Monday, May 19, 2008

Kejutan Bila Tun Dr Mahathir Keluar UMNO

Apa lagi nasib malang UMNO

Berita ini sangat mengharukan pejuang parti PEKEMBAR. Namun itulah keputusan yang telah dibuat oleh yang berbahagia Tun Dr Mahathir untuk keluar dari parti tersebut. Di kalangan rakyat ada "pro and con" mungkin kerana Tun sudah meninggalkan legasi dan sejarah kepada Malaysia. Tak kurang yang masih menghargai idea-idea yang masih segar dan mencanggah arus konservatif di dalam PEKEMBAR khususnya dan kepimpinan negara ini umumnya. Jelas keberangkatan Tun dari parti tersebut banyak MENIMBULKAN TANDA TANYA dan SERIBU KEMUNGKINAN.

Jika dibandingkan dengan idea Tun dengan perubahan kepimpinan dan arah tuju negara di dalam konteks Sistem Demokrasi, Tun membayangkan PEKEMBAR tidak mampu menyambung apa yang telah disediakan beliau ketika di takhta kepimpinan. Setengah pihak mengatakannya biasa, namun adalah AMAT MENGEJUTKAN jika fakta itu SANGATLAH NYATA.

Mungkin bagi pihak yang bercanggahan dengan Tun merasa lega, kerana tiada lagi ancaman Tun di dalam parti. Tapi rakyat harus ingat, bahawa seorang tokoh itu masih ada "buah kilas" yang bakal menggerunkan lawan jika ia bertindak balas dengan jalan yang lebih terbuka dan luas di arena politik negara Malaysia ini. Sama-sama kita SAKSIKAN FENOMENA TSUNAMI POLITIK MALAYSIA YANG SEMAKIN MENARIK.

Dalam hati kecil ini, timbul semacam kebanggaan kepada sikap Tun kerana ia masih "perihatin dan berani menyatakan sikap", sekali pun beliau memahami masa depan beliau adalah sangat tidak menentu dan tiada lagi sebarang JAMINAN KEKEBALAN dari parti tersebut dari dikenakan tindakan undang-undang ke atas jejak-jejak kesalahan perundangan di dalam kes-kes berprofail tinggi. Mungkin Tun pun sudah tidak mengharapkanya lagi.

INGATAN KEPADA TOKOH-TOKOH POLITIK DAN PENGURUSAN SERTA PENTADBIRAN NEGARA, jadikanlah peristiwa ini sebagai suatu iktibar dan motivasi untuk maju dan menyahut cabaran dari Tun Dr Mahathir Mohamed untuk MEMBENTUK suatu era REFORMASI POLITIK, PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN yang jitu dan berdaya maju - GOOD GOVERNANCE; ISLAM MENGUNGKAPKAN DENGAN JELAS - " Maka kamu ampunkanlah mereka,dan adakanlah bentuk perlaksanaan SYUURA berkesan dengan mereka di dalam segala urusan..."

Sekadar Pandangan

Abu 'Amrullah Muhammad ADIS El-Merbawiy

Arau

PERLIS DARUS SUNNAH

1 comment:

Abu Muhammad el-Merbawiy said...

KENYATAAN RESMI TUN DR M

Monday, May 19, 2008
Pengumuman Keluar Dari UMNO

Hari ini, Mei 19, 2008 saya mengumumkan keputusan saya untuk keluar daripada UMNO. Isteri saya turut bersama.

Keputusan ini dibuat kerana UMNO yang ada sekarang bukan lagi UMNO yang ditubuh 62 tahun dahulu yang berjuang untuk bangsa Melayu, Agama Islam dan Negara Malaysia (Malaya); UMNO yang menggagalkan Malayan Union, memperjuangkan kemerdekaan Malaya dan Malaysia dan membangunkan Malaysia sehingga menjadi Negara yang termaju di antara Negara membangun di dunia.

UMNO yang ada sekarang hanya wujud untuk menyokong Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, keluarganya dan tindakan serta dasar yang tidak secocok dengan kepentingan bangsa, agama dan negara.


Kepimpinan Dato Seri Abdullah jelas membawa kekalahan dan bencana kepada Barisan Nasional, UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan PPP. Kemenangan UMNO di Sabah dan BN di Sarawak bukan kerana kepimpinan Dato Seri Abdullah.

Saya akan jelas satu persatu dasar-dasar dan tindakan Dato Seri Abdullah yang menjadikan Kerajaan pimpinannya dan parti BN dibenci oleh ahli-ahli parti komponen sendiri.

Walaupun sebelum perisytiharan ini saya adalah ahli UMNO tetapi sebenarnya selepas saya letak jawatan sebagai Perdana Menteri saya tidak dilayan sebagai ahli UMNO.

Saya tidak dibenarkan berjumpa ahli UMNO dan ahli UMNO tidak dibenarkan hadir apa-apa perhimpunan di mana saya dijemput sebagai jurucakap atau penyampai ucapan.

Menteri-Menteri yang dahulu berada dalam Kabinet saya tidak dibenarkan atau tidak berani atau tidak mahu jumpa saya lagi.

Jemputan oleh UMNO dan bukan UMNO kepada saya diarah ditarik balik oleh Mneteri Besar dan Polis.

Ramai pemimpin UMNO melepaskan kata-kata kesat kepada saya dan ada yang menyuruh saya keluar daripada UMNO walaupun mereka baru sahaja masuk UMNO. Tidak ada pemimpin UMNO yang pertahankan saya secara terbuka.

Wakil ke Perhimpunan Agong tidak dibenarkan menyuara pendapat mereka. Mulut semua orang ditutup.

Yang didengar hanyalah media arus perdana yang memuji Dato Seri Abdullah sehingga dia percaya dia begitu popular dan akan sapu bersih parti lawan dalam pilihanraya umum ke-12.

Hasilnya ialah kekalahan yang teruk bagi Barisan Nasional. Malangnya mesej yang hendak disampaikan oleh pengundi dan penyokong BN tidak dapat difahami oleh Dato Seri Abdullah.

Dia masih berkata dia menang. Ini sukar diterima oleh orang Kedah, orang Pulau Pinang, orang Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Oleh kerana Dato Seri Abdullah buta mata dan pekak telinga dan tidak faham mesej ahli BN, oleh kerana ahli UMNO pun turut bersama, oleh kerana proses demokrasi tidak berjalan, oleh kerana UMNO yang ada sekarang bukan lagi UMNO yang ditubuhkan 62 tahun dahulu, saya berpendapat penyertaan saya sebagai ahli UMNO tidak bermakna dan tidak berguna lagi.

Justeru itu saya ingin umumkan bahawa saya sudah keluar daripada UMNO.

Saya ingin tegaskan bahawa saya bebas dan tidak menyokong mana-mana parti lawan.

Saya akan pohon untuk masuk UMNO apabila Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah berhenti daripada menjadi Presiden UMNO, Pengerusi BN dan Perdana Menteri Malaysia.

Dr Mahathir bin Mohamad (bekas ahli UMNO No 1)
Dr Siti Hasmah binti Mohd Ali (bekas ahli UMNO No 2)

Reference:
http://www.chedet.com/2008/05/pengumuman-keluar-dari-umno.html