Sunday, April 1, 2012

Global March to Jurusalem - Nuha Iffah Nordin

[ikram-ajk-DISKUSI] Fwd: [IKRAM_JOHOR] perkongsian: GMJ live dari Jordan
Nordin Yahaya Sun, Apr 1, 2012 at 2:26 PM
Reply-To: ikram-ajk-diskusi@googlegroups.com
To: Ikram Ajk Diskusi Nasional

Dipanjangkan perkongsian dari pelajar kita di Jordan yg telah juga bersama GMJ di sana. Mereka juga sempat bertemu dgn team MyGMJ.

Dr Nordin Yahaya
Johor Bahru

Begin forwarded message:

From: nuha iffah
Date: 1 April 2012 14:05:25 GMT+08:00
To: ikram_johor@yahoogroups.com
Subject: [IKRAM_JOHOR] perkongsian: GMJ live dari Jordan
Reply-To: IKRAM_JOHOR@yahoogroups.com

Assalamualaikum, sedikit perkongsian pengalaman.

Itulah yang dikatakan, "Siapa kamu menentukan cara kamu melihat."

Kesannya pula ialah "Cara kamu melihat menentukan apa yang kamu dapat"

Malam sehari sahaja sebelum tarikh keramat 30/3 itu baru kami berkumpul. Duduk sebentar bersama, mahu mengsettingkan arah kompas hati-hati yang bakal berarak ke sempadan Palestin esok. Kita bukan pergi untuk menyerah diri ditembak tentera Yahudi, niat kita hanya mahu berhimpun secara aman, sekadar hadir dan tunjukkan kita serius ambil berat isu ini dan mahu sang keparat Israel sedar berjuta-juta lagi manusia tidak menyokong apa yang mereka lakukan ini. Niat kita mahu menghasilkan mass effect! Nampak usaha ini seperti sangat mini apabila dilihat dari cermin mata usaha seorang individu, tetapi apabila melibatkan berjuta-juta individu, usaha ini akan nampak gergasi bukan. Itu teori lidi dan penyapu lidi yang kita faham sejak kecil. Cuma kali ini kita niat mahu gunakan penyapu lidi ini untuk menyapu keluar kepala-kepala zionis dari tanah haram ini. Mungkin bukan tahun ini, namun sekurang-kurangnya ia telah pun bermula.

Angin sejuk pagi itu tidak membataskan semangat pemuda-pemuda itu. Awal 8 pagi, 2 coaster memulakan perjalanan sekitar 2 jam menuju ke persekitaran laut mati, tempat khas yang disediakan oleh kerajaan Jordan sebagai tuan rumah GMJ tahun ini. Rasa bersyukur dan terpilih kerana bertitle pelajar Jordan, delegasi dari Malaysia perlu menyediakan rm5,000 untuk terbang membawa semangat sampai ke sini. Bukan dia tak tahu betapa ramai penggerak di luar sana yang berkobar-kobar mahu pergi, namun atas keterbatasan kewangan. Kehadiran di stadium Sham Alam, Melawati juga sudah cukup menunjukkan keprihatinan anda. Neraca Allah sangat peka, walau seberat zarah pasti tidak terlepas dinilai. Moga Allah redha.

Sempat kami singah di masjid abu ubaidah al-Jarah dalam perjalanan itu, mengambil ruh dan semangat juang para sahabat sebelum tiba di medan berarak. Untung sungguh berada di bumi anbiya' dan para pejuang, ruh pejuang bersepah merata-rata di atas mahupun di dalam tanah. Serah kepada hati mahu dibuka seluas laut, menyerap seperti span atau tutup dibiar kering. Sungguh beruntunglah mereka yang membukanya, dan sungguh rugilah yang mengotorinya.

Tiba di medan berarak, barisan kereta kebal tersusun rapi beserta tentera-tentera bertopeng memegang senjata. Aduh! penyambut tetamu paling ekstrem pernah dijumpainya. Telan air liur juga. Jujur ini bukan seperti yang disangka, Tanah yang sangat lapang terbentang umpama sahara, disetiap penjuru punya pengawal bersenjata menjaga batas-batas supaya tiada yang memandai melebih-lebih masuk ke sempadan israel atau lebih tepat palestin itu. Almaklumlah 15km sahaja, bukan jarak yang jauh langsung. Coaster yang kami naiki mengambil tempat parking dan diturunkan kami bebas mencari posisi terbaik membina markaz khas tempat berkumpul.

Manusia pagi itu belum seramai yang dijangka, barangkali masih awal juga kami tiba disana. Siap-siap mendirikan khemah dan membentang tikar, kami telah pun diserbu warga Arab berpusu-pusu. Menemuramah dan bersalam ukhwah. Warga Arab pelbagai kabilah dari serata jordan yang datang amat mengkagumkan. Ada pemudi-pemudi datang sendiri-sendiri, ini series menakjubkan! Bukan kita tidak tahu betapa arab jordan ini pantang pemudi mereka berjalan sendiri tanpa keluarga, tapi hari ini situasinya berbeza. Yang pasti sangat ramai juga yang datang dengan keluarga masing-masing, dari datuk nenek sehingga bayi yang dikendong. Sekali pandang memang umpama family day. Sekeluarga datang bersama-sama umpama sedang berkelah, namun perkelahan kali ini dengan matlamat yang lebih besar, demi caknanya terhadap saudara jiran mereka di sebelah. Keluarga-keluarga melayu pun belum pasti mampu cakna seperti mereka ini. Menghidupkan semangat cakna dalam institusi kekeluargaan.

penjaga pemisah antara kawasan lelaki dan perempuan. sweetkan!

Selain mereka yang datang atas kapasiti individu, mahupun kapasiti keluarga, tidak kurang juga yang datang atas kapasiti persatuan mahupun mana-mana organisasi dan syarikat-syarikat. Antara yang paling dominan dari syarikat izzat marji dan ikhwanulmuslimin pastinya.

Sejurus azan berkumandang, tanah lapang yang awal paginya tadi agak hambar dibanjiri lautan manusia berbaris menghadap kiblat mendengarkan khutbah jumaat dari khatib. Selalu dilihatnya dari televisi sahaja, hari ini benar-benar diberi peluang untuk solat jemaah jumaat di tanah lapang. Allah! pengalaman yang sangat manis.Bagi yang memahami bahasa Arab,pasti ini antara khutbah yang paling bersemangat pernah didengari. Bayangkan negara Palestin benar-benar di sebelah anda, dan insan-insan disekeliling anda ialah manusia yang sangat bersemangat seolah-olahnya tidak sabar mahu mendirikan solat di dalam masjidil Aqsa di depan sana. Insyaallah suatu hari, alquds pasti kembali kepada kita.

Paling menaikkan bulu roma saat imam melaungkan "Celakalah manusia yang duduk tidak berbuat apa-apa!" Sebanyak tiga kali dengan nada yang sungguh keras. Telan air liur sekali lagi. Peluh juga menitik-nitik. Dalam hati, kalimah istighfar diulang seberapa banyak kali, risau dirilah manusia yang terlaknat itu.

Astaghfirullah...Astaghfirullah...Astaghfirullah... almaklumlah doa imam Arab memang sangat bersemangat, seolahnya seluruh jiwanya sedang berkata bukan lidahnya semata, terus tepat menusuk kepada telinga sang pendengar.

Usai solat jumaat dan qasar jamaie, seorang demi seorang wakil delegasi dari pelbagai negara dan latar belakang memberi ucapan dan motivasi tanda sepenuh hati dalam isu ini. Wakil delegasi Malaysia, Norazmi Talib telah membuat ucapan dalam 3 bahasa- Bahasa Malaysia, Bahasa English dan Bahasa Arab sebelum disambut dengan sorakan dan lagu-lagu penaik semangat serta laungan slogan dari wakil delegasi dan pelajar-pelajar yang lain. Pada saat ini, rasa bangga dengan kesensitifan rakyat malaysia menyerbu hati-hati kami.

Kalau dinilai pada apa yang dilihat mata, mungkin kita akan mampu melihat beberapa kekurangan dari segi pengurusan dan teknikaliti. Bagi delegasi-delegasi manusia seluruh dunia (80 wakil pelbagai negara) yang datang, mungkin pengurusan program bertaraf dunia ini agak mengecewakan dan mampu jauh diperbaiki pada masa akan datang. Jika benar mahu melaksanakan program GMJ sebagai program tahunan yang melibatkan lebih ramai wakil dari seluruh dunia, ruang-ruang pembaikan memang banyak untuk sama dicadangkan. Namun bagi kami yang sudah biasa dengan cara kerja Arab, ini mungkin terbaik pada situasi dan kemampuan mereka sebagai tuan rumah.

Apa yang penting bukan persoalan materi itu dan apa yang dinilai sekadar dengan mata, namun apa yang mampu dilihat dengan mata hati. Beberapa gambaran yang menusuk ke hati ialah melihatkan seorang wanita muda yang patah kaki, namun masih bersemangat berarak membawa bendera palestin sambil melaung-laung walaupun bergerak mengunakan kerusi roda. Aduhaaii~ Sungguh menusuk jiwa. Ibu-ibu muda yang begitu berkobar mengendong anak-anak kecil mereka dengan conteng-conteng di seluruh pipi dan wajah juga begitu menginspirasikan. Di saat itu, kami mengevaluasi. Semangat pemuda Melayu memang tidak terbanding pemuda Arab dalam perjuangan. Adakah kerana pemuda Melayu terlalu lama dalam zon selesa. Allah~

Namun saat akhir sebelum majlis penutup, betapa tersentuhnya hati melihat sebuah pemandangan yang sangat menyejukkan hati. Kelihatan beberapa ikhwah atau pelajar malaysia Jordan yang beramai-ramai membantu mengutip sampah-sarap yang pastinya sudah bersepah-sepah di serata kawasan lapang itu, ketika mana ramai pemuda Arab lain berlalu tanpa membantu. Tidak hairan sampah yang dihasilkan oleh ribuan manusia ini begitu banyak, lebih-lebih lagi sepanjang hari berkampung di sana.

Benarlah, bukan semangat semata yang diperlukan pada seorang pejuang, namun iman yang sensitif itu juga paling utama dalam pembinaan kader-kader perjuangan. Moga kita tidak tertipu antara semangat yang sementara dengan iman yang berkekalan lama. Semangat itu perlu dibakar, namun iman itu sentiasa perlu dibaja juga. Kerana kunci istiqamah itu pada iman seorang pejuang yang disertai hammasah.

Jazakumullahukhair juga kepada akhawat-akhawat yang siap sedia membantu memasak untuk ratusan orang dalam satu malam sahaja. Walaupun anda tidak dapat menghadirkan diri kerana tidak mendapat izin ibu bapa, namun ruh dan semangat anda bersama di sana.

Walau sudah pulang, lirik lagu ini masih terngiang-ngiang di dalam gegendang telinga kami.

Ya Rabbi izinkanlah kami
Berjihad di Palestinamu
Ya Allah masukkanlah kami
tercatat sebagai syuhadaMu

Bangun pagi hari ini, mendapat berita kematian seorang sahabat Arab dari fakulti pergigian yang terlibat dalam kemalangan jalan raya. Muhasabah sebentar. Memetik kata-kata pakcik norazmi sebulan yang lalu, manusia ini tidak perlu menghadiri demo pun untuk mati, betapa kematian akibat kemalangan jalan raya jauh lebih ramai dan lebih merisaukan.

Sungguh benarlah bukan mudah-mudah untuk dapat title syuhada' itu, kadang-kadang kita terlalu risau isu keselamatan, sedangkan Allah hanya akan memilih hambanya yg benar-benar layak sahaja untuk mendapat syafaat seorang syahid itu.

Global March to Jerussalem tamat dengan aman. Moga semua terus bersemangat dalam jihad sebenar kita saat ini, jihad kejiwaan dan jihad dakwah dan tarbiyah.

"Allah ghayatunna"

p/s:
Balik-balik dapat 'arahan' suruh buat 'laporan', ramai juga meseg-meseg minta perkongsian.

Nuha Iffah Nordin
Irbid, Jordan

...tunaikan hak Tuhanmu terhadap agamaNya,
nescaya hakmu kan tertunai tanpa dipinta...

Reference:
https://mail.google.com/mail/h/lgfytitc7ak7/?&v=c&th=1366ef89e71c9138

No comments: