Friday, January 16, 2009

Berita Tentang Palestin - Bekas Imam Mesjid al-Aqsa

Jumaat 16 Januari 2009 | 19 Muharam 1430 Hijrah

Eksklusif:

Temuramah Harakah dengan bekas Imam Masjid al-Aqsa


Oleh:
Imran Al-Maliziy
Fri | Jan 16, 09 | 11:50:56 am MYT

"PAS adalah lambang kemuliaan bagi rakyat Malaysia. Ini kerana isu Palestin adalah perkara utama yang diberikan penekanan dalam parti yang penuh kemuliaan ini. Dari segi kemampuan mereka untuk menyebarkan maklumat melalui media, mereka tidak ketinggalan."

SYEIKH Dr Mohammed Mahmoud Siyam berasal dari Gaza, Palestin. Mantan imam dan khatib Masjid Al-Aqsa serta mantan Rektor Universiti Islam Gaza adalah seorang tokoh yang sangat dikenali di peringkat antarabangsa dalam memperjuangkan isu-isu umat Islam di Palestin. Beliau yang telah lebih 20 tahun diusir dari tanah airnya kini berperanan sebagai Ahli Jawatankuasa Tertinggi, Institut Al-Quds Antarabangsa dan Presiden Pertubuhan Ikatan Ulama Palestin di Yaman. Untuk mendapatkan pandangan beliau berhubung serangan tentera Israel terhadap Gaza, wakil Harakah, IMRAN AL-MALIZI menemui beliau di kediamannya di Sana‘a, Yaman baru-baru ini.

HARAKAH: Sejak lebih kurang setahun lalu, ketika bermulanya kepungan terhadap wilayah Gaza, adakah tuan sudah menjangkakan serangan udara yang dilancarkan oleh tentera Israel baru-baru ini? Mengapa sekarang? Kenapa tidak beberapa bulan yang lalu?

SYEIKH SIYAM: Bismillahir-Rahman ar-Rahim. Saya berterima kasih kepada akhbar Harakah dan saudara-saudara saya dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS). Ya, memang benar. Kita tidak mengharapkan sesuatu daripada seteru melainkan hanya permusuhan. Tetapi kita tidak dapat menjangka kebengisan dan serangan seperti sekarang ini. Betapa dahaganya mereka menghirup darah. Sejak hari pertama serangan, beratus-ratus nyawa telah terkorban dan beribu-ribu yang tercedera. Serangan ini didukung oleh Amerika Syarikat dan beberapa negara Arab. Seluruh dunia menyaksikan dengan telinga dan mata mereka. Benar, terdapat usaha yang sedang dijalankan, tetapi tidak sampai kadar yang sepatutnya.

Kenapa serangan dibuat sekarang ini?

Terdapat dua sebab. Yang pertama, syarat yang diletakkan oleh Hamas kepada musuh untuk menghentikan serangan ialah supaya laluan-laluan di sempadan dibuka dan kepungan terhadap Gaza dihentikan. Akan tetapi, pihak Zionis tidak mahu menerima syarat itu sepanjang enam bulan yang lalu. Cukuplah! Hamas tidak mahu memperbaharui rundingan gencatan senjata dan sanggup menanggung akibatnya.

Sebab yang kedua ialah tempoh berakhirnya pemerintahan Mahmoud Abbas semakin dekat. Hamas tidak mahu menerima beliau lagi dan pihak Zionis masih mahu memperbaharui tempoh jawatan yang disandangnya yang berakhir pada 8 Januari 2009. Lalu berakhirlah kekuasaan beliau. Kerana itu mereka menyerang kedudukan Hamas, mereka mahu melanjutkan kuasa Mahmoud Abbas kerana dia berkhidmat bagi pihak mereka, mengikut arahan mereka. Dia bersama-sama dengan pihak keselamatan Palestin bertungkus-lumus mempertahankan kedudukan pemerintah Israel dan menangkap para pejuang Palestin. Ini adalah sebahagian sebab mengapa serangan dibuat pada masa ini.

Maksud tuan, usaha gencatan senjata yang terdahulu telah menemui kegagalan?

Gencatan senjata yang diusahakan dahulu tidak mendatangkan hasil dan gagal sepenuhnya. Ini kerana antara syarat yang dikenakan ialah pembukaan laluan-laluan di sempadan (Gaza). Bermakna membenarkan bantuan kewangan, bahan makanan, ubat-ubatan dan bahan api supaya dibawa masuk. Tanpa bahan api, janakuasa elektrik tidak dapat beroperasi. Pihak Israel tidak menerima syarat ini lalu Hamas juga menolak untuk memperbaharui tempoh gencatan senjata.

Mengapa mereka menyerang Gaza dan bukan Tebing Barat?

Permusuhan Zionis terhadap Gaza dan Tebing Barat sebenarnya sama sahaja. Akan tetapi di Tebing Barat, mereka berasa selesa kerana terdapat pemerintah (Fatah) yang sedia berbuat apa sahaja bagi pihak musuh. Akan tetapi, pemerintahan (Hamas) di Gaza adalah bebas dan tetap pendirian mereka. Oleh kerana itu, Gaza menjadi sasaran dalam serangan ini.

Terdapat dakwaan bahawa semua yang berlaku ini berpunca daripada kewujudan Hamas dan ancaman Kataib Al-Qassam (sayap tentera Hamas) di Gaza. Akan tetapi, tragedi pembunuhan Deir Yassin (1948), penyembelihan Sabra dan Shatilla (1982) yang dilakukan oleh Yahudi Zionis berlaku sebelum penubuhan Hamas (1987) lagi. Apa pandangan tuan?

Bukan sekadar itu, terdapat wilayah di Tebing Barat yang tidak berada di bawah pemerintahan Hamas di mana tentera penjajah (Israel) menyerang rumah-rumah rakyat Palestin, membunuh orang awam, menangkap para pejuang dengan bantuan pihak keselamatan Palestin. Hamas tidak memerintah di wilayah itu dan tiada serangan roket Hamas yang dilancarkan di sana. Begitulah, pihak musuh tidak akan berdiam diri. Lalu mereka mencari hujah-hujah untuk mewajarkan serangan. Dahulunya, Amerika Syarikat, Zionis dan beberapa pemimpin Arab yang mengharapkan Hamas memasuki pilihan raya. Sedangkan Hamas tidak berhajat untuk itu. Kemudian Hamas memenangi pilihan raya tersebut (Januari 2006) lalu membentuk kerajaan.

Bagaimana pula ketika ini mereka mahu menolak kewujudan Hamas? Sedangkan mereka yang beriya-iya menuntut Hamas menyertai pilihan raya.

Sebenarnya, mereka mahukan Hamas mengikut saduran mereka. Iaitu Hamas yang tunduk dan patuh seperti pemerintah Palestin yang lain. Saya tidak mengatakan parti Fatah keseluruhannya, akan tetapi orang-orang yang bersikap seperti Zionis dan Amerika yang berada dalam Fatah. Seperti Mahmoud Abbas dan Mohamed Dahlan dan sebagainya. Mereka mahukan kerajaan dan pemerintahan yang dibentuk itu cenderung mengikut kemahuan mereka.

Apakah jangkaan tuan selepas ini khususnya setelah tamat tempoh pemerintahan Mahmoud Abbas pada 8 Januari 2009?

Pada peringkat awal, kita melihat serangan tentera Israel adalah agresif. Namun kemudian itu, mereka mengundurkan sedikit langkah kerana serangan-serangan tersebut tidak memberi kesan untuk menjatuhkan Hamas. Alhamdulillah, telah gugur syahid daripada kalangan para pejuang seperti Dr Nizar Rayyan. Juga beratus-ratus orang lagi menemui syahid dan beribu-ribu yang tercedera. Akan tetapi, kehormatan Hamas masih kekal terpelihara dan sokongan rakyat masih kuat.

Oleh itu, pihak musuh dilihat cuba meminta campur tangan Amerika Syarikat dan Mesir agar rundingan gencatan senjata dapat dibuat dengan pihak Hamas. Bagi Hamas sendiri tiada masalah untuk melakukan gencatan senjata dengan syarat laluan-laluan di sempadan mesti dibuka. Mereka lebih rela mati dengan kemuliaan daripada mati kerana kelaparan dan kebuluran. Oleh itu, pembukaan laluan-laluan di sempadan adalah kunci supaya keadaan kembali seperti sedia kala.

Kita melihat sampai ke tahap sebegini, penduduk Gaza masih dapat bertahan. Apakah sebab utama yang mendorong mereka bertahan?

Sebabnya banyak. Yang pertama, mereka dapat belajar daripada penghijrahan penduduk yang terdahulu meninggalkan kampung halaman mereka. Akhirnya mereka yang berhijrah ini bertebaran di kem-kem pelarian dan sebagainya. Mereka mengatakan lebih baik mati di tanah air sendiri daripada keluar meninggalkannya. Yang kedua, adalah pendidikan yang diterapkan agar mereka dapat bersabar, bertahan untuk tempoh yang panjang dan mengerahkan segala kemampuan untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Kamu boleh melihat, mana-mana bangsa di muka bumi ini, jika mereka ditekan, mereka akan menjatuhkan dan menggulingkan pemerintah mereka. Benar atau tidak? Akan tetapi, di Gaza keadaannya berbeza.

Lebih kuat tekanan yang dikenakan, lebih kuat sokongan rakyat kepada pemerintahan Hamas. Ini diakui sendiri oleh pihak musuh. Kerana penduduk Gaza mahukan pemerintah yang berani menghadapi musuh dan mereka tidak mahu menyerah kalah supaya hak-hak mereka tidak hilang. Oleh kerana itu, Hamas adalah simbol ketahanan dan mereka mengambil pelajaran daripada itu. Kamu dapat menyaksikan golongan kanak-kanak dan wanita melalui siaran televisyen dan media massa, mereka mengatakan walaupun rumah-rumah mereka hancur musnah, mereka tetap memohon agar Hamas dapat bersabar dan bertahan.

Sehingga kini berapakah bilangan mangsa yang terkorban dan tercedera dalam serangan tersebut?

Sehingga hari kelapan serangan yang dilancarkan, jumlah mereka yang mendapat syahid (terbunuh) telah melebihi 430 orang dan lebih 2000 orang yang mendapat kecederaan.
Hamas telah mengumumkan 'intifada ketiga'. Adakah Hamas mempunyai persiapan dan strategi tertentu untuk peringkat ketiga dalam gerakan kebangkitan rakyat ini?
Hamas dalam keadaan menghadapi serangan yang bertalu-talu maka persediaan dan persiapan pada setiap masa adalah suatu kemestian. Gerakan intifada ini juga menuntut penglibatan rakyat dalam menyemarakkannya. Penduduk Gaza sememangnya diketahui peranan mereka dalam kebangkitan ini dan begitu juga di rakyat Palestin di Tebing Barat sebagaimana yang dapat kamu lihat di Nablus, al-Quds, Khalil, Ramalah dan lain-lain selepas solat Jumaat.

Suasana di Tebing Barat penuh sesak dengan penduduk yang keluar berdemonstrasi. Sehingga terdapat khabar yang menyebut bahawa Mahmoud Abbas berkemungkinan akan menurunkan tandatangan untuk membebaskan tahanan-tahanan yang dipenjarakan dari kalangan pejuang Hamas. Memadailah kekuatan intifada ini dengan bertahannya saudara-saudara kamu dalam Hamas. Bahawa apa yang berlaku ini telah membangkitkan kesedaran dunia seluruhnya.

Termasuk di bandar-bandar utama di negara-negara Arab dan dunia Islam serta tidak terkecuali bandar-bandar di Eropah dan Amerika Syarikat yang penduduknya keluar berdemonstrasi. Iaitu seluruh dunia menyatakan pendirian mereka berhubung isu ini seperti rakyat di negara China, Rusia dan kamu juga mengetahui suasana di Malaysia dan Indonesia serta tidak lupa juga negara Iran.

Apa pandangan tuan tentang sikap Presiden Republik Arab Mesir terutamanya berhubung dengan isu sempadan Rafah?

Presiden Hosni Mobarak cuba berdalih dengan hujah-hujah yang tidak berpijak di bumi nyata. Beliau menyatakan bahawa sempadan laluan Rafah adalah di bawah kuasa penjajah Israel. Timbalan Hakim Mahkamah Tinggi di Iskandariah telah menolak hujah tersebut. Katanya, hujah presiden republik tersebut adalah salah. Adakah sempadan negara kita menjadi milik penjajah Israel sedangkan sempadan tersebut terletak di negara Mesir dan Palestin. Kereta kebal Israel yang mengelilingi wilayah Gaza akan tetapi mereka tidak dapat sampai ke sempadan Rafah, seorang tentera mereka pun tidak dapat dihantar ke sana.

Jadi bagaimana pula pemerintah Israel dikatakan menguasai sempadan tersebut? Kerana itu, sebagaimana yang disebutkan oleh timbalan hakim tersebut bahawa semua ini adalah desakan dan tekanan dan Amerika Syarikat dan Zionis. Lalu Presiden Mesir hanya tunduk pada tekanan itu. Kerana itu terdapat desakan dari Turki, Malaysia dan negara-negara lain yang menuntut agar sempadan Rafah ini dapat dibuka. Kerana ia adalah satu-satunya jalan darat yang dapat digunakan untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk Gaza.

Kita mengetahui bahawa negara Qatar telah menghantar bantuan ke Gaza. Apakah yang dilakukan oleh negara-negara Arab yang lain?

Negara-negara Arab yang lain juga berusaha untuk menghantar bantuan, contohnya negara Yaman ini sudah tentu. Qatar telah dilihat mendahului dalam usaha ini. Negara-negara Teluk juga bersedia untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan seperti itu. Iaitu kesemuanya berusaha untuk menghantar bantuan makanan dan ubat-ubatan. Akan tetapi, untuk menjamin bantuan ini pasti sampai adalah agak sukar. Kerana bantuan ini akan terkandas di lapangan terbang di negara Mesir yang berdekatan dengan Gaza. Sehinggakan negara Qatar sendiri menuntut untuk mengambil semula bantuan tersebut sekiranya tidak dibenarkan melepasi sempadan.

Malah Qatar juga ingin menghantar satu kelengkapan hospital bergerak dan sudah pun bersedia untuk berlepas dari Doha, akan tetapi membatalkan hasratnya itu apabila mengetahui ianya tidak dibenarkan untuk dibawa masuk. Kita tidak boleh mengkritik negara-negara yang tidak menghulurkan bantuan kerana hujah mereka juga kuat. Bahawa bantuan-bantuan ini tidak boleh dibawa masuk. Peristiwa bantuan yang dihantar melalui kapal laut yang kemudiannya disekat sudah ketahui umum.

