Monday, May 24, 2010

Nostalgia ISTAC Zaman KeGemilagan - Kini Istac jadi Kampus UIAM Kuala Lumpur

Tapak ISTAC jadi kampus UIAM Kuala Lumpur





Oleh
ZUARIDA MOHYIN

Gambar MOHD. HATIM MAZLAN



SULTAN Ahmad Shah diberi penerangan oleh Timbalan Ketua Pustakawan UIAM, Normala Harun (kanan) mengenai manuskrip di kampus itu. Turut memerhati, Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Zulkifli A.Hassan (kiri) selepas majlis perasmian kampus baru UIAM, baru-baru ini.

MENELUSURI Jalan Duta pasti mata akan terpukau dengan lot-lot banglo yang gah menghiasi landskap di lereng bukit Taman Duta. Lebih-lebih lagi kepada sebuah binaan putih bermenara dengan seni bina Maghribi dan Andalusia.

Keunikan ini membuatkan kita seolah-olah berada di zaman kegemilangan tamadun Islam. Tambah mendamaikan dengan pepohon kurma yang tumbuh subur dan desiran air pancuran.

Bagi yang arif di kawasan elit ini, pasti sudah maklum akan kewujudan Institut Antarabangsa Tamadun dan Pemikiran Islam (Istac) di atas tanah seluas 4.6 hektar ini sejak 4 Ogos 2008.

Namun, tanggal 6 Mei lalu, secara rasminya Istac diiktiraf sebagai salah satu daripada dua institut di bawah kampus keempat yang dikenali sebagai Kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuala Lumpur.

Satu lagi ialah Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) yang sebelum ini terletak di kampus lama Istac iaitu di Jalan Damansara, Kuala Lumpur.

Pengiktirafan itu selari dengan gelaran yang diberikan kepada kampus-kampus UIAM di seluruh negeri oleh pihak universiti.

Kampus induk UIAM yang seluas 283 hektar terletak di Gombak, Selangor mampu menawarkan pelbagai program pengajian kepada pelajar dari dalam dan luar negara.

Selain itu, UIAM juga mempunyai dua kampus cawangan iaitu; kampus cawangan di Petaling Jaya, Selangor yang menempatkan Pusat Asasi.

Kampus di Kuantan, Pahang pula menjurus kepada pengajian Sains Kesihatan, Farmasi dan Perubatan.

Ini menjadikan secara keseluruhannya, jumlah pelajar UIAM adalah seramai 21,000 orang.

Majlis bersejarah perasmian Istac sebagai kampus UIAM Kuala Lumpur disempurnakan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah. Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Dekan Istac, Prof. Dr. Ibrahim M. Zein.

Sejak penubuhannya kira-kira 27 tahun lalu, UIAM merupakan salah sebuah universiti yang sering diperkatakan di dunia Islam.

Apatah lagi, matlamatnya adalah untuk menghidupkan kembali konsep pembelajaran secara Islam dan meluaskan bidang pilihan kepada umat Islam dalam pengajian peringkat tinggi.

Reaktor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Syed Arabi Idid menegaskan, kampus UIAM Kuala Lumpur memainkan peranan besar dalam melahirkan para sarjana dan cendekiawan Islam dalam menyemarakkan kesyumulan dan keunggulan Islam bukan sahaja di negara ini malah seluruh dunia.

"UIAM Kampus Kuala Lumpur merangkumi dua institut iaitu Istac dan Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF).

"Istac mempunyai 129 pelajar lepasan ijazah dan IIiBF mempunyai hampir 40 pelajar lepasan ijazah.

"Memandangkan UIAM mengutamakan prestasi pelajar demi menjamin kecemerlangan pendidikan yang lebih tinggi di peringkat lepasan ijazah justeru, setiap pelajar lepasan ijazah UIAM akan melalui proses pemilihan dan tapisan, bagi memastikan kualiti pendidikan terjaga dan menjadi prioriti.

"Sebab itulah kalau kita dapat perhatikan, bilangan pelajar lepasan ijazah di kampus Kuala Lumpur ini lebih sedikit, namun ia merangkumi sejumlah pelajar daripada hampir 10 negara," tegas Syed Arabi selepas majlis perasmian itu.

Jelasnya lagi, sebelum ini kampus Istac terletak di Jalan Damansara telah dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 4 Oktober 1991.

Namun pada 4 Ogos 2008, ia telah berpindah di atas tanah seluas 4.6 hektar melibatkan kos RM200 juta di Taman Duta, Kuala Lumpur.

Istac yang ditubuhkan pada 27 Februari 1987 diasaskan pengarah pertamanya iaitu Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Institut ini menawarkan 10 program dalam lima bidang utama di peringkat ijazah sarjana dan kedoktoran (Ph.D) mengenai Islam dan tamadun-tamadun lain yang turut merangkumi bidang falsafah, teologi, etnik dan isu kontemporari, sains Islam, dunia kontemporari Islam dan keagamaan.

Sementara itu, IIiBF yang sebelum ini ditempatkan di Damansara Heights (kampus lama Istac sebelum berpindah ke Jalan Duta pada 2008)

IIiBF ditubuhkan pada September 2004 menawarkan empat program Perbankan dan Kewangan Islam di peringkat sijil, diploma siswazah, sarjana dan Ph.D. Kini, IIiBF mempunyai 80 pelajar pasca siswazah. IIiBF kini diterajui oleh dekannya, Prof. Datuk Dr. Mohd. Azmi Omar.

"Daripada 21,042 jumlah keseluruhan pelajarnya, sebanyak 4,509 pelajar sedang mengikuti program ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran termasuk pelajar-pelajar antarabangsa dari 90 negara di seluruh dunia, termasuk Institut Maritim dan Oseanografi UIAM.

"Istac dan IIiBF akan membantu menyemarakkan budaya penyelidikan yang menjadi batu asas penting dalam transformasi UIAM daripada sebuah universiti berteraskan pembelajaran kepada universiti penyelidikan.

"Salah satu penanda aras yang penting sebagai universiti penyelidikan ialah mempunyai pelajar di peringkat ijazah sarjana dan Ph.D," katanya.

Sejajar dengan hasrat ke arah universiti dan institut penyelidikan, katanya, ISTAC menghimpunkan pelbagai koleksi manuskrip, jurnal, monograf dan buku-buku yang menjadi rujukan sarjana Islam dari seluruh dunia.

Tambahnya, sehingga kini perpustakaan Istac mempunyai koleksi bahan rujukan beberapa pakar dan ahli penyelidik dalam bidang kajian pemikiran, sejarah, agama, budaya dan tamadun seperti Berthold Spuler, R. Brunschvig, Max Weisweiler, Fazlur Rahman, Tan Sri Jalil Hasan dan D. Barrett yang kesemuanya berjumlah 40,000 jilid.

Keseluruhan buku yang tersimpan di perpustakaan Istac kini berjumlah 139,801 naskhah. Ia merangkumi 64,237 koleksi am dan rujukan, 26,084 koleksi bersiri, 46,811 koleksi nadir dan khas, 2,554 manuskrip dan 17,922 koleksi dalam bentuk mikrofilem.

"Perpustakaan kampus ini mempunyai koleksi istimewa lebih 6,000 manuskrip lama. Kita akan cuba mempelajari asas-asas mengikut cara Islam yang telah direkodkan dalam teks penulisan yang asal itu.

"Walaupun terjemahan bahasa dan definisi tepat menjadi kunci utama, kita mahu memastikan apa yang dicatat di dalam manuskrip tersebut adalah cara Islam sebenar dan bukan sekadar mengajar mengikut maklumat lisan semata-mata," ujar Syed Arabi.

Perpustakaan Istac juga memiliki jurnal dalam pelbagai bahasa seperti Arab, Parsi, Turki, Urdu dan Melayu serta bahasa-bahasa utama dunia termasuklah bahasa Inggeris, Perancis, Jerman, Rusia, Belanda, Yunani dan Latin.

Dengan koleksi khas yang sarat dengan bahan-bahan bermutu dalam bidang agama, falsafah, metafizik, bahasa dan budaya, perpustakaan Istac secara tidak langsung dapat menampung usaha penyelidikan di peringkat tertinggi dalam bidang-bidang berkaitan.

"Kita juga mempunyai koleksi jurnal dan manuskrip dalam bahasa Parsi yang hanya terdapat di ISTAC misalnya, The Book of the Kings (Shah-Namah).

"Ini secara tidak langsung, menjadikan kampus ini sebagai pusat pengajian utama dalam melahirkan para ulama, sarjana dan cendekiawan Islam di rantau ini," jelas beliau.


Reference:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0525&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

No comments: