Ciri-Ciri Khusus
Dakwah Imam
al-Banna Hassan – Thawabit
al-Khususiyah li ad-Da’wah
DITULIS OLEH WAS
PADA 09:40
Dakwah Islam
memiliki beberapa ciri yang menggambarkan bagaimana Islam sebenarnya. Ia adalah
dakwah yang juga mempunyai karakter dan sifat-sifat Islam itu sendiri. Dengan
memahami ciri-ciri ini maka kita akan mendapatkan suatu kefahaman yang jelas
tentang dakwah lalu kesedaran akan kepentingan dakwah pun akan muncul sehingga
kita dapat memelihara dan mengembangkan dakwah ke dalam masyarakat. Di antara
ciri-ciri dakwah tersebut adalah :
PERTAMA :
RABBANIYYAH Dakwah yang rabbani adalah dakwah yang berorientasi kepada Tuhan.
Rabbani bererti segala aktiviti dakwah Islam mestilah merujuk kepada Allah
sebagai ‘Rabb’. ‘Minhaj’ dan matlamat mestilah dikembalikan kepada Allah swt.
Beberapa petunjuk yang dapat dijelaskan disini adalah ciri dakwah rabbani
bererti mereka yang terlibat dalam dakwah perlulah melakukan proses belajar dan
mengajar. Pendukung dakwah rabbani mestilah memiliki sifat :
a. Tidak lemah.
b. Tidak bersedih hati.
c. Tidak cinta dunia.
d. Tidak takut mati.
e. Berani dan sedia berhadapan dengan
siapapun.
Dakwah rabbani juga menjunjung tinggi proses syura yang merujuk
kepada :
1. Allah sebagai sumber pengambilan.
2. Rasul sebagai contoh ikutan.
3. Ulil amri’ pelaksana sistem dan peraturan.
Dakwah rabbani juga mengambil aqidah dan tauhid sebagai sesuatu yang utama.
Selain itu ia juga mewarnai akhlak Islamiyah, ukhuwah Islamiyah dan jihad yang
juga merupakan sebahagian dari ciri dakwah rabbani. Dakwah rabbani juga
memberikan penumpuan kepada tarbiyah ‘takwiniyah’ dalam membentuk aktivis
dakwah dan kemudiannya menurunkan mereka ke dalam masyarakat melalui ketokohan,
kepakaran dan kebersamaan mereka.
KEDUA : ISLAM
SEBELUM JAMAAH Islam mengajak dan menyeru kepada persatuan dan bukan
perpecahan. Di antara penyebab kepada perpecahan adalah ta’asub dengan jamaah
atau kumpulan. Allah swt berfirman dengan melarang kita berpecah belah dan
berbangga-bangga dengan kumpulan, tetapi Allah swt menyuruh kita bersatu di
dalam Islam melalui aqidah Islamiyah dan berpegang dengan tali Allah. Konsep
Islam sebelum jamaah bukan bererti menafikan peranan jamaah atau tidak
memerlukan jamaah atau kumpulan. Kenyataan ini adalah usaha untuk meluruskan
dan mendahulukan Islam dari jamaah sehingga mengenal Islam dan kesedaran
terhadap Islam adalah suatu keutamaan yang kemudiannya dapat menerima peranan
jamaah setelah wujudnya kesedaran Islam. Hal ini akan membentuk sikap kepada
peribadi untuk menerima semua golongan atau mahu berdakwah kepada semua
golongan sehingga memudahkan munculnya dakwah “ustaziyatul ‘alam” (pelopor
dunia). Pendedahan terhadap jamaah diberikan setelah kesedaran ‘mad’u’ kepada
Islam sehingga penerimaan jamaah dilakukan dengan cara yang baik. Sikap kepada
jamaah sebagai wasilah dan bukan satu-satunya tujuan adalah cukup penting
walaupun jamaah digunakan untuk membawa dakwah Islamiyah. Pendekatan Islamiyah
juga bererti kita menceritakan bagaimanakah semestinya sikap kita sebagai
seorang muslim dengan dakwah Islamiyah yang akan membentuk syakhshiyah
Islamiyah. Siapakah yang akan melaksanakan dakwah ini? Jawabannya adalah
‘jamaah’. Menyebarkan fikrah mengenai ciri-ciri dakwah Islam adalah usaha untuk
mengajak manusia ke dalam jamaah setelah mereka memerlukan atau memahami
kepentingannya.
KETIGA : LENGKAP
TANPA TERPISAH-PISAH Dakwah Islam adalah sesuai dengan nilai Islam sehingga
dakwah Islam mestilah bersifat ‘syamilah’ (sempurna) dan tidak boleh bersifat
‘juz’iyyah’ (terpisah-pisah). Sempurna dari segi program, aktiviti, tujuan dan
minhaj. Dakwah yang sempurna juga mencakupi bidang tarbiyah, dakwah, sosial,
budaya, politik, ekonomi, pertahanan dan keamanan. Aspek ini perlu dibicarakan
oleh dakwah. Tanpa membahas masalah ini atau hanya membahas masalah dakwah
semata-mata maka dakwah seperti itu adalah masih bersifat ‘juziyyah’. Dakwah
yang sempurna juga menekankan peranan dan aktiviti dakwah yang membahas tentang
masyarakat dan keahlian juga bertumpu kepada jihad dan tertegaknya syariat.
Dakwah yang sempurna juga berperanan di dalam membangun masyarakat melalui
potensi dirinya. Kefahaman terhadap dakwah yang sempurna ini akan membuka
pemikiran aktivis dakwah betapa perlunya dakwah dan agar Islam dapat diterima
oleh masyarakat. Penerimaan aktivis dakwah oleh masyarakat sudah tentu
mempunyai beberapa ciri misalnya kerana ketokohan, status, kemampuan, kepakaran
dan sebagainya. Untuk mencapai ciri-ciri ini maka mulai dari sekarang, jamaah
dan dakwah perlu memikirkan dan bergerak dalam berbagai bidang.
KEEMPAT :
KONTEMPORARI DAN TIDAK MENGIKUT TANPA USUL PERIKSA Dakwah ini bersifat
‘mu’asirah’ (kontemporari) dan tidak ‘taqlidiyah’ (mengikut tanpa usul
periksa). Pendekatan dakwah secara ‘minhaj’ mestilah mengikuti keasliannya
iaitu Al Qur’an dan As Sunnah walaupun ada yang menyebutkan bahwa pendekatan
ini adalah ‘taqlidiyah’ tetapi secara uslub seperti wasilah dan strategi, ia
mestilah canggih dan mengikuti perkembangan semasa. Pendekatan kontemporari
bererti mengambil situasi dan keadaan, peristiwa, sikap, keperluan dan kemudian
dikaitkan dengan sasaran. Contoh yang nyata misalnya pendekatan dakwah melalui
‘internet’, menggunakan ‘power point’ dan sebagainya. Dakwah kontemporari juga
menggunakan pendekatan semasa seperti parti, pilihanraya dan sebagainya. Dalam
isu peperangan, ia juga dilakukan dengan senjata yang canggih bukan dengan
panah atau pisau, begitu juga kenderaan bukan lagi menggunakan kuda atau unta.
Pendekatan ‘taqlidiyah’ adalah pendekatan lama yang tidak memperhatikan
perkembangan zaman dan merujuk secara membuta tuli kepada sesuatu yang lama dan
mungkin tidak lagi sesuai dengan keadaan sekarang. Sikap ‘taqlid’ juga muncul
kerana kurangnya pengetahuan sehingga mengikuti sesuatu tanpa kefahaman yang
jelas atau melaksanakan sesuatu tanpa ilmu.
KELIMA : SESUAI
UNTUK SEMUA TEMPAT DAN BERSIFAT SEJAGAT Dakwah Islam adalah sesuai dengan nilai
Islam sejagat. Islam adalah agama untuk semua manusia dan juga rahmat bagi seluruh
alam. Kehadiran Islam adalah untuk manfaat dunia dan juga untuk kebahagiaan
makhluk, khususnya manusia. Dakwah yang bersifat global dan bertaraf dunia
adalah ciri dakwah Islam, maka oleh kerana itulah dakwah dan jamaah juga
mestilah bertaraf antarabangsa. Umat Islam ada di setiap penjuru dunia maka
dakwah dan jamaah pun perlu ada di penjuru tersebut. Tanzim dan jamaah di
setiap negara mestilah juga berkaitan dengan tanzim yang ada di luar negara dan
menyatu di dalam kekuatan dakwah Islam. Walaupun dakwah adalah bersifat
antarabangsa tetapi dari segi operasinya adalah bersifat tempatan. Tempat di
mana kita berada, berdiri dan menginjakkan kaki itulah sebagai tempat dakwah
kita, tetapi secara fikrah dan hubungan mestilah bertaraf antarabangsa. Dengan yang
demikian, kerjasama dan kesatuan umat akan dapat diwujudkan. Suatu kenyataan
yang tidak dapat disangkal bahwa kita menghadapi musuh Islam yang bersifat
antarabangsa dan mereka pun bersatu untuk melawan kita dan menghancurkan secara
berkumpulan dari berbagai arah di dunia ini. Keadaan yang demikian juga
menuntut kita untuk melakukan dakwah secara sejagat di mana selain bagi
menghadapi musuh bersama, ia juga untuk menegakkan syari’ah. Tuntutan dunia ke
arah globalisasi juga akan membawa dakwah Islam dilaksanakan secara
global, terbuka dan sejagat.
KEENAM :
PENDEKATAN BERDASARKAN KEILMUAN Dakwah yang Islami adalah dakwah yang berjalan
melalui pendekatan berdasarkan keilmuan sehingga muncul kesedaran Islam.
Pendekatan kuliah, ceramah, perbincangan, latihan adalah sebahagian usaha
pendekatan dakwah secara ‘ilmiyah’. Tanpa pendekatan ‘ilmiyah’, maka dakwah
akan diikuti oleh mereka yang taqlid, jahil, tidak sedar dan ikut-ikutan
sehingga akan membahayakan jamaah itu sendiri. Allah swt melalui firmanNya di dalam
Al Qur’an atau Nabi Muhammad saw melalui sabdanya di dalam hadits sentiasa
menekankan ilmu dan cara pendekatan Al Qur’an dan Al Hadits dengan cara
‘ilmiyah’ iaitu usaha menyedarkan Islam bukan memaksa dan juga bukan memberikan
tekanan. Masalah tekanan dan paksaan adalah sesuatu yang dilarang oleh Islam.
Pendekatan ‘ilmiyah’ ini mengajak manusia berfikir dan mengerjakan amalan Islam
secara bertahap mengikuti kefahaman dan kesedaran. Cara yang demikian akan
menghasilkan suatu kesan yang sangat efektif dalam membentuk kesedaran
Islam.
KETUJUH :
KETERANGAN DAN BUKTI ISLAM YANG NYATA Keterangan yang nyata dengan bukti yang
jelas dan benar adalah sifat Islam. Dakwah mestilah sentiasa meletakkan asas
‘minhaj’ dan programnya kepada Islam. Dalil-dalil, rujukan dan panduan dari
Islam adalah ciri dakwah Islam dan bukannya ‘minhaj’ yang berasal dari luar
Islam. Keadaan yang kadang-kadang boleh menipu adalah keadaan orang Barat yang
sudah maju dan mengeluarkan banyak produknya misalnya masalah pengurusan. Hal
ini boleh mempengaruhi kita untuk memakai teori-teori itu tanpa dipilih atau
disaring menurut Islam. Pengurusan Barat berbeza dengan pengurusan Islam.
Penerapan pengurusan Barat ke dalam dakwah dan Jamaah Islamiyah adalah suatu
yang keliru atau akan menghancurkan dakwah itu sendiri. Hal ini adalah suatu
bukti dari dakwah yang tidak berdasarkan penelitian secara Islam. Masalah yang
berkaitan dengan dugaan atau pengalaman yang terbatas juga akan menghalang
sikap kepada bukti dan keterangan Islam. Oleh kerana itu, perlu rujukan yang
kuat kepada Islam sehingga Islam akan mewarnai seluruh gerak dakwah kita.
KELAPAN : KEKEBALAN DAN BENTENG ISLAM Dakwah
Islam perlu mempunyai ciri-ciri kekebalan atau benteng kepada Islam. Untuk
mencapai ini maka dakwah mestilah berorientasi kepada pencapaian :
a. Penguasaan teori.
b. Penguasaan maknawi.
c. Penguasaan amal. Penguasaan teori
ini dicapai apabila peribadi yang didakwahkan itu diberi bekalan dengan
pengenalan kepada prinsip Islam seperti rukun Islam, rukun iman dan prinsip
lainnya.
Selain itu juga mereka perlu diberi pengenalan kepada fikrah dan
pengenalan minhaj. Ketiga-tiga pengenalan ini dilakukan agar ia mampu mencapai
penguasaan teori. Penguasaan maknawi dicapai dengan cara menumbuhkan sesuatu
melalui latihan, amalan dan aplikasi iaitu kehendak yang kuat. Sasaran ini
boleh dicapai dengan mengamalkan konsep yang sudah difahami dalam bentuk amal,
biasanya dalam bentuk latihan, tugas dan program bersama yang dilakukan.
Sedangkan penguasaan amal pula dicapai dengan gerakan yang terus-menerus dan
semangat pengorbanan.
KESEMBILAN :
PERUBAHAN BERTAHAP DAN TIDAK MENDADAK Perubahan yang dikehendaki oleh dakwah
adalah perubahan yang bertahap di dalam proses yang dikehendaki untuk mencapai
sasaran yang ditentukan. Perubahan ini bukanlah secara mendadak dan asal
berubah semata-mata tetapi lebih kepada perubahan yang bertahap mengikuti
kemampuan, kefahaman, dan tingkatan seseorang ‘mad’u’ tersebut. Dengan
perubahan yang demikian maka ianya mampu menghasilkan peribadi yang berbeza dan
mempunyai semangat yang kuat. Dengan ciri-ciri dakwah tersebut, ia akan dapat
menjelaskan bagaimana dakwah dan Jamaah Islamiyah yang sebenarnya. Penggambaran
ciri dakwah ini juga akan membentuk suatu fikrah dan kesedaran bagaimana dakwah
yang baik, benar dan perlu diikuti. Persaingan antara dakwah dan Jamaah
Islamiyah serta berbagai persoalan yang berkaitan dengan jamaah dapat dijawab
dengan memahami ciri-ciri khusus dakwah Islamiyah. Berbagai bentuk ciri-ciri
ini ada yang berkaitan dengan program, sasaran, sifat, aktiviti dan proses
perjalanan dakwah.
Penggambaran ciri dakwah ini hanyalah sebahagian sahaja
tetapi semuanya merupakan bahagian dari sifat dan ciri Islam itu sendiri.
Akhirnya marilah kita melihat apakah ciri-ciri fikrah Ikhwanul Muslimin yang
dikumandangkan oleh Imam Hasan Al Banna : “Wahai sekalian manusia, kami adalah
pemikiran dan aqidah, sistem dan minhaj yang :
1.
Tidak dibatasi oleh tempat.
2. Tidak diikat oleh
jenis suku bangsa.
3. Tidak terhalang oleh
batasan geografi.
4. Tidak berhenti hingga Allah
mewarisi bumi beserta segala isinya. Yang demikian itu kerana ia adalah sistem
Tuhan semesta alam dan manhaj Rasulnya yang dipercayai.”
“Wahai sekalian
manusia, tanpa membanggakan diri, kami adalah :
a. Pengikut setia Rasulullah saw.
b. Pembawa benderanya setelah ketiadaan baginda.
c. Penegak panjinya sebagaimana para
sahabat menegakkannya.
d. Pengibar benderanya
sebagaimana mereka mengibarkannya.
e.
Penjaga Al Qur’annya sebagaimana mereka menjaganya.
f. Penyebar dakwahnya sebagaimana mereka
menyebarkannya. Kami inilah rahmat Allah untuk seluruh alam. “Dan sungguh
engkau pasti mengetahui (kebenaran) berita Al Qur’an setelah beberapa waktu
lagi.” (QS Shaad : 88) “Barangsiapa mengikuti kami hari ini, maka ia beruntung
sebagai pendahulu. Dan, orang-orang yang ikhlas (mukhlisin) yang enggan bersama
kami hari ini, maka ia akan bersama kami esok hari.
Namun yang lebih
dahulu tentu lebih utama. Sedangkan, barangsiapa yang benci pada dakwah kami,
samada kerana :
1. Merasa tidak perlu.
2. Menghinanya.
3.
Meremehkannya.
4. Tidak mempunyai harapan akan
mendapat kemenangan. Maka, perjalanan hari akan membuktikan kesalahannya dan
Allah swt akan melontar kebenaran kami pada kebatilannya hingga dapat
mengalahkannya, maka lenyaplah kebatilan tersebut.” “Marilah bersama kami,
wahai para aktivis dakwah dan para mujahid yang ikhlas.
Di sinilah jalan yang
lurus, maka janganlah engkau pecah-pecahkan kekuatan dan kesungguhanmu hingga
ianya hilang.” “Dan sesungguhnya, inilah jalanKu yang lurus, maka ikutilah dia
dan janganlah kamu ikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu
mencerai-beraikan kamu dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan oleh
Allah agar kamu bertaqwa.” (QS Al Anaam : 153) Ya Allah, berilah kefahaman
Islam yang sebenar kepada kami sehingga kami tetap berada di atas jalanMu yang
lurus, berkorban dan berjihad di atasnya. Kurniakanlah keyakinan yang teguh di
dalam hati kami akan pertolonganMu dan perasaan tidak ragu terhadap dukunganMu
semoga kebenaran itu akan terserlah apabila berlalunya masa.
Ameen Ya Rabbal
Alameen
No comments:
Post a Comment