Monday, January 12, 2009

Pahit Tetapi Hakikat Palestin

Sunday, January 11, 2009

Palestin: Antara Emosi dan Realiti
Oleh:
A Kadir Jasin

RAMAI daripada kita sudah bersembahyang hajat, menunjuk perasaan, menderma, menulis puisi dan membuat deklarasi.

Semuanya atas nama kemanusiaan dan simpati dengan rakyat Palestin yang dibom, ditembak dan diletupkan. Berlinang dan bercurahanlah air mata kita.

Jadi pastinyalah kita marah kalau saya unjurkan bahawa perjuangan Palestin adalah perjuangan sia-sia, perjuangan yang kecewa dan perjuangan yang penuh pura-pura.

Pedih dan menyakitkan hati. Tetapi itulah realitinya sejak penubuhan negara Israel – Medinat Yisra’el – melalui rampasan ke atas British Mandated Palestine oleh pengganas Yahudi pada 14 Mei, 1948.

Sejak itu jugalah jentera propaganda dan peperangan Yahudi bekerja lebih masa mencuba menghalalkan rampasan mereka ke atas Palestin.

Pada mulanya mereka mendakwa kononnya mereka membebaskan bumi Palestin daripada penjajahan Inggeris dan Liga Bangsa-Bangsa.

Izinkan saya sedikit ruang dan masa untuk mengemukakan fakta-fakta berikut untuk pertimbangan pembaca sekalian:

1. Negara-Negara Arab yang berjiran dengan Israel serta merta melanggar negara itu dan mengulanginya beberapa kali dengan mengalami kekalahan teruk;

2. Akhirnya semakin banyak negara Arab sama ada mengiktiraf Israel dan menandatangani perjanjian damai dengannya atau tidak lagi memberi keutamaan kepada isu Palestin;

3. Melalui perang psikologi, Israel dan penyokong Yahudinya dari seluruh dunia menyusup masuk dan menguasai politik, ekonomi serta media massa Amerika Syarikat (AS);

4. Israel dan gerakan Yahudi antarabangsa berjaya menjadikan Amerika boneka, pelindung dan pembiayanya;

5. Menurut John J. Mearsheimer dan Stephen M. Waltdalam tulisan mereka berjudul “The Israel Lobby and U. S. Foreign Policy” (Lobi Israel dan Dasar Luar Amerika Syarikat), Israel menerima bantuan langsung bernilai AS$3 bilion (RM10.62 bilion) setiap tahun atau 20 peratus daripada bantuan luar AS;

6. Setiap orang penduduk Israel menerima subsidi daripada AS bernilai AS$500 (RM1,770) setahun walaupun Israel adalah negara perindustrian yang sama pendapatan per kapitanya dengan Korea Selatan dan Sepanyol;

7. Menurut Perkhidmatan Penyelidikan Kongres Amerika, bantuan kepada Israel bagi tahun 2007 berjumlah tidak kurang daripada AS$2.5 bilion (RM8.85 bilion). Ini tidak termasuk AS$138 juta (488.5 juta) bagi projek pertahanan bersama peluru berpandu dan jaminan hutang sebanyak AS$$1.4 bilion (RM4.95 bilion);

8. Purata AS memberikan AS$6.8 juta (RM24 juta) kepada Israel setiap hari berbanding AS$300,000 (RM1.06 juta) kepada Palestin pada tahun 2007;

9. Janji Amerika membantu Palestin adalah janji kosong sejak daripada tertubuhnya Medinat Yisra’el pada tahun 1948;
10. President Truman dalam ucapannya pada 28 Oktober, 1948 – lima bulan selepas rampasan bumi Palestin oleh Yahudi -- antara lain, berkata: “Adalah tanggungjawab saya memastikan dasar kita di Israel menepati dasar kita di seluruh dunia; kedua adalah hasrat saya membantu membina negara Palestin yang kuat, makmur, bebas, merdeka dan demokratik. Ia perlu cukup luas, cukup bebas dan cukup kuat untuk membolehkan rakyatnya berdikari dan selamat.”

[ “It is my responsibility to see that our policy in Israel fits in with our policy throughout the world; second, it is my desire to help build in Palestine a strong, prosperous, free and independent democratic state. It must be large enough, free enough, and strong enough to make its people self-supporting and secure.”]

11. Dan bolehkah Barack Obama diharap untuk mengatasi pembohongan AS selama ini? Pertimbangkan kenyataan beliau ketika kempen pilihan raya Presiden baru lalu yang berbunyi: “Kita jangan sekali-kali mencuba mengatakan apa yang terbaik untuk orang Israel dan keselamatan mereka dan tidak seorang pun Perdana Menteri Israel yang patut diseret ke meja perundingan...”

[We should never seek to dictate what is best for the Israelis and their security interests" and that no Israeli prime minister should ever feel "dragged" to the negotiating table...];

12. Yahudi mempunyai perwakilan yang kuat dalam politik nasional AS. Pada bulan Jun tahun lalu (2008), 7.8 peratus Ahli Kongres adalah Yahudi walaupun penganut agama Yahudi di AS dianggarkan hanya 1.4 peratus daripada penduduknya;

13. Kalau AS menjadi boneka, pelindung dan pembiaya Israel, banyak negara Islam, khasnya negara-negara Arab, menjadi boneka dan pak turut AS;

14. Dari mula lagi banyak negara Arab tidak mahu Hamas berjaya di Palestin. Hamas adalah singkatan kepada Harakat al-Muqāwamat al-Islāmiyyah atau Pergerakan Penentangan Islam yang terdiri daripada pengikut Sunnah. Ia ditubuhkan pada tahun 1987 oleh Sheikh Ahmed Yassin, Abdel Aziz al-Rantisi dan Mohammad Taha yang berupa penggiat Ikhwanul Muslimin cawangan Palestin pada permulaan gerakan Intifadah pertama;

15. Oleh sebab Hamas diasaskan atas landasan Ikhwanul Muslimin maka ia dicurigai dan ditolak oleh banyak negara Arab. Ikhwanul Muslimin diharamkan atau dikawal kegiatannya di banyak negara Arab;

16. Ikhwanul Muslimin atau Persaudaraan Muslim adalah organisasi Muslim yang diasaskan oleh Hassan al Banna di Mesir pada tahun 1928 berikutan keruntuhan Empayar Ottoman;

17. Pada mulanya Ikhwanul Muslimin menyokong kerajaan sekular Presiden Gamal Abdel Nasser tetapi apabila seorang anggotanya dituduh membunuh Perdana Menteri Mesir, Mahmud Fahmi Nokrashi, pada 28 Dis. 1948, pertubuhan itu diharamkan dan Al Banna sendiri dibubuh oleh agen-agen perisik kerajaan pada bulan Februari tahun berikutnya;

18. Majoriti negara-negara Arab tidak demokratik. Mereka bimbang jika kerajaan Hamas berjaya di Palestin mereka akan menghadapi tekanan daripada rakyat jelata mereka sendiri agar memperkenalkan demokrasi;

19. Negara-negara Arab sendiri terus bercakaran dan serentak itu menjadi tali barut kepada hegemoni AS di Asia Barat seperti yang terserlah dengan sokongan mereka terhadap serangan dan penaklukan AS ke atas Iraq;

20. Akhir sekali, politik Palestin sendiri kucar-kacir akibat ketidaksepaduan sokongan negara-negara Arab dan persengketaan di kalangan pelbagai kelompok agama di Asia Barat, khasnya pergeseran antara pengikut Sunnah dan Syiah.

Bukan tujuan saya melemahkan semangat juang, sokongan dan simpati kita kepada rakyat Palestin. Tetapi fakta-fakta di atas tidak memberikan keyakinan bahawa masalah negara dan rakyat Palestin boleh diselesaikan dengan mudah dan segera.

Untuk mencapai persetujuan mengenai gencatan senjata pun susah. Bayangkan untuk mencapai keamanan yang berkekalan.

Malah, setiap kali bom Israel membunuh orang Palestin dan pengebom berani mati Hamas membunuh orang Yahudi, setiap kali itu jugalah satu generasi baru pejuang di lahirkan.

Reference:
http://kadirjasin.blogspot.com/

No comments: