MEMORANDUM GERAKAN MANSUHKAN ISA (GMI)KEPADA PERDANA MENTERI MALAYSIA
24 November 2011
1.0 PENDAHULUAN
Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang dianggotai lebih daripada 80 buah organisasi terdiri daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Parti-parti Politik, Badan Hak Asasi Manusia, Wanita, Mahasiswa, dan Pertubuhan Pekerja, mengutuk tindakan polis dan Kerajaan Malaysia menahan 13 orang dari Tawau, Sabah di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) antara 14 hingga 16 November lepas. Ini seperti yang disahkan oleh Ketua Polis Negara.
Pada hari ini GMI bersama dengan ahli keluarga 5 tahanan yang ditahan ingin menuntut Perdana Menteri supaya membebaskan semua tahanan tersebut atau bicarakan mereka. Keluarga menderita akibat kehilangan suami dan bapa tanpa sebab dan alasan. Keluarga menanggung malu akibat dakwaan berat tanpa bukti serta penahanan tanpa bicara di bawah ISA.
Tindakan penahanan ini amat dikesali kerana ianya bercanggah dengan pengumuman Perdana Menteri pada 15 September 2011 berkenaan dengan pemansuhan ISA. Ia bercanggah dengan hasrat beliau untuk melihat demokrasi yang lebih dinamik di mana keamanan and ketenteraman awam dipertahankan selari dengan ketinggian Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan rasa hormat terhadap hak asasi manusia. Sebaliknya ia menimbulkan keraguan serius terhadap kredibiliti dan janji Perdana Menteri tersebut. Ia menunjukkan semua proses ‘berjalan seperti biasa’ atau ‘business as usual’ dalam kerja melanyak hak asasi manusia. Perdana Menteri perlu berasa malu atas penangkapan ini!
Apakah rasional di sebalik penahanan ini? Adakah Perdana Menteri cuba memperdayakan rakyat Malaysia dengan sikap hipokrasi beliau?
Menurut sumber kami, setakat ini tuduhan ke atas 13 orang ini masih tidak jelas tetapi dipercayai mereka dikaitkan dengan keganasan.
Berikut adalah 11 daripada 13 nama-nama yang diketahui, ditahan di bawah ISA pada 14 dan 15 November 2011 (tidak rasmi):
Bil Senarai Nama Pekerjaan
1 Mohd Nazri Bin Dollah Guru Agama SMK Kinabutan
2 Yusof Bin Saripuddin Peniaga Ayam
3 Muhd Adnan Bin Umar Guru Pusat Tuisyen MJU
4 Muhd Abduh Bin Umar Pemandu Lori
5 Adwan
6 Faizal Bin Hamma PengedarAkhbarHarian
7 Joni @ Muadz PengedarAkhbarHarian
8 Azmi
9 Suriadi
10 Darto Bin Bandu Guru PusatTuisyen MJU
11 Bakar Bin Baba Guru SmkUmas-Umas
Tangkapan tersebut dilakukan oleh pegawai-pegawai polis dari Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/ Counter Terrorism) Bukit Aman di ketuai oleh DSP Azman bin Omar. Keluarga/Waris tahanan hanya dimaklumkan sehari kemudian yang mereka ditangkap di bawah Seksyen 73 (1) AKDN 1960 (ISA).
Penangkapan tanpa waran, tanpa notis atau dimaklumkan yang dilakukan di hadapan isteri dan anak-anak amatlah tragis. Situasi ini dilakukan oleh pihak polis yang lengkap bersenjata dengan cara yang kasar bagai satu rompakan. Komputer riba (laptop) dan sejumlah wang tunai turut dirampas.
2.0 PENCABULAN YANG BERLAKU
Isu utama dalam undang-undang pencegahan adalah penahanan tanpa bicara. Menahan seseorang di bawah akta-akta yang tidak memberikan peluang untuk perbicaraan dan proses membela diri di mahkamah adalah sesuatu yang menyalahi hak asasi manusia dan piagam hak asasi antarabangsa seperti yang termaktub dalam Fasal 9, 10, 11 dan 13, Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 dan juga Deklarasi Islam Hak Asasi Manusia Sejagat 1980; Fasal 9 dan 12, Kovenan Antarabangsa Hak Sivil dan Politik 1966; Fasal 12, Piagam Hak Asasi Manusia Malaysia dan Fasal 5, Perlembagaan Malaysia.
Ia juga bercanggah dengan semua kepercayaan agama kerana prinsip keadilan tidak boleh digadai semata-mata dengan alasan umum keselamatan negara yang tidak terbukti dan penuh syak wasangka.
Prinsip tiada seorang pun bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah adalah asas utama dalam persoalan penahanan tanpa bicara. Sekiranya ia tidak dihormati dan adanya pula peruntukan kuasa yang berlebihan di tangan kerajaan dan polis, maka undang-undang seperti ini seringkali disalahgunakan untuk mempertahankan kedudukan pihak kerajaan dan polis yang sering gagal untuk membuktikan sebarang individu yang ditahan di bawah akta ini.
Tambahan pula jika tuduhan dan dakwaan yang dibuat mendahului siasatan dan sesi perbicaraan. Pelbagai tohmahan dan fitnah boleh sahaja disebutkan sewenang-wenangnya sama ada oleh Menteri Dalam Negeri, Polis atau media seperti apa yang berlaku sekarang terhadap 13 tahanan tersebut. Tiada satu pun dakwaan tersebut perlu dibuktikan di bawah ISA!
3.0 BN Tidak Boleh Hidup Tanpa ISA
Penahanan terbaru ini mengesahkan kesangsian yang terdapat di kalangan rakyat Malaysia berkenaan keseriusan Kerajaan dalam pemansuhan ISA. Kini ianya amat pasti bahawa pengumuman oleh Perdana Menteri itu tidak jujur dan hanyalah untuk kepentingan survival politik beliau dan UMNO-Barisan Nasional. Apatah lagi, Menteri dalam Negeri, Hishammuddin Hussein telah mengesahkan bahawa elemen tahan tanpa bicara tetap dikekalkan walaupun setelah ISA dimansuhkan.
Tidakkah mereka sedar bahawa antara asas utama rakyat mahukan ISA dimansuhkan ialah kerana elemen tahan tanpa bicara tersebut? ISA adalah akta yang zalim kerana ia membenarkan penahanan tanpa bicara.
Kerajaan UMNO/BN memang tidak boleh bertahan tanpa ISA. Kerajaan UMNO/BN memerlukan alat politik ini untuk terus berkuasa dan mewujudkan ketakutan di kalangan rakyat Malaysia. Tindakan penggunaan ISA akan memberi tamparan hebat kepada kerajaan BN dalam pilihanraya akan datang kerana ianya melemahkan proses perubahan dan demokrasi luas yang dijanjikan oleh Perdana Menteri.
Walaupun benar ISA masih wujud dan boleh digunakan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak, tetapi apa juga penahanan di bawah akta tersebut dalam tempoh sekarang menambah kesangsian dan persoalan terhadap kejujuran Perdana Menteri. Rakyat merasa tertipu dengan penggunaan ISA secara rahsia tersebut [tiada pengumuman dibuat oleh polis tentang penahanan 13 orang di bawah ISA sehinggalah ianya didedahkan oleh ahli keluarga].
4.0 PENDIRIAN GMI
Mansuhkan ISA Sekarang
GMI ingin mengingatkan Perdana Menteri bahawa sejak beberapa dekad yang lalu, beribu-ribu orang telah ditahan tanpa bicara di bawah ISA bukan untuk apa yang mereka lakukan atau katakan tetapi berdasarkan tuduhan tanpa bukti dan sering palsu daripada pihak ketiga. Malah sudah terbukti dalam pendedahan oleh ramai bekas tahanan bahawa tuduhan tersebut berniat jahat, mala fide dan bermotif politik.
Pemansuhan ISA sudah lama tertangguh. Akta tersebut dengan segala kandungannya yang menyalahi keadilan dan hak asasi manusia mesti dihapuskan, bukan sekadar diganti dengan akta-akta baru yang berbeza nama tetapi mengekalkan kandungan bermasalah.
Menurut Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu tentang Penahanan Arbitrari (UNWGAD) dalam laporannya pada 8 Febuari 2011, ISA tidak lagi diperlukan dengan pindaan yang telah dibuat ke atas Kanun Acara Jenayah (Penal Code) yang meletakkan keganasan sebagai satu jenayah yang spesifik di bawah Undang-undang Malaysia.
GMI dengan ini mendesak Perdana Menteri dan Kerajaan untuk:
I. Membuktikan kemahuan politik yang kukuh untuk menamatkan penahanan tanpa bicara dengan membentangkan usul mansuhkan ISA di Parlimen pada sesi kali ini atau sebelum Parlimen dibubarkan untuk Pilihan Raya;
II. Memansuhkan terus undang-undang zalim seperti Ordinan Darurat (EO) dan Akta Dadah Merbahaya (DDA);
III. Membebaskan semua tahanan ISA termasuk tahanan terbaru, dan EO dengan serta merta atau dakwa mereka di mahkamah terbuka;
IV. Tidak menggubal akta baru yang mempunyai ciri-ciri yang bercanggah dengan prinsip keadilan dan hak asasi manusia seperti tahan tanpa bicara, tiada semakan mahkamah dan kuasa yang melampau kepada polis dan Menteri Dalam Negeri;
V. Semua mangsa ISA perlu dibayar pampas setara dengan penyeksaan dan pengalaman pahit yang telah dilalui oleh tahanan dan keluarga;
VI. Semua pemuka yang terlibat dalam menyeksa dan menganiaya tahanan ISA mesti dibawa ke muka pengadilan;
VII. Amanah dalam melaksanakan pelbagai prinsip yang ditegaskan oleh Perdana Menteri dalam ucapannya pada 15 September 2011, bukan sekadar manis di bibir. Ternyata dengan penahanan ISA terbaru, prinsip yang ditegaskan oleh Perdana Menteri tidak membawa apa-apa makna kepada polis atau Menteri dalam Negeri;
VIII.Melaksanakan kajian semula dengan segera dalam tempoh yang spesifik terhadap undang-undang yang menghadkan kebebasan rakyat dan media seperti Akta Polis dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan;
IX. Patuh kepada piagam hak asasi manusia antarabangsa dalam soal berkaitan dengan aktiviti anti-pengganas dan melakar pelan jangkamasa panjang untuk negara dalam membangun mekanisme untuk menangani keganasan tanpa menjejaskan hak-hak asas dan prinsip keadilan; dan
X. Menandatangani dan meratifikasi International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR) dan Convention Against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment (CAT)
Memorandum ini disediakan oleh Gerakan Mansuhkan ISA kepada BN Backbenchers dan Ketua Pembangkang.
Syed Ibrahim Syed Noh
Pengerusi
Gerakan Mansuhkan ISA
Friday, November 25, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment