Friday, July 9, 2010

IKRAM Organisasi Dakwah di Persada Tanah Air Malaysia.

Ikram gerakan dakwah baru yang macam mana?

Oleh:
Prof. Dr. Badlihisham Mohd Nasir

Kemunculan Ikram yang mendakwa sebagai sebuah gerakan dakwah cawangan Ikhwan baru-baru ini menarik perhatian ramai pihak. Mungkin jika tidak muncul isu Dr. Asri dan gerombolan ilmuannya menyertai Umno, Ikram mungkin menjadi pilihan pengulas politik untuk melihat kewujudan sebuah faksi Islam yang menyertai atau sekurang-kurangnya lunak dengan Umno.

Dakwaan IKRAM menyertai politik atau secara khususnya Umno mungkin terlalu awal atau dangkal untuk dianalisis dalam sebuah kertas kerja. Tetapi bagi mereka yang sangat berpengalaman dengan sebuah gerakan yang mendakwa mempunyai akarnya kepada kepada Ikhwan Muslimin (Alami) Mesir, ia bukanlah suatu yang rumit untuk melihat ke manakah arah dan haluan yang akan ditempa oleh gerakan ini. Walaupun ia mendakwa untuk menumpukan fokusnya sebagai sebuah gerakan dakwah yang terbuka, ia tidak terlepas dari kaitannya dengan politik semasa.

Perlu difahami bahawa IKRAM bukan sebuah pertubuhan dakwah seperti Jemaah Tabligh Perkim, Yadim, Hikmah atau agensi kerajaan yang lain. Ia bukan gerakan dakwah yang hanya bergiat dalam ertikata dan aktiviti yang sempit seperti kebajikan dan pendidikan semata-mata. Fahaman Ikhwan terhadap dakwah adalah ingin menegakkan tuntutan Islam yang syumul khususnya dalam politik bagi merealisasikan semua objektif pelaksanaan Islam dengan lebih berkesan.

Oleh itu, samada suka atau tidak, terbuka atau berselindung gerakan ini tidak dapat lari dari hakikat terlibat dalam politik. Justeru apakah kehadiran mereka ini akan menambah kekuatan force politik gerakan Islam atau sebaliknya melemahkannya lagi. Jika ianya positif apakah potensi yang dapat dikembangkan, jika sebaliknya apakah kehadirannya akan dapat menyaingi gerakan Islam semasa dan seterusnya dimanipulasi oleh musuh gerakan Islam bagi memecahbelahkan kebangkitan Islam itu sendiri.

Bagi mereka yang baru dalam dakwah dan ingin melihatnya sebagai suatu perkembangan biasa, ia bukanlah suatu isu. Tetapi bagi aktivis gerakan Islam, gerakan ini mempunyai kaitan sejarah yang agak kontroversi khususnya di mata pendokong ABIM dan PAS. ABIM dan PAS yang sangat terkesan ekoran dari infiltrasi yang dilakukan oleh IRC. Semua ini dilakukan oleh IRC yang menjadi root kepada kebangkitan baru ini di atas nama dakwah dan tarbiyyah. Dakwah dan tarbiyyah adalah lebih utama dan aula dari perjuangan politik kepartian. Hal yang sama juga dilakukan oleh Arqam apablia menyatakan apakah perjuangan Islam ini dimonopoli oleh gerakan politik sahaja. Tetapi mereka ini dilihat tetap mempunyai kecenderungan politik sehingga Abuya mendakwa bahawa beliau berhak dan berpotensi bagi mengantikan kepimpinanan politik Malaysia malahan dunia suatu hari nanti.

Kedatangan Arqam menyukarkan PAS yang terpaksa menerima kritikan Abuya terhadap perkembangan Syiah di dalam parti itu. Ketika Arqam berpengaruh, PAS tidak dilihat sebagai sebuah gerakan dakwah walaupun politik adalah memenuhi tuntutan makna dakwah Islamiah. PAS pula sukar menyatakan sokongannya secara terbuka kepada Arqam justeru pembabitan gerakan itu dalam isu akidah dan sebagainya.

Apakah kehadiran IKRAM dalam bentuk sebuah gagasan yang memayungi beberapa gerakan seperti JIM, Haluan, Isma dan lain-lain tidak membayangkan IKRAM lebih dominan dari PAS yang telah pun berusaha memayungi gerakan Islam menerusi naungan politiknya. Apakah naungan dakwah yang diusahakan oleh IKRAM itu lebih ampuh dan mampu merentasi perbezaan politik antara PAS dan UMNO atau hanyalah sebuah retorik semata-mata kerana perbezaan ideologi politik inilah yang membezakan status mereka sebagai sebuah gerakan Islam atau sebaliknya. Apakah percubaan ini tidak dilihat sebagai ulangan cadangan penyertaan ahli-ahli IRC ke dalam PAS dan UMNO bagi menguasai kepimpinan kedua-duanya, tetapi dalam bentuk yang lebih terbuka bagi mengelakkan prasangka.

Dakwaan afiliasi IKRAM dengan Ikhwan juga dipertikaikan PAS justeru Ikhwan tidak pernah mempunyai cawangannya secara rasmi di negara ini. Faksi Ikhwan Alami yang kononnya mewakilkan IKRAM sebagai cawangnnya di negara ini hanyalah pandangan segelintir pihak di dalam Ikhwan. Secara rasminya Ikhwan mempunyai hubungan baik dengan PAS dan mendapat restu untuk bergerak dalam politik justeru ruang luas yang milikinya berbanding gerakan itu di Mesir. Apakah IKRAM masih sanggup menggunakan logo Ikhwan bagi menjustifikasikan keutamaan dakwah berbanding politik dan seterusnya menyaingi PAS dalam arus kebangkitan Islam di negara ini.

Semua ini walaupun dapat dijawab oleh pimpinan IKRAM seperti melalui hujah harus berbilang-bilang jemaah atau Adab Ikhtilaf dan lain-lain, ia tidak dapat mengelakkan diri dari menjadi saingan PAS. Mungkin dalam masa lima tahun atau setelah merasakan dirinya kuat dan dikehendaki, IKRAM boleh mengistiharkan dirinya sebagai sebuah parti politik atau menjadi afiliasi politik kepada mana-mana parti politik yang hauskan imej dan pendekatan Islam yang berbeza dengan PAS. PAS pastinya tidak mahu sebuah organisasi yang mempunyai matlamat yang sama dengannya kerana ia lebih banyak menyukarkan parti itu dari menyenangkannya. Setidak-tidaknya ia menyukarkan proses kaderisasi di kalangan penuntut Institusi pengajian tinggi oleh PAS. Hal ini telah lama berlaku kepada ABIM yang sehingga kini telah kehilangan penguasaannya di univerisiti tempatan. Itu belum dikira lagi dengan saingan dari Kelab UMNO atau aliran fahaman mazhab dan gerakan Islam luar negara turut mengintai peluang.

Hal ini telah dijawab dengan mudah oleh kepimpinan PAS seperti Mursyid Amnya Tuan Guru Nik Abdul Aziz bahawa parti Islam itu boleh bubar jika apa yang diperjuangkannya boleh dipenuhi oleh UMNO. Tidak timbul isu PAS ingin menjadi penaung atau ketua dalam konteks politik malah apatah lagi dakwah. Politik tidak dapat dinafikan lagi melibatkan persaingan hatta pada tahap dalaman sesebuah organisasi apatah lagi jika ia diwakili oleh parti yang berbeza ideologi atau pendekatan.

Cadangan Adab Ikhtilaf bagi mengatasi masalah ini di kalangan gerakan Islam sehingga kini nampaknya tidak berkesan. Ia mungkin boleh diwar-warkan di peringkat teori namun amalannya sangat kurang apatah lagi gerakan Islam masih jarang duduk semeja membincangkan masalah mereka secara terbuka. Mungkin ini boleh menjadi fokus utama IKRAM dalam merealisasikan pendekatan ummah centric yang mereka dakwa lebih utama dari dari parti centric yang menjadi amalan PAS. Jika ini dapat diusahakan oleh IKRAM ia akan dilihat bermakna dalam konteks islah di negara ini. Jika ia merelakan dirinya dijadikan wadah bagi melindungi penyelewengan dan kepalsuan politik menerusi program-program dakwahnya, niat IKRAM untuk menerajui kebangkitan Islam menerusi gagasan dakwah tidak akan ke mana-mana. Sejarah silam perlu dijadikan renungan oleh IKRAM dalam menempatkan dirinya di kancah perjuangan Islam yang tulin di negara ini.

Reference:
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=27480:ikram-gerakan-dakwah-baru-yang-macamana&catid=97:pendapat-dan-analisis&Itemid=131
_________________________

Saudara Pembaca yang dikasihi,

Gerakan Islam di Malaysia seharusnya merasa selesa dan gembira kerana hadir sebuah lagi Organisasi Dakwah dan Islah Ummah bagi merancang, mengatur strategi dan membantu menguatkan Tapak Kuasa Gerakan berorientasikan Islam dalam mencapai hasrat sebuah Negara yang mempunyai Hakimiyatu Lillah wahdah. Gerakan berpaksikan Islam, tidak mudah diperalat dan dijual beli dengan harga yang sangat murah. Ini pastilah berlaku kepada Individu, Pertubuhan, Organsasi Dakwah atau Profesional, komersil atau kebajikan dan sebagainya. Maka tidak perlulah ditimbulkan keraguan 'skeptikal' dengan kehadiran IKRAM, kerana mereka adalah saudra kamu di dalam Islam yang hadir mengukuhkan lagi sosok perjuangan Islam. Bantulah dan sokonglah mereka biar pun dari latar belakang yang bagaimana sekali pun, kerana Organisasi ini adalah Dakwah dan Islah. Golongan yang memahami Tarbiayah, Harakah, Tajdid dan Islah akan memahami matlamat dan misi kehadiran IKRAM di Malaysia.

Imam al-Banna memperkenalkan Politik Dakwah yang berorientasikan pentarbiyahan Umat manusia agar mereka memahami Islam sebagai suatau sistem yang syumul - menyeluruh merangkumi seluruh sudut dan aspek kekuatan; Kitab dan Pedang - Ilmu Islam dan persiapan kekuatan Umat dari setiap cabang urusan membina ketamadunan. Asas Tarbiyah bina Insan Soleh dan Musleh adalah paksi Gerakan Dakwah Islamiah. Jika ianya menubuhkan cabang-cabang organuisasi naugannya atau berikat dengan penggabungan dengan wadah-wadah lain dalam bentuk kerja sama atau 'tahaluf', maka tujuan-tujuan Islam hubungan Sosio-politico-econominya serta administrasinya (Tandzimi)mestilah berteraskan Islam dan Kebenaran Ilmu pengetahuan yang sahih. Sebarang bentuk pelanggaran piawaian-piawaian paksi di dalam perjuangan Islam dianggap sebagai mempersiapkan diri dan masyarakat serta negara ke lembah kebinasaan dan kegagalan usaha memartabatkan Islam yang memerintah dan perlaksanaan keKhilafahan di muka bumi.

IKRAM insya Allah boleh bekerja sama dengan badan-badan Islam yang sedia ada. Dan ianya tidak akan menjadi saingan meroboh atau membinasakan yang lain. IKRAM tetap meraikan keutuhan Persaudaraan Islam dan Kemanusiaan. Inilah yang diungkapkan dengan Ukhuwwah Teras Kegemilangan. Organisasi-organisasi politik Islam tetap akan mendapat dokongan dan sokongan sebaiknya selama ianya masih mengekalkan matlamat menegakkan dan mendaulatkan Islam, Dakwah dan pemerintahan kekhalifahan Islam di mana-mana pelosok muka bumi Allah swt...BINALAH TARBIYAH, KEKUHKANLAH JAMAAH, LAKUKANLAH ISLAH dan TUBUHKANLAH DAULAH ISLAMIAH.

Abu Muhammad El-Merbawiy
Sura Hujung Dungun Malaysia

No comments: