Wednesday, April 16, 2008

Persoalan Cinta : Persiapan Bayt Muslim

PERCINTAAN DAN PERSOALANNYA SERTA PERSEDIAAN MELANGKAH KE ALAM RUMAH TANGGA
(Al-‘Isyqu wa al-Hubbu wa Ahwaaluhuma nahwa Isti‘daad Bayt al-Muslim)

Oleh:
Abu Muhammad ADIS el-Merbawiy

Pendahuluan

1. Pengalaman cinta menurut kehendak Islam – Kaedah Percintaan seorang Muslim
2. Persediaan lelaki & Perempuan Muslim ke arah pembinaan keluarga bahagia
3. Nikmat Percintaan selepas perkahwinan
4. Membina keyakinan diri setelah gagal bercinta.
______________________

1. Cinta Mengikut Pendekatan Islam

1.1 Hadith baginda saw yang bermaksud :“Sentiasa hambaKu itu melakukan ketaatan dan amal ibadat sehingga Aku menyintainya dan dia menyintaiKu. Maka ketika kecintaanKu melimpahinya adalah telingaKu yang dia mendengar denganNya, mataKu yang dia melihat denganNya, hidungKu yang dia menghidu denganNya, tanganKu yang dia merasa denganNya dan kakiKu yang dia berjalan dengannya. Dan sekiranya ia meminta sesuatu dariKu nescaya akan dimakbulkan permohonannya.”

Fakta Cinta dari Allah swt (CAS):

a. Allah swt pemilik cinta mutlak ke atas makhluknya dengan pemilikan seratus peratus, dengan kata lain kecintaan yang sempurna dan tidak akan ketandusan dan berkurangan. (huwa al-Rahman al-Rahim, al-Ghafuur al-Waduud)

b. Alam raya dan seluruh isinya dijadikan dengan penuh kecintaan, agar makhluk manusia dan jinn mengenal Allah swt seperti dinyatakanNya di dalam hadith Qudsi melalui baginda saw : “Inni kanzun makhfiyyun, wa uhibbu an ‘u‘rifa. Fa khalaqtu al-khalqa, fa ‘urifa.” Maksudnya : “Sesungguhnya Aku (Allah swt) adalah Khazanah kekayaan yang tersembunyi, Aku cinta sekali untuk dikenali orang. Maka Aku jadikan makhluk semuanya, (dengan penzahiran kekuasaanKu dan kebesaranKu padanya) Aku akhirnya dikenal pasti (Ma‘rifatiLlah).”

c. Semua kecintaan yang dilimpahkan di muka bumi adalah satu bahagian dari cinta Allah swt yang sempurna itu (1%). Dengan cinta itulah semua perasaan kasih dan sayang melibatkan manusia dan haiwan akan dikongsikan bersama. Maka antara nama-nama Allah swt ialah al-Rahim al-Wadud, maka untuk mendapatkanNya wajib memohon dengan ikhlas sebagai seorang hamba yang serba kekurangan dan hina, agar ia memperolehi cinta Tuhan yang maha Agung. Dengannya insya Allah swt, dia akan menjadi manusia Agung dengan Cinta Tuhan.

d. Sehubungan dengan itu, Manusia yang pernah mendapat cinta Allah swt, termasuklah para Nabi dan para Rasul sepanjang zaman, para wali Allah swt seperti di dalam hadith (1.1) di atas, di mana mereka yang tidak akan merasa takut dan dukacita, kerana Allah swt. Tokoh besar di dalam memiliki cinta Allah swt ialah Sayyidah Ruhullah Rabee‘ah al-‘Adawiyyah, sezaman dengan Hassan al-Basri al-Sufiy. Berikut kata cinta beliau yang terpahat untuk umat menilainya yang bermaksud :

“Ya Allah ya Tuhanku jika aku beribadah kepadaMu hanya tamakkan syurgaMu, haramkanlah aku dari memasukinya, dan jika aku beribadah kepadaMu kerana takutkan azab nerakaMu, sila engkau campakkanlah aku ke dalamnya, tetapi jika aku beribadat kepadaMu hanya untuk mencapai cintaMu Ya Alllah swt, maka janganlah engkau tolak satu-satunya harapan dan tujuanku ini.”

