Wednesday, November 5, 2014


Adis El-Merbawiy, MY


Tahniah kepada Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) kerana menegur sikap SIS mencabar fatwa MAIS. Semoga rakyat dapat berhat-hati dan banyak mempersoalkan keputusan-keputusan yg dibuat oleh SIS menjauhi kehendak Syariat Islam dan Ruh sebenar Islam agama yang Syumul. Jika mahu mencari keluasan Islam, tidak boleh diadukkan dengan pragmatik dan liberal barat, kerana sudah pasti Maqasidnya dan sumber Authoriti Hukum dan Pengesahan Legalitinya berbeza. Namun SIS boleh mencadangkan perkara-perkara yg positif dalam budaya barat tetapi tidak dikatakan Islam..kecuali nilai dan prinsip serta doktrin Peradaban Barat tersebut, benar-benar berakar umbi dari Islam seperti budaya menjaga masa, menepati janji, membela kebenaran dan realiti keilmuan yg dipertahankan sehingga ke talian hayat terakhir. Maka itu SIS seharusnya lebih berhati-hati dan faham nuansa Muslim dan Islam dalam mengemukakan cadangan penyelesaian Islam dan mencabar hukum hakam yang tersedia utuh di dalam perundangan Islam.
______________________________________

SIS wajar diharamkan - Pemuda PAS

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berpendirian tegas bahawa usaha yang giat dikembangkan SIS dengan menyebarkan fahaman liberal atas nama Islam adalah satu kesesatan terang lagi nyata.

Timbalan Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan ia sama sekali tidak mencapai tujuan Islam diturunkan untuk manusia akhir zaman serta membuka kewenangan kepercayaan, pegangan dan amalan, yakni penyimpangan dari syariat dan manhaj Islam sebenar.

Malah, katanya SIS adalah kewujudan baru atau penyelewengan agama di mana diasaskan oleh tokoh yang disepakati hampir semua ulama sebagai sesat iaitu Amina Wadud.

Menurutnya, asas Islam yang disesatkan Amina kepada umum dan pernah menimbulkan kontroversi seluruh dunia rupanya disambung di negara ini menerusi wadah SIS.

"Dari bertunjang isu feminisme yang diperjuangkan SIS, golongan ini dilihat semakin berani menyanggah asas-asas Islam pegangan masyarakat negara ini iaitulah mensepakati pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah," ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, selain mempermain-main dan menyindir usaha-usaha penegasan syariat Islam kepada masyarakat Muslim negara ini seperti isu tudung wanita di Kelantan, SIS juga mencabar fatwa pengharamannya oleh Jawatankuasa Fatwa MAIS sebelum ini kerana berpegang kepada pluralisme dan liberalisme agama.

"Secara terang nyata juga, SIS telah mencabar akidah Islamiyah apabila turut mempromosikan pemikiran Yahudi dan Nasrani dengan menyatakan manusia sebagai anak-anak Allah. Bermakna SIS menolak keesaan Allah SWT sebagaimana Surah al-Ikhlas," jelasnya.

Tambahnya, DPPM kesal, SIS bersikap mencabar pihak-pihak berkuasa agama negara ini dan kontradik dengan keterbukaan yang diperjuangkan sendiri apabila gagal menjawab atau menjelaskan segala dakwaan atas mereka terutama berkaitan kesesatan pegangan SIS.

Beliau berkata, SIS hanya berselindung dan beralasan dengan kebebasan bersuara dan hak memberikan pandangan.

"Kesemua tindak tanduk dan pendirian SIS mewajarkan ia diharamkan serta merta tanpa kompromi lagi setelah barah ini berpanjangan dan kedegilan SIS mencetus pelbagai polemik fahaman dan pegangan umat Islam negara ini," katanya.

Tegasnya, atas itulah DPPM berdiri bersama dengan keputusan pihak Jawatankuasa Fatwa MAIS. - HARAKAHDAILY 5/11/2014

http://www.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/31926-sis-wajar-diharamkan-pemuda-pas

Buli: Krisis akhlak yang perlu diselesai segera

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Sebuah NGO, 'Come On Remaja Untuk Malaysia' (CORUM), mahu semua pihak memandang serius kejadian buli khususnya di asrama yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Pengerusinya, Mohd Fadhlullah Ismail(gambar) berkata punca dan penyelesaian perlu dikenal pasti segera agar krisis akhlak ini tidak terus menjadi barah dalam pembinaan modal insan negara.

"Semua pihak baik kerajaan, pentadbiran sekolah dan guru-guru, organisasi masyarakat, ibu bapa dan pelajar agar berperanan secara lebih proaktif bagi mengenal pasti punca dan penyelesaian terbaik bagi menghadapi krisis akhlak ini.

"Bagi CORUM, kami berusaha membantu semaksima mungkin melalui kekuatan yang ada dalam menggerakkan pelbagai aktiviti dan program ke arah membangunkan pelajar atau remaja yang bermanfaat untuk kebaikan negara ini termasuk aksi-aksi lasak yang diminati remaja," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas beberapa rakaman video buli yang tersebar luas di media sosial sejak beberapa hari lalu.

CORUM adalah sebuah NGO yang memberi tumpuan khusus kepada para remaja tanpa mengira jantina diantara usia 13-19 tahun, dalam permasalahan yang melibatkan remaja golongan itu.

Mereka turut dianggotai ratusan selebriti dan ikon masyarakat di seluruh negara dan menganjurkan pelbagai program yang sesuai dengan jiwa dan generasi masa kini.

Sementara itu, Fadhlullah yang juga Pengarah Akademi Kepimpinan Remaja (AKR) Dewan Pemuda PAS Wilayah berkata, nilai akhlak sebagai Muslim dan jati diri rakyat Malaysia yang terkenal dengan lemah lembut dan ramah, kini makin menghilang.

Selain itu, sikap saling hormat dan menyayangi antara yang muda dengan yang tua juga semakin terhakis. - HARAKAHDAILY 6/11/2014

http://www.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/31944-buli-krisis-akhlak-yang-perlu-diselesai-segera