Peguam Syarie Menulis: Memartabatkan status perundangan Islam
Oleh:
Nurhidayah Muhd Hashim
Exco Peguam Syarie Malaysia
Pensyarah CITU, UiTM Shah Alam Selangor Darul Ehsan
KEAGUNGAN ISLAM: Mahkamah syariah sebagai lambang pelaksanaan undang-undang Islam perlu diperkasa.
Campur tangan Inggeris dalam urusan agama pinggir undang-undang syariah
MASYARAKAT kita semakin celik dengan isu perundangan di negara ini. Salah satu isu penting wajar diketahui adalah kedudukan undang-undang Islam dalam negara. Beberapa persoalan yang perlu dibincangkan adalah bagaimana undang-undang Islam mula dilaksanakan di Malaysia? Bagaimana pula undang-undang Inggeris bertapak di negara kita dan apakah Mahkamah Syariah yang ada sekarang ini mahkamah yang baru ditubuhkan?
Usaha memberi kefahaman perlu digiatkan supaya masyarakat lebih jelas mengenai sejarah dan perkembangannya. Walaupun sejarah mungkin dianggap kurang penting kerana ia hanyalah peristiwa silam, tetapi hakikatnya sejarah penting dalam hidup kita.
Sejarah memberitahu permulaan sesuatu dan dengan mengetahui sejarah kita menghargai susah payah pejuang terdahulu berhempas-pulas untuk kesejahteraan hari ini. Sudah pasti kita menghargai nikmat hari ini.
Sebelum kedatangan penjajah, Tanah Melayu melaksanakan undang-undang Islam dalam urusan kehidupan seharian. Mereka mengadili kes di hadapan Sultan, pemerintah kawasan berdasarkan undang-undang Islam termasuklah dalam hal ehwal kekeluargaan, muamalat dan jenayah.
Catatan bertulis itu hukum dan peraturan Islam dalam beberapa tulisan seperti Undang-Undang 99 Perak, Hukum Kanun Melaka menjadi bukti wujudnya peruntukan undang-undang Islam yang dijalankan di Tanah Melayu.
Apabila Inggeris datang ke Tanah Melayu, mereka mengetahui dan menyedari undang-undang Islam adalah undang-undang yang diterima pakai dan dilaksanakan Tanah Melayu. Merujuk kes yang berlaku dan diputuskan di mahkamah, Hakim Inggeris yang bertugas di Tanah Melayu ketika itu tidak menafikan kedudukan undang-undang asal yang dilaksanakan.
Contohnya dalam kes Rahmah lwn Laton yang diputuskan pada 1927 membabitkan pertikaian antara dua orang isteri terhadap harta sepencarian ditinggalkan suaminya selepas suami meninggal. Dalam penghakimannya, mahkamah memutuskan bahawa undang-undang Islam bukanlah undang-undang asing tetapi ia adalah undang-undang asal yang wujud dan diterima pakai serta dilaksanakan di Tanah Melayu.
Selepas Inggeris masuk ke Tanah Melayu, pihak Inggeris dan Raja-Raja Melayu sudah memeterai beberapa perjanjian atau dipanggil triti. Dalam triti itu, diletakkan syarat Residen Inggeris dibenarkan datang dan memberi bantuan kepakaran dalam mentadbir urusan negara kepada pihak Sultan. Namun begitu Residen tidak akan mencampuri urusan pentadbiran agama serta pelaksanaan undang-undang Islam di Tanah Melayu.
Pada ketika itu urusan undang-undang mula dibahagikan kepada zon yang terpisah. Undang-undang muamalat atau transaksi dianggap urusan keduniaan yang tidak berkait dengan Islam. Begitu undang-undang jenayah.
Akhirnya yang dianggap urusan agama dan adat istiadat hanya merujuk kepada urusan ibadah orang Islam dan perkahwinan yang dipanggil 'personal law' serta beberapa kesalahan membabitkan hukum agama yang khusus seperti tidak berpuasa dan sebagainya.
