; yang tidak bersangkutan dengan kedudukan mahupun reputasi saya atau pun reputasi rakan-rakan saya. Sesungguhnya keselamatan negara kita dalam bahaya. Isu ini membongkar politik kronisme yang membarah serta rundingan sulit pihak tertentu sehingga membelakangkan kepentingan rakyat dan negara. Tidak dapat dinafikan lagi kini wujud ancaman terhadap keselamatan nasional, maklumat strategik negara terdedah kepada agensi perisikan asing dan tercalarnya maruah umat.

Bagi mengelak sebarang keraguan penjelasan saya hari ini bukan sekadar muslihat politik atau tuduhan tidak berasas, Insya Allah, setiap kenyataan saya hari ini akan disokong dengan dokumen, rencana malah salinan perjanjian yang ditandatangani oleh pihak-pihak terbabit.


Sehingga kini Perdana Menteri (gambar kiri) belumpun memberi sebarang maklum balas terhadap gesaan saya agar segera mendedahkan serta memperincikan bentuk hubungan di antara kerajaan dan APCO, apa skop tugasannya, jumlah peruntukannya, setiap penasihat yang terbabit; peranan serta pengaruh mereka dalam kerajaan.

Selama ini kita hanya dimaklumkan bahawa penglibatan APCO adalah terhad, tetapi kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan kebelakangan ini menunjukkan penglibatan yang lebih menyeluruh dan membimbangkan.

Ini berdasarkan kepada jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sendiri yang menyatakan:

"Kerajaan ada melantik Syarikat APCO Worldwide Sdn Bhd untuk melaksanakan perkhidmatan berkaitan komunikasi kepada Kerajaan Persekutuan secara menyeluruh…APCO Worldwide juga disarankan menjayakan program untuk mempromosi dan meningkatkan imej Malaysia di luar negara."

Manakala bagi pihak APCO sendiri, mereka merumuskan penglibatan mereka seperti berikut:

"APCO's work has included communication support for a broad range of reform initiatives undertaken by the government of Malaysia, especially in the areas of creating jobs, promoting education, and strengthening delivery of services to the people."

Kenyataan tersebut sebenarnya membuka pekung serta memunculkan lebih banyak persoalan. Ini bukan syarikat perhubungan awam biasa yang sekadar menulis ucapan mahupun kenyataan akhbar ataupun bertindak melonjakkan imej Perdana Menteri walau itupun amat dikesalkan kerana ianya dilakukan menggunakan dana rakyat. Dilaporkan usaha ini menelan belanja sekitar RM 20 juta. Secara sedar atau tidak kenyataan APCO mengakui bahawa lantikannya adalah untuk membantu strategi komunikasi yang menyeluruh, bermakna firma tersebut terlibat secara langsung memberi bantuan komunikasi di dalam pelbagai inisiatif dan dasar kerajaan. Ini bermakna, APCO terlibat secara langsung dalam mempengaruhi mesej yang disampaikan kepada rakyat dan saya akan terangkan dengan mendalam kenapa perkara ini sangat membahayakan kepada rakyat dan negara.

Pada 18 Mac 2010, APCO mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan mereka dengan gagasan 1Malaysia, kononnya konsep itu wujud sebelum APCO dilantik sebagai firma perunding.

Penafian yang dibuat oleh APCO itu merupakan usaha mereka untuk mengelirukan kita akan tarikh sebenar firma tersebut terbabit dengan pentadbiran Perdana Menteri sekarang. Penafian tersebut menggambarkan bahawa ianya tidak mempunyai sebarang hubungan dengan pentadbiran Najib Razak, atau Najib sendiri, pembantunya atau para penasihatnya.

Sebuah portal berita telah melaporkan pada 28 Julai 2009 setakat mana penglibatan APCO dengan pentadbiran Perdana Menteri Najib.

Antara lain, dilaporkan bahawa perkhidmatan APCO ini diperkenalkan kepada Perdana Menteri oleh Omar Mustapha, penasihat Perdana Menteri yang juga teman lama YB Rembau dan rakan kongsi firma perunding Ethos Consultancy. Saya akan buktikan selepas ini bagaimana perkaitan di antara Omar Mustapha dan APCO sebelum pun APCO dilantik secara rasmi sebagai perunding kerajaan.

Walaupun yang diumumkan kepada negara dan rakyat bahawa 1Malaysia dicetuskan sendiri oleh Perdana Menteri peranan Ethos Consultancy tidak boleh diremehkan. Ternyata kebanyakan dari kita tidak menyedari hubungan akrab eksekutif Ethos dan APCO yang masih berterusan.

Sebab itu kita tidak hairan, sebaik sahaja Najib menjadi Perdana Menteri, Omar Mustapha dikhabarkan membawa masuk APCO menjadi perunding komunikasi kerajaan.

Malah, laporan berita tersebut dengan jelas menyatakan bahawa seorang penasihat dari APCO telah pun ditempatkan di pejabat Perdana Menteri sejak dari awal Perdana Menteri mengambil alih.

APCO juga dilaporkan terlibat secara langsung dalam menentukan strategi 100 hari pentadbirannya, termasuklah mesej dan dasar utama seperti 1Malaysia dan inisiatif yang lain.

Berdasarkan laporan tersebut juga pegawai-pegawai kanan kerajaan dikatakan tidak selesa apabila Perdana Menteri ingin menganugerahkan kontrak bernilai RM20 juta kepada APCO untuk meneruskan kerja-kerja rundingan kepada kerajaan. Kontrak itu dijangka dianugerahkan antara bulan Julai dan September 2009; iaitu selepas penglibatan individu dari APCO yang dibawa masuk pada tempoh awal Perdana Menteri mengambil alih.

Semua ini bukan saya yang kata, bukan Pakatan Rakyat yang cipta - semuanya telah pun dilaporkan sejak tahun lalu dan ianya belum pun dinafikan pihak yang dikatakan terlibat.

Sebab itu mengambil kira beberapa peristiwa atau contoh yang berlaku apabila kerajaan ditipu oleh penasihat-penasihat asing sehingga menyebabkan kerugian berbillion ringgit; atau diaibkan di peringkat antarabangsa; saya melihat episod perlantikan APCO ini sebagai satu lagi kelalaian yang boleh merugikan dan membahayakan negara.

Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mengingatkan Perdana Menteri dan kerajaan untuk tidak mengulangi kesilapan dan kelalaian lepas apabila terlalu percayakan penasihat asing sehingga kita tidak memeriksa dengan tepat reputasi mereka serta penglibatan mereka sebelum ini. Apatah lagi perlantikan tersebut diselubungi misteri dan tanpa penelitian.

Dulu, mantan Perdana Menteri mengizinkan kerajaan melantik David Zaidner dari firma Marc Rich untuk menasihati agensi kerajaan dan Bank Bumiputra cuba memanipulasi pasaran timah sedunia sehingga kita kerugian besar. Tidak sewajarnya kita lupa skandal Maminco itu. Mantan Perdana Menteri ketika itu seolah-olah tidak meneliti dahulu rekod David Zaidner, yang diketahui umum tidak suka mengikut peraturan dan undang-undang di dalam amalannya.

Kemudian, episod yang membabitkan Jack Abramoff hanya untuk mendapatkan satu temujanji dengan Presiden Bush dalam tahun 2002 dengan membayar USD$1.2 juta tanpa memeriksa dahulu latar belakang Jack Abramoff. Dalam tahun 2006, kerajaan Malaysia dimalukan apabila Jack Abramoff didapati bersalah menipu dalam satu transaksi kewangan sehingga dipenjarakan dan pada masa itulah semua penglibatan kerajaan Malaysia didedahkan. Abramoff juga merupakan seorang pelobi yang terlibat dalam penipuan tanah kaum peribumi Amerika Syarikat (Red Indian) untuk tujuan pembinaan kasino. Perlantikan Abramoff juga dibuat dengan penuh kerahsiaan dan pasti tidak diketahui umum sekiranya Abramoff tidak diheret ke muka pengadilan di Amerika Syarikat.

Walau bagaimanapun, mantan Perdana Menteri tersebut hanya memberikan tugasan yang spesifik kepada firma Marc Rich dan Jack Abramoff dan tidak melibatkan perjalanan jentera kerajaan yang menyeluruh.

Dalam konteks inilah, kita melahirkan kebimbangan kerana kenyataan kerajaan sendiri menjelaskan bahawa mereka memainkan peranan penting membentuk strategi komunikasi kerajaan dalam dasar-dasar penting terutamanya yang melibatkan rakyat. Kenyataan APCO menyatakan:

"will work to assist in strengthening the government's online and other strategic communication capabilities to speed the delivery of accurate information to the media and public."

Sekarang, kebimbangan kita bukan sahaja latar belakang APCO, tetapi bentuk penglibatan APCO dengan kerajaan Malaysia dan apakah maklumat yang telah dikongsi oleh kerajaan dengan APCO.

APCO DAN MODUS OPERANDI

Tetapi sebelum kita meneliti dengan lebih dalam kenapa penglibatan APCO secara rapat dengan kerajaan merupakan satu risiko yang wajar kita elakkan, kita perlu meneliti dahulu modus operandi firma-firma seperti APCO.

Hanya dengan memahami modus operandi yang digunakan oleh APCO, baru kita boleh memahami kenapa penglibatan APCO dengan kerajaan Malaysia diselubungi misteri dan rahsia.

APCO memanglah sebuah firma hubungan awam bertaraf antarabangsa. Reputasinya digilap kerana penglibatan tokoh-tokoh yang ada kaitan dengan pentadbiran Amerika Syarikat atau pun ahli-ahli politik di Capitol Hill.

Pada masa yang sama, APCO juga menggunakan khidmat mereka yang mempunyai pengaruh di dalam bidang atau kerajaan masing-masing. Kalau kita lihat senarai Panel Penasihat Antarabangsanya, ahli penasihat APCO termasuklah beberapa tokoh diplomatik dan tokoh perisikan Israel.

Oleh itu, adalah penting untuk Dewan dan rakyat memahami bahawa reputasi APCO adalah sebagai sebuah firma pelobi. Apa fungsi firma pelobi di Washington?

Fungsi APCO di Washington

Selalunya mereka akan mengaturkan perjumpaan atau seminar untuk membaiki imej sesebuah organisasi; terutamanya pemimpin-pemimpin yang mempunyai rekod hak asasi atau rasuah yang buruk di mata dunia.

Jadi, fungsi utama mereka adalah untuk membaiki imej pemimpin-pemimpin (atau badan-badan) yang mempunyai rekod yang tidak baik. Saya akan senaraikan selepas ini contoh-contoh pemimpin sebegini; yang secara tidak langsung kini Perdana Menteri Najib telah mendapat penghormatan kerana tergolong dengan pemimpin-pemimpin sebegini.

Untuk menjalankan tugas ini, mereka juga perlu menjaga nama dan reputasi mereka sebagai firma perhubungan awam. Sebab itu ada beberapa perkara penting di dalammodus operandi mereka yang perlu kita fahami.

Pertama - mana-mana pihak yang mengambil APCO sebagai perunding akan menandatangani perjanjian. Salah satu bahagian utama di dalam perjanjian ini adalah mengenai perkara-perkara rahsia; dengan izin "Confidentiality" atau "non-disclosure".

Reputasi APCO sebagai firma pelobi banyak bergantung kepada kemampuannya menangkis soalan-soalan mengenai peranan dan penglibatannya dengan badan yang melantiknya, terutamanya pemimpin-pemimpin yang berimej buruk ini.

Sebab itu, tidaklah sukar untuk Barisan Nasional ingin mengabui mata rakyat dengan meminta APCO mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan dalam 1Malaysia, atau peranan sebenar dengan kerajaan Malaysia. Biar saya ingatkan rakyat Malaysia tidak mudah untuk diputarbelitkan.

Mereka faham bahawa adalah menjadi sebahagian dari tugas APCO, seperti yang termaktub di dalam perjanjian lantikan bersabit perkara-perkara sulit dan rahsia; untuk melindungi klien mereka dan secara langsung menafikan penglibatan.

Saya ambil contoh dua perjanjian lantikan yang melibatkan APCO. Satu yang ditandatangani oleh kerajaan Malaysia dengan APCO bertarikh 4hb Ogos 2009 yang secara khusus memberi tugasan kepada APCO untuk membaikpulih imej kerajaan Malaysia. Ini mempunyai tandatangan Setiausaha Akhbar Perdana Menteri sendiri, iaitu Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad (gambar kiri) yang menunjukkan betapa dekatnya APCO dengan Perdana Menteri - sedangkan pada kebiasaannya perjanjian kerajaan hanyalah ditandatangani oleh pegawai-pegawai kerajaan sahaja.

Satu lagi contoh adalah perjanjian lantikan oleh Kerajaan Israel yang melantik APCO untuk menjalankan tugasan yang sama, bertarikh 9hb Januari 1992. Pada jangka waktu yang sama, Ehud Barak masih berkhidmat sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera Negara Israel.

Kedua-dua perjanjian ini dengan jelas menghuraikan peranan APCO sebagai pelobi; yang antara lain perlu menyimpan rahsia-rahsia kerajaan yang diberikan kepada APCO dalam menjalankan tugasan. APCO juga tidak boleh mendedahkan maklumat kecuali diberi keizinan oleh kerajaan Malaysia. APCO malahan terlibat dengan apa yang dipanggil sebagai komunikasi strategik yang menyeluruh.

Kita berhak menuntut kerajaan dan Perdana Menteri datang ke Dewan Rakyat dan berterus terang mengenai perjanjian yang telah ditandatangani dengan APCO- terutamanya semua soalan-soalan yang telah saya timbulkan minggu lalu mengenai tugasan, bayaran, penasihat-penasihat yang terbabit dan pengaruh mereka setakat ini.

Berbalik kepada modus operandi yang kita tekankan tadi. APCO dalam operasinya membentuk pertalian dengan kerajaan-kerajaan yang melantiknya menggunakan firma bersekutu (dengan izin "associates") di seluruh dunia. Selain Asero, firma bersekutu lainnya adalah Global Political Strategies.

Di Israel, salah satu firma bersekutu adalah Asero Worldwide yang diketuai oleh Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel dengan berpangkat Mejar Jeneral. Beliau juga adalah salah seorang penasihat antarabangsa kepada APCO.

Jadi kontrak-kontrak yang melantik APCO tidak semestinya di antara APCO dan kerajaan semata-mata. Kerajaan boleh sahaja melantik firma bersekutu APCO tetapi tenaga pakar dan jaringan penasihatnya serta jaringan sekutunya adalah dari APCO.

Kalau di Israel, lantikan dibuat melalui Asero Worldwide. Contohnya, kontrak lantikan bertarikh 9hb Januari 1992 itu adalah di antara kerajaan Israel dan sebuah firma bersekutu bernama GCI International. Tetapi apabila kita meneliti kandungan perjanjian tersebut termasuk tenaga utama yang akan menjalankan tugas-tugas melobi, salah seorang pengurus kanannya adalah Margery Kraus yang kini merupakan CEO APCO.

Oleh sebab itu, kita perlu berhati-hati dengan penafian oleh APCO bahawa ianya tidak terlibat. APCO sebagai sebuah firma mungkin tidak terlibat dengan idea gagasan 1Malaysia - Apa mungkin Perdana Menteri hadir ke Dewan Rakyat dan menyatakan secara tegas bahawa tidak ada mana-mana individu yang ada kaitan dengan APCO atau firma bersekutu dengan APCO atau penasihatnya yang terlibat dengan gagasan 1Malaysia? Kita pertikai gagasan penting bagi pentadbiran sekarang tidak tergolong dengan apa yang dikira sebahagian dari komunikasi yang menyeluruh.

Bolehkah Perdana Menteri menerangkan adakah sebelum Ethos atau Omar Mustapha; yang dikatakan bertanggungjawab membawa gagasan 1Malaysia bagi pertimbangan Perdana Menteri; Omar Mustapha atau mana-mana eksekutif Ethos tidak mempunyai apa-apa hubungan langsung dengan mana-mana individu yang ada kaitan dengan APCO? Perdana Menteri perlu menerangkan adakah kerajaan atau Ethos atau mana-mana firma yang dilantik kerajaan; pernah melantik Mind Teams Sdn Bhd iaitu nama syarikat sebelum APCO secara rasmi bertapak di Kuala Lumpur. Paul Stadlen yang kini mengetuai APCO di Kuala Lumpur merupakan individu sama yang menandatangani perjanjian bagi pihak Mind Teams Sdn Bhd dengan Kerajaan Malaysia. Antara pengarahnya juga adalah Margery Kraus; CEO APCO dan invidu penting yang terlibat dengan akaun di Israel.

Perdana Menteri juga perlu menerangkan kepada Dewan; kenapa Omar Mustapha penasihat yang dipercayai Perdana Menteri dilaporkan membawa APCO untuk menasihati kerajaan dalam dasar-dasar penting terutamanya 1Malaysia? Tidakkah ini menimbulkan persoalan mengenai perkaitan di antara Ethos, APCO dan 1Malaysia? Manakala itu Perdana Menteri beria-ia menonjolkan Omar Musthapa sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah Petronas walaupun ditolak pada mulanya oleh Lembaga Pengarah atas alasan gagal membayar biasiswanya.

Soalan-soalan ini perlu dijawab oleh Perdana Menteri, kerana kita tahu modus operandiAPCO yang diselubungi degan rahsia dan melibatkan banyak individu yang bernaung dengannya tetapi menggunakan firma-firma yang berlainan.

REKOD APCO

Kebimbangan kita mengenai penglibatan APCO dengan kerajaan Malaysia banyak bersabit dengan rekod APCO dengan pemimpin-pemimpin yang mempunyai rekod hak asasi manusia atau penyelewengan harta rakyat di seluruh dunia.

Ada dua aspek yang membimbangkan kita - pertama; APCO banyak memberi khidmat untuk memulihkan imej pemimpin-pemimpin sebegini yang menindas rakyat di negara masing-masing. Sehinggakan akhbar The Times of India menulis bagaimana APCO mempunyai diktator-diktator di dalam senarai pelanggannya. Rencana tersebut menyenaraikan antaranya:

"Adolf Hitler was a brilliant propagandist. Narendra Modi too believes in the power of image.

Which is probably why the chief minister hired a US lobbying firm which has serviced clients like former Nigerian dictator Sani Abacha and President-for-life of Kazakhstan Nursultan Abishuly Nazarbayev.

This Washington-based firm, Apco Worldwide, was hired by Modi sometime in August this year, in the run-up to an important Assembly election, to improve his image before the world community. Among its recent clients are Mikhail Khodorkovsky, a former Communist youth leader-turned-Russian billionaire with mafia links."

Keduanya; mereka yang terlibat dengan APCO mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan Israel serta ahli politik Amerika Syarikat yang mempunyai pandangan yang serong terhadap umat Islam.

Soalan saya kepada Perdana Menteri - jika ini reputasi dan rekod APCO yang diketahui umum; apakah mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat melalui perlantikan APCO sebagai perunding kerajaan?

Apakah pentadbiran Perdana Menteri mengakui bahawa Perdana Menteri dan partinya UMNO adalah setaraf dengan rejim-rejim diktator di dunia; sehinggakan khidmat APCO yang selama ini membaiki imej diktator perlu digunapakai?

Saya ingin kupas kedua-dua aspek dan memberikan bukti bahawa berdasarkan rekod APCO selama ini, sewajarnya kerajaan tidak melantik mereka kecualilah kepakaran yang diperlukan kerajaan adalah kepakaran menggunakan wang untuk membeli pengaruh di Washington.

Dalam tahun 2007, seorang wartawan penyiasat yang terkenal di Amerika Syarikat bernama Ken Silverstein telah menyamar untuk melantik APCO mewakili kerajaan Turkmenistan. Beliau telah melaporkan hasil siasatannya mengenai peranan dan pendekatan APCO membantu membersihkan imej diktator-diktator dunia di dalam sebuah rencana yang disiarkan di dalam Majalah Harper’s. Berikut antara pendedahan majalah tersebut:

"Apco was the first firm i contacted, because it was a natural candidate to represent Turkmenistan: it has experience working not just on behalf of authoritharian regimes in general-the dictatorship of General Sani Abacha in Nigeria, for example, which employed the firm in 1995, the same year it hanged 9 democracy activists."

Pendedahan Ken Silverstein itu jelas menunjukkan peranan yang dimainkan oleh APCO dalam membantu pemimpin-pemimpin yang begitu buruk rekodnya. Nama-nama yang disebut di dalam pendedahan tersebut termasuklah Barry Schumacher yang juga pernah terlibat di dalam tugasan lantikan kerajaan Israel pada tahun 1992 dan Jennifer Millerwise Dyck, bekas jurucakap CIA dan jurucakap Naib Presiden Dick Cheney; yang rekodnya di dalam perang di Afghanistan dan Iraq kita semua sedia maklum.

Sekiranya YB meneliti laporan tersebut, lebih membimbangkan adalah pendekatan yang diambil oleh APCO dalam menjalankan assignment itu.

Kepada kerajaan yang melantiknya, mereka dijanjikan pertemuan-pertemuan dengan pemimpin Kongres, dialog atau seminar dengan pelbagai institusi untuk memberi imej yang amat berlainan dengan apa yang berlaku.

Kepada pemimpin Kongres dan kerajaan Amerika Syarikat, mereka akan menjaja pertemuan-pertemuan ini sebagai peluang untuk mempengaruhi kepimpinan kerajaan yang melantik mereka sebagai perunding. Tidakkan ini satu amalan yang kurang beretika kerana ia seolah-olah mengambil untung di kedua-dua belah pihak? Bukankah ini satu isu yang besar apabila ada risiko campur tangan semata-mata untuk mendapatkan pertemuan-pertemuan di Washington?

Sebab itu saya akan terangkan selepas ini risiko-risiko yang telah ditanggung oleh negara apabila Perdana Menteri dicucuk hidung oleh Omar Mustapha dan juak-juak dari Ethos untuk melantik APCO.

Senarai pemimpin-pemimpin yang menggunakan khidmat APCO untuk membaikpulih imej diktator adalah panjang dan mengejutkan.

Selain Turkmenistan, Kazakhstan dan Azerbaijan; salah seorang klien APCO yang paling terkenal adalah bekas diktator Nigeria iaitu General Sani Abacha. Mengikut laporan-laporan BBC General Sani Abacha merupakan pemimpin berkedudukan No.4 yang paling korup di dunia. Semasa pemerintahannya, berbillion-billion dollar dilesapkan. Wang yang dilesapkan oleh orang kanannya sahaja berjumlah USD$2.5 billion.

APCO sebagai firma perhubungan awam yang terlibat dengan komunikasi strategi mempunyai misi untuk melunakkan imej Sani Abacha yang melesapkan wang negara.

Aspek kedua yang membimbangkan kita adalah kehadiran ramainya tokoh-tokoh yang berkait rapat dengan kerajaan Israel dan organisasi pertahanan negara itu termasuklah agensi perisikan sebagai perunding atau penasihat APCO.

Tidakkah tindakan Perdana Menteri melantik APCO, yang umum diketahui rapat dengan tokoh-tokoh kanan rejim Zionis, merupakan sikap kepura-puraan? Di depan rakyat, kerajaan Barisan Nasional bercakap mengenai perjuangan Palestin, mengutuk rejim Zionist malah merotan pesalah-pesalah rakyat marhaen yang lemah untuk membuktikan ia sebuah kerajaan yang menegakkan Islam - adil atau tidak itu belakang kira.

Tetapi secara senyap di belakang, tanpa pengetahuan rakyat; Perdana Menteri dinasihati secara terus dan dekat oleh sebuah firma yang ditunjangi oleh tokoh-tokoh kanan rejim Zionis? Regim yang memenjarakan Gaza dan menindas baik umat Islam dan mereka yang beragama Kristian di Palestin.

Secara khususnya, saya ingin membawa perhatian Dewan kepada tiga tokoh utama Israel di dalam APCO iaitu Doron Bergerbest-Eilon, Ittamar Rabinovich dan Shimon Stein. Ketiga-tiga tokoh ini adalah tokoh kanan rejim Zionis.

Doron Bergerbest-Eilon adalah Ketua Bahagian Keselamatan dan Perlindungan, Agensi Keselamatan Israel. Apa itu Agensi Keselamatan Israel? (Israel Security Agency)

ISA adalah nama rasmi kepada satu organisasi yang cukup busuk namanya di kalangan umat Islam; iaitu Shin Bet. Apa ini Shin Bet? Shin Bet adalah adik kembar kepada Mossad; iaitu agensi perisikan Israel. Bezanya - Shin Bet adalah agensi perisikan dalam negara dan Mossad adalah agensi perisikan luar negara.

Siapa lagi tokoh-tokoh kanan rejim Zionis di dalam APCO? Antaranya Itamar Rabinovich; Duta Israel ke Amerika Syarikat, salah satu jawatan terpenting dalam rejim Zionis. Ini adalah jawatan diplomatik paling kanan dan hanya tokoh paling kanannya sahaja yang menjawat jawatan ini. Begitu juga dengan Shimon Stein iaitu mantan duta Israel ke Jerman. Kedua-dua ini merupakan jawatan diplomatik kanan buat Negara Israel. Kedudukan mereka yang kanan dalam lingkaran diplomatik memperlihatkan keupayaan mereka untuk mempengaruhi serta melobi bagi pihak APCO sekarang.

RISIKO KEPADA NEGARA

Sebab itu kita menimbulkan isu ini kerana ia melibatkan keselamatan dan reputasi negara serta maruah umat.

Kita jelas mengapa kita bangkitkan isu ini. Ianya kerana kita mempertikaikan tindakan kerajaan menganugerahkan kontrak perkhidmatan puluhan juta ringgit kepada sebuah syarikat yang mana ada dari kalangan eksekutif kanannya pernah memegang jawatan tinggi dalam organisasi seperti Shin Bet dan Kerajaan Israel. Kita khuatir kerana pentadbiran Najib seperti tidak runsing dan gundah mengambil sebuah firma yang tercemar dengan rekod berkhidmat untuk para diktator dan petindas. Sikap membisu Perdana Menteri pastinya mengundang pelbagai kemusykilan serta persoalan.

Membicarakan persoalan seperti komunikasi menyeluruh, pastinya ia berkait rapat dengan Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Penerangan dan banyak kementerian lainnya. Maknanya APCO mempunyai akses/terdedah kepada jaringan strategik serta penting dan pastinya memberi kesan kepada keselamatan negara. Melantik organisasi asing yang mempunyai rekod seperti APCO, lalu mengamanahkannya dengan tanggungjawab besar serta kemudahan sedemikan rupa pastinya menggadai kepentingan negara. Oleh kerana itu saya menggesa kerajaan agar segara membatalkan kontrak perkhidmatan dengan APCO dan menubuhkan sebuah Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat skandal yang memalukan ini.

*Teks ucapan Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang Parlimen, menjelaskan hubungan antara APCO dengan kerajaan Malaysia.

Reference:
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=26058:apco-dan-1malaysia&catid=96:fokus-khas&Itemid=134

Thursday, April 1, 2010

Mengapakah MEB tidak dibahaskan di Parlimen?

BWA MEB KE PARLIMEN ATAU MENGHADAPI PIKET RAKYAT!!!

Dasar menuntut pendapatan tinggi dengan menurunkan kuota Bumiputra dan Non-bumiputra adalah silap mata kerajaaan untuk mengabui masyarakat Malaysia di dalam Model Ekonomi Baru (MEB). Apabila para Kapitalis Asing dan syarikat Multi-National luar negara menguasai perniagaan negara Malaysia, pendapatan Negara hanya masuk melalui cukai koporat dan perindustrian sahaja. Neo-colonialism itu pasti akan berlaku secara canggih dan moden, namun ia tetap beracuan klasik dan kuno. Harta kekayaan negara tetap menjadi milik Kapitalis Asing dan Syarikat Multi-national luar dengan mengagihkan sedikit pegangan ekuiti negara bangsa ini yang seimbang agar tidak berkelahi antara bumi dan non-bumi, walhal, perkara ini MUSTAHIL diperaktikkan, dengan adanya saingan yang tidak stabil dari pihak Kapitalis-kapitalis Asing ini.

Apa pun yang terjadi, penglibatan dan pegangan ekuiti rakyat peribumi dan bukan peribumi warga Malaysia WAJIB DITINGKATKAN. Jika tidak kerjaaan Barisan Nasional seolah-olah menjual aset-aset Negara ini ke tangan Asing. Lebih ditakuti ianya terlepas kepada Lobi Ekonomi Yahudi yang telah menjadi penasihat kepada PM di Jabatan Perdana Menteri seperti yang didakwa oleh DSAI di dalam perbahasan titah ucapam DYMM Sultan Mizan Zainal Abidin di dalam pembukaan Sidang Dewan Rakyat kali ini.

Tolonglah bawa MEB ke Pengetahuan rakyat dan wakil-wakil mereka di Parlimen agar baik dan buruknya dapat disemak dan dilaksanakan atau dirombak atau ditolak perlaksanaannya. Di mana DEMOKRATIKNYA BN di dalam urusan ini?. Apakah BN ingin mengulangi dasar PBISM yang dibuat oleh Mantan PM Tun Dr. Mahathir Mohamed yang lalu mendapat bantahan rakyat aklhirnya, tidak melalui Parlimen juga.?

Wahai rakyat Malaysia, sila celik pemikiran kita, jangan menyerahkan bulat-bulat urusan negara ini kepada ketua yang hendak menggadai negara ini, memiskinkan warganya agar kita boleh bergantung penuh dengan BN sampai kiamat setelah menyedari POLITIK PEMBAGUNAN MEREKA tidak lagi relevan di dalam sekala kecil, maka mereka persembahkan pula POLITIK PEMBANGUNAN DI DALAM SEKALA BESAR (TUNDUK KEPADA GLOBALISASI DAN LIBERALISASI EKONOMI KAPITALIS PULA). Selepas ini, kerajaan boleh mengugut rakyat yang tidak menyokong polisi kerajaan akan tidak dibela oleh mereka dan Syarikat-Syarikat Asing yang menguasai Ekonomi Malaysia.

Abu Muhammad ADIS El-Merbawiy

Dungun, MALAYSIA

_______________________________

MEB: PAS bantah hapus kuota Bumiputera, bukan Bumiputera

Oleh:
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 April: PAS menolak sebarang usaha untuk menafikan kuota Bumiputera dan bukan Bumiputera yang jelas menghina kedaulatan negara dan seluruh warga negara ini.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad terkejut dengan pendedahan Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Tan Sri Amirsham A Aziz yang mengakui bahawa Model Ekonomi Baru (MEB) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin akan menghapuskan kuota pemilikan termasuk Bumiputera.

Tambahnya, tahun lepas Perdana Menteri mengumumkan Dasar Liberalisasi Ekonomi negara di mana kerajaan menurunkan pegangan ekuiti Bumiputera daripada 30 peratus kepada 12.5 peratus dan menurunkan ekuiti bukan Bumiputera daripada 25 peratus kepada 12.5 peratus.

Seterusnya, kata beliau pegangan ekuiti asing telah ditingkatkan daripada 49 peratus kepada 70 peratus, serta pemansuhan FIC dan Penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) manakala nilai hartanah yang boleh dibeli oleh warga asing pula ditingkatkan daripada RM250,000 kepada RM500,000.

“Dengan pendedahan Pengerusi MPEN itu, bermakna kuota 12.5 peratus Bumiputera dan bukan Bumiputera akan terhapus sama sekali. Secara ekonominya, saham-saham syarikat di Malaysia sudah boleh dimiliki oleh pelabur asing 100 peratus,” ujarnya.

PAS, katanya menganggap MEB adalah dasar yang jelas menindas rakyat dan akan menyebabkan rakyat di negara ini akan menjadi 'hamba' yang bekerja keras untuk kepentingan individu dan pelabur asing di masa hadapan.

Baginya, pengkhianatan Umno/BN yang menghapuskan kuota Bumiputera dan bukan Bumiputera itu tidak boleh dimaaf.

“PAS mencabar ahli Umno dalam Perkasa untuk bangkit menentang dasar ini dan mengembalikan hak Bumiputera dan rakyat bukan Bumiputera di negara ini untuk menguasai kuota 30 peratus dan 25 peratus,” ujarnya lagi.

Tegasnya, PAS yakin kalau perkara penghapusan kuota Bumiputera itu disuarakan oleh pimpinan Pakatan Rakyat maka akan berlakulah demonstrasi jalanan oleh abdi Umno dari kalangan NGO dan pembodek Umno.

“Tetapi apabila yang mengeluarkan idea ini tuan kepada hamba-hamba moden di negara ini, maka suara mufti Umno dan profesor Umno macam cicak makan kapur.

“PAS yakin bahawa keputusan ini banyak dipengaruhi oleh beberapa pihak lain yang dilantik sebagai perunding atau penasihat Kerajaan Malaysia,” katanya.

Beliau menambah, tidak mustahil syarikat-syarikat yang dikuasai Yahudi akan masuk ke negara ini melalui proksi mereka dan mengambil alih aset-aset penting negara seperti Pos Malaysia yang sedang dalam proses penjualan sekarang.

Katanya lagi, jelas dasar yang tidak dibentang di Parlimen itu juga adalah satu dasar yang dipaksakan kepada rakyat dan membelakangi mandat rakyat.

Beliau berkata, seharusnya dasar sepenting itu dibentang di Parlimen kerana rakyat mahu tahu kerangka nasional yang ada dalam dasar itu.

“Umno/BN dilihat sedang menjual negara dan hilang semangat patriotisme melalui dasar yang menafikan kepentingan rakyat di negara ini,” ujarnya.

Menurutnya lagi, Malaysia tidak kekurangan pelabur dan pemodal tempatan, seharusnya kuota itu dikekalkan bagi memberikan peluang kepada mereka agar tidak melabur di luar negara.

Reference:
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=25828:meb-pas-bantah-hapus-kuota-bumiputera-bukan-bumiputera&catid=41:utama-muka-depan&Itemid=124