Syeikh Abdul Majid al-Zindani telah menyeru rakyat Yaman untuk mengumpulkan derma dan bantuan yang akan dihantar melalui kapal laut. Adakah tuan menjangkakan bantuan ini akan sampai kepada penduduk Gaza?

Kalau tidak silap saya kempen tersebut diberi nama 'Bahtera Penghormatan Yaman untuk Rakyat Gaza'. Apapun, usaha ini akan memberikan tekanan kepada pemerintah Mesir jika mereka menyekatnya. Kerana ini menunjukkan secara jelas bahawa merekalah yang melakukan kepungan terhadap semenanjung Gaza. Adakah bantuan rakyat Yaman ini akan sampai ke sana melalui Terusan Suez? Sama-sama kita tunggu dan lihat.

Tuan pernah ke Malaysia baru-baru ini. Apakah pandangan tuan mengenai sokongan rakyat Malaysia kepada perjuangan Palestin daripada pihak kerajaan dan rakyat jelata?

Pertama sekali, rakyat Malaysia termasuk dalam barisan pertama dari kalangan dunia Arab dan Islam yang menyokong perjuangan rakyat Palestin. Jika saya mengatakan bahawa Malaysia mendahului beberapa negara Arab yang lain, saya rasa ia tidak keterlaluan. Itu jika dikira dari sudut sokongan dari rakyat dan masyarakatnya. Saya telah mengelilingi negeri-negeri di Malaysia dan anda pernah bersama dengan saya, kita merantau ke serata pelosok negeri di Malaysia dan jumlah dana bantuan yang diperolehi adalah memberangsangkan. Kita dapat mengumpulkan kutipan derma yang sangat besar dalam hanya beberapa hari. Alhamdulillah. Saya mewakili rakyat Palestin ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada umat Islam di Malaysia.
Manakala sokongan dari pihak kerajaan Malaysia pula adalah dari segi politik. Mereka menyatakan sokongan dalam persidangan-persidangan antarabangsa yang disertainya. Tidaklah ketinggalan sebagaimana para pemerintah negara-negara Arab dalam menyatakan pendirian berhubung isu Palestin. Sesungguhnya saya merasakan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada golongan yang berhaluan Islam, sekular dan sebagainya daripada pihak kerajaan, pembangkang dan rakyat kesemuanya bersepakat menyatakan sokongan kepada isu Palestin.

Ini sangat jelas. Di sesetengah negara, sokongan hanya di pihak rakyat dan tidak daripada pihak pemerintah dan begitulah sebaliknya. Alhamdulillah, di Malaysia dari rakyat dan kerajaan bersatu dalam menyatukan pendirian mereka. Sama seperti di Yaman, Sudan, Syria dan kebanyakan negara yang lain. Sebagaimana Qatar, walaupun negaranya kecil, namun dari segi sokongan, sumbangan dan kesungguhannya adalah sangat besar.

Apakah pandangan tuan pada Parti Islam SeMalaysia, PAS di bawah pimpinan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dari segi memperjuangkan isu Palestin ini?

PAS adalah lambang kemuliaan bagi rakyat Malaysia. Ini kerana isu Palestin adalah perkara utama yang diberikan penekanan dalam parti yang penuh kemuliaan ini. Dari segi kemampuan mereka untuk menyebarkan maklumat melalui media, mereka tidak ketinggalan. Dengan infak harta benda juga mereka tidak berada di belakang. Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang yang juga merupakan bekas Menteri Besar Terengganu adalah di antara pengasas Institut Al-Quds Antarabangsa bersama dengan para ulama lain (termasuk Dr Yusuf al-Qaradhawi) menganjurkan usaha membantu penduduk Palestin di Baitulmaqdis supaya tidak berganjak dari penempatan mereka di mana pihak penjajah Israel mahu menghapuskan kedudukan mereka di kota tersebut dan seluruh bumi
Palestin secara umumnya. Para pemimpin dalam PAS juga tidak ketinggalan dalam lapangan penulisan.

Sebagai contoh, Tuan Guru Haji Abdul Hadi pernah menulis sebuah buku dalam bahasa Arab yang sangat mendalam kesannya. Buku itu bertajuk 'Filastin: Min Qutto' al-Tariq ila Kharitoh al-Tariq' (Palestin: Dari Peta Perjalanan kepada Perompak Jalanan) daripada tajuknya sahaja kita dapat melihat keperihatinan beliau. Bukan sekadar itu, PAS juga melalui sebaran am, risalah dan sebagainya membantu memperjelaskan isu Palestin kepada rakyat Malaysia. Begitu juga dengan menganjurkan seminar, persidangan dan menjemput para ulama untuk berbincang mengenai isu ini dan banyak lagi. Saya juga tidak melupakan usaha yang bersungguh-sungguh oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul-Am PAS dan Menteri Besar Kelantan dalam pendiriannya, khutbahnya, ceramahnya dan bantuan kewangan yang dihulurkan. Tiada akhbar selain Harakah yang mampu untuk menyatakan pendirian rakyat Malaysia berhubung isu Palestin ini.

Akhir sekali, apakah pesanan tuan untuk rakyat Malaysia?

Saya mengharapkan untuk rakyat Malaysia sebagaimana yang saya harapkan untuk bangsa saya dan umat Islam. Ini kerana mereka adalah sebahagian daripada tubuh ummah. Segala perselisihan hendaklah dijauhi. Fitnah itu tidur dan Allah melaknat orang yang membangkitkannya. Rakyat Malaysia memang terdiri daripada pelbagai aliran bahkan juga berbeza pegangan agama. Akan tetapi dengan akhlak Islam, kita mampu mendekati mereka untuk kepentingan Islam dan kaum muslimin. Saya mendapat tahu agak ramai yang memeluk Islam dari kalangan mereka.

Saya juga dimaklumkan bahawa terdapat seorang doktor perubatan yang merawat sebuah keluarga non-Muslim, lalu mereka kesemuanya memeluk agama Islam. Alhamdulillah. Suri teladan di Malaysia ini sangat cemerlang. Saya mendoakan semoga negara Malaysia dapat memantapkan pertumbuhan ekonominya juga. Saya juga ingin menyebut di negeri Terengganu suatu ketika dahulu dalam pemerintahan PAS, tidak berlaku penindasan, masyarakat dapat beriltizam dengan akhlak Islam, urusan perniagaan berjalan tanpa penipuan, kerajaan negeri tidak merampas hak rakyat dan keamanan yang berlaku di sana.

Lalu saya berpesan supaya umat Islam di Malaysia dapat mempamerkan suri tauladan yang baik, dengan itulah yang dapat mendekatkan masyarakat dengan ajaran Islam dan membawa negara kamu ke hadapan dari segi peradaban dan pembangunan. Wallahu'alam. - azm (wawancara ini juga boleh diperolehi di dalam Harakah keluaran terbaru 16 Januari yang sudah berada di pasaran dan dapatkan juga kalendar percuma versi Harakah)


Reference:
http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18861&Itemid=1

Monday, January 12, 2009

Pahit Tetapi Hakikat Palestin

Sunday, January 11, 2009

Palestin: Antara Emosi dan Realiti
Oleh:
A Kadir Jasin

RAMAI daripada kita sudah bersembahyang hajat, menunjuk perasaan, menderma, menulis puisi dan membuat deklarasi.

Semuanya atas nama kemanusiaan dan simpati dengan rakyat Palestin yang dibom, ditembak dan diletupkan. Berlinang dan bercurahanlah air mata kita.

Jadi pastinyalah kita marah kalau saya unjurkan bahawa perjuangan Palestin adalah perjuangan sia-sia, perjuangan yang kecewa dan perjuangan yang penuh pura-pura.

Pedih dan menyakitkan hati. Tetapi itulah realitinya sejak penubuhan negara Israel – Medinat Yisra’el – melalui rampasan ke atas British Mandated Palestine oleh pengganas Yahudi pada 14 Mei, 1948.

Sejak itu jugalah jentera propaganda dan peperangan Yahudi bekerja lebih masa mencuba menghalalkan rampasan mereka ke atas Palestin.

Pada mulanya mereka mendakwa kononnya mereka membebaskan bumi Palestin daripada penjajahan Inggeris dan Liga Bangsa-Bangsa.

Izinkan saya sedikit ruang dan masa untuk mengemukakan fakta-fakta berikut untuk pertimbangan pembaca sekalian:

1. Negara-Negara Arab yang berjiran dengan Israel serta merta melanggar negara itu dan mengulanginya beberapa kali dengan mengalami kekalahan teruk;

2. Akhirnya semakin banyak negara Arab sama ada mengiktiraf Israel dan menandatangani perjanjian damai dengannya atau tidak lagi memberi keutamaan kepada isu Palestin;

3. Melalui perang psikologi, Israel dan penyokong Yahudinya dari seluruh dunia menyusup masuk dan menguasai politik, ekonomi serta media massa Amerika Syarikat (AS);

4. Israel dan gerakan Yahudi antarabangsa berjaya menjadikan Amerika boneka, pelindung dan pembiayanya;

5. Menurut John J. Mearsheimer dan Stephen M. Waltdalam tulisan mereka berjudul “The Israel Lobby and U. S. Foreign Policy” (Lobi Israel dan Dasar Luar Amerika Syarikat), Israel menerima bantuan langsung bernilai AS$3 bilion (RM10.62 bilion) setiap tahun atau 20 peratus daripada bantuan luar AS;

6. Setiap orang penduduk Israel menerima subsidi daripada AS bernilai AS$500 (RM1,770) setahun walaupun Israel adalah negara perindustrian yang sama pendapatan per kapitanya dengan Korea Selatan dan Sepanyol;

7. Menurut Perkhidmatan Penyelidikan Kongres Amerika, bantuan kepada Israel bagi tahun 2007 berjumlah tidak kurang daripada AS$2.5 bilion (RM8.85 bilion). Ini tidak termasuk AS$138 juta (488.5 juta) bagi projek pertahanan bersama peluru berpandu dan jaminan hutang sebanyak AS$$1.4 bilion (RM4.95 bilion);

8. Purata AS memberikan AS$6.8 juta (RM24 juta) kepada Israel setiap hari berbanding AS$300,000 (RM1.06 juta) kepada Palestin pada tahun 2007;

9. Janji Amerika membantu Palestin adalah janji kosong sejak daripada tertubuhnya Medinat Yisra’el pada tahun 1948;
10. President Truman dalam ucapannya pada 28 Oktober, 1948 – lima bulan selepas rampasan bumi Palestin oleh Yahudi -- antara lain, berkata: “Adalah tanggungjawab saya memastikan dasar kita di Israel menepati dasar kita di seluruh dunia; kedua adalah hasrat saya membantu membina negara Palestin yang kuat, makmur, bebas, merdeka dan demokratik. Ia perlu cukup luas, cukup bebas dan cukup kuat untuk membolehkan rakyatnya berdikari dan selamat.”

[ “It is my responsibility to see that our policy in Israel fits in with our policy throughout the world; second, it is my desire to help build in Palestine a strong, prosperous, free and independent democratic state. It must be large enough, free enough, and strong enough to make its people self-supporting and secure.”]

11. Dan bolehkah Barack Obama diharap untuk mengatasi pembohongan AS selama ini? Pertimbangkan kenyataan beliau ketika kempen pilihan raya Presiden baru lalu yang berbunyi: “Kita jangan sekali-kali mencuba mengatakan apa yang terbaik untuk orang Israel dan keselamatan mereka dan tidak seorang pun Perdana Menteri Israel yang patut diseret ke meja perundingan...”

[We should never seek to dictate what is best for the Israelis and their security interests" and that no Israeli prime minister should ever feel "dragged" to the negotiating table...];

12. Yahudi mempunyai perwakilan yang kuat dalam politik nasional AS. Pada bulan Jun tahun lalu (2008), 7.8 peratus Ahli Kongres adalah Yahudi walaupun penganut agama Yahudi di AS dianggarkan hanya 1.4 peratus daripada penduduknya;

13. Kalau AS menjadi boneka, pelindung dan pembiaya Israel, banyak negara Islam, khasnya negara-negara Arab, menjadi boneka dan pak turut AS;

14. Dari mula lagi banyak negara Arab tidak mahu Hamas berjaya di Palestin. Hamas adalah singkatan kepada Harakat al-Muqāwamat al-Islāmiyyah atau Pergerakan Penentangan Islam yang terdiri daripada pengikut Sunnah. Ia ditubuhkan pada tahun 1987 oleh Sheikh Ahmed Yassin, Abdel Aziz al-Rantisi dan Mohammad Taha yang berupa penggiat Ikhwanul Muslimin cawangan Palestin pada permulaan gerakan Intifadah pertama;

15. Oleh sebab Hamas diasaskan atas landasan Ikhwanul Muslimin maka ia dicurigai dan ditolak oleh banyak negara Arab. Ikhwanul Muslimin diharamkan atau dikawal kegiatannya di banyak negara Arab;

16. Ikhwanul Muslimin atau Persaudaraan Muslim adalah organisasi Muslim yang diasaskan oleh Hassan al Banna di Mesir pada tahun 1928 berikutan keruntuhan Empayar Ottoman;

17. Pada mulanya Ikhwanul Muslimin menyokong kerajaan sekular Presiden Gamal Abdel Nasser tetapi apabila seorang anggotanya dituduh membunuh Perdana Menteri Mesir, Mahmud Fahmi Nokrashi, pada 28 Dis. 1948, pertubuhan itu diharamkan dan Al Banna sendiri dibubuh oleh agen-agen perisik kerajaan pada bulan Februari tahun berikutnya;

18. Majoriti negara-negara Arab tidak demokratik. Mereka bimbang jika kerajaan Hamas berjaya di Palestin mereka akan menghadapi tekanan daripada rakyat jelata mereka sendiri agar memperkenalkan demokrasi;

19. Negara-negara Arab sendiri terus bercakaran dan serentak itu menjadi tali barut kepada hegemoni AS di Asia Barat seperti yang terserlah dengan sokongan mereka terhadap serangan dan penaklukan AS ke atas Iraq;

20. Akhir sekali, politik Palestin sendiri kucar-kacir akibat ketidaksepaduan sokongan negara-negara Arab dan persengketaan di kalangan pelbagai kelompok agama di Asia Barat, khasnya pergeseran antara pengikut Sunnah dan Syiah.

Bukan tujuan saya melemahkan semangat juang, sokongan dan simpati kita kepada rakyat Palestin. Tetapi fakta-fakta di atas tidak memberikan keyakinan bahawa masalah negara dan rakyat Palestin boleh diselesaikan dengan mudah dan segera.

Untuk mencapai persetujuan mengenai gencatan senjata pun susah. Bayangkan untuk mencapai keamanan yang berkekalan.

Malah, setiap kali bom Israel membunuh orang Palestin dan pengebom berani mati Hamas membunuh orang Yahudi, setiap kali itu jugalah satu generasi baru pejuang di lahirkan.

Reference:
http://kadirjasin.blogspot.com/

Tuesday, January 6, 2009

Kalahkah Zionis Dengan Ekonomi?

Rabu 7 Januari 2009 | 10 Muharam 1430 Hijrah

Zionis boleh runtuh melalui kuasa ekonomi?

Oleh:
Ali Bukhari Amir
Tue | Jan 06, 09 | 6:56:58 pm MYT

Kenyataan Tzipi Livni pada 4 Januari lalu amat keras bersulam benang kesombongan dan dengan congkaknya, Livni berkata, itulah padahnya jikalau Hamas berani menyentuh Israel lagi.

Kata Livni, "Saya harap hasil daripada operasi (membedil Gaza) ini akan memberi kesan jangka panjang. Saat mereka melepaskan tembakan, kita akan membalas dengan serangan besar-besaran.

Mungkin beberapa operasi diperlukan bagi mencapai matlamat ini. Kita telah lama berjuang dan kita mesti lakukan secara kekerasan dari semasa ke semasa."

Dalam tulisan yang lalu, telah kita sentuh tentang kedudukan, sikap dan perawakan Livni yang tidak ubahnya seperti Golda Meir; seorang wanita yang menjawat jawatan Perdana Menteri Israel itu. Ramalan dunia terhadapnya ternyata tepat dan ada kebenarannya.

Livni dalam wawancara bersama sebuah stesen penyiaran Israel itu telah secara lantang, menolak perbincangan bersama Hamas. Menurut Livni, selama ini dia cuma berpura-pura bagi memastikan seluruh dunia memandang kerajaan Hamas sebagai tidak sah.

"Saya menolak mengadakan perbincangan dengan Hamas. Sejak Hamas berkuasa tiga tahun lalu, saya hanya berpura-pura agar seluruh dunia melihat Hamas sebagai tidak sah. Helah itu berjaya dan saya tiada hasrat untuk menukarkannya sekarang," katanya.

Di sebalik kesombongan itu, Livni juga mengakui bahawa mungkin rejim Israel tak akan dapat mencapai apa-apa yang dicita-citakan mereka melalui serangan itu. Wawancara itu berlaku, kira-kira sehari sebelum berlakunya serangan darat di Gaza.

Amerika melalui dutanya ke PBB, Alejandro Wolff, telah pun mengecam Hamas dengan berkata, "Majlis Keselamatan beberapa kali melahirkan kebimbangan mengenai serangan Hamas ke atas Israel."

"Piagam pertubuhan ini menghormati hak setiap anggota mempertahankan dan hak Israel mempertahan diri tidak boleh dirunding," kata Wolff lagi. Sikap ini menunjukkan kepada kita dengan jelasnya bahawa umat Islam tak boleh lagi mendesak badan bukan Islam itu menerajui apa-apa perubahan di wilayah bergolak itu.

Kuasa besar Islam di mana?

Prof Dr Ahmad Atory Hussain dalam suatu wawancaranya berkata, berkata, umat Islam hari ini tidak boleh lagi berharap kepada orang bukan Islam bagi menyelesaikan masalah mereka sendiri.

"Orang Islam dan Palestin mesti selesaikan masalah sendiri. Saya lihat, orang-orang Arab asyik salahkan Barat. Tapi, masalah dalaman mereka sendiri, tak pernah diperbaiki.

"Selain itu, mesti wujudkan kuasa besar Islam atau dua buah tiga negara Islam yang mesti disokong orang Islam sendiri. Bukan untuk berperang tapi cukup sekadar menggerunkan Amerika," kata beliau lagi.

Selain itu, tambah Dr Ahmad Atory, masyarakat atau negara bukan Islam seperti Rusia, Perancis dan China keruh hubungannya dengan Amerika dan Israel perlu dilibatkan.

Di samping itu, kita dapat melihat betapa betapa banyaknya syor dan cadangan itu. Sama ada syor itu bersifat tindakan yang boleh dilaksanakan di peringkat rakyat bawahan atau pun peringkat kerajaan atau pihak atasan.

Contohnya, Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar diwujudkan suatu pasukan tentera pengaman OIC sendiri. Tapi syor begini, siapa yang mahu lobi agar ia dapat diwujudkan? Idea banyak, tetapi seolah-olah tiada orang yang menggerakkan, melobi idea itu.

Misalnya, pendapat Dr Ahmad Atory tadi, rasanya pernah disuarakan oleh bekas Presiden Iran, Khatami dahulu dengan namanya Islamic Union yang mirip kpeada European Union (EU), iaitu sebuah pakatan ekonomi dan politik di rantau Eropah.

Hasil pakatan EU itu antaranya telah melahirkan mata wang Euro sebagai saingan kepada mata wang Dollar Amerika.

Mahathir tidak endahkan Islamic Union?

Tapi, Mahathir tidak endahkan gagasan itu dan akhirnya gagasan itu sepi begitu saja. Dan dalam kalangan pemberita, wartawan arus perdana pula tidak tergerak pula mereka untuk menggarisbawahkan isu itu menerusi akhbar mereka.

Tetapi akhir-akhir ini, dalam kenyataan terbaru, Dr Mahathir kembali semula dengan idea memulaukan mata wang dollar Amerika itu. Ini sememangnya syor yang baik juga.
Mahathir berkata, antara lain kenapa Dollar Amerika mesti dipulaukan, ialah kerana mata wang itu tiada disandarkan apa-apa nilai terhadapnya.

"Jika anda berhenti mengguna matawang itu, Amerika tak dapat berdagang dan tak dapat banyak duit. Dengan ini, negara itu akan terus menjadi miskin dan Amerika akhirnya akan berhenti menghasilkan senjata-senjata," katanya.

Tetapi, Mahathir mengakui bahawa usaha memulaukan matawang Amerika ini menuntut kepada hubungan kerjasama yang erat di seluruh negara di dunia.

Adakah Mahathir atau Yayasan Perang Jenayah KL Yayasan Kepimpinan Perdana berdaya membawa seruan ini kepada negara-negara dan mampu melobi tindakan ini kepada seluruh kerajaan?

"Tindakan ini tidak terbatas kepada Malaysia saja. Ini tidak akan berkesan. Seluruh dunia mesti terlibat. Kerajaan-kerajaan tak akan bertindak kerana mereka takut kepada Amerika Syarikat," kata beliau seperti menyindir dan mencabar kerajaan Malaysia sendiri.

Adakah Tun Mahathir boleh menyarankan kepada Najib sebagai Menteri Kewangan agar tidak lagi mengguna mata wang dollar Amerika dalam urusan perniagaan sedunia.
Tidak salah ingatan saya, Mahathir pernah menggesa agar ringgit Malaysia diikat kepada RM3.30 untuk setiap dollar Amerika, tetapi Najib berkata bahawa ringgit Malaysia mahu nilai ringgit itu teruskan ditentukan oleh pasaran sahaja.

Tak salah ingatan saya juga, Iran sudah menjalankan urusniaga minyak dalam mata wang Euro dan bukan lagi Amerika Syarikat. Adakah kita bersedia menggunakan Euro?

Tak salah saya juga ada satu laporan menunjukkan bekas Perdana Menteri itu menyimpan sejumlah wang di dalam akaun bank di Israel. Adakah wang itu masih tersimpan atau pun sudah dikeluarkan, tidaklah diketahui pula.

Inilah antara masalah kita sekarang. Watak-watak yang mempunyai buah fikiran terbaik, tetapi ternyata ada konflik lewat tindakannya yang tersendiri.

EU sudah wujudkan Euro. Jika wujud Islamic Union itu, mungkin boleh ada wang dinar emas yang akan dipersetujui pemakaian dan penggunaannya dalam hubungan kerjasama perdagangan antara negara-negara Islam. Tun Mahathir juga setuju dengan dinar ini.
Perjalanan kita membantah Israel sungguh panjang. Tapi, umat Islam masih gagal meraih wacana yang betul-betul kuat dan mantap. Yang tidak banyak melibatkan pemikiran agak senang dilakukan seperti membakar bendera dan berdemo.

Sedangkan, dalam 60 tahun belakangan ini (1948 hingga 2008) pemikir-pemikir Yahudi Zionis telah menyusun protokol-protokol mereka mengguna pemikiran yang tinggi. Jadi, seminggu berdemo dengan semata-mata tenaga belum tentu dapat menyaingi mereka.

6:42 p.m, 6 Januari
Sekolah Pemikiran Pendang

Idea, saranan, buah fikiran, kritikan boleh dimajukan ke mel-e ibnuamir@yahoo.com.
Nota: Bagi mereka yang ingin tahu kenapa semangat Zionis sangat kuat untuk mendapat tanah di Palestin, sila dengar lagu Hatikvah (The Hope), senikata lagu kebangsaan Israel http://www.youtube.com/watch?v=NjfFpFW9OdA.

Lihatlah semangat yang timbul daripada senikata lagu tersebut. Bandingkan dengan lagu Negaraku yang ada kaitan dengan lagu Terang Bulan atau Mamoolamoon pula. http://www.youtube.com/watch?v=bbrcdpUGGEI (Terang Bulan) _

Reference:
http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18663&Itemid=1