Wednesday, May 11, 2011

Jangan Menyebarkan Fitnah Membawa Padah

Saudara pembaca yang budiman,

Kerajaan mestilah bertanggung jawab dalam masalah fitnah dan pembawa berita sensitif kepada agama dan Perlembagaan Negara ini. Meransangkan isu "Perdana Menteri Kristian" dan "Kristian Agama Resmi Malaysia" adalah suatu simbahan petrol kepada 'kerapuhan' semangat solidariti kita masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia. Tambahan pula berita yang tidak sahih, lagi tidak pernah dipastikan dari sumbernya serta tidak dibuktikan dengan fakta-fakta tulisan, audio dan video dakwaan itu berlaku, hanya boleh dikategorikan sebagai "berita angin" sahaja. Maka pihak Utusan Malaysia memasukkan maklumat bertaraf "berita angin" ini secara sembarangan tanpa memikirkan risiko kepada ummah dan perkauman adalah suatu PERCUBAAN YANG SANGAT BERBAHAYA. Rakyat boleh membaca hasrat dari pendedahan ini, iaitu agar solidariti Melayu kembali menyokong UMNO/BN demi kesinambungan kekuasaan politik mereka di tanah air ini. Namun jika wahana yang digunakan sebegini keji dan tanpa memilih subjek perkara yang munasabah atau tidak, maka imej pihak-pihak tertentu; Kerajaan Malaysia, Utusan Malaysia, Blog-blog seperti Bigdog dan juga Marahku turut akan terjejas dan merudum di mata pembaca dan rakyat Malaysia.

Suatu pertanyaan dengan tersibar cerita ini dan telah meletup menjadi isu, di manakah kempem 1 Malaysia dan 1 Ummah yang diwar-warkan oleh Kerajaan Dato' Najib Tun Razak.? Dapatkah ianya direalisasikan dengan budaya politik yang tak memilih isu dan tidak menjaga sensitiviti agama dan perkauman.?

Rayuan saya kepada pihak-pihak tertentu di Malaysia, berhentilah dari mensensasikan isu-isu yang bakal membakar semangat PERKAUMAN DAN KEAGAMAAN secara tidak bertanggung jawab. Jika mahu meraih sokongan parti politik, bertindaklah di dalam jalur undang-undang dan bertanggung jawab memelihara keharmonian antara kaum-kaum di Malaysia. Islam bukan satu agama yang menghuru-harakan kaum, malah ianya agama yang akan menjaga kebaikan dan kemaslahatan antara kaum jika ISLAM KEMBALI MEMERINTAH dengan wajah keadilan dan kerukunannya antara kaum yang pernah diukir di dalam lipatan sejarah dunia Islam, nescaya lebih ramai umat bukan Islam akan meyakini kewibawaan Islam sebagai DASAR BUDAYA MALAYSIA TERCINTA. Contohnya kerajaan minoriti Islam yang pernah memerintah majoriti kaum Kristian Koptik Mesir di Zaman Umar Ibnu al-Khattab melalui Gabenor belaiu 'Amru ibnu al-'As di Mesir.

___________________________________________

Kristian-Islam: Blogger ‘Bigdog’ tidak akan mohon maaf

Oleh Syed Mu’az Syed PutraMay 12, 2011

KUALA LUMPUR, 12 Mei — Dengan mempertahankan tulisannya, penulis blog “Bigdog”, yang mencetuskan provokasi berhubung dakwaan wujudnya konspirasi untuk menjadikan Kristian agama rasmi negara menegaskan, dia tidak akan membuat permohonan maaf atas laporannya, yang disifatkan banyak pihak sebagai fitnah.

Selain menjadikan Kristian agama rasmi negara, penulis blog itu juga mendakwa ia akan melantik perdana menteri dalam kalangan penganut agama itu.

Ekoran pendedahan penulis blog “Bigdog” itu, Utusan Malaysia telah memetik laporan tersebut dan disiarkan pada Sabtu lalu dengan tajuk “Kristian Agama Rasmi?” yang mendapat bantahan dan dikritik banyak pihak termasuk daripada pemimpin Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN).

Laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia itu turut disiarkan dalam beberapa blog pro-Umno.

Penulis blog tersebut yang enggan namanya didedahkan menerusi entri bertajuk “Making Christianity the official religion?” mendakwa paderi-paderi Kristian mahu perdana menteri dilantik daripada kalangan penganut agama itu.

Selain itu, nama Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi dari DAP juga diheret dalam tulisan blog berkenaan kerana beliau dilaporkan hadir bersama.

“Tidak (akan minta maaf), atas alasan apa saya perlu minta maaf? Kenapa saya perlu minta maaf? Kepada siapa saya harus minta maaf?

“Saya tidak akan minta maaf, saya tidak tahu sebab apa (perlu minta maaf), mereka perlu baca balik laporan saya itu, kalau tidak faham saya boleh jelaskan,” kata penulis blog “Bigdog” kepada The Malaysian Insider.

Ditanya sama ada laporan yang ditulis itu benar atau palsu, penulis blog “Bigdog” enggan memberikan sebarang komen.

Sebaliknya hanya berkata: “Saya tidak boleh cakap, sebab ia sudah jadi kes polis, sudah ada laporan polis dibuat.

“Jadi biar polis siasat dulu,” katanya.

Selain enggan meminta maaf, penulis blog itu juga enggan menarik balik laporan yang telah ditulis itu sambil menyifatkan tiada alasan untuk dia berbuat demikian.

Sebuah lagi blog yang turut mendakwa kewujudan konspirasi itu telah memadamkan entri-entri itu.

Selain blog “Bigdog”, blog “Marahku” merupakan blog yang dipetik Utusan Malaysia yang dalam laporan itu menuduh DAP mungkin terlibat dalam konspirasi tersebut.

“Buat apa saya perlu tarik balik? Saya tidak akan . . . biarkan sahaja ia di situ,” kata penulis blog “Bigdog”.

Blog “Bigdog” juga menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan rahsia antara DAP dan pastor-pastor di sebuah hotel di Pulau Pinang minggu lalu.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin DAP telah menafikan perkara tersebut sambil mengulangi pendirian mempertahankan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Penganjur program itu — Pertubuhan National Evangelical Christian Fellowship (NECF) bersama Global Day of Prayer, Marketplace Penang dan Penang Pastors Fellowship menegaskan dakwaan terhadap komuniti adalah pembohongan dan telah pun menafikan dakwaan blogger berkenaan.

The Malaysian Insider pagi semalam melaporkan sebuah blog pro-Umno mengecam pendedahan provokasi yang dibawa blogger “Bigdog”.

Blogger “Papa Gomo” menerusi entri “Negara Kristian — Tangkap Sumbat Dalam ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) Si Bigdog Ini” mengecam tindakan yang dilakukan “Bigdog” atas alasan mengeluarkan laporan berunsur fitnah dan tidak benar.

Selain itu, penulis itu juga mahu “Bigdog” ditahan di bawah ISA jika terbukti laporan yang dikeluarkan itu berunsur fitnah.

Reference:
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kristian-islam-blogger-bigdog-tidak-akan-mohon-maaf/

No comments: