Wednesday, November 5, 2014

Buli: Krisis akhlak yang perlu diselesai segera

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Sebuah NGO, 'Come On Remaja Untuk Malaysia' (CORUM), mahu semua pihak memandang serius kejadian buli khususnya di asrama yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Pengerusinya, Mohd Fadhlullah Ismail(gambar) berkata punca dan penyelesaian perlu dikenal pasti segera agar krisis akhlak ini tidak terus menjadi barah dalam pembinaan modal insan negara.

"Semua pihak baik kerajaan, pentadbiran sekolah dan guru-guru, organisasi masyarakat, ibu bapa dan pelajar agar berperanan secara lebih proaktif bagi mengenal pasti punca dan penyelesaian terbaik bagi menghadapi krisis akhlak ini.

"Bagi CORUM, kami berusaha membantu semaksima mungkin melalui kekuatan yang ada dalam menggerakkan pelbagai aktiviti dan program ke arah membangunkan pelajar atau remaja yang bermanfaat untuk kebaikan negara ini termasuk aksi-aksi lasak yang diminati remaja," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas beberapa rakaman video buli yang tersebar luas di media sosial sejak beberapa hari lalu.

CORUM adalah sebuah NGO yang memberi tumpuan khusus kepada para remaja tanpa mengira jantina diantara usia 13-19 tahun, dalam permasalahan yang melibatkan remaja golongan itu.

Mereka turut dianggotai ratusan selebriti dan ikon masyarakat di seluruh negara dan menganjurkan pelbagai program yang sesuai dengan jiwa dan generasi masa kini.

Sementara itu, Fadhlullah yang juga Pengarah Akademi Kepimpinan Remaja (AKR) Dewan Pemuda PAS Wilayah berkata, nilai akhlak sebagai Muslim dan jati diri rakyat Malaysia yang terkenal dengan lemah lembut dan ramah, kini makin menghilang.

Selain itu, sikap saling hormat dan menyayangi antara yang muda dengan yang tua juga semakin terhakis. - HARAKAHDAILY 6/11/2014

http://www.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/31944-buli-krisis-akhlak-yang-perlu-diselesai-segera



No comments: