Optimumkan ekonomi negara Islam
Oleh
SITI AINIZA KAMSARI
Gambar HANAFI KHAMIS
Najib Tun Razak dan Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaffar tekun mendengar syarahan Dr. Ali Al Amin Mazrui.
DILAHIRKAN pada tahun 1933 di Mombasa, Kenya, Prof. Dr. Ali Al Amin Mazrui merupakan tokoh akademik, penulis politik dan komentator terkenal mengenai Islam.
Antara yang menjadi catatan dan pemikiran beliau termasuklah:
l Bolehkan manusia memodenkan ekonomi tanpa membaratkan budaya mereka?; Orang Jepun selepas Pemulihan Meiji pada 1868 menjawab: "Kami boleh!" Orang Turki di bawah Mustafa Kamal Atarturk menjawab: "Tidak boleh"; Orang Afrika di bawah pemerintahan penjajah menjadi kebaratan tanpa menjadi moden. Orang Islam? Masih memikirkan jawapannya!
l Agama Semit (Samawi) yang paling berjaya dalam menghadapi impak dunia adalah Kristian. Bahasa Semit yang paling berjaya dari segi penyebarluasan ialah Bahasa Arab.
Orang Semit yang paling berjaya dalam pencapaian yang tidak seimbang ialah Yahudi. Orang Islam? Adakah akan merapatkan jurang pencapaian dalam abad ini?
l Anak-anak dalam dunia Islam menghormati ibu mereka lebih daripada anak-anak di Barat tetapi suami dalam dunia Islam kurang menghormati isteri mereka berbanding suami di Barat!
l Dalam sejarah semasa Islam, orang Arab masih mendahului dalam teologi, Parsi mengungguli dalam kesucian dan revolusi, Turki menjadi peneraju daripada empayar kepada sekularisme, benua kecil India menunjukkan jalan daripada pemberian kuasa politik wanita kepada tenaga nuklear.
Baru-baru ini beliau menyampaikan syarahan pemikiran provokasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bertajuk 'Abad Islam: Mitos Atau Realiti?' dalam Siri Syarahan Perdana Putrajaya.
Dalam syarahannya, Ali mengajak melihat kedudukan umat Islam terutamanya dalam aspek sejarah dan sumbangan terhadap dunia.
Malah daripada senario yang berlaku itu ada antaranya merupakan kenyataan yang sangat pahit di telan.
Kata beliau, pada saat ini terdapat tiga negara Islam yang berada di bawah pendudukan tentera iaitu Iraq, Afghanistan dan Palestin.
Katanya, ada juga penduduk Islam lain yang diintegrasikan secara paksaan dan kadang kala secara kejam ke dalam sistem negara yang lebih luas.
"Ini termasuklah puak Chechen di bawah pendudukan Rusia, Kashmir di bawah pemerintahan India dan etnik Albania di Kosovo dengan kesemuanya seperti tidak ada harapan untuk menentukan pemerintahan sendiri," katanya.
Hadir sama pada sesi syarahan itu Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak. Ia ditaja oleh Yayasan Al Bukhari.
Namun yang lebih tragis kata Ali, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, sekurang-kurangnya satu juta umat Islam terbunuh di Afghanistan, Iraq, Gujerat, Kashmir, Palestin dan Chechnya.
Sejak Perang Teluk 1991, katanya, sejuta lagi umat Islam dibunuh atas nama sekatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Iraq dan kekejaman Serbia di Bosnia serta Kosovo.
Ini termasuk yang terbunuh akibat pendudukan tidak berperikemanusiaan Israel di Tebing Barat dan Gaza, Palestin.
"Membilang jumlah kematian di dunia secara keseluruhannya sejak 1990, umat Islam merupakan kalangan manusia yang 'menjadi mangsa dosa' daripada berbuat dosa," kata Ali.
Beliau yang juga Pengarah di Institut Pengajian Kebudayaan Global menarik perhatian hadirin dalam menyifatkan tindakan Israel menyusup masuk ke tanah Palestin ibarat kisah unta dengan pengembara Arab.
"Pada suatu malam, keadaan di padang pasir yang sangat sejuk, seekor unta merayu kepada orang Arab untuk menumpangkan kepalanya di dalam khemah untuk berlindung dan memanaskan badan.
"Orang Arab yang kasihan melihat unta yang tidak dikenali itu membenarkan unta tersebut memasukkan kepalanya. Kemudian unta tersebut meminta perlindungan untuk leher, kemudian bonggol dan akhirnya sehingga ke bonggol kedua, semua itu dibenarkan 'masuk' ke dalam khemah.
"Akhirnya tinggal ruang yang sangat kecil untuk orang Arab itu berlindung dalam khemahnya sendiri.
"Unta itu tidak ubah seperti pergerakan Zionis dan orang Arab dan khemah pula wakil kepada bangsa Palestin." kata Ali.
Sedangkan pengisytiharan Balfour 1917 menyebut tidak ada apa-apa sepatutnya dilakukan hingga boleh menjejaskan hak awam dan agama komuniti bukan Yahudi sedia ada.
Namun semua itu tidak memberikan makna berbanding apa yang telah dilakukan oleh Zionis terhadap umat Islam Palestin pada hari ini.
Jelas sekali kata Ali, korban terbesar dalam Pax Americana yang baru adalah umat Islam.
Umat Islam juga menjadi korban ekonomi terbesar dalam globalisasi pimpinan Amerika yang menyaksikan Afrika yang majoriti penduduknya beragama Islam terjejas teruk.
Sehubungan itu, Ali menyarankan supaya umat Islam berusaha mengoptimumkan ekonomi.
Dengan kekayaan yang dianugerahkan melalui minyak, ia sepatutnya boleh digunakan untuk mengukuhkan ekonomi Islam.
"Arab Saudi negara yang menempatkan tempat paling suci dalam Islam (Mekah dan Madinah) juga merupakan pemilik simpanan minyak terbesar dunia.
"Sementara Iraq yang menempatkan beberapa tempat suci penganut Islam Syiah, mempunyai simpanan minyak kedua terbesar dunia. Komposisi Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Minyak (OPEC) sekurang-kurangnya dua pertiga terdiri daripada negara-negara Islam," katanya.
Namun kata Ali, ketika ini kekayaan hasil minyak itu seolah-olah menjadi sumpahan kepada umat Islam hingga mereka gagal untuk berdepan dengan strategi barat terutama Amerika Syarikat.
Menurut Ali, kekayaan daripada minyak di dunia Arab kini 'mencabar' umat Islam supaya mengenal pasti ke mana perginya hasil ekonomi yang sah walaupun kita tidak menafikan kekayaan minyak juga boleh menjadi sumpahan kepada kelemahan ketika berdepan dengan strategi global empayar Amerika.
Hasil minyak tidak dibahagikan dengan seimbang dan tidak digunakan untuk menjana ekonomi umat Islam.
Sebaliknya, kekayaan itu digunakan untuk menunjuk-nunjuk dengan membina pelbagai binaan yang pelik-pelik sebagai lambang kemajuan.
Akibatnya, kekayaan daripada hasil minyak itu telah menyebabkan terhakisnya budaya atas nama kemajuan.
"Kebanyakan bandar asal Islam di tanah suci Arab dicemari oleh bangunan-bangunan aneh.
"Zaman ketika kekurangan air di Tanah Arab ini lebih murni kerohaniannya berbanding era baru yang kaya dengan limpahan minyak ini," ujarnya.
Namun agak menarik apabila Dr. Ali menyentuh mengenai program nuklear Pakistan yang dibantu oleh China.
"Adakah ini menunjukkan Pakistan menyahut seruan supaya umat Islam menuntut ilmu hingga ke negeri China.
Adakah baginda SAW telah mempelajari mengenai China semasa berulang alik berdagang antara Mekah dengan Syria termasuk ketika membawa dagangan bagi pihak isteri baginda, Khadijah?
"Adakah baginda mengetahui lebih awal kebimbangan Samuel Huntington mengenai kemunculan gabungan antara negara Islam dengan negara yang mewarisi ajaran Confucius, pada penghujung abad ke 20," katanya.
Huntington sebelum ini amat bimbang mengenai gabungan antara China dan dunia Islam.
Ali juga positif mengenai masa depan umat Islam yang katanya agama itu dapat 'menjinakkan' dunia terutamanya dalam mengekang kuasa Amerika apabila abad Islam membuka tirai sekitar tahun 2050.
"Daripada ketegangan yang wujud antara Amerika Syarikat dengan dunia Islam, sebuah tamadun yang lebih bersifat kemanusiaan akhirnya akan wujud juga," kata Ali.
Reference:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm
Monday, May 31, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment