Monday, September 27, 2010

Liqaa' Tarbawiy Untuk Kelangsungan Perjuangan Islam dan Ummah

Ijtimak Tarbawi:“Revisited Tarbiah dalam Jamaah"

Oleh
al-Faadhil Ustaz Riduan Mohamad Nor

Syawal masih membahang hangat dengan program ziarah menziarahi, diselimuti dengan sejuta rasa bahagia setelah pulang ke desa untuk melengkapkan pakej sambutan hariraya.Ramadhan yang berlalu yang sarat dengan pengisian rohani terasa begitu cepat meninggalkan kita,kini syawal yang mengetuk pintu kemenangan dengan kilasan kemenangan Islam di medan Ahzab, Perang Hunain, Perang Toif juga puluhan peristiwa kemenangan Islam yang dirakam dilangit sejarah.

Penghujung bulan Syawal ini atau 1 sehingga 3 Oktober akan berlangsung program terbesar Dewan Pemuda PAS Pusat iaitu Ijtimak tarbawi 2010. Program ini merupakan kesinambungan program besar Dewan Pemuda PAS iaitu Ijtimak ‘Alami yang pernah diadakan pada tahun 1989 dan 1994 di tempat yang sama iaitu Masjid Rusila Terengganu. Program himpunan tarbiah ini akan menghimpunkan tokoh-tokoh tarbiah PAS seperti Tuan Guru Mursyidul Am, Tuan Guru Presiden, Naib-Naib Presiden, Ketua Dewan Ulama, Murabbi tarbiah , termasuk tokoh undangan daripada gerakan fenomenal dunia iaitu Ikhwanul Muslimin.

Ahli-ahli PAS seluruh negara dijemput hadir, tidak terhad kepada jaringan pemuda tetapi program ini mengundang juga muslimat, Nisa, warga kampus, veteran parti, pelajar-pelajar sekolah dan seluruh penyokong dan pendokong perjuangan Islam. Saya bagi pihak jawatankuasa Panitia program Ijtimak menyeru ahli-ahli PAS untuk hadir beramai-ramai beserta dengan kaum keluarga, bekalkan dengan tikar, bantal, bekalan musafir yang secukupnya.

Pantai Rusila yang terhampar putih bersih akan menjadi ‘hotel’ yang akan menampung ribuan peserta ijtimak melepaskan lelah bersimpuh di masjid . Kaum muslimin akan berkhemah di hamparan pantai yang luas memanjang manakala muslimat akan ditempatkan di bangunan PASTI Rusila. Gerai-gerai jualan yang pelbagai akan menyempurnakan himpunan ini, termasuk gerai pameran yang akan diuruskan oleh Dewan Pemuda PAS Terengganu.

Ijtimak Tarbawi 2010 Dewan pemuda PAS akan berlangsung dengan suasana santai namun sarat dengan mutiara ilmu yang akan disampaikan oleh pembