Saturday, October 16, 2010

Konsortium Perbadanan Pembangunan Kampung Baru KL - Jangan Rampas Hak Milik Warganya

Isu-isu Pembangunan Kampung Baru adalah cermin kesungguhan atau kelengahan kerajaan melaksanakan pemodenan dan pembangunan bandar terhadap golongan Melayu bandar KL. Mengapakah isu ini tertangguh sekian lama. Cuma yang pasti ialah kerana kerajaan mahu menggunakan 'Skema Pembangunan Tanah dan Wilayah yang lama', mengakibatkan penyelesaian krisis ini tiada pengujungnya. Secara tradisi, ambil alih tanah dengan pampasan tidak seberapa kepada bangsa Melayu bandar KL. Kemudian halau mereka mencari tanah ganti di temapat-temapt lain yang terpinggir. Kerajaan dan rakyat Malaysia semua tahu bahawa aset tanah kampung baru itu sekarang berjumlah JUTAAN DOLAR AMERIKA. Mustahil hanya diganti dengan pampasan beberapa ringgit Malaysia. Inilah pertikaian hak milik dan pampasan yang berlaku antara rakyat dan kerajaan. Dalam masa yang sama, masih ada golongan tertentu yang telah kaya ingin mengambil peluang menjadi lebih kaya dengan menggunakan aset tanah Kampung Baru ini.

Kerajaan harus berfikir dengan progresif dan berdaya maju untuk menghasilkan pendapatan tinggi kepada penduduk dan pemilik asal tanah-tanah Kampung Baru dengan melibatkan mereka dan keturunan mereka dalam keusahawanan dan pemilikan aset niaga, sewaan dan pelaburan jangka panjang agar penduduk di Kampung Baru semuanya menjadi jutawan. Jika memerlukan pindaan kanun tanah negara untuk tujuan tersebut, maka kerajaan perlu berbuat demikian, kerana peruntukan kanun tanah negara yang ada sekarang tidak dapat menyelesaikan masalah kebajikan dan masa depan penduduk Kampung baru.

Ushakan agar penduduk Kampung Baru menjadi JUTAWAN.

Abu Muhammad ADIS El-Merbawiy
Sura Ujong
Dungun Terengganu
___________________________________________


Kerajaan perlu jelaskan tubuh PPKB

Sumbangan:
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 16 Okt: PAS Wilayah Persekutuan menggesa agar kerajaan segera turun padang dan menjelaskan kepada rakyat khususnya penduduk dan pemilik tanah Kampung Baru tentang penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB).

Penasihat Undang-Undang PAS Wilayah Persekutuan, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi berkata, Rang Undang-Undang penubuhan PPKB tersebut dijadual akan dibentangkan di Parlimen dalam sidang kali ini, kemungkinan besar selepas selesai perbahasan Bajet 2011.

Walau bagaimanapun, katanya sehingga hari ini butir-butir penubuhan PPKB tersebut masih dirahsiakan dan tidak diperjelaskan secara terperinci khususnya kepada mereka yang akan terlibat secara langsung dengan projek pembangunan Kampung Baru tersebut.

Dalam sidang Parlimen yang lalu, ujarnya Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin telah mengesahkan bahawa Kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan konsep pembangunan semula Kampung Baru secara komprehensif.

Konsep pembangunan ini akan dilaksanakan melalui proses penyerahan hakmilik tanah di bawah Seksyen 197 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 dan proses penyerahan dan pemberimilikan semula hakmilik tanah tersebut di bawah Seksyen 204D KTN.

Selain itu, kaedah jual beli tanah di bawah KTN dan proses pengambilan tanah di bawah Seksyen 3(1)(b) Akta Pengambilan Tanah 1960 akan turut digunakan oleh Kerajaan.

Untuk memastikan mekanisma pembangunan ini berjalan, maka sebuah badan bernama Perbadanan Pembangunan Kampung Baru akan diwujudkan di bawah Seksyen 49(2) Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982.

Badan yang ditubuhkan melalui kuasa Parlimen ini akan mempunyai fungsi dan bidang kuasa yang luas untuk mentadbir dan menguruskan aset-aset di Kampung Baru dalam pelaksanaan projek pembangunan yang dirancang tersebut.

Persoalan yang timbul, kata Ahmad Zamri ialah kenapa penubuhan badan yang sebegini penting tidak dijelaskan kepada rakyat sedangkan ia akan dibentangkan di Parlimen untuk diluluskan tidak berapa lama lagi.

“Apakah ada suatu muslihat ia tidak dibentangkan dulu untuk persetujuan mereka yang terlibat secara langsung dengan projek pembangunan tersebut?” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, kerajaan harus menjelaskan siapakah yang akan menganggotai PPKB tersebut dan sama ada wakil pemilik, waris dan penduduk Kampung Baru akan dilibatkan sama dalam perbadanan tersebut.

Begitu juga, tambahnya dengan konsep penyerahan hakmilik dan pengambilan tanah yang akan dikuatkuasakan nanti, adakah ia benar-benar telah mendapat persetujuan daripada waris dan pemilik tanah.

Selain itu, apakah ada jaminan hakmilik tanah yang diserahkan nanti akan dikembalikan semula kepada pemilik-pemilik tanah dan berapa pula jangka masa pemulangan hakmilik tersebut dan apakah ada syarat-syarat nyata lain yang akan dikenakan oleh kerajaan ke atas hakmilik tersebut, yang mungkin akan memprejudis dan merugikan pemilik dan waris tanah Kampung Baru.

Tambahnya, timbul juga persoalan sama ada mereka akan dipindahkan setelah hakmilik tanah itu diserahkan kepada perbadanan untuk dibangunkan.

“Jika terpaksa dipindahkan, ke mana dan apakah mereka akan menerima pampasan selama tempoh pemindahan tersebut?” tanya beliau lagi.

Beliau berkata, semua persoalan dan isu-isu penting itu perlulah dijelaskan kepada mereka yang terlibat sebelum Rang Undang-Undang penubuhan PPKB diluluskan oleh Parlimen dan diwartakan kelak.

Katanya, para pemilik tanah Kampung Baru perlu dilibatkan sama dan diberi penerangan yang sejelasnya berhubung penubuhan PPKB kerana ia melibatkan harta dan masa depan mereka.

“Adalah dibimbangi setelah sahaja PPKB diwartakan nanti, apa sahaja keputusan yang dibuat oleh pihak perbadanan tidak boleh dicabar oleh penduduk di mana-mana Mahkamah.

“Yang akan menangung rugi ialah pemilik tanah dan penduduk Kampung Baru sendiri,” ujarnya lagi.

Katanya lagi, mereka sememangnya berhak untuk merasa curiga dengan pendekatan kerajaan dalam isu pembangunan Kampung Baru memandangkan projek Menara Puncak Baru bernilai RM500 juta yang telah dirasmikan upacara pecah tanahnya pada 30 Mac 2009 oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi, masih belum lagi bermula sehingga hari ini walaupun dijanjikan akan bermula dalam masa tiga bulan sahaja selepas tarikh tersebut!

“PAS Wilayah Persekutuan mengulangi pendirian bahawa kerajaan haruslah bersikap jujur dan telus dalam segala bentuk perancangan pembangunan di Kampung Baru ini memandangkan inilah satu-satunya aset berharga orang Melayu yang masih wujud di kawasan segitiga emas bandaraya Kuala Lumpur,” ujarnya.

Menurutnya, semua waris, pemilik tanah dan penduduk Kampung Baru perlulah dilibatkan sama secara langsung dan pandangan, teguran dan cadangan mereka perlulah didengar oleh kerajaan.

“Projek pembangunan sebesar dan sepenting ini tidak harus dibuat oleh kerajaan secara terburu-buru dengan hanya memikirkan keuntungan semata-mata tanpa mengambil kira segala aspek dan pandangan semua pihak,” katanya lagi.

Reference:
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29043:kerajaan-perlu-jelaskan-tubuh-ppkb&catid=1:utama&Itemid=50

No comments: