Sunday, April 1, 2012

Global March to Jurusalem - Nuha Iffah Nordin

[ikram-ajk-DISKUSI] Fwd: [IKRAM_JOHOR] perkongsian: GMJ live dari Jordan
Nordin Yahaya Sun, Apr 1, 2012 at 2:26 PM
Reply-To: ikram-ajk-diskusi@googlegroups.com
To: Ikram Ajk Diskusi Nasional

Dipanjangkan perkongsian dari pelajar kita di Jordan yg telah juga bersama GMJ di sana. Mereka juga sempat bertemu dgn team MyGMJ.

Dr Nordin Yahaya
Johor Bahru

Begin forwarded message:

From: nuha iffah
Date: 1 April 2012 14:05:25 GMT+08:00
To: ikram_johor@yahoogroups.com
Subject: [IKRAM_JOHOR] perkongsian: GMJ live dari Jordan
Reply-To: IKRAM_JOHOR@yahoogroups.com

Assalamualaikum, sedikit perkongsian pengalaman.

Itulah yang dikatakan, "Siapa kamu menentukan cara kamu melihat."

Kesannya pula ialah "Cara kamu melihat menentukan apa yang kamu dapat"

Malam sehari sahaja sebelum tarikh keramat 30/3 itu baru kami berkumpul. Duduk sebentar bersama, mahu mengsettingkan arah kompas hati-hati yang bakal berarak ke sempadan Palestin esok. Kita bukan pergi untuk menyerah diri ditembak tentera Yahudi, niat kita hanya mahu berhimpun secara aman, sekadar hadir dan tunjukkan kita serius ambil berat isu ini dan mahu sang keparat Israel sedar berjuta-juta lagi manusia tidak menyokong apa yang mereka lakukan ini. Niat kita mahu menghasilkan mass effect! Nampak usaha ini seperti sangat mini apabila dilihat dari cermin mata usaha seorang individu, tetapi apabila melibatkan berjuta-juta individu, usaha ini akan nampak gergasi bukan. Itu teori lidi dan penyapu lidi yang kita faham sejak kecil. Cuma kali ini kita niat mahu gunakan penyapu lidi ini untuk menyapu keluar kepala-kepala zionis dari tanah haram ini. Mungkin bukan tahun ini, namun sekurang-kurangnya ia telah pun bermula.

Angin sejuk pagi itu tidak membataskan semangat pemuda-pemuda itu. Awal 8 pagi, 2 coaster memulakan perjalanan sekitar 2 jam menuju ke persekitaran laut mati, tempat khas yang disediakan oleh kerajaan Jordan sebagai tuan rumah GMJ tahun ini. Rasa bersyukur dan terpilih kerana bertitle pelajar Jordan, delegasi dari Malaysia perlu menyediakan rm5,000 untuk terbang membawa semangat sampai ke sini. Bukan dia tak tahu betapa ramai penggerak di luar sana yang berkobar-kobar mahu pergi, namun atas keterbatasan kewangan. Kehadiran di stadium Sham Alam, Melawati juga sudah cukup menunjukkan keprihatinan anda. Neraca Allah sangat peka, walau seberat zarah pasti tidak terlepas dinilai. Moga Allah redha.

Sempat kami singah di masjid abu ubaidah al-Jarah dalam perjalanan itu, mengambil ruh dan semangat juang para sahabat sebelum tiba di medan berarak. Untung sungguh berada di bumi anbiya' dan para pejuang, ruh pejuang bersepah merata-rata di atas mahupun di dalam tanah. Serah kepada hati mahu dibuka seluas laut, menyerap seperti span atau tutup dibiar kering. Sungguh beruntunglah mereka yang membukanya, dan sungguh rugilah yang mengotorinya.

Tiba di medan berarak, barisan kereta kebal tersusun rapi beserta tentera-tentera bertopeng memegang senjata. Aduh! penyambut tetamu paling ekstrem pernah dijumpainya. Telan air liur juga. Jujur ini bukan seperti yang disangka, Tanah yang sangat lapang terbentang umpama sahara, disetiap penjuru punya pengawal bersenjata menjaga batas-batas supaya tiada yang memandai melebih-lebih masuk ke sempadan israel atau lebih tepat palestin itu. Almaklumlah 15km sahaja, bukan jarak yang jauh langsung. Coaster yang kami naiki mengambil tempat parking dan diturunkan kami bebas mencari posisi terbaik membina markaz khas tempat berkumpul.

Manusia pagi itu belum seramai yang dijangka, barangkali masih awal juga kami tiba disana. Siap-siap mendirikan khemah dan membentang tikar, kami telah pun diserbu warga Arab berpusu-pusu. Menemuramah dan bersalam ukhwah. Warga Arab pelbagai kabilah dari serata jordan yang datang amat mengkagumkan. Ada pemudi-pemudi datang sendiri-sendiri, ini series menakjubkan! Bukan kita tidak tahu betapa arab jordan ini pantang pemudi mereka berjalan sendiri tanpa keluarga, tapi hari ini situasinya berbeza. Yang pasti sangat ramai juga yang datang dengan keluarga masing-masing, dari datuk nenek sehingga bayi yang dikendong. Sekali pandang memang umpama family day. Sekeluarga datang bersama-sama umpama sedang berkelah, namun perkelahan kali ini dengan matlamat yang lebih besar, demi caknanya terhadap saudara jiran mereka di sebelah. Keluarga-keluarga melayu pun belum pasti mampu cakna seperti mereka ini. Menghidupkan semangat cakna dalam institusi kekeluargaan.

penjaga pemisah antara kawasan lelaki dan perempuan. sweetkan!

Selain mereka yang datang atas kapasiti individu, mahupun kapasiti keluarga, tidak kurang juga yang datang atas kapasiti persatuan mahupun mana-mana organisasi dan syarikat-syarikat. Antara yang paling dominan dari syarikat izzat marji dan ikhwanulmuslimin pastinya.

Sejurus azan berkumandang, tanah lapang yang awal paginya tadi agak hambar dibanjiri lautan manusia berbaris menghadap kiblat mendengarkan khutbah jumaat dari khatib. Selalu dilihatnya dari televisi sahaja, hari ini benar-benar diberi peluang untuk solat jemaah jumaat di tanah lapang. Allah! pengalaman yang sangat manis.Bagi yang memahami bahasa Arab,pasti ini antara khutbah yang paling bersemangat pernah didengari. Bayangkan negara Palestin benar-benar di sebelah anda, dan insan-insan disekeliling anda ialah manusia yang sangat bersemangat seolah-olahnya tidak sabar mahu mendirikan solat di dalam masjidil Aqsa di depan sana. Insyaallah suatu hari, alquds pasti kembali kepada kita.

Paling menaikkan bulu roma saat imam melaungkan "Celakalah manusia yang duduk tidak berbuat apa-apa!" Sebanyak tiga kali dengan nada yang sungguh keras. Telan air liur sekali lagi. Peluh juga menitik-nitik. Dalam hati, kalimah istighfar diulang seberapa banyak kali, risau dirilah manusia yang terlaknat itu.

Astaghfirullah...Astaghfirullah...Astaghfirullah... almaklumlah doa imam Arab memang sangat bersemangat, seolahnya seluruh jiwanya sedang berkata bukan lidahnya semata, terus tepat menusuk kepada telinga sang pendengar.

Usai solat jumaat dan qasar jamaie, seorang demi seorang wakil delegasi dari pelbagai negara dan latar belakang memberi ucapan dan motivasi tanda sepenuh hati dalam isu ini. Wakil delegasi Malaysia, Norazmi Talib telah membuat ucapan dalam 3 bahasa- Bahasa Malaysia, Bahasa English dan Bahasa Arab sebelum disambut dengan sorakan dan lagu-lagu penaik semangat serta laungan slogan dari wakil delegasi dan pelajar-pelajar yang lain. Pada saat ini, rasa bangga dengan kesensitifan rakyat malaysia menyerbu hati-hati kami.

Kalau dinilai pada apa yang dilihat mata, mungkin kita akan mampu melihat beberapa kekurangan dari segi pengurusan dan teknikaliti. Bagi delegasi-delegasi manusia seluruh dunia (80 wakil pelbagai negara) yang datang, mungkin pengurusan program bertaraf dunia ini agak mengecewakan dan mampu jauh diperbaiki pada masa akan datang. Jika benar mahu melaksanakan program GMJ sebagai program tahunan yang melibatkan lebih ramai wakil dari seluruh dunia, ruang-ruang pembaikan memang banyak untuk sama dicadangkan. Namun bagi kami yang sudah biasa dengan cara kerja Arab, ini mungkin terbaik pada situasi dan kemampuan mereka sebagai tuan rumah.

Apa yang penting bukan persoalan materi itu dan apa yang dinilai sekadar dengan mata, namun apa yang mampu dilihat dengan mata hati. Beberapa gambaran yang menusuk ke hati ialah melihatkan seorang wanita muda yang patah kaki, namun masih bersemangat berarak membawa bendera palestin sambil melaung-laung walaupun bergerak mengunakan kerusi roda. Aduhaaii~ Sungguh menusuk jiwa. Ibu-ibu muda yang begitu berkobar mengendong anak-anak kecil mereka dengan conteng-conteng di seluruh pipi dan wajah juga begitu menginspirasikan. Di saat itu, kami mengevaluasi. Semangat pemuda Melayu memang tidak terbanding pemuda Arab dalam perjuangan. Adakah kerana pemuda Melayu terlalu lama dalam zon selesa. Allah~

Namun saat akhir sebelum majlis penutup, betapa tersentuhnya hati melihat sebuah pemandangan yang sangat menyejukkan hati. Kelihatan beberapa ikhwah atau pelajar malaysia Jordan yang beramai-ramai membantu mengutip sampah-sarap yang pastinya sudah bersepah-sepah di serata kawasan lapang itu, ketika mana ramai pemuda Arab lain berlalu tanpa membantu. Tidak hairan sampah yang dihasilkan oleh ribuan manusia ini begitu banyak, lebih-lebih lagi sepanjang hari berkampung di sana.

Benarlah, bukan semangat semata yang diperlukan pada seorang pejuang, namun iman yang sensitif itu juga paling utama dalam pembinaan kader-kader perjuangan. Moga kita tidak tertipu antara semangat yang sementara dengan iman yang berkekalan lama. Semangat itu perlu dibakar, namun iman itu sentiasa perlu dibaja juga. Kerana kunci istiqamah itu pada iman seorang pejuang yang disertai hammasah.

Jazakumullahukhair juga kepada akhawat-akhawat yang siap sedia membantu memasak untuk ratusan orang dalam satu malam sahaja. Walaupun anda tidak dapat menghadirkan diri kerana tidak mendapat izin ibu bapa, namun ruh dan semangat anda bersama di sana.

Walau sudah pulang, lirik lagu ini masih terngiang-ngiang di dalam gegendang telinga kami.

Ya Rabbi izinkanlah kami
Berjihad di Palestinamu
Ya Allah masukkanlah kami
tercatat sebagai syuhadaMu

Bangun pagi hari ini, mendapat berita kematian seorang sahabat Arab dari fakulti pergigian yang terlibat dalam kemalangan jalan raya. Muhasabah sebentar. Memetik kata-kata pakcik norazmi sebulan yang lalu, manusia ini tidak perlu menghadiri demo pun untuk mati, betapa kematian akibat kemalangan jalan raya jauh lebih ramai dan lebih merisaukan.

Sungguh benarlah bukan mudah-mudah untuk dapat title syuhada' itu, kadang-kadang kita terlalu risau isu keselamatan, sedangkan Allah hanya akan memilih hambanya yg benar-benar layak sahaja untuk mendapat syafaat seorang syahid itu.

Global March to Jerussalem tamat dengan aman. Moga semua terus bersemangat dalam jihad sebenar kita saat ini, jihad kejiwaan dan jihad dakwah dan tarbiyah.

"Allah ghayatunna"

p/s:
Balik-balik dapat 'arahan' suruh buat 'laporan', ramai juga meseg-meseg minta perkongsian.

Nuha Iffah Nordin
Irbid, Jordan

...tunaikan hak Tuhanmu terhadap agamaNya,
nescaya hakmu kan tertunai tanpa dipinta...

Reference:
https://mail.google.com/mail/h/lgfytitc7ak7/?&v=c&th=1366ef89e71c9138

Monday, March 26, 2012

PERUTUSAN AQSA SYARIF SEMPENA MyGMJ 30MAC2012

Hafidzi Mohd Noor Tue, Mar 27, 2012 at 11:20 AM
Reply-To: ikram-ajk-diskusi@googlegroups.com

Assalamualaikum,

Berikut ialah perutusan Pengerusi Aqsa Syarif sempena MyGMJ. (Sila hubungi ibu pej untuk dapatkan cetakan rasmi Perutusan Penegrusi Aqsa Syarif).

Dengan Nama Allah Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabat.

Aqsa Syarif mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menyahut seruan ‘Global march to Jerusalem’ GMJ pada 30 Mac 2012 yang akan berjalan serentak di seluruh dunia.

GMJ atau Perarakan menuju Baitul Maqdis adalah satu program yang menggabungkan inisiatif global untuk membela dan membebaskan Baitul Maqdis dan bumi Palestin dari cengkaman Zionis yang telah menceroboh tanah suci dan pusat tiga agama besar dunia iaitu Islam, Kristian dan Yahudi. Sepanjang 64 tahun yang lalu sejak berdirinya Negara haram Israel dan sejak 45 tahun Baitul Maqdis dan Tebing Barat diduduki oleh Israel pelbagai bentuk kebiadaban telah dilakukan ke atas tempat-tempat suci dan rumah-rumah ibadah khususnya yang dimiliki oleh umat Islam dan Kritsian

Ancaman ke atas baitul Maqdis dan sekitarnya bermula dalam perang 1948, di mana Israel mengusir hampir 800,000 penduduk Palestin, 100,000 dari mereka adalah golongan Kristian. Tentera zionis memusnahkan 492 perkampungan termasuk 480 masjid dan 14 buah masjid di tukar menjadi kilang, kelab-kelab hiburan dan kandang ternakan haiwan. 410 tanah perkuburan Islam diratakan dan tanda-tanda maqam dimusnahkan. Ini termasuklah Hotel Hilton di Tel Aviv yang didirikan di atas tanah perkuburan Islam Abed an-Nabi. Tragedi tersebut disusuli pula dengan pencerobohan ke atas Baitul Maqdis dan Tebing Barat ekoran pendudukan Israel pada tahun 1967. Dari tahun 1967 sehingga 2004, The Arab Association for Human Rights melaporkan sebanyak 247 masjid dan 19 gereja dicemari dengan pelbagai bentuk penghinaan, diserang dan dirobohkan. Di sekitar Baitul Maqdis sahaja sebanyak 14 masjid menjadi sasaran Zionis.

Sepanjang tahun 2011 sahaja AFEH (Al-Aqsa Foundation for Endowment and Heritage - Yayasan al-Aqsa untuk Waqf dan Warisan) telah mencatat lebih dari 100 serangan ke atas masjid al-Aqsa oleh elemen-elemen zionis. Selain dari Masjid al-Aqsa, serangan juga melibatkan 8 buah masjid yang dibakar, cubaan untuk membakar sebuah lagi dan tindakan merobohkan 3 buah masjid yang lain. Tiga belas buah masjid lagi dicemari dan tiga tempat suci Kristian diserang. Di samping itu 9 tanah perkuburan dicemar dan dimusnahkan. Sebanyak 120 kubur dirosakkan di tanah perkuburan Mamanullah. Sumber AFEH melaporkan serangan ini dilakukan oleh pihak kerajaan, tentera dan pendatang haram yahudi.

Selain dari memusnahkan tempat-tempat suci untuk memadamkan wajah Islam dan Kristian di Baitul Maqdis dan Palestin secara keseluruhan, pihak Zionis secara terang-terangan telah melakukan pelbagai tindakan yang melanggar hak asasi rakyat Palestin dan membelakangkan undang-undang antarabangsa. Tindakan-tindakan biadap ini adalah di dalam rangka untuk mengyahudikan Baitul Maqdis dan memadamkan ciri asal kota suci yang merupakan pusat agama, budaya dan kesenian tiga agama utama dunia sejak zaman-berzaman.

Mereka telah membina temboh pemisah (Separation Wall) yang menghalang penduduk Baitul Maqdis dari berhubung di antara satu dengan lain. Panjang tembok ini ialah 181 km yang menutup dan mengepung sepenuhnya Baitul Maqdis . Tembok ini mengepung kawasan seluas 235 km persegi atau merangkumi 4% dari wilayah Tebing Barat. Ini bererti jalan keluar masuk ke Baitul Maqdis dan masjid al- Aqsa akan dikawal ketat dari semua arah. Terdapat sebanayk 23 sekatan jalan (roadblocks) di sekitar Baitul Maqdis. Sekatan-sekatan jalan ini diwujudkan untuk menghalang pergerakan rakyat Palestin dari Tebing Barat masuk ke al Quds dan sebaliknya. Mereka menjadikan sekatan jalan ini sebagai pintu masuk antarabangsa (international crossing points) yang hanya bolih dilalui dengan visa yang dikeluarkan oleh zionis Israel.

Zionis Israel juga telah dan sedang membina penempatan-penempatan haram Yahudi di sekitar Baitul Maqdis. Penempatan haram ini meliputi kawasan seluas 112.13 km persegi atau menyamai 47.7% dari kawasan al Quds yang di kelilingi oleh tembok (Jerusalem envelope) yang menempatkan 236,480 pendatang yahudi. Jumlah ini jelas untuk menandingi bilangan rakyat Palestin seramai 151,423 yang terkepung di dalam kawasan tembok sedangkan 251,259 rakyat Palestin berada di luar tembok.

Anjuran GMJ ini juga adalah bersempena dengan Land Day atau 'Hari Tanah' Palestin yang bermula pada 30 Mac, 1977 apabila tentera zionis menyerang orang awam Palestin yang berdemonstrasi untuk membantah rampasan tanah secara berleluasa di Galilee, utara 'Israel' atau lebih tepat lagi wilayah Palestin yang dijajah sejak 1948. Pada hari tersebut, tentera zionis membunuh enam orang Palestin, mencederakan 96 orang dan menahan dan memenjarakan kira-kira 300 orang. Seluruh bangsa Palestin di dalam 'Israel', Tebing Barat, Gaza dan mereka yang berada di khemah-khemah pelarian di negara-negara Arab mengistiharkan hari tersebut sebagai Land Day atau 'Hari Tanah' untuk mengingati kehilangan tanah rakyat Palestin yang masih berlaku untuk meluaskan lagi negara haram Israel.

Kini setelah 32 tahun, regim zionis terus rakus merampas tanah-tanah milik orang Palestin samada di Tebing Barat, Baitul Maqdis Timur dan di negara haram Israel sendiri. Bahkan perjanjian Oslo 1993 yang kononnya menjanjikan sebuah wilayah Palestin yang merdeka berasaskan resolusi PBB 242 1967 terus dicabuli sendiri oleh regim zionis apabila terus merampas tanah rakyat Palestin dan merobohkan kediamam mereka bagi membina lebih banyak penempatan haram Yahudi. Penipuan-penipuan yang berselindung disebalik perjanjian damai terus berlaku sehingga kini. Ini termasuklah merancakkan aktiviti pembinaan penempatan Yahudi di Ma'ale Adoumin di Tebing Barat sebaik sahaja Konferens Annapolis selesai pada tahun 2007.

Rampasan tanah ini juga berlaku akibat pembinaan tembok pemisah di sepanjang Tebing Barat yang menyebabkan 45% dari tanah rakyat Palestin kini berada di dalam wilayah negara haram Israel. Tembok pemisah ini menyebabkan rakyat Palestin kehilangan tanah-tanah pertanian mereka, telaga air bahkan rumah kediaman. Kadar keciciran di kalangan pelajar sekolah juga amat tinggi kerana perjalanan ke sekolah terhalang oleh tembok.

Pada tarikh yang sama iaitu 30 Mac 2009, kempen BDS (Boycott, Divestment and Sanctions) atau 'Boikot, Mengalihkan pelaburan dan Sekatan' dilancarkan bersempena dengan seruan World Social Forum di Belem, Brazil yang menyeru seluruh dunia memboikot produk, dan institusi Israel. Kempen boikot Israel adalah sangat penting dan menjadi sebahagian dari perjuangan untuk membebaskan bumi Palestin dan mengembalikan hak rakyat Palestin termasuk hak untuk pulang ke negara mereka seperti yang dijamin oleh piagam dan resolusi-resolusi PBB. Dalam keadaan rakyat Palestin terus dikepung dan dipenjarakan di Gaza dan di Baitul Maqdis maka BDS merupakan satu seruan yang wajib untuk disambut oleh seluruh masyarakat antarabangsa bagi menamatkan kepungan Israel.

Kesemua kezaliman ini menuntut kepada satu tindakan yang padu dari masyarakat antarabangsa untuk memelihara Baitul maqdis dan Palestin dari terus dirosakkan dan dimusnahkan oleh tangan-tangan zionis yang anti kemanusiaan. Tindakan biadap mereka bukan sahaja menzalimi rakyat Palestin yang sudah berlanjutan lebih dari enam dekad malah mereka sedang bekerja siang-malam untuk memusnahkan warisan dan tamaddun kemanusiaan yang tidak ternilai. Perbuatan biadap ini mesti dihentikan segera dan rakyat Malaysia diseru untuk bersama-sama seluruh masyarakat antarabangsa dalam menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin. Solidariti bolih dizahirkan dengan menyertai perhimpunan perarakan MyGMJ yang akan berlangsung di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor pada Jumaat 30 Mac 2012.

Di masa yang sama seramai 23 orang rakyat Malaysia akan bersama dengan anggaran 2 juta masyarakat antarabangsa dari 80 negara yang akan berkumpul di empat buah negara yang berjiran dengan Palestin. Kesemua delegasi Malaysia akan bersama dengan rakyat Jordan dan Palestin dan warga Malaysia yang berada di Jordan yang akan akan bersama menyatakan solidariti mereka bersama rakyat Palestin di Baitul Maqdis dan di Palestin.

Aqsa Syarif menyeru semua pihak yang cintakan kedamaian dan menghormati prinsip hak asasi manusia supaya berganding bahu sempena Global March to Jerusalem dengan menyemarakkan kempen kesedaran ini dengan menyertai Perhimpunan MyGMJ yang telah dirancang pada 30 Mac 2012.

Perkembangan tentang Perhimpunan MyGMJ bolih diikuti di

http://www.mygmj.org.my/

http://www.twitter.com/myGMJ

http://www.facebook.com/MalaysiaGMJ

https://mail.google.com/mail/h/d8uu57gptowf/?&v=c&th=13652552ec345dfc


Pengerusi Sekretariat MyGMJ Dr Mohd Tahir b Abdul Rahman +6017-9720700

SU Ar Hj Syed Mohd Radzi Sayyid Sakkaf +6013-3909881


Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor

Pengerusi Aqsa Syarif


MEMPERKASA UMMAH

MEMBEBASKAN AL-AQSA

Sunday, March 4, 2012

Pengakuan Yang Tepat Masanya - Najib Mengaku Kesilapan

NAJIB MENGAKU BN SILAP - UMPAMA TAUBAT DI HUJUNG NYAWA

Najib pohon maaf bukti benarnya PAS lawan Umno - Harakahdaily, 04 Mac 2012

KUALA LUMPUR, 4 Mac: Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia di atas kesilapan yang dilakukan Umno BN selama ini membuktikan bahawa perjuangan PAS menentang dasar-dasar Umno BN selama ini adalah benar.


Demikian tegas Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nazmi Nik Din ketika mengulas laporan media semalam yang menyatakan bahawa Perdana Menteri memohon maaf di atas kesilapan Umno BN yang terdahulu dan berjanji untuk memperbetulkannya semula.

“Kita amat yakin dengan kebenaran perjuangan PAS , dan rakyat yakin dengan perjuangan kita untuk melakukan perubahan di Malaysia, dan ini diperkukuhkan lagi dengan permohonan maaf oleh Najib kepada seluruh rakyat Malaysia terhadap kesilapan yang lalu,” tegas beliau.

Menurut beliau lagi, walaupun Najib terpaksa berlutut kepada rakyat dengan mengeluarkan kenyatan seperti itu, namun rakyat yakin bahawa rakyat Malaysia tidak akan membiarkan pisang berbuah dua kali.

“Kita percaya rakyat Malaysia tidak akan membiarkan pisang berbuah kali, atau dipatuk dua kali oleh kerajaan Umno BN, bisa patukan pertama masih belum hilang.

“55 tahun rakyat Malaysia menderita dek kerajaan Umno BN, baru sekarang dia (Najib) minta maaf, tapi kita percaya permohonan maaf itu ada makna sebab pilihan raya sudah berada diambang pintu, kita percaya kesilapan sama akan berulang dan rakyat akan terus menjadi mangsa kiranya Umno BN terus diberikan mandat,” kata beliau.

Justeru itu, beliau menyeru agar rakyat Malaysia terus melakukan agenda perubahan dengan menumbangkan kerajaan Umno BN dalam PRU13 yang akan datang serta tidak termakan dengan pujuk rayu dan permohonan maaf mereka khususnya ketika nyawa mereka berada di penghujung halkum.

Reference:
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/8537-najib-pohon-maaf-bukti-benarnya-pas-lawan-umno

Saturday, February 18, 2012

JAWAPAN TOHMAHAN TERHADAP AL-BUTIY

Dr Said Ramadhan Al Buthi telah difitnah dan dicemuh oleh kebanyakan saudara kita yang tidak mendapat maklumat yang jelas mengenai beliau yang dikatakan bersetuju dengan Presiden Syria Assad Basyar.

Sebelum kita menghujum/melontarkan fitnah dan kebencian kepada ulamak. Marilah sama-sama kita menyelidikinya oleh pelajar yang berada di sana apa, dan mengapa di sebalik tindakan beliau :

Oleh Ustazah Syarifah Fatimah Al Yahya :

Pada awalnya sy gusar spt enta juga krn Syeikh antara ulama' yg sy kasihi & hormati. Sangat terguris hati ini apabila Syeikh mengambil tindakan demikian & sedih apabila orang mula mencemuh beliau.

Lantas sy bertanya salah seorang pelajar di sana, barulah lega hati ini mendengarnya. Wpn sy tidak bersama dengan cara beliau namun sy tetap menghormati ijtihad beliau.

Sy copy paste di sini jawapan pelajar & sy mempercayainya..

Cuaca politik Syria adalah yang paling susah dalam sejarah kali ini kerana Syria dikuasai oleh golongan kecil syiah nusiriah yang melihat darah ahli sunnah suatu yang halal ditumpahkan.

Maka Syaikh Said Ramadhan alBouti telah mengambil langkah politik pelik dari ulama lain dengan cara tahalluf siasi bersama syiah nusairiah yang diketuai keluarga al asad untuk menjaga kepentingan ahli sunnah wal jamaah setelah berlaku pembunuhan beramai-ramai di bandar Hamah.

Dari usaha Syaikh Said Ramadhan al Bouti ini maka telah mencapai beberapa kejayaan di dalam menjaga kepentingan ahli sunnah wal jamaah.

Di antaranya;

1. Ramai dari kalangan ulama yang dibebaskan dari penjara yang mana mereka adalah pejuang ikhwan dahulu.

2. Kepulangan para ulama yang lari keluar negara ke kampung halaman masing2 seperti Syaikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.

3. Kemasukan ulama luar negara ke dalam Syria untuk menyampaikan dakwah seperti Syaikh Yusuf Qaradawi.

Jika seseorang tidak teliti dengan apa yang dilakukan Syaikh al Bouti maka dia akan mengatakan Syaikh alBouti seorang yang munafiq dan telah tersilap didalam melakukan apa yang dia (Dr Bouti) lakukan sekarang. Tapi hakikatnya beliau seorang yang mantiqi tinggi dan perkara yang beliau lakukan jumhur ulama syria menyokongnya.

Kita tidak akan lihat seorang pun dari kalangan ulama syria (ikhwanji&bebas) mencemuh cara pembawakan beliau kerana mereka tahu peribadi Dr Bouti yg tidak menyalahi sunnah.

Lihat penduduk kurdi kuat melawan kerajaan asad tetapi mereka tidak mencemuh Dr Bouti, bukan kerana dr Bouti seorang kurdi tapi kerana banyak cara beliau bawakan bersama kerajaan asad membantu kaum kurdi di syria.

Ana nak bawa satu cerita bagaimana anak Dr. Bouti iaitu Dr taufiq pernah berpesan kepada salah seorang pelajar syria yang ingin pulang ke malaysia semasa revolusi di lakukan dengan berkata:

''APABILA KAMU PULANG KE MALAYSIA KAMU PERTAHANKANLAH BAPAKU KERANA SEBENARNYA DIA BUKAN INGIN BERSENGKOKOL DENGAN KERAJAAN ASAD TAPI INGIN BERJIHAD MEMBANTU AHLI SUNNAH SECARA YANG DIA MAMPU''

dari page Tahu Amal dan Faham.


Reference:
https://www.facebook.com/notes/irfan-masiri/jawapan-kepada-tuduhan-said-ramadhan-al-buti-berpihak-kepada-basyar-asad/10150569405117709

Thursday, February 16, 2012

KEADILAN JUNJUNG ASPIRASI DAN HASRAT RAKYAT PALESTIN

Kenyataan Media Dato Seri Anwar Ibrahim Berkenaan Isu Palestin – Israel
Posted on Thursday, February 16 @ 02:44:16 PST
Dilulus untuk paparan oleh mmas_forever

Dato' Seri Anwar bin Ibrahim

Telah dihebahkan kenyataan saya dalam Asian Wall Street Journal, “I support all efforts to protect the security of the state of Israel,” (Saya menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel) sedangkan kenyataan penuh selepas itu, “a step which he said remains contingent on Israel respecting the aspirations of Palestinians.

(pendirian tersebut tertakluk kepada syarat bahawa Israel mesti menghormati aspirasi rakyat Palestin) tidak pula disiarkan sepenuhnya. Media, pimpinan UMNO dan Dato’ Seri Najib Razak berterusan menabur fitnah kononnya saya mengkhianati aspirasi rakyat Palestin

Kenyataan saya kepada Asian Wall Street Journal secara jelas meletakkan aspirasi rakyat Palestin yang mahukan keadilan, keamanan dan maruahnya dihormati sebagai syarat kepada tuntutan Israel agar keselamatannya dijamin .

Pendirian saya ternyata diterima pimpinan dunia Islam seumpama Kerajaan Arab Saudi seperti yang diungkapkan Menteri Luar nya, Putera Saud al Faisal bahawa:

“This [2002 Arab Peace Initiatve] is the way toward security.. Israel can’t keep the land and want security at the same time. It has to withdraw and give the Palestinians their rights. If Israel does that, the Arab states will put an end to the state of war. That will give Israel its security”.

Baru-baru ini Raja Abdullah dari Jordan juga mengulangi pendirian yang sama:

“The Palestinian right to statehood and their cry for justice and a homeland free of occupation remain the Arab people’s foremost cause. In Jordan, the “final-status” issues—including borders, refugees, security and Jerusalem—are at the heart of our priorities. This means making real the promise of a viable, independent, sovereign Palestinian state, as part of a two-state agreement that resolves all final-status issues and guarantees security for Israel.”

Makanya, persoalan tuntutan jaminan keselamatan Israel yang bersyaratkan kepada keadilan dan keamanan diberikan kepada rakyat Palestin bukanlah perkara baru. Sedangkan saya tuntas mendokong aspirasi rakyat Palestin sekian lama, bermula dari memimpin demonstrasi membantah keganasan Israel yang mendapat dokongan Amerika pada tahun 1973 di hadapan Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur dan mewakili Malaysia pada tahun 1983 ke Persidangan PLO di Algiers setelah menerima undangan dari Yasser Arafat.

Pendirian saya tuntas menjunjung aspirasi rakyat Palestin yang mahukan keamanan, keadilan dan kehidupan yang bermaruah bertepatan dengan semangat yang disuarakan oleh Ismail Haniyeh, Perdana Menteri Palestin :

“If Israel withdraws to the ’67 borders, then we will establish a peace in stages.. Number one, we will establish a situation of stability and calm which will bring safety for our people – what (Hamas founder) Sheikh (Ahmed) Yassin called a long-term hudna (truce). If Israel declares that it will give the Palestinian people a state and give them back all their rights, then we are ready to recognise them”.

Saya hargai pandangan dan semangat sahabat-sahabat dari PAS, Majlis Syura PAS dan seluruh gerakan dakwah dan pertubuhan Islam yang berterusan membela nasib rakyat Palestin.

Ketetapan PAS yang menentang keras pencerobohan dan kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin turut dikongsi oleh seluruh rakyat Malaysia. Saya memahami perbezaan pendirian PAS dengan KEADILAN. Parti Islam SeMalaysia berpendirian kewujudan negara Israel adalah haram dan mereka tidak berhasrat untuk mengadakan sebarang rundingan serta kerjasama dengan Israel.

Walaupun begitu Parti Keadilan Rakyat berkongsi hasrat dengan PAS untuk melihat tertegaknya sebuah negara Palestin yang merdeka, bebas dan makmur, yang juga merupakan hasrat seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keadilan.

Ini berbeza dengan adu domba UMNO yang bermuka-muka dan mengambil kesempatan di atas sentimen kuat pro-Palestin di negara ini bagi matlamat politik sempit mereka. Tatkala media UMNO menyerang saya sebagai ejen Israel, Menteri Luar dari UMNO secara terbuka mengesahkan kewujudan Israel berdasarkan penyelesaian dua negara (two-state solution) di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu .

Manakala saya dituding mengkhianati aspirasi rakyat Palestin, Menteri Pertahanan dari UMNO jugalah yang duduk berbincang dengan Menteri Pertahanan Israel pada tahun 2009 , walaupun perkara ini cuba dipadamkan. Namun rakyat tidak lupa bahawa pentadbiran Perdana Menteri bergegas melantik APCO yang turut diterajui Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel dengan berpangkat Mejar Jeneral. Malah, mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang terus menerus memfitnah saya pernah bertemu Perdana Menteri Israel dan menteri luarnya, Shimon Peres di Paris pada tahun 1994. Pada masa yang sama sesuatu yang tidak dapat dinafikan pimpinan UMNO bahawa Malaysia merupakan rakan dagang Israel ke 15 terbesar. Jumlah dagangan antara Malaysia dan Israel mencecah 667.6 juta Euro.

Sikap bermuka UMNO dalam isu Palestin bukanlah perkara baru, sebab itu saya jelas menyeru sahabat-sahabat dan rakyat

Malaysia supaya menumpukan tenaga membantu meringankan penderitaan saudara-saudara di Palestin.
Derita ini ditanggung setiap hari tatkala rakyat Palestin menyabung nyawa menyelamatkan diri dari serangan dan pendudukan tentera Israel. Ini kenyataan kehidupan seharian seorang rakyat Palestin yang harus kita insafi.

Saban hari, keperluan asas seperti air minuman, makanan, ubat-ubatan, simen untuk pembinaan dan pelbagai keperluan lain tidak dibenarkan masuk ke Gaza akibat sekatan Israel. Sengsaranya rakyat Palestin bila mana 80% dari mereka memerlukan bantuan makanan, 90% hidup dalam kemiskinan, lebih separuh daripada isirumah hanya makan sekali sehari dan lebih 60% kanak-kanak menghidap anemia dan kekurangan zat makanan.

Sebab itu saya yakin bahawa aspirasi rakyat Palestin yang mengambil kira kepayahan seharian mereka seperti yang disuarakan oleh pimpinan-pimpinan mereka wajib dijunjung dan dihargai. Semangat setiakawan rakyat Malaysia yang selari dengan aspirasi itu bukanlah satu pengkhianatan kepada perjuangan mereka, sebaliknya menjadi dokongan utama kepada usaha mewujudkan keamanan dan memberikan keadilan kepada rakyat Palestin.

Oleh kerana itu wajar buat kita memahami, menghargai dan menjunjung aspirasi rakyat Palestin yang disuarakan melalui dua pertubuhan utama tersebut. Sepertimana pertemuan saya baru-baru ini di Doha dengan Khalid Mashaal, sebelum termeterainya persetujuan bersama tersebut, saya ulangi dokongan saya buat perjuangan rakyat Palestin, Hamas dan Fatah. Manakala pengiktirafan negara Israel tertakluk selagi mana Israel menghormati kedaulatan wilayah dan keselamatan rakyat Palestin.

Justeru adalah mustahak untuk kita sedari suara rakyat Palestin mutakhir ini adalah melalui Hamas dan Fatah sebagaimana yang tertera dalam persetujuan bersama Hamas dan Fatah di Doha hari ini. Persetujuan tersebut antaranya mengungkapkan dokongan terhadap aspirasi rakyat Palestin, pengunduran tentera Israel dari tanah Arab, menghentikan keganasan dan memperakui kewujudan Palestin. Seandainya ini dihormati maka kewujudan Israel akan diiktiraf. Inilah juga semangat yang terkandung dalam kenyataan saya, “a step which he said remains contingent on Israel respecting the aspirations of Palestinians.” (pendirian tersebut tertakluk kepada syarat bahawa Israel mesti menghormati aspirasi rakyat Palestin).

ANWAR IBRAHIM
KETUA UMUM
PARTI KEADILAN RAKYAT

Reference:
http://www.tranungkite.net/v11/modules.php?name=News&file=article&sid=12464

Tuesday, January 24, 2012

Kedudukan Hukum Qazaf : Pendirian WADAH

Pendirian Wadah mengenai isu Qazaf
Oleh:
Abdul Halim Ismail, 20 Dis 2011

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) telah mengeluarkan Pernyataan Bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengenai isu yang sama dengan tajuk Pernyataan Sikap Terhadap Isu Jenayah Qazaf, pada 27 Mac 2011 (sila rujuk Kenyataan Media di www.wadah.org.my/).

Sebagai reaksi kepada beberapa persoalan yang berbangkit serta kekeliruan-kekeliruan yang timbul di kalangan masyarakat ekoran kenyataan-kenyataan beberapa orang mantan pimpinan ABIM mengenai isu tuduhan tuduhan liwat dan zina terhadap DS Anwar Ibrahim, maka WADAH ingin menegaskan kembali sikap dan pendirian yang telah diambil dengan merujuk kepada Pernyataan yang telah dibuat 27 Mac tersebut.

Pertama: Sikap dan pendirian mestilah berasaskan syari`at

“Sesungguhnya kembali kepada syari`at adalah satu-satunya jalan keluar yang adil dan selamat. Demikianlah petunjuk Ilahi yang terungkap dalam kitab suci-Nya, "… Kemudian jika kamu berselisih tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (Al-Nisa':59). Apakah yang sebenarnya dicari oleh pendakwa dan penuduh? Andainya yang dicari adalah keadilan, bukankah ia wujud dalam hukum syari`at? Apakah ada hukum lain yang lebih adil daripada hukum Allah? Apabila seseorang mengatakan "Aku ridha dengan Allah sebagai Tuhan……." (رضيت بالله رباً...) bererti ia rela menerima hukum-hakam-Nya. Jika benar demikian, mereka harus membuktikan kejujuran menepati ikrar dan pengakuan tersebut. Ternyata kesediaan rujuk (kembali) kepada Allah (hukum-hakam-Nya) adalah ujian iman. Hanya yang benar-benar beriman (kepada Allah dan Hari Akhirat) sahaja yang akan dengan senang dan rela menerima hukum Allah. Demikianlah makna tersirat di balik kalimat-kalimat,"…, jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian." (إن كنتم تؤمنون بالله واليوم الآخر).”

Kedua: Hukum qazaf (menuduh liwat dan zina) adalah berat hingga kerana itu hal-hal berkaitan dengannya diperincikan oleh syari`at.

“Dalam kaitan inilah motif hukum qadhaf dalam syari`at Islam itu harus difahami. Mereka yang berleluasa menabur fitnah, melemparkan tuduhan keji (zina/liwat) tanpa pembuktian secara syar`i (menghadirkan empat orang saksi yang adil dan berwibawa) seharusnya menginsafi betapa buruknya perilaku mereka, dan betapa beratnya kesalahan jenayah qadhaf yang membawa hukuman deraan fizikal lapan puluh kali sebatan (ثمانين جلدة), di samping sanksi sosial dan moral: hilang kelayakan menjadi saksi (tentang apa pun dan sampai bila pun), dan seterusnya terlempar ke dalam kelompok orang-orang fasiq (الفاسقون) sebagaimana yang disebut dalam surah al-Nur:4-5. Demikianlah ketetapan hukum syari`at yang tidak boleh ditawar-tawar lagi. Cara pembuktiannya hanya satu: hadirkan empat saksi, dan tidak lain daripada itu. Dalam kes seperti ini pembuktian dengan cara bersumpah sama sekali tidak relevan.”

Ketiga: Menyebarkan tuntutan yang benar berasaskan syari`at adalah amanah dan tanggungjawab agama.

“Terlepas dari maksud mencampuri konflik politik antara parti, dengan niat murni semata-mata demi amanatu 'l-balagh serta tanggungjawab dakwah dan tazkirah, kita menyeru seluruh umat dan rakyat agar berpegang kepada prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya, yang dalam hal ini pembuktiannya harus berdasarkan hukum syara`. Pembuktian yang tidak dilakukan secara syara` adalah tidak sah. Dalam kaitan ini seluruh rakyat yang menginsafi hakikat kesucian maruah dan ketinggian nilai kehormatan diri harus sedia memberikan sokongan dan dukungan kepada perjuangan suci mempertahankan maruah, kehormatan dan nama baik dari pencemaran fitnah.

Keempat: Menolak gejala fasik dan pertuduhan liwat dan zina terhadap DS Anwar Ibrahim.


“Selaras dengan itu seluruh umat Islam yang setia kepada idealisme masyarakat bersyari`at harus menolak gejala fusuq (kefasikan) yang menjelma dalam bentuk fitnah terhadap seseorang yang berintegriti moral. Dalam kaitan ini YB. Dato' Seri Anwar Ibrahim, atau siapa sahaja yang dilempari tuduhan (qadhaf) tanpa pembuktian secara syar`i berhak membela diri dan menuntut keadilan berasaskan hukum syara`: penuduh yang gagal menghadirkan empat orang saksi harus didakwa di bawah hukum qadhaf. Demi menghormati kedaulatan Islam, tuduhan yang tidak memenuhi persyaratan syara` seharusnya digugurkan. Dalam hubungan ini fatwa para ulama dunia yang berautoriti besar mengenai isu ini seperti al-Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan al-Shaykh Dr. Wahbah al-Zuhayli (kedua-duanya adalah penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah dari kerajaan Malaysia) serta yang lain-lainnya harus dihormati dan didukung tanpa ragu. Fatwa-fatwa mereka cukup jelas, tegas, kuat, berwibawa dan meyakinkan.

Kelima: Menegaskan tanggungjawab bersama dalam membina masyarakat berakhlak berdasarkan syari`at.

“Demi tanggungjawab membina umat dan masyarakat bermaruah yang saling hormat dan saling percaya, setiap warga harus memiliki keberanian bersikap, menolak budaya fasiq aib mengaib dan fitnah memfitnah. Masyarakat Islam bukan sebuah ladang fitnah, dan bukan juga sebuah pasar gosip. Al-Qur'an telah memberikan petunjuk jelas bagaimana menyikapi gejala fasiq seperti itu, iaitu dengan menolaknya secara jelas, tegas dan tanpa basa-basi, "… ini dusta yang nyata!" ,(...هذا إفك مبين)"…ini pembohongan besar!" .(هذا بهتان عظيم) Komitmen terhadap misi amar makruf nahi munkar menuntut setiap orang bertindak melawan gerakan penyebaran kebejatan (al-fahishah).

Keenam: Menasihati mereka yang terlibat dalam membuat jenayah qadhaf supaya kembali menginsafi ketelanjuran mereka dan merujuk kembali kepada amaran Allah.

“Mereka yang terlibat dengan kegiatan jahat menabur fitnah dan menyebarkan berita bohong di kalangan umat seharusnya menyedari dan menginsafi amaran keras pembalasan Tuhan sebagaimana ditegaskan dalam kitab suci-Nya: “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu (juga). Janganlah kamu mengira berita itu buruk bagi kamu bahkan itu baik bagi kamu. Setiap orang dari mereka akan mendapat balasan dari dosa yang diperbuatnya. Dan barang siapa di antara mereka yang mengambil bahagian terbesar (dari dosa yang diperbuatnya), dia mendapat azab yang besar (pula) - Al-Nur:11” “Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, mereka mendapat azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. - Al-Nur:19”.

Sehubungan dengan ini juga, WADAH ingin menegaskan bahawa sebarang kenyataan, pandangan atau pendapat yang dikeluarkan oleh Prof Dato’ Dr Sidek Baba dan Dr Yusri Muhammad, termasuk yang berkaitan dengan isu ini, adalah tidak mewakili pandangan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH). Prof Dato’ Dr Sidek Baba ialah seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan pernah memegang beberapa jawatan dalam ABIM termasuk sebagai Naib Presiden. Dr Yusri Muhammad pernah memimpin ABIM sebagai Presiden. Beliau baru melepaskan jawatannya sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan kini selaku Yang Di Pertua Yayasan Sofa, Negeri Sembilan.

Abdul Halim Ismail
Setiausaha Agung WADAH.

23 Muharram 1433

19 Disember 2011

Ikhwan Muslimuun Menerajui Hasrat Rakyat Mesir

Ikhwan Muslimin terajui kerajaan baru Mesir


Oleh:
MOHD RASHIDI HASSAN | rashidi@harakah.net.my, 24 Jan 2012





PESANAN SYED QUTTB R.AH YG DISEMPURNAKAN INSYA ALLAH SWT

Andainya kematian kau tangisi
Pusara kau siram dengan air matamu
Maka di atas tulang belulangku yang dah luluh
Nyalakanlah obor untuk umat ini dan
Lanjutkanlah gerak merebut kemenangan

Kematianku hanyalah suatu perjalanan
Memenuhi panggilan kekasih yang merindu
Taman-taman indah di syurga Tuhan
Terhampar menanti
Burung-burungnya berpesta menyambutku
Dan berbahagialah hidupku di sana

Puaka kegelapan pastikan lebur
Fajarkan menyingsing
Dan alam ini kan disinari cahaya lagi
Relakanlah rohku terbang menjelang rindunya
Jangan gentar berkelana ke alam abadi
Di sana cahaya fajar memancar.

- As-Syahid Syed Qutb Rahimahullah..
______________________________________________
Selepas 46 tahun pujangga dan sasterawan ulung as-syahid Syed Qutb melakarkan syairnya di sebalik jeriji besi penjara, kini gerakan Islam di Mesir yang diterajui Ikhwan Muslimin sedang bergerak merebut kemenangan bagi seluruh rakyat Mesir.

Kemenangan besar Ikhwan di bawah kepimpinan Mursyidul Am, Dr Mohamed Badie, menerusi Parti al-Hurriyah wal 'Adalah (parti Kebebasan dan Keadilan atau Freedom and Justice Party - FJP) dan parti-parti gabungannya dalam Pilihan Raya Umum Mesir minggu lepas, iaitu hampir setahun selepas Presiden Hosni Mubarak digulingkan, merupakan suatu perubahan besar kepada landskap politik di negara-negara Arab.

Walaupun Syed Qutb dan beberapa orang pimpinan Ikhwan dizalimi sehingga mati syahid di tali gantung pada pagi Isnin 29 Ogos 1966, tidak dapat merasai nikmat kemenangan perjuangan Islam, sekurang-kurangnya roh mereka berbahagia disisi Allah, kerana pengorbanan mereka sudah ditebus Ikhwan.

Selepas tiga pusingan pilihan raya yang dianjurkan secara bebas dengan pemantauan dunia, keputusan muktamad pilihan raya umum Mesir mencatatkan FJP menang 232 kerusi Parlimen (lebih 45 peratus kerusi), Parti Nur Salafi meraih 113 kerusi, Parti Wafdu (Sekular) dengan 47 kerusi, Parti Kutlah (Sekular) mendapat 39 kerusi, Parti Fulul (bekas penyokong Hosni) memperolehi 17 kerusi, Parti Wasot Islami 10 kerusi, Parti Thaurah Mustamirah dengan 8 kerusi dan parti bebas mendapat 14 kerusi.

Sementara 18 lagi kerusi Parlimen sedang menanti untuk diadakan pilihan raya dalam masa terdekat.

Secara keseluruhannya FJP mendapat 13 juta undi, Parti Nur Salafi dengan 7 juta undi dan golongan sekular mendapat 5 juta undi. Gabungan golongan Islam FJP dan Salafi mencatatkan undi keseluruhan 20 juta undi.

Dengan kemenangan besar ini, sudah pasti FJP iaitu parti tajaan Ikhwan akan menerajui Kerajaan Mesir. Sementara dalam tempoh peralihan ini (selepas Mubarak dijatuhkan) sehingga kerajaan baru mengangkat sumpah, khususnya tugas-tugas mentadbir masih lagi di bawah tugasan tentera.

Ikhwan menerusi FJP akan menjadi peneraju utama untuk menggubal Perlembagaan baru Mesir. Dalam perlembagaan baru yang bakal digubal nanti, akan ditetapkan sama ada kuasa pemerintahan akan diserahkan kepada Parlimen, atau kepada Presiden.

Penggubalan Perlembagaan sudah dipersetujui untuk diserahkan kepada Parlimen yang dipilih secara demokratik oleh rakyat Mesir menerusi pilihan raya yang adil dan bebas.

Perlembagan ini digubal kerana, sebelum ini Mesir diperintah secara diktator oleh Mubarak. Pada zamannya Parlimen hanya diberi kuasa sebagai legislatif, tetapi hak mutlak administratif dan eksekutif di bawah kuasa penuh Presiden.

Pengubalan Perlembagaan ini juga akan menentukan terma-terma pembahagian kuasa antara Parlimen dan Presiden. Apa pun Perlembagaan baru Mesir akan disiapkan sebelum Pilihan Raya Presiden Mesir yang dijangka akan diadakan awal Jun depan.

Sebagai langkah peralihan kuasa, Perdana Menteri (sementara), Dr Kamal Ganzouri mengadakan perbincangan dengan Presiden FJP Dr Mohamed Morsi dan Setiausaha Agung FJP, Dr Mohamed Sa'du Katatni.

Dalam pertemuan itu Dr Morsi menegaskan bahawa agenda utama yang menjadi fokus FJP untuk digubal Perlembagaan Mesir adalah, mengutamakan kepentingan rakyat termiskin.

Pada pertemuan itu Dr Morsi menegaskan,"Keutamaan kami (FJP) adalah untuk mencapai kestabilan dan harmoni untuk kepentingan seluruh rakyat Mesir.

"Untuk itu, saya menekankan peri pentingnya kerjasama semua golongan dalam masyarakat, terutamanya golongan pasca revolusi yang menguasai Parlimen yang bakal dibentuk. Buat pertama kalinya dalam dekad ini (Parlimen) akan mewakili kepentingan seluruh rakyat Mesir."

Dalam langkahnya bertahaluf siyasi dengan pelbagai golongan untuk mencapai kestabilan politik dan keharmonian rakyat, FJP mencalonkan Setiausaha Agungnya sebagai calon Speaker Parlimen, yang merupakan jawatan yang mempunyai kuasa besar di dalam sistem demokrasi berpresiden.

Selain Dr Sa'du Katatni, FJP juga mengumumkan akan menyokong seorang wakil Parti Nur Salafi (golongan Islam) dan wakil Parti Wafdu yang berhaluan sekular sebagai Timbalan Speaker.

Dr Katatni bukannya calang-calang orang. Beliau merupakan antara seorang pejuang Ikhwan yang ulung. Di zaman diktator Mubarak, beliau dipenjarakan dan diseksa bersama dengan Dr Mohamed Morsi dan Essam El-Erian.

Dr Katatni merupakan sarjana Phd dalam jurusan sains yang pernah bertugas sebagai Profesor, mengajar subjek mikro biologi dalam bidang botani di Universiti Minia. Kemudiannya dilantik sebagai dekan fakulti pada tahun 1994-1998.

Beliau juga memperolehi ijazah dalam bidang Pengajian Islam di bawah Fakulti Sastera pada tahun 2000. Selain itu beliau merupakan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pengajar Universiti berkenaan.

Selain pengalaman politik, pengamalan Dr Katatni dalam bidang akademik sangat hebat. Sepanjang kariernya, beliau mengawasi lebih 21 kajian untuk pemegang Master dan Phd dalam hal ehwal botani selain menulis 36 kajian, di mana beliau menjadi Pengerusi Persatuan Saintis di Minia.

Katatni menceburi bidang politik selepas menyertai Ikhwan Muslimin. Beliau bertanding dalam pilihan raya umum Mesir pada tahun 2005 dan menang mewakili daerah Minia.

Di dalam Parlimen (pada zaman Mubarak) Dr Katatni merupakan Ketua Whip Parlimen Ikhwan sebelum disumbat ke dalam penjara oleh rejim Mubarak.

Justeru pelantikan Dr Katatni sebagai calon Speaker dari FJP berdasarkan pengalaman yang luas serta sumbangan besar beliau dalam bidang akademik dan politik di Mesir.

Tidak dinafikan bahawa perhatian dunia khususnya golongan Barat tertumpu ke Mesir pada waktu ini. Wakil-wakil Barat saban hari mengunjungi Ibu Pejabat Ikhwan di Jabal Muqattam dan pejabat FJP di Manial al-Roda.

Bekas Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter turut berkunjung. Beliau menemui Mursyidul Am, Dr Badie. Manakala Timbalan Setiausaha Luar Amerika, William Branze menemui Presiden FJP, Dr Morsi.

Malah dalam pertemuan berasingan Duta Besar British ke Mesir, James Watt menegaskan pihaknya bersedia untuk memberikan sokongan bagi memulihkan ekonomi Mesir.

Kemenangan Ikhwan menerusi FJP turut menarik perhatian diplomat German. Dalam satu artikelnya dalam akhbar Frankfurter Allgemeine Zeitung, Menteri Luar German, Guido Westerwelle membicarakan tentang peranan parti-parti politik Islam yang sedang membuat perubahan kepada landskap politik di negara Benua Afrika Utara dan dunia Arab yang disifatkan sebagai Arab Spring.

Westerwelle berpendapat, perubahan besar yang melanda negara-negara seperti Tunisia, Maghribi, Libya dan Mesir terutamanya, masih berhadapan dengan beberapa ancaman, antaranya pada saat kritikal peralihan kuasa dari rejim lama kepada kerajaan baru. Selain itu, Arab Spring menghadapi cabaran besar untuk memulihkan ekonomi kerana rakyat di kebanyakan negara terbabit berada dalam belengu kemiskinan.

"Kita harus membantu proses transisi di utara Afrika dan dunia Arab dalam bentuk politik dan ekonomi. Menerusi pelaburan, kerjasama pendidikan dan pasaran terbuka. Kita boleh bantu menaiktarafkan prospek ekonomi rakyat dengan memberikan peluang yang lebih kepada mereka untuk mendapat kehidupan yang selesa," ujar Westerwelle.

Reference:
http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/mohd-rashidi-hasana/7730-ikhwan-muslimin-terajui-kerajaan-baru-mesir