Tuesday, January 24, 2012

Ikhwan Muslimuun Menerajui Hasrat Rakyat Mesir

Ikhwan Muslimin terajui kerajaan baru Mesir


Oleh:
MOHD RASHIDI HASSAN | rashidi@harakah.net.my, 24 Jan 2012





PESANAN SYED QUTTB R.AH YG DISEMPURNAKAN INSYA ALLAH SWT

Andainya kematian kau tangisi
Pusara kau siram dengan air matamu
Maka di atas tulang belulangku yang dah luluh
Nyalakanlah obor untuk umat ini dan
Lanjutkanlah gerak merebut kemenangan

Kematianku hanyalah suatu perjalanan
Memenuhi panggilan kekasih yang merindu
Taman-taman indah di syurga Tuhan
Terhampar menanti
Burung-burungnya berpesta menyambutku
Dan berbahagialah hidupku di sana

Puaka kegelapan pastikan lebur
Fajarkan menyingsing
Dan alam ini kan disinari cahaya lagi
Relakanlah rohku terbang menjelang rindunya
Jangan gentar berkelana ke alam abadi
Di sana cahaya fajar memancar.

- As-Syahid Syed Qutb Rahimahullah..
______________________________________________
Selepas 46 tahun pujangga dan sasterawan ulung as-syahid Syed Qutb melakarkan syairnya di sebalik jeriji besi penjara, kini gerakan Islam di Mesir yang diterajui Ikhwan Muslimin sedang bergerak merebut kemenangan bagi seluruh rakyat Mesir.

Kemenangan besar Ikhwan di bawah kepimpinan Mursyidul Am, Dr Mohamed Badie, menerusi Parti al-Hurriyah wal 'Adalah (parti Kebebasan dan Keadilan atau Freedom and Justice Party - FJP) dan parti-parti gabungannya dalam Pilihan Raya Umum Mesir minggu lepas, iaitu hampir setahun selepas Presiden Hosni Mubarak digulingkan, merupakan suatu perubahan besar kepada landskap politik di negara-negara Arab.

Walaupun Syed Qutb dan beberapa orang pimpinan Ikhwan dizalimi sehingga mati syahid di tali gantung pada pagi Isnin 29 Ogos 1966, tidak dapat merasai nikmat kemenangan perjuangan Islam, sekurang-kurangnya roh mereka berbahagia disisi Allah, kerana pengorbanan mereka sudah ditebus Ikhwan.

Selepas tiga pusingan pilihan raya yang dianjurkan secara bebas dengan pemantauan dunia, keputusan muktamad pilihan raya umum Mesir mencatatkan FJP menang 232 kerusi Parlimen (lebih 45 peratus kerusi), Parti Nur Salafi meraih 113 kerusi, Parti Wafdu (Sekular) dengan 47 kerusi, Parti Kutlah (Sekular) mendapat 39 kerusi, Parti Fulul (bekas penyokong Hosni) memperolehi 17 kerusi, Parti Wasot Islami 10 kerusi, Parti Thaurah Mustamirah dengan 8 kerusi dan parti bebas mendapat 14 kerusi.

Sementara 18 lagi kerusi Parlimen sedang menanti untuk diadakan pilihan raya dalam masa terdekat.

Secara keseluruhannya FJP mendapat 13 juta undi, Parti Nur Salafi dengan 7 juta undi dan golongan sekular mendapat 5 juta undi. Gabungan golongan Islam FJP dan Salafi mencatatkan undi keseluruhan 20 juta undi.

Dengan kemenangan besar ini, sudah pasti FJP iaitu parti tajaan Ikhwan akan menerajui Kerajaan Mesir. Sementara dalam tempoh peralihan ini (selepas Mubarak dijatuhkan) sehingga kerajaan baru mengangkat sumpah, khususnya tugas-tugas mentadbir masih lagi di bawah tugasan tentera.

Ikhwan menerusi FJP akan menjadi peneraju utama untuk menggubal Perlembagaan baru Mesir. Dalam perlembagaan baru yang bakal digubal nanti, akan ditetapkan sama ada kuasa pemerintahan akan diserahkan kepada Parlimen, atau kepada Presiden.

Penggubalan Perlembagaan sudah dipersetujui untuk diserahkan kepada Parlimen yang dipilih secara demokratik oleh rakyat Mesir menerusi pilihan raya yang adil dan bebas.

Perlembagan ini digubal kerana, sebelum ini Mesir diperintah secara diktator oleh Mubarak. Pada zamannya Parlimen hanya diberi kuasa sebagai legislatif, tetapi hak mutlak administratif dan eksekutif di bawah kuasa penuh Presiden.

Pengubalan Perlembagaan ini juga akan menentukan terma-terma pembahagian kuasa antara Parlimen dan Presiden. Apa pun Perlembagaan baru Mesir akan disiapkan sebelum Pilihan Raya Presiden Mesir yang dijangka akan diadakan awal Jun depan.

Sebagai langkah peralihan kuasa, Perdana Menteri (sementara), Dr Kamal Ganzouri mengadakan perbincangan dengan Presiden FJP Dr Mohamed Morsi dan Setiausaha Agung FJP, Dr Mohamed Sa'du Katatni.

Dalam pertemuan itu Dr Morsi menegaskan bahawa agenda utama yang menjadi fokus FJP untuk digubal Perlembagaan Mesir adalah, mengutamakan kepentingan rakyat termiskin.

Pada pertemuan itu Dr Morsi menegaskan,"Keutamaan kami (FJP) adalah untuk mencapai kestabilan dan harmoni untuk kepentingan seluruh rakyat Mesir.

"Untuk itu, saya menekankan peri pentingnya kerjasama semua golongan dalam masyarakat, terutamanya golongan pasca revolusi yang menguasai Parlimen yang bakal dibentuk. Buat pertama kalinya dalam dekad ini (Parlimen) akan mewakili kepentingan seluruh rakyat Mesir."

Dalam langkahnya bertahaluf siyasi dengan pelbagai golongan untuk mencapai kestabilan politik dan keharmonian rakyat, FJP mencalonkan Setiausaha Agungnya sebagai calon Speaker Parlimen, yang merupakan jawatan yang mempunyai kuasa besar di dalam sistem demokrasi berpresiden.

Selain Dr Sa'du Katatni, FJP juga mengumumkan akan menyokong seorang wakil Parti Nur Salafi (golongan Islam) dan wakil Parti Wafdu yang berhaluan sekular sebagai Timbalan Speaker.

Dr Katatni bukannya calang-calang orang. Beliau merupakan antara seorang pejuang Ikhwan yang ulung. Di zaman diktator Mubarak, beliau dipenjarakan dan diseksa bersama dengan Dr Mohamed Morsi dan Essam El-Erian.

Dr Katatni merupakan sarjana Phd dalam jurusan sains yang pernah bertugas sebagai Profesor, mengajar subjek mikro biologi dalam bidang botani di Universiti Minia. Kemudiannya dilantik sebagai dekan fakulti pada tahun 1994-1998.

Beliau juga memperolehi ijazah dalam bidang Pengajian Islam di bawah Fakulti Sastera pada tahun 2000. Selain itu beliau merupakan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pengajar Universiti berkenaan.

Selain pengalaman politik, pengamalan Dr Katatni dalam bidang akademik sangat hebat. Sepanjang kariernya, beliau mengawasi lebih 21 kajian untuk pemegang Master dan Phd dalam hal ehwal botani selain menulis 36 kajian, di mana beliau menjadi Pengerusi Persatuan Saintis di Minia.

Katatni menceburi bidang politik selepas menyertai Ikhwan Muslimin. Beliau bertanding dalam pilihan raya umum Mesir pada tahun 2005 dan menang mewakili daerah Minia.

Di dalam Parlimen (pada zaman Mubarak) Dr Katatni merupakan Ketua Whip Parlimen Ikhwan sebelum disumbat ke dalam penjara oleh rejim Mubarak.

Justeru pelantikan Dr Katatni sebagai calon Speaker dari FJP berdasarkan pengalaman yang luas serta sumbangan besar beliau dalam bidang akademik dan politik di Mesir.

Tidak dinafikan bahawa perhatian dunia khususnya golongan Barat tertumpu ke Mesir pada waktu ini. Wakil-wakil Barat saban hari mengunjungi Ibu Pejabat Ikhwan di Jabal Muqattam dan pejabat FJP di Manial al-Roda.

Bekas Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter turut berkunjung. Beliau menemui Mursyidul Am, Dr Badie. Manakala Timbalan Setiausaha Luar Amerika, William Branze menemui Presiden FJP, Dr Morsi.

Malah dalam pertemuan berasingan Duta Besar British ke Mesir, James Watt menegaskan pihaknya bersedia untuk memberikan sokongan bagi memulihkan ekonomi Mesir.

Kemenangan Ikhwan menerusi FJP turut menarik perhatian diplomat German. Dalam satu artikelnya dalam akhbar Frankfurter Allgemeine Zeitung, Menteri Luar German, Guido Westerwelle membicarakan tentang peranan parti-parti politik Islam yang sedang membuat perubahan kepada landskap politik di negara Benua Afrika Utara dan dunia Arab yang disifatkan sebagai Arab Spring.

Westerwelle berpendapat, perubahan besar yang melanda negara-negara seperti Tunisia, Maghribi, Libya dan Mesir terutamanya, masih berhadapan dengan beberapa ancaman, antaranya pada saat kritikal peralihan kuasa dari rejim lama kepada kerajaan baru. Selain itu, Arab Spring menghadapi cabaran besar untuk memulihkan ekonomi kerana rakyat di kebanyakan negara terbabit berada dalam belengu kemiskinan.

"Kita harus membantu proses transisi di utara Afrika dan dunia Arab dalam bentuk politik dan ekonomi. Menerusi pelaburan, kerjasama pendidikan dan pasaran terbuka. Kita boleh bantu menaiktarafkan prospek ekonomi rakyat dengan memberikan peluang yang lebih kepada mereka untuk mendapat kehidupan yang selesa," ujar Westerwelle.

Reference:
http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/mohd-rashidi-hasana/7730-ikhwan-muslimin-terajui-kerajaan-baru-mesir

No comments: