Saturday, April 5, 2008

Survival Melayu?.

Rencana – Pulihkan survival politik UMNO - Utusan Malaysia Online 5 April 2008/ 28 Rabiul Awwal 1429H (Sabtu).

Oleh: AZMAN ANUAR (WARTAWAN UTUSAN)

BAGAIMANAKAH orang Melayu hendak melangkah ke hadapan dengan suasana politik sekarang? Kejutan keputusan pilihan raya umum hampir sebulan lalu masih terasa. Senario kegagalan menangani keluhan rakyat akhirnya menghukum UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ada yang tidak malu-malu mendakwa pucuk pimpinan Melayu gagal memahami dan menganalisis suara orang bawah.

Namun, apa yang berlaku ibarat pergolakan dalam urusan rumah tangga. Misalnya apabila suami dan isteri bergaduh, mereka akan berbaik-baik semula semata-mata kerana mahu menjaga hati anak-anak atau tidak mahu rumah tangga runtuh.

Oleh itu, suami dan isteri menyimpan perasaan masing-masing. Apabila sering berlaku pergaduhan, akhirnya apa yang dipendam selama bertahun-tahun akan meletup juga, sebab punca masalah keluarga tidak ditangani dengan baik.

Perkara ini juga berlaku dalam rumah tangga UMNO/BN. Sejak krisis kepimpinan UMNO 1987 yang kemudian melahirkan Parti Melayu Semangat 46 pada 1988. Setelah berpisah ia kemudian berbaik-baik dan S46 dibubarkan pada 1996 atas kepentingan dan perpaduan Melayu.

Dua tahun kemudian (1998), timbul pula isu pemecatan Anwar Ibrahim dan kemudian ramai ahli UMNO berpecah-pecah hingga lahir Parti Keadilan.
Sudah tentu, pergolakan demi pergolakan dalam rumah tangga UMNO menyebabkan semangat perjuangan ahli UMNO juga berkecamuk dan luntur.

Jika dilihat pada orang Melayu pula, ramai sudah tidak merasa erti kemerdekaan dan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB). Apabila ramai tidak faham dan tidak ambil kisah, maka mereka berani lontar bantahan dan tidak peduli perjuangan UMNO/BN. Ini yang sedang berlaku.

Menurut penganalisis politik, Datuk Dr. Abdul Razak Omar, hikmah kekalahan UMNO/BN pada 8 Mac lalu adalah “Allah mahu beri 50 peratus ujian kepada orang Melayu supaya kita renung dan ambil iktibar.

“Tuhan boleh beri ujian 100 peratus tapi Allah seolah-olah masih sayangkan orang Melayu dan mahu uji 50 peratus sahaja iaitu lima negeri jatuh ke tangan parti pembangkang dan hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.

“BN masih memerintah dengan majoriti mudah 140 kerusi Parlimen dan pembangkang 82 kerusi,” jelas Abdul Razak.

Pada pendapat beliau, inilah masa orang Melayu patut buka mata. Tetapi persoalannya, adakah kita sedar tentang ujian Allah itu? UMNO kini berada di persimpangan jalan. Jika tidak, kuasa UMNO akan terhakis.

Kajian atau pengamatan awal menunjukkan Melayu sekarang tidak peduli ketuanan Melayu lagi. Ramai yang tidak kisah hak Melayu dipinggirkan dan seolah-olah tidak peduli kedaulatan raja-raja Melayu.

Bagi Abdul Razak, Neo Malayan Union sedang muncul dalam arena politik tanah air. Malah kemunculan gabungan PKR, Pas dan DAP membentuk Pakatan Rakyat jika tidak ditangani boleh mendorong pembentukan sistem dua parti di negara ini seperti Republikan dan Demokrat di Amerika Syarikat – siapa kuat dia yang memerintah.

Persoalannya, sanggupkah orang Melayu menerima sistem ini wujud dengan akhirnya kuasa ketuanan Melayu boleh terlucut dan dirampas oleh bukan Melayu. Melayu perlu fikirkan keadaan ekonomi mereka yang masih ketinggalan dalam pasaran terbuka.

Sebab itu pemimpin Melayu yang tulen dan ikhlas memperjuangkan hak survival Melayu perlu keluar membetulkan dan memulihkan kepincangan dalam UMNO. Pemimpin tulen itu diharap dapat memimpin pemimpin di bawahnya supaya berkualiti dan senada dengan perjuangan agenda bangsa – bukan agenda diri.

Sanggup

Ahli-ahli UMNO perlu cari pemimpin mereka yang sanggup bekerja tanpa ada agenda tersembunyi. Sebab itu pemimpin UMNO yang ada perlu berfikir di luar kotak untuk selesaikan masalah dalam rumah tangga UMNO sendiri.

Senario politik mutakhir menunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi masih secara jelas menyatakan hasrat untuk mentadbir negara.

Dalam konteks ini menurut Abdul Razak, jika pemimpin tertinggi UMNO yakin kepada Perdana Menteri boleh meneruskan kepimpinan negara, mereka perlu akur dan bersikap terbuka dan proaktif untuk membantu Pak Lah menyusun pentadbiran parti.

“Langkah utama ialah duduk semeja tanpa prejudis memikirkan bagaimana hendak menumpukan kepada usaha-usaha pemulihan keyakinan rakyat dan ahli-ahli parti.

“Langkah kedua, kepentingan diri di kalangan ahli Majlis Tertinggi (MT) mesti ditolak ke tepi. Tidak ada guna memegang jawatan MT atau menteri jika kapal sudah hendak tenggelam,” kata Abdul Razak.

Oleh itu kata beliau, kesetiaan dan komitmen parti perlu diperkukuhkan. Pada tahap sekarang usaha menyusun langkah gagah dan menjenamakan semula parti juga perlu dilakukan.

Bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu menyatakan keputusan segera diperlukan untuk menghindar kesangsian kalangan ahli UMNO.

Elemen mengambil kesempatan dengan menangguk di air keruh perlu dielak. Ahli-ahli UMNO yang ikhlas dalam parti perlu bersama pemimpin parti untuk menyelesaikan masalah dan bukan mengeruhkan lagi suasana.

“UMNO perlu ditunjukkan kukuh supaya kesangsian ahli tidak bertambah bercelaru. Pak Lah mungkin menyedari kesilapan yang membawa kekalahan. Oleh itu buang kelemahan dan pandang ke hadapan dengan bertindak lebih proaktif,” kata Abdul Razak.

Tindakan menyalahkan satu sama lain atau menuding jari akan merugikan bangsa. Jika isu sekarang ialah survival Melayu, bagaimana ahli parti hendak bangsa Melayu survive dalam situasi politik yang tidak menentu sekarang.

Tindakan yang diambil oleh ahli UMNO mesti boleh membantu mewujudkan situasi memulihkan keyakinan ahli parti. Pemulihan boleh bermula dari cawangan dan bahagian UMNO untuk mencari pemimpin yang tulen, ikhlas, komited tanpa kepentingan diri.

Reference:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm

1 comment:

Abu Muhammad el-Merbawiy said...

Assalamu'alaikum,

Saudara Azman Anuar yang dihurmati lagi dikasihi, Terima kasih di atas pandangan jujur anda. Semua orang inginkan kejujuran, kerana ianya dari Allah swt, Rasul-RasulNya dan orang-orang mukmin.

Saudara,

Adakah UMNO masih memiliki golongan pimpinan yang tidak berkepentingan diri sendiri dan agenda politik RAHSIA untuk keluarga, kroni, proksi, rebut kuasa dan sebagainya?. JIKA JAWAPANNYA TIDAK ADA, SELAMAT TINGGAL WAHAI UMNO. TEMPOH SAH LAKU PARTI ITU TELAH TAMAT. Jika ada, hidangkanlah kepada khalayak, biarlah hamba rakyat menilainya. Jangan sesama ahli politik berkepentiungan itu sahaja yang menilainya. Mereka akan menonjolkan ‘the same brand’. UMNO tumbang juga akhirnya, kerana tiada daya tahan dan tidak ada lagi kepercayaan masyarakat mahu pun ahli-ahli parti di peringkat akar umbi.

Persoalannya apakah Melayu-Melayu yang bukan UMNO bodoh sangat sehingga memerintah negara pun tak pandai?. UMNO/BN sahaja yang telah sekian kali mengecewakan masyarakat Melayu, Cina dan India dengan agenda politik Perkauman (hasut menghasut, fitnah memfitnah antara kaum. Bara persengketaan kaum dinyalakan) itu masih dilihat relevan dengan gerak arus politik Melayu Mutakhir dan menuju wawasan 2020?. Sesungguhnnya akal yang waras akan mengatakan cukuplah…Biarkanlah Melayu yang cerdik pandai memerintah, sudah ramai pakar dan ilmuan masyarakat Malaysia yang perlu diketengahkan untuk memimpin. Mengapakah kita “bekukan” tenaga-tenaga intelektual ini mengikut saringan merit dan pencapaian cemerlang di bidang pengurusan dan strategik merangka masa depan Melayu dan bangsa-bangsa lain di Malaysia. Krim minda dan daya fikir Melayu dan bangsa lain tidak digunakan sepenuhnya untuk membangunkan masyarakat Malaysia moden, tapi ahli politik Malaysia terutama UMNO/BN masih mengekalkan status Quo kepada mereka yang boleh ‘angguk-agguk’ apa yang direncanakan oleh pimpinan tertinggi. Jika berfikiran kritikal, di‘bunuh’ kerjaya politiknya. Tolong bariskanlah sendiri tokoh-tokoh Melayu yang di’sembelih’ menjadi korban politik sempit golongan berkepentingan kerana tamakkan ke mercu kuasa.! (renung kembali sejarah). Lihatlah ikon Datuk Seri Anwar Ibrahim, bila bersungguh-sungguh mahu melaksanakan ketegasan dalam pembasmian rasuah, kerjaya politik beliau di‘mati’kan sejak dari 1998 sehingga 15 April 2008.

Sebagai khatimah bicara, sesungguhnya rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi Melayu ramai yang sangat berpotensi dan telah menempa nama di arena antarabangsa di pelbagai bidang. Terus terang kita bertanya ADAKAH MEREKA BENAR-BENAR MENDAPAT HAK-HAK YANG SAMA DI SEMUA ARENA KEMAJUAN DAN PEMBANGUNAN NEGARA INI?. ATAU SEKADAR ‘ENDORSEMENT FIGURES’ KEPADA BANGSA LAIN UNTUK MENGANGKUT KEKAYAAN NEGARA berpindah ke tangan-tangan bukan bangsa Malaysia?. Untuk itu suka dinasihatkan JANGAN JUAL NEGARA INI UNTUK MAJU, JANGAN IKUT JEJAK PALESTINE YANG MENGUNDANG ISRAEL DI TANAH SENDIRI…Bila semuanya telah tergadai, barulah melancarkan perjuangan Jihad Islami. Sebelumnya jihad apakah yang dilancarkan oleh PLO?. Jihad Kuasa dan perut serta kekayaan sejumlah ahli politik. Bila HAMAS muncul dengan kemenangan bergaya melalui proses Demokrasi Barat, mengapakah PLO memboikot HAMAS?. Ingatlah BERHENTILAH MEMBUNUH HANG-HANG NADIM MODEN MELAYU DAN BUKAN MELAYU DI BUMI MALAYSIA LAGI. Selamat maju jaya Rakyat Malaysia yang celik politik dan konsep pembangunan seimbang serta Holistik. Allahu Akbar…Allahu Akbar…Allahu Akbar wa lillahi al-hamdu..Berjuanglah bangsa Malaysia.

Arau

PERLIS DARUS SUNNAH