Pengkaji Barat, MB Hooker, dalam tulisannya menyatakan selepas menduduki Pulau Pinang pada 1786, Inggeris berusaha bersungguh-sungguh membawa undang-undang mereka ke sini. Mereka menubuhkan mahkamah dan melantik hakim yang mahir undang-undang Inggeris untuk bertugas dan mengadili kes di Tanah Melayu. Perkara sama berlaku di Singapura dan Melaka (yang dipanggil ketika itu sebagai Negeri-Negeri Selat).
Inggeris juga memperkenalkan tiga piagam yang dipanggil Charters of Justice (Piagam Keadilan Pertama) pada 1807, Piagam Keadilan Kedua (1826) dan Piagam Keadilan Ketiga (1885). Semua itu bertujuan mengangkat taraf undang-undang Inggeris dan secara tidak langsung menenggelamkan serta menyisihkan Undang-Undang Islam yang dulunya diamalkan sebagai undang-undang tempatan.
Campur tangan secara langsung terhadap urusan kekeluargaan orang Islam di Tanah Melayu juga berlaku pada 1880. Inggeris memperkenalkan ordinan yang dipanggil Muhammedan Marriage Ordinance (Ordinance no. 5, 1880). Ordinan itu digubal dengan tujuan untuk menetapkan sejauh mana undang-undang Islam boleh diterima dan diiktiraf oleh mahkamah.
Dengan terlaksananya ordinan itu juga, maka cita-cita dan usaha British untuk memisahkan antara urusan sivil dan urusan keagamaan yang dirancang sejak kedatangannya ke Tanah Melayu mula terlihat dengan jelas. Apa yang berlaku menunjukkan Inggeris sudah campur tangan secara langsung atau tidak langsung terhadap perkara berkaitan agama dan adat istiadat Melayu.
Dalam Ordinan itu, perkara mengenai pendaftaran perkahwinan dan perceraian orang Islam, pengiktirafan kepada kedudukan kadi dan peraturan terhadap harta perempuan yang berkahwin sudah diperuntukkan.
Ordinan berkenaan mengalami beberapa pindaan pada 1894, 1902, 1908, 1909 dan 1917. Dalam pindaan itu British membuat peruntukan yang menyentuh secara terbuka mengenai Undang-undang Keluarga Islam.
Ordinan ini dan pindaannya digubal kembali dan disebut Ordinan No 26 tahun 1920 dan seterusnya dipinda lagi pada 1923 dan 1934 sehingga akhirnya dimasukkan ke dalam Chapter 57 of the Revised Laws of the Straits Settlement, 1936.
Begitu juga bagi Negeri-Negeri Tidak Bersekutu iaitu Kedah, Johor dan Kelantan, diperkenalkan kod undang-undang yang dipanggil Kedah, Mohammedan Marriages (Separation) Enactment 1913, 1932, atau dikenali sebagai undang-undang Syiqaq 1332H (1913M) dan juga Syariah Court Enactment No 109/1934.
Bagi penduduk Kelantan pula dikuatkuasakan satu kod undang-undang yang dipanggil Notis Fasal Orang Islam Berkehendakkan Berbini Dua, Tiga dan Empat 1914 yang kemudian ditambah dengan kod The Notice On Matters Relating to Marriage, Divorce, Recohabition and Ta'lik 1915. Kod lain turut diperkenalkan pada 1919 iaitu Muhammadan Division of Property between Husband and Wife of 1919.
Apabila digubal dan terlaksananya undang-undang itu, kita melihat bagaimana sistem perundangan di negara ini berkembang. Melihat kepada kedudukan perundangan syariah pula, pejuang syariah sudah mula mengorak langkah untuk memartabatkan perundangan Islam dan usaha itu masih lagi berterusan hingga ke hari ini. Justeru, kita semua wajar menyokong usaha murni ini supaya perundangan syariah di Malaysia akan lebih mantap hari demi hari.
Reference:
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Agama/20080708224128/Article/index_html
INFO Perundangan Islam
1. Sebelum kedatangan penjajah, Tanah Melayu melaksanakan undang-undang Islam dalam urusan kehidupan seharian.
2. Inggeris mula campur tangan secara langsung atau tidak langsung terhadap perkara berkaitan agama dan adat-istiadat Melayu selepas kedatangannya.
3. Ordinan yang diperkenalkan British membuat peruntukan yang menyentuh secara terbuka mengenai Undang-undang Keluarga Islam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment