Monday, November 28, 2011

FJP Pertahankan Islam dan Perlembagaan Mesir

IKHWANUL MUSLIMUN MELALUI FREEDOM AND JUSTICE PARTY (HIZBU AL HURRIYAH WAL 'ADALAH) MEMPERTAHANKAN ARTIKEL 2 PERLEMBAGAAN REPUBLIK ARAB MESIR

Oleh: Shamsul Ma'arif Hj Ismail

29 November 2011/2 Muharram 1433H

Perkembangan politik dan sosial yang berlaku di bumi Mesir sangat mengujakan. Setelah sekian lama Ikhwan diharamkan dan Regim Hosni Mubarak tidak meluluskan permohonan Ikhwanul Muslimun (IM) untuk menubuhkan sebuah parti politik telah berubah pasca revolusi. Kebebasan IM untuk bergerak dan kelulusan Parti Kebebasan dan Keadilan yang ditubuhkan Ikhwan kini membantu mencorakkan suasana baru bagi umat Islam di Mesir. Bahkan kumpulan Salafi yang dulunya tidak mahu melibatkan diri dalam politik pun turut terlibat dalam unjuk rasa dan penglibatan politik demokrasi.

Ikhwan mewajibkan seluruh anggotanya menjadi ahli kepada parti baru mereka namun parti Kebebasan dan Keadilan adalah parti terbuka untuk semua rakyat Mesir walaupun beragama bukan Islam. Parti baru ini tidak dikawal melalui arahan IM Mesir secara terus namun semua pimpinan parti ini adalah daripada pimpinan utama Ikhwan dan menjayakan agenda Ikhwan dengan kuasa pentadbiran yang independan. Parti ini terus menjaga dan memelihara dasar-dasar Islam dan menyokong dasar Islam dalam perlembagaan Mesir seperti dalam article 2 ( Constitutional Declaration 2011) "Islam is the religion of the state, and the Arabic language is its official language. The principles of Islamic law are the chief source of legislation. "

Keperihatinan Ikhwan menyokong dan mempertahankan dasar Islam di dalam perlembagaan yang diproklamasikan oleh Majlis Tentera adalah bertepatan dengan dasar-dasar Islam yang diperjuangkan Ikhwan. Meskipun parti mereka Hizbu Hurriyah wal Adalah adalah parti yang diasaskan mengikut kehendak perlembagaan yang melarang wujud parti basis agama dan bangsa, mereka tetap menjaga dan memelihara dasar dan perjuangan Ikhwan. Sudah tentu ini menggambarkan kebijaksanaan dan pemeliharaan prinsip teras yang wajar sentiasa dipelihara.

Setiausaha Agungnya Dr. Mohamed Saad Katatni, (Secretary-General of the Freedom and Justice Party (FJP) menjelaskannya kepada wartawan Al-Jazeera malam tadi.

Pendirian bijak Ikhwan ini hendaklah menjadi input dan pengajaran kepada parti-parti baru yang ingin menubuhkan usaha politik di negeri masing-masing. Meskipun adanya anggota pengasasnya terdiri dari Coptic Kristian dan Wanita namun semua mereka telah menerima dasar-dasar Islam di dalam parti dan juga menjunjung Artikel 2 yang menjadikan Islam sebagai agama bagi negara dan bahasa arab sebagai bahasa resmi. Prinsip undang-undang Syariah adalah sumber utama Legislasi.

Gerakan Islam yang ingin mengambil kesempatan ruang politik janganlah sesekali menjual prinsip perjuangan mereka demi mendapatkan restu dan kuasa yang singkat. Rakyat bukanlah penentu kebenaran, namun Islam lah asas dan dasar yang harus dipertahankan sesuai dengan perjuangan Nabi-nabi dan rasul yang seringkali mendapat bantahan kaum mereka. Sikap mencairkan prinsip atas nama demokrasi dan kebebasan bukan hanya bertentang dengan prinsip akidah namun akan mengheret gerakan Islam ke kancah perpecahan ummah.

Ketika ditanya oleh wartawan Jazeera apa bezanya Parti Hurriyah wal Adalah @ FJP berbanding dengan Pari AKP di Turki, SU Agung Parti menjelaskan bahawa keadaan politik yang berperlembagaan sekular di Turki sejak dulu lagi adalah berbeza dengan Mesir yang menjadikan Islam sebagai agama negara. Sesungguhnya ini adalah jawapan yang sangat tepat. Waqik atau realiti Turky bukan menjadi asas pendekatan yang sama. Parti AKP yang cenderung kepada Islam bertindak dalam kerangka perlembagaan Turki yang sekular manakala Parti FJP (Parti IM) bergerak dalam kerangka perlembagaan Mesir yang menjadikan Islam agama negara sudah tentu punya ruang yang lebih luas dan Islamik.

Di Libya, Majlis Peralihan (NTC) juga mengambil pendekatan ini. Morocco yang baru menerima kemenangan Parti Keadilan dan Pembangunan mungkin akan mengambil pendekatan yang sama. Mereka yang menggunakan sistem propotional representation perlu bekerjasama dengan parti-parti lain yang memenangi pilihanraya baru-baru ini.
Ada maklumat mengatakan mereka akan bekerjasama dengan parti politik yang cenderung menyokong Raja Morocco yang telahpun mengurangkan sedikit kuasa mutlaknya kepada kuasa rakyat bagi mengelakkan kemarahan rakyat terhadap kezaliman raja-raja yang memerintah sebelum ini.

Perubahan lanskap politik Mesir telah membuka peluang kepada kumpulan Islam. Namun dalam masa yang sama juga membuka peluang kepada golongan liberal dan sosialis. Ianya juga membuka ruang kepada gerakan hak asasi manusia melalui pemuda-pemuda Mesir yang condong kepada Barat. Jesteru apapun yang telah berlaku memberi ruang yang luas kepada demokrasi yakni kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Peristiwa seorang gadis muda Mesir yang mendedahkan seluruh tubuhnya di dalam Face Book mendapat kecaman hebat dari seluruh rakyat Mesir yang masih mempertahankan jati diri masyarakat Timur. Walaupun begitu wanita-wanita Israel dengan bangganya menubuhkan fan group dan menyokong gadis Alia El-Mahdy ini sebagai tanda sokongan kepada sekularisasi dan liberalnya atas nama kebebasan mutlak individu.

Sejak kebangkitan rakyat yang disokong oleh Majlis tentera keadaan politik masih belum stabil. Setelah 10 bulan selepas tamatnya Regim Hosni Mubarak, seramai 50 juta pengundi akan memilih wakil mereka di parlimen. Dimaklumkan 50 buah parti terlibat dalam Pilihanraya pertama kali ini. Meskipun demikian Pilihanraya di Mesir semalam telah mendapat sokongan luar biasa rakyat. Peratus keluar mengundi meningkat walaupun ada sesetengah tempat mengundi menghadapi krisis pengurusan pilihanraya. Namun golongan wanita antara yang awal keluar mengundi.

Proses peralihan dari kerajaan tentera yang sifatnya sementara kepada kerajaan awam adalah hasrat rakyat yang telah melakukan revolusi tempohari. Namun adanya usaha melewat-lewatkan proses ini serta wujudnya anasir luar dan asing yang mahu menghuru harakan keadaan, melakukan demonstrasi tidak terkawal, membakar bangunan kerajaan, serta mewujudkan rasa tidak tenteram hubungan antara Islam dan Kristian dicetuskan oleh golongan yang mahukan kerajaan Tentera terus berkuasa atau mahukan kerajaan yang wujud selepas ini semaklin liberal dan condong kepada Barat.

Sekarang terpulanglah kepada rakyat Mesir untuk menentukan destini mereka. Semoga Islam yang sudah sekian lama mendarah daging dalam jantung umat dan pendekatan bijak Ikhwan sejak sekian lama serta perpaduan umat Islam di Mesir memungkinkan rakyat memilih kepimpinan dari kalangan mereka yang memperjuangkan Islam dan memungkinkan kemenangan besar parti-parti yang cenderung kepada Islam. Dari kajian yang dibuat 40% rakyat akan memilih Parti politik dari IM.

Akhirnya dakwah dan kebebasan untuk menyebarkan fikrah Islam itulah pra syarat kepada kemenangan Islam. Kuasa semata-mata tanpa ada dokongan masyarakat dan ummah tidak akan membawa kuasa itu kemana-mana. Serangan pemikiran dan perubahan yang di dokong kepentingan Barat akan terus berusaha melebarkan pengaruh mereka di kalangan generasi muda. Tanpa adanya ketahanan dan keteguhan iman generasi muda akan hanyut diganyang idea-idea Barat dan faham liberalisme serta libertarianisme yang menjadikan hak individu sebagai satu yang sacred dan suci tanpa adanya pengaruh agama di dalam masyarakat.

Semoga Allah SWT memberi taufik dan inayah serta kejayaan bagi umat Islam di Mesir mengharung hari-hari penentu yang akan menyerlahkan keamanan, kebebasan yang didasari agama Islam serta kebaikan ekonomi dan pendidikan bagi Rakyat Mesir.


https://mail.google.com/mail/h/8vxpkh98ogdt/?&v=c&th=133ed32303feb578

No comments: