Perjuangkan Islam, bukan bangsa
Oleh:
Nasrudin Hassan at-Tantawi
Ironisnya situasi pasca PRU ke 12 ini apabila pelbagai pihak cuba menjadi juara dalam menangani isu ketuanan Melayu. Kononnya Melayu dilihat terhimpit dan kian terhakis. Keputusan pilihanraya umum yang lalu antaranya dianggap sebagai indeks yang menunjuk aras kedudukan melayu masa kini kian tercabar.
Kekalahan Umno dan BN dalam pilihanraya umum yang lalu khasnya di 5 buah negeri yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat [termasuk Perak sebelum ianya dirampas oleh Umno] dianggap sebagai kejatuhan dan kemusnahan bangsa Melayu .
Saya nyata sangat tidak bersetuju dengan tanggapan sedemikian, sebaliknya melihat bahawa ini adalah usaha Umno dan BN untuk menutup atau melindungi aib mereka lantaran kalah teruk dalam PRU ke 12 lalu. Menyembunyikan kegagalan mereka (sehingga kini antara mereka masih bertelagah dalam menuding antara satu sama lain agar mengambil tanggungjawab atas kekalahan mereka) lalu menganggap Melayu dan ketuanannya kini lemah dan tercabar .
Bertolak dari isu yang mereka cipta, gelombang kebangkitan dan pemulihan ketuanan melayu mula digerakkan. Pada mereka apabila Umno kalah maka Melayu kalah. Walhal Umno tidak lagi dilihat mewakili orang Melayu sebaliknya perjuangan Umno lebih tertumpu kepada golongan elit dan kroni para pemimpin mereka sebagaimana ianya pernah diakui oleh Tengku Razaliegh Hamzah.
Mereka mula menjual muka untuk mencari simpati rakyat dalam usaha memulihkan keyakinan mereka terhadap prestasi yang buruk dalam PRU ke 12 lalu dengan menjadikan isu ketuanan Melayu sebagai perangkap .
Sebagai rakyat berbangsa Melayu, saya bangga dengan bangsa saya dan saya bangga menjadi Melayu. Saya juga mahukan bangsa saya hebat di mata dunia dengan memiliki maruah dan harga diri yang tinggi .
Tetapi Umno tidak layak untuk bercakap soal Melayu apa lagi untuk bercakap soal ketuanan Melayu . Selain daripada Umno adalah sebuah parti perkauman dan hanya bercakap soal Melayu dengan bahang api perkauman dikala mereka tersepit dan kalah seperti ini, Umno lebih dilihat sebagai pengkhianat bangsa dan perosak anak bangsa sendiri.
1-Sejarah tidak mungkin dapat melupakan tindakan "jahat" Umno menghapuskan tulisan jawi sehingga melahirkan generasi yang buta jawi dan al Quran . Implikasinya, generasi ini membesar dalam keadaan jauh dari petunjuk Ilahi dan mereka mula terpesong dengan menjebakkan diri secara mudah dalam kancah maksiat dan mungkar .
2-Umno mungkin tidak dapat memaafkan diri mereka sendiri apabila bertindak "bodoh" demi mengekalkan kuasa mereka, dalam kesempatan membentuk persempadanan semula kawasan pilihanraya bagi sessi penggal 2003/2004 tidak menambah langsung kerusi parlimen di kawasan majoriti Melayu seperti Kedah , Perlis, Terengganu dan Kelantan berasaskan kebimbangan pihak PAS akan menang besar dalam pilihanraya .
3-Samalah sebagaimana Umno "mendera" rakyat yang rata - ratanya berbangsa Melayu di negeri Terengganu dangan merampas Royalti minyak petroleum Terengganu dan enggan juga membayar royalti minyak kepada negeri Kelantan sedang mereka membayarnya untuk Sabah dan Serawak .
4-Menutup dua buah MRSM di negeri Terengganu berasaskan "dendam" politik di zaman PAS menguasai negeri tersebut turut dilihat sebagai jenayah Umno terhadap bangsa Melayu .
5-Bertambah parah apabila Umno kelihatan nekad membantai dan membelasah orang Melayu yang rata - rata beragama Islam apabila mereka meruntuhkan institusi ibadah orang Melayu yang beragama Islam seperti masjid dan surau dan ini berlaku di Kg. Bujal Terengganu , Kampung Berembang di Ampang , Surau Jubli Perak Bandar Baru Bangi dan demikian mereka mengunci surau dan masjid seperti apa yang berlaku kepada surau seksyen 18 di Shah Alam dan lainnya.
6-Umno juga bertanggungjawab memberi tekanan ke atas sekolah agama rakyat (SAR) dengan tidak lagi memberi bantuan perkapita kepada sekolah - sekolah agama milik rakyat yang umumnya pelajar SAR ini adalah orang - orang Melayu yang beragama Islam sehingga akhirnya sebahagian SAR rebah menyembah bumi dan tidak lagi mampu beroperasi dengan baik untuk mebekalkan ilmu agama kepada rakyat.
7-Tiada siapa yang dapat memaafkan Umno apabila mereka menangkap dan memenjara malah menyeksa pemimpin - pemimpin Melayu terutama daripada PAS hanya kerana mereka menentang Umno dalam sebuah negara demokrasi . Pula tidak pernah mereka membicarakan para pemimpin Melayu yang mereka tahan secara adil di mahkamah sebaliknya menggunakan akta draconian ISA untuk kepentingan atau survival kuasa politik mereka .
8-Pemimpin Umno mengambil kesempatan di atas mandat undi rakyat untuk mengautkan keuntungan membina empayar dan kemewahan keluarga dan kroni mereka bertaraf million ringgit , sementara rakyat khasnya yang berbangsa Melayu terus melarat sehingga masih ada kampung Melayu dalam negeri maju di negara ini di sampai elektrik dan air.
9-Bila Umno menjaga Melayu? lihat aksi mereka menjelang pilihanraya, sama ada pilihanraya umum atau pilihanraya kecil, sasaran mereka ialah Kelantan yang Menteri Besar dan Exco serta rakyatnya majoriti Melayu . Mereka dera Kelantan lebih 20 tahun hanya kerana semata-mata Kelantan menolak kepimpinan Umno. Sedang mereka tidak peduli nasib orang Melayu di Pulau Pinang yang pernah disebut oleh Tun Dr. Mahathir bagai berada di zaman perang dunia kedua. Mereka juga tidak ambil endah kesan ke atas orang Melayu di Johor dengan projek Pembangunan Wilayah Iskandar apabila mereka membuka kawasan itu kepada Singapura.Melayu mana yang Umno jaga? Melayu mana yang Umno peduli?
Apalagi Melayu yang tinggal pada Umno melainkan hanya tahu menghunus keris di saban mesyuarat agong mereka tetapi penakut dan bacul terhadap tekanan kuasa luar terutama yang membabitkan isu umat Islam biarpun Umno melalui presidennya pernah diberi penghormatan menjadi pengerusi OIC .
10-Paling ringan "azab" yang bakal Umno terima ialah melalui dosanya memaksa pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Hari ni barulah mereka bertelagah dan saling mempersoalkan sesama sendiri atas kewajaran mengekalkan pengajian sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Bila Umno pertahankan bahasa melayu bahasa ibunda?
Entahlah, saya pun sudah naik jelak setiap kali mendengar Umno cuba bercakap soal Melayu . Melayu yang mereka tindas dan khianati. Umno menikam Melayu dari belakang kemudian berlagak nak bercakap soal Melayu.
Kalau dulu mungkin masyarakat mudah terpedaya dengan lakonan hebat para pemimpin opurtunis Umno ini tetapi saya yakin tidak pada kali ini. Ini adalah zaman bloggers dan websiters bukan zaman pengampu dan pengipas. Ini adalah zaman dimana masyarakat mula akses maklumat ketiga atau maklumat alternatif untuk mengimbangi apa yang mereka dengar dari radia dan apa yang mereka lihat dari televisyen .
Pada saya Umno hilang kelayakkan dan langsung tidak punya authority untuk bercakap soal melayu yang telah dikhianatinya.
Kalaulah ada sedikit peluang untuk Umno bermuhasabah dan bertaubat dengan taubat nasuha, Umno terlebih dahulu perlu mengikis buang segala daki perkauman dan sikap opurtunis mereka sebelum mereka nak bercakap soal Melayu .
Tegakkan ketuanan Islam
Soal bangsa boleh diperjuangkan tetapi tidak dengan semangat perkauman tetapi atas semangat agama yang penuh toleransi dan saling menghormati antara agama dan bangsa .
Agama Islam mengizinkan kita kasihkan bangsa tetapi tidak menghela kepada semangat perkauman sehingga bersikap prejudis terhadap kaum bangsa lain. Justeru itu, Ketuanan Islam wajar diperjuangkan. Islam selamat maka bangsa akan selamat.
Islam adalah agama yang tidak meletakkan warna kulit dan bahasa lidah sebagai kualiti dalam sistem nilainya, tetapi merujuk kepada taqwa dan ketundukkannya kepada Allah Tuhan yang mencipta alam ini.
Dalam khutbah al wada' (dari Jabir bin Abdullah rha.) Nabi saw. pernah bersabda :
Maksudnya: Wahai manusia ! Ketahuilah sesungguhnya Tuhan kamu adalah satu . Sesungguhnya bapa kamu adalah satu . Ketahuilah ! Tiada kelebihan bagi Arab mengatasi bukan Arab dan tiada ( kelebihan ) bukan Arab mengatasi Arab dan demikian tiada (kelebihan) sikulit hitam mengatasi sikulit merah dan tiada (kelebihan) sikulit merah mengatasi sikulit hitam kecuali dengan TAQWA . Sesungguhnya orang yang paling mulia dikalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa dikalangan kamu.
Al Bukhari Jilid 1 . M/s 131 : Hadis no : 1652
Demikian membawa maksud yang sama, Allah berfirman di dalam surah al Hujurat ayat 13 bahawa Ia mencipta manusia yang terdiri dari kalangan lelaki dan perempuan malah berpuak - puak dengan pelbagai suku kaum untuk mereka saling kenal mengenal (berinteraksi dan bekerjasama) antara satu sama lain dan kemuliaan melalui sistem nilai Ilahi ialah kepada mereka yang paling bertaqwa kepadanya .
Islam membatasi isu perkauman dan sangat menghormatinya malah Islam telah menetapkan dasar tidak sekali - kali boleh kita memaksa orang lain memeluk ajaran Islam termasuklah menghina tuhan-tuhan mereka .
Ini sebahagian adab dan prinsip Islam yang berjaya meletakkan Islam sebagai sebuah agama yang sesuai untuk semua dan sangat toleransi dengan semua kecuali terhadap mereka yang menghina dan memeranginya.
Alhamdulillah, perkembangan semasa hari ini memperlihatkan sedikit demi sedikit tembok perkauman ini runtuh dan ia membuka ruang yang lebar untuk semua pihak menilai Islam dari dekat tanpa sebarang halangan besar .
Sekurang-kurangnya mereka akan memahami bahawa apa yang dilontar oleh barat selama ini adalah tidak lebih sekadar satu tohmahan jahat dan liar terhadap Islam .
Islam sebenarnya tidak asing kepada semua bangsa dalam negara kita. Islam terlebih dahulu sampai ke negera China berbanding Malaysia demikian juga India yang lebih awal menerima kemasukan Islam ke negara mereka. Melayu ternyata jauh lebih lewat menerima Islam berbanding China dan India.
Islam mengajar elemen yang suci dan baik serta menghormati perbezaan agama dan budaya. Lantaran itu Islam andai diberi peluang, mampu meletakkan negara yang pelbagai kaum ini berada dalam satu hubungan raya antara kaum dan bangsa yang harmonis dan selamat. Tiada siapa yang akan dinafikan haq apalagi disakiti oleh pemimpinnya tanpa haq.
Lihat sajalah kepada 2 prinsip dan dasar kepimpinan Islam dalam isu hubungan antara kaum dan hak persamaan mereka dalam sebuah negara Islam, sebagai contoh saya perlihatkan :
Pertama : Kenyataan Saidina Abu Bakar As- Siddiq pada hari beliau dibaiah atau dilantik menjadi Ketua Pemerintah :
Sesungguhnya aku dilantik menjadi pemimpin kamu sedang aku bukanlah yang terbaik dikalanmgan kamu. Justeru itu, jika berlaku adil maka bantulah aku dan jika aku menyeleweng maka perbetulkan aku. Benar adalah amanah dan bohong adalah khianat. Orang kuat pada kamu adalah lemah padaku sehingga aku boleh mengambil suatu yang hak daripadanya sementara orang lemah pada kamu adalah kuat padaku sehingga aku mengembalikan haknya.
Kedua : Dapat dilihat melalui sikap Nabi saw. terhadap non muslim yang sedia berada dibawah pemerintahan Islam yang disebut sebagai kafir zimmi.
Baginda Nabi saw menjelaskan terhadap gologan yang menyakiti Kafir Zimmi di dalam wilayah Islam seperti berikut:"Barang siapa yang menyakiti non muslim yang berada di bawah pemerintahan Islam (zimmiyayan) maka ia telah menyakiti diriku."Atau dalam riwayat yang lain, "dan akulah lawannya (penguam cara)diHari Kiamat nanti". Arb.,["wa ana khasmuhu yawma al-Qiyaamah"]
**Penulis adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
Reference:
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=26643:perjuangkan-islam-bukan-bangsa&catid=113:ketua-pemuda-pas&Itemid=153
Wednesday, May 19, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment