Assalamualaikum, pembaca yang budiman.
Tertarik hati dengan paparan artikel hari ini di laman Utusan Malaysia Online di kolum Bicara Agama tentang Petua bina 'Syurga' di Dunia dan di akhirat. Jarang umat Islam kini melihat sudut ini di dalam kerjaya. Namun bila dilihat akan hakikat diri kita adalah warga akhirat, akar umbinya adalah berpunca dari kesuburan amal soleh di dunia. Maka wagasan seperti ini perlulah disuburkan setiap waktu dan ketika agar kita tidak leka dengan dunia sahaja - "Ghaflat Jingga".
Begitu juga dengan Sudut Pandang Alam Islam - Islamic Worldview perlulah merealisasi perkara di atas agar tidak berlaku suatu "Praktik Pensekularan" Tanpa Sedar, apabila semua perjalanan hidup hanya berfungsi untuk keduniaan semata-mata. Mereka melupakan nilai-nilai sakaral dan kudus yang melayakkan manusia bahagia di sini dan di akhirat nanti. - Abu Muhammad El-Merbawiy, Dungun MY.
*********
Petua bina ‘Syurga’ Dunia dan Akhirat – Bicara Agama – Utusan Malaysia Online 21 Disember 2009/4 Muharram 1431H
Oleh :
ZUARIDA MOHYIN
Sudah pastinya, doa di atas ini sentiasa meniti di bibir kita, lebih-lebih lagi seusai solat fardu mahupun sunat. Sesungguhnya rumah tangga yang menjadi impian dan harapan setiap daripada kita ialah rumah tangga yang di dalamnya bersemarak suasana sakinah (ketenangan), mawaddah dan rahmah.
Malah setiap pasangan yang akan, sedang dan sudah mendirikan rumah tangga tentunya mendambakan sebuah institusi perkahwinan yang dibina dengan disirami kasih sayang yang berpanjangan, harmoni dan sejahtera yang tiada tepian.
Pun pada masa yang sama, kita terpaksa berusaha mengemudi bahtera perkahwinan itu agar tidak musnah, waima dilanda ombak dan badai dalam kehidupan.
Ini kerana, kejayaan mengharungi pahit manis alam rumah tangga akan menjadikan suami isteri itu bertambah matang, sekali gus lebih menghargai pasangan hidup masing-masing serta mendapat reda Allah SWT.
Lantaran itu, terpulang kepada suami isteri itu sendiri bagaimana untuk mencorakkan rumah tangga mereka agar selaras dengan konsep rumahku syurgaku atau baiti jannati.
Apatah lagi, apabila dikurniakan cahaya mata. Amanah Allah untuk membesar, memelihara dan mendidik anak-anak turut terpikul di bahu ibu dan bapa.
Pokok pangkalnya, perlu ada ilmu, kemahiran dan aspek paling penting ialah pegangan agama yang kukuh. Barulah hubungan suami isteri itu bukan sekadar hubungan untuk memudahkan naluri manusia, hubungan tubuh atau sebagai wahana untuk melahirkan keturunan. Hakikat sebenarnya adalah hubungan atau ikatan yang wujud atas dasar cinta, kasih sayang, kesenangan dan ketenangan.
Ini ditegaskan oleh Allah SWT dengan firman-Nya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan jadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (al-Rum: 21)
Bahawasanya, cinta suami isteri adalah jauh lebih mulia berbanding di antara cinta sepasang kekasih. Ini kerana perkahwinan adalah satu ikatan yang terlalu suci dan menjadi landasan terbaik untuk menjalin kasih sayang antara lelaki dan wanita yang halal berkahwin.
Melihat kepada betapa pentingnya peranan suami dan isteri dalam memperoleh syurga dunia ini, maka Telaga Biru Sdn. Bhd. mengambil inisiatif menerbitkan buku yang berjudul, 10 Terminal Syurga Rumah Tangga.
Buku hasil nukilan penceramah terkemuka dan tidak perlu diperkenalkan lagi khasnya di Malaysia, Singapura dan Brunei iaitu Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood serta gandingan seorang guru, Siti Nur Fatimah Hasan mengandungi petua-petua juga ilustrasi menarik.
Ia dapat memberi suntikan baru serta motivasi diri dalam meneliti dan mencorak rumah tangga supaya berkekalan bukan sahaja di dunia tetapi teramat manis, jika mampu melayari ke alam syurga yang abadi.
Semoga buku dengan teks dalam bentuk yang mudah dan menarik, nota ringkas, mengandungi rujukan daripada al-Quran, hadis sahih dan disulami kisah-kisah serta fakta-fakta menarik ini menjadi santapan kepada gandingan suami isteri untuk membetulkan diri mencari jawapan yang pasti terhadap tanggungjawab dan amanah yang perlu mereka laksanakan sebaik mungkin sebagai wadah yang paling dominan dalam membina baiti jannati. Insya-Allah.
Reference:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm
Sunday, December 20, 2009
Subscribe to:
Posts (Atom)