e. Melihat sejarah cinta di dalam agama Islam, ianya begitu agung dan suci serta termahal di antara cinta yang manusia perjudikan dan jualbelikan di dunia ini. Cinta dirosakkan oleh Hawa nafsu (al-hawaa), syaitan (al-syayaateen) dan kemusyrikan serta keangkuhan (al-baghyu wal-istikbaar) mereka yang berpaling (wa al-istidbaar) dari cinta Allah swt. Apabila cinta tidak lagi dari Allah swt dan bukan kerana Allah swt, hilanglah kehebatannya, kedinamikannya dan keuntungan dunia akhirat yang bakal diraih oleh manusia. Kesengsaraan dan kegelisahan serta kecelakaan maksiat akan mengambil tempat. Rugilah manusia selama-lamanya di dunia dan di akhirat. [hadha huwa al-khusraan al-mubin – inilah satu kerugian yang sangat ketara]

1.2 Hadith baginda saw bermaksud :“tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu kecuali ia mencintai saudaranya seperti mana ia menyintai dirinya sendiri.”

Fakta Cinta Muslim sesama mereka (CSM);

a. Kecintaan dan kasih sayang Muslim sesama Muslim adalah di atas paksi persaudaraan kerana Islam dan kerana Allah swt (ikhwah fiLlah). Maka persaudaraan ini diukur dengan diri kita sendiri. Sesuatu yang kita suka dan benci berlaku ke atas diri kita, maka seumpama itulah jua kita lakukan ke atas diri saudara kita seIslam dan seIman kepada Allah swt. Hasilnya tidak akan berlaku kemaksiatan jika ikatan kasih dalam bentuk Ikhwan Muslimin ini dilakukan, kerananya mustahil persaudaraan kerana Allah swt membawa kepada Zina lelaki- perempuan, penyalahgunaan kebebasan pergaulan, mengambil kesempatan ke atas kelemahan lelaki dan wanita lain dan sebagainya.

b. Cinta dari Allah swt adalah semurni perasaan, tidak terlintas unsur-unsur rendah, seperti syahwat dan kebinatangan berlaku antara manusia. Kecintaan ini mengarahkan kepada ta‘abbudiyah – jiwa pengabdian diri bersama-sama kepada Allah swt di dalam satu kumpulan, gerakan dan jamaah. Cinta Allah swt tidak akan membawa pencinta ke arah maksiat dan neraka. Inilah neraca pemisah – Standard of Indicators or Matrices, yang memisahkan cinta kerana Allah swt dan cinta kerana hawa nafsu. Cinta kerana Allah swt berlaku di kalangan golongan berilmu pengetahuan dan beragama serta beriman, serta beramal dengan amalan soleh. Manakala golongan yang jahil agama, selalu melakukan pendurhakaan dan hanyut dalam gelombang maksiat setiap ketika diharamkan Allah swt mendapatkan cintaNya, KECUALI mereka bertaubat dan kembali taat kepadaNya.

1.3 Hadith baginda saw bermaksud :“perumpamaan orang mukmin di dalam konteks kemesraan mereka (tawaaddihim), berkasih sayang mereka (tarahumihim) dan saling bergantung (ta‘aatufihim), samalah seperti satu jasad; Jika salah satu jasad sakit menderita, maka akan turut mengadu sakit anggota jasad yang lain dengan berjaga malam dan demam (bi al-sahri wa al-humma).”

Di dalam konteks kebajikan dan berkasih sayang inilah, semangat pembelaan kepada yang dicintai sangat tinggi. Umat Islam bukan sahaja empathy, malah menghayati dan merasai kegembiraan dan penderitaan rakan-rakan dan kekasih kita, tak kira siapa mereka itu. Hakikat ini mencetuskan pengorbanan dan pemberian keutamaan kepada kekasih kita, al-‘Ieethar di dalam Islam.

2. Persediaan ke Arah Pembinaan Keluarga Bahagia

2.1 Firman Allah swt : “Wahai golongan beriman, jagalah dirimu dan ahli keluargamu dari menjadi penghuni neraka.”

a. Persiapan yang paling asas ialah mempersiapkan diri untuk bertanggung jawab kepada fungsi masing-masing di dalam rumah tangga; isteri bertanggung jawab kepada suami, bukan lagi bapa. Manakala suami bertanggung jawab ke atas isteri dan keluarga induknya terutama ibubapa mereka.

b. Persiapkan bekalan kewangan mencukupi (di dalam hadith al-Baa’a), atau pekerjaan atau jaminan kewangan dalam bentuk tenaga, sihat tubuh badan boleh menghasilkan pendapatan, serta tempat berteduh.Termasuklah menghadirkan mahar.

c. Persiapan ilmu kekeluargaan dan fiqh Islam li al-Munakahat, wa ahwal al-talaaq wa la-hadonah dan sebagainya. Asas untuk mendidik diri, keluarga dan generasi berdasarkan keperluan agama Islam dan pembangunan semasa.

d. Perlu juga bersiap sedia dengan kemahiran mengatasi masalah dan konflik rumahtangga secara Islam atau secara ilmu pengetahuan, agar tidak membawa kepada perceraian. Menempatkan diri di dalam masyarakat dan jamaah Islam, di mana segala usaha pendidikan generasi disalurkan kepada kepentingan masyarakat, negara dan Negara Islam.

e. Elakkan permulaan pemilihan jodoh lagi dari melakukan perkara-perkara sumbang agama, fasa pernikahan yang munkar tidak menepati sunnah Rasulullah saw i.e. mahar menyukarkan pihak lelaki sehingga tertahan lama perkahwinan, majlis perkahwinan yang membazir dan boros serta menaja kemaksiatan dengan majlis pendedahan aurat, minuman keras, hiburan melalaikan dll. Inilah urusan yang wajar dijaga kerana ikatan perkahwinan itu adalah “dengan kalimah Allah swt”, maka amatlah tidak wajar memasukkan perkara-perkara yang bercanggah dengan agama sewaktu majlis perkahwinan atau selepasnya.

f. Doakan keberkatan dan kekal penjodohan Tuhan sehingga akhir hayat, dan semoga menghasilkan zuriat yang soleh, mampu menyambung perjuangan nabi Muhammd saw, demi menegakkan agama Allah swt sepanjang zaman. Al-Ulamaa’u warathatu al-‘anbiyaa’i.

2.2 Hadith nabi saw: “Apabila berkahwin seseorang Muslim itu, maka telah sempurnalah separuh dari urusan agama mereka, maka sempurnakahlah sebahagian lagi itu dengan meningkatkan Taqwa.”

a. Nabi Muhammad saw sangat seronok dengan umatnya berkahwin di usia muda, dan para peria akan mengambil gadis (bikir), kerana baginda mahu remaja Muslim cepat bertanggung jawab, matang dan lekas mengenali tugas mereka fi sabilillah. Mereka dengan mudah dapat disatukan di bawah satu tujuan demi kepentingan agama Allah swt. Umat Islam hidup bukan untuk berpoya-poya, bahkan mereka punyai tugas mendakwahkan dan mempertahan Islam di dalam diri umat Islam dan mendakwahkannya kepada non-Muslim, agar tercapai hasrat–menjadi saksi ke atas umat lain (syuhadaa’ ‘ala al-naas).

b. Pasangan Muslim dan Muslimah berusaha meningkatkan amalan mereka agar dapat menempatkan diri di barisan yang al-sabiqun fi al-khayraat, dalam menyahut seruan jihad dan perjuangan menguasai segala bidang ilmu dan teknologi semasa. Mereka juga berlumba-lumba meningkatkan ibadat wajib dan sunat mereka agar dapat menerima kejayaan dari Allah swt kerana telah memenuhi pra-syarat kejayaan dan kemenangan dari Allah swt (al-falah).

c. Selalu manusia mengharapkan kebahagiaan, tetapi mereka jahil mengenai apakah yang perlu dilakukan unruk mencapai kejayaan dan bahagia tersebut. Bahagia adalah kerja hati dan jiwa insan. Kedua-duanya terkesan dengan ketundukan dan semangat Ubudiah kepada Allah swt, semakin banyak kita memperhambakan diri kepada Allah swt di dalam rumatangga kita, semakin lebat dan melimpah kebahagiaan itu kepada kita. Kepuasan hakiki, adalah kepuasan ruhi insan yang telah mendapat segala raisin-atau bekalan asasi dan ekstra pengabdian diri kepada Allah swt di dalam setiap urusan dan amal duniawi, akhirnya telah ditukarkan kepada amal ukhrawi. Berkat pahala dan kebajikan kerana Allah swt yang melimpah ruah itulah, Allah swt anugerahkan rasa bahagia dengan taat kepadaNya dan kesengsaraan dengan mendurhakai Allah swt.

3. Nikmat Percintaan selepas perkahwinan (CSK)

3.1 Firman Allah swt : “….dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah swt itu, bahawa ia menjadikan kamu berpasang-pasangan agar dapat merasa tenang dengan mereka (litaskunuu ilayha)….Dan Allah swt jadikan kepada kamu Mawaddat dan Rahmat.”

Hadith baginda saw :“Sebaik-baik nikmat keseronokan dunia ialah dengan memiliki “Wanita Solehah”. Di dalam Hadith yang lain :“ Nikmat sedekah makanan dan harta ialah apabila digunakan dan di makan oleh lelaki yang soleh.”

Firman Allah swt : “Wanita-wanita yang baik (solehah) adalah untuk lelaki yang baik (soleh), Lelaki yang baik adalah untuk wanita yang baik.” (Surah al-Nuur, ayat 26)

*Faedah mengeratkan cinta selepas perkahwinan;

Hadith Baginda saw :“Ya ma‘syara al-shabaab!, man istataa ‘a minkum al-baa’a, fal yatazawwaj, fa innahu aghadh li al-basori wa ahsonu li al-farji, wa man lam yastati‘, fa ‘alayhi bi al-shaumi fa innahu lahu wijaa’un.” [muttafaqun ‘alayhi]

- Penutup pandangan (aghadhu li al-basar), menjadi perisai kemaluan (ahsonu li al-farji) atau puasa pendinding zina (wijaa’un).

Hadith baginda saw :“idha tazawwaja al- ‘abdu faqad istakmala nishfa deenihi, fal yattaqiLlah fi al-nishfi al-baaqi.” [Rawaahu al-Bayhaqiy]

- Sempurna separuh agama Islam, maka sempurnakan selebihnya perkahwinan itu dengan ketaqwaan (melaksanakan amalan soleh, meningkatkan ibdah dan keimanan) – [yazdaadu ieemaanan ma‘a ieemaanihihim]

Rasulullah saw pernah menasihati ‘Akkaaf ibn Wadaa‘ah :

ألك زوجة يا عكاف ؟ قال : لا، قال: ولا جارية؟ قال : لا، وأنت صحيح موسر؟ قال: نعم الحمد لله ، فأنت إذن إخوان الشيطان ،إن كنت من رهبان النصارى ، فألحق بهم ، وإن كنت منا فإصنع كما نصنع ، فإ، من سنتي النكاح ، شراركم عزّابكم ، وإنّ أراذل موتكم عزّابكم ، ويحك يا عكلف تزوج!، فقال عكاف يا رسول الله لآ أتزوج حتى تتزوجني من شئت ، فقال صلعم : زوجتك على إسم الله والبركة الكريمة بنت كلثوم الخميران ،

[Hadith riwayat Ahmad, Ibnu abi Syaibah dan Ibnu ‘Abdul al-Barr]

- Perkahwinan adalah Sunnah RasuliLah saw, mengelakkan jadi rakan Syaitan, kawan-kawan Rahib Kristian, elakkan dari menjadi sejahat-jahat manusia pembujang, dan elakkan dari menjadi sehina-hina manusia ketika mati bujang.
Hadith Rasulillah saw :“tunkahu al-mar’atu liarba‘in: limaaliha, wa lihasabiha, walijamaaliha, wa lidieehiha. Fa idzfar bidhati al-din taribat yadaka.” [Rawahu al-Bukhariy wa Muslim]

- Nikmat wanita beragama memudahkan urusan anda (taribat yadaka), dan akan hidup bahagia (keagamaan adalah urusan Ilahi, dengan asbabnyalah manusia dapat kebahagiaan dari Allah swt). Mafhum dari hadith nabi saw juga, Tiga nikmat yang terbesar itu ialah Hati yang bersyukur kepada Allah swt, Lidah yang berzikir kepadaNya dan wanita solehah yang menjadi teman hidup atau isterinya.

Amaran kepada mereka yang tertarik dengan rupa paras cantik dan handsome sahaja:

Hadith Rasulillah saw :“iyyakum wa Hadhraa’a al-Dimani, Qaaluu : wa maa Hadhraa’u al-Dimani? Yaa Rasulallah?. Qaala: al-mar’atu al-hasunaa’u fi al-manbati al-suu’.”

[Riwayat Dar al-Qutniy, al-‘Askariy dan Ibnu ‘Adiy]

Maksudnya:“Awasilah kamu dari ‘tumbuhan menghijau di tempat yang kotor’!.Para sahabat bertanya : apakah dia yang tumbuh menghijau di tempat yang kotor itu?. Jawab baginda saw: Wanita yang cantik dari lubuk (lingkungan) yang jahat (rosak).”

3.2 Ketiadaan ragu dan bimbang dalam memiliki pasangan. Mutlak menjadi hak masing-masing. Ketika inilah rasa kasih dan sayang dinikmati tanpa gangguan dan dirasakan sepenuhnya. Hilanglah rasa curiga, kerana cinta telah dibuktikan dan kesetiaan telah ditunaikan. Allah swt menamakan suasana ini dengan al-sakeenah – suatu ketenangan yang sangat mendamaikan manusia, al-mawaddat – suasana keintiman dan kemesraan eksklusif (rasa dimiliki antara satu sama lain – self belonging and truthful) dan al-latieef atau al-ulfah – Pasangan telah dapat di jinakkan dari terlepas bebas dengan orang lain, perasaan tak ingin berpisah dan penuh rindu dendam.

Di dalam keadaan kebahagiaan inilah timbul rasa al-Rahmat – belas kasihan kepada pasangan, tidak rela mereka berduka dan bersedih, dan jika terpaksa memikul kesusahan terasa kesusahan milik bersama, dan ketika menikmati kesenangan ianya mestilah dikongsikan bersama. Tiada rahsia dan helah antara pasangan, melainkan semuanya telus, ikhlas dan saling menghurmati serta memuliakan. (sebelum perkahwinan, perasaan ini dibaluti atau diselubungi hubungan yang tidak jelas, janggal, terasing dan banyak persoalan) Jelas sekali dapat dirasai, emosi dan rasa kasih ini terasa hebat dari yang Maha tinggi, Allah swt huwa al-Rahman wa al-Rahim.

Firman Allah swt :“….dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah swt itu, bahawa ia menjadikan kamu berpasang-pasangan agar dapat merasa tenang dengan mereka (litaskunu ilayha)….Dan Allah swt jadikan kepada kamu Mawaddat dan Rahmat.”

3.3 Kelebihan cinta selepas kahwin (CSK) ialah bebas dari perasaan syahwani kotor dari urusan syaitan dan tidak rasional berhawa nafsu. Antaranya kegelojohan seksual dan tingkah laku memaksa kasih, mengugut, beri kata dua, kegelisahan, tertekan (tension) dan berada di persimpangan (confuse) setengah pihak dengan pihak lain. CSK memandu dan membimbing manusia rasional dan beremosi stabil, inilah suasana menuju kematangan dan kesabaran dan bertimbang rasa kepada pasangan. Jika tidak dapat membezakan keintiman Kasih Sebelum Kahwin KSK dengan CSK, ia membawa bahaya. Pasangan yang sangat mengharapkan kepanasan dan kehangatan ‘Cinta’ KSK di dalam rumahtangga, sedangkan wanita lebih cepat menyesuaikan diri dengan kematangan CSK, maka pihak lelaki menjadi pendesak, intollerate, kerana masih menginginkan ‘cinta’ yang dirasuk syaitan ketika fasa KSK. Secara waras, terimalah bahawa CSK adalah suatu yang mantap, dinamik, sederhana dan sangat matang. Musuh CSK ialah ketidakmatangan pasangan, jahil komunikasi antara keluarga dan kekurangan Ilmu Islam dalam keluarga serta kemahiran kekeluargaan (parenting skills).

3.4 CSK diharapkan membahawa kebahagiaan di dunia dan akhirat. Ianya akan kekal abadi sehingga ke syurga, kerana Allah swt memberikan peluang kepada isteri solehan dan suami yang soleh bertemu di syurga di mana isterilah yang akan menjadi ketua bidadari di syuga, keayuan mereka belipat kali ganda dengan yang mereka miliki di dunia.

4. Bangkit Selepas Gagal Percintaan (SGC)

4.1 Di dalam Islam tidak ada istilah kegagalan bercinta, Cinta tidak boleh gagal, cuma jodoh bukan milik kita atau manusia. Sesiapa bercinta ia akan berjaya di sisi Allah swt dan di dunia, kerana cinta suatu tenaga dinamik, yang mampu melakukan kerja-kerja yang mengkagumkan, pasti tidak pernah patah semangat jika cinta itu masih ada di dalam jiwa manusia. Itulah cinta suatu power dan energy yang datang dari al-Rahman, al-Rahim, al-Latief, al-Waduud dan al-Muhibb dari Allah swt yang tidak akan padam jika diizinkan Allah swt kita memilikinya. Maka sekiranya seseorang Muslim atau Muslimah bercinta, maka dia akan menjadi manusia yang super dan hebat kerana ia akan melakukan segala-gala dengan penuh kasih, cinta dan rela. Semangat jihad dan berkorban serta berjuang untuk sesuatu tujuan, di dalam Islam mestilah untuk Allah swt dan RasulNya demi melihat Islam agamanya berkembang maju menjadi anutan agama majoriti manusia. Apa sahaja yang disentuh dan diusahakan Muslim dengan penuh cinta, akan cemerlang. Kebencian dan kelemahan diri sahaja akan menghalang cinta dari mendapat hasilnya.

4.2 Frustrated – bukan kegagalan cinta, tetapi kelemahan jiwa yang tidak bergantung dengan Allah swt dan tidak memahami cinta Tuhan swt dengan telus dan hakiki, serta tidak faham dan pasti tentang Qadha’ dan Qadar baik dari Allah swt. Allah swt telah menyedarkan kita bahawa ilmu kita manusia sedikit cuma, tidak mampulah kita menduga Ilmu Ilahi yang sangat luas, penuh berhikmah, tidak pernah menzalimi dengan keputusanNya sekalipun menyalahi kehendak dan hasrat manusia. Jelaskan dan tenteramkan hati kita dengan firman Allah swt: [‘asaa an tuhibbu syai’an wahuwa syarrun lakum, wa ‘asaa an takrahu syai’an wahuwa khayrun lakum.] Tidak tecapai kasih dan rindu dendam kita, tidak bermakna musnahlah diri dan alam raya ini. Tidak ada lagi peluang dan harapan untuk mendapat gantinya yang lebih baik. Sebenarnya kegagalan cinta yang diperbesar-besarkan adalah ilusi, mainan gelojoh, dan tidak membuat pertimbangan wajar dengan Allah swt. Dia Maha mengetahui, Mintalah dan mengadulah kepada yang Maha mengetahui dan mampu menggantikan dengan yang lebih baik dari kekasih kita yang telah hilang, demi kebahagiaan hambaNya yang selalu mengadu dan bersama Allah swt di dalam bahagia dan derita.

Rujukan berkaitan:

1. Abu Mohd Jibril Abdul Rahman, Lelaki Soleh: Martabat di antara Perwatakan dan Sifat-Sifatnya, Kuala Lumpur: Pustaka Al-Ansar, 1990

3. Ali Abdul Halim Mahmud, Fiqh al-Ukhuwwah fi al-Islam, terj: Hawin Murtadho & SalafuddinAbu Sayid, Merajut Benang Ukhuwwah Islamiah, Solo: Era Intermedia, 2000.

2. Ibnu Qayyim al-Jawziyyah, Raudhah al-Mihibbin wa Nuzhaht al-Musytaqqin terj: Kathur Suhardi, Cinta dan Rindu Menurut al-Quran dan al-Sunnah, Batu Caves: Albaz Publishing & Distribution Sdn Bhd, 1997

No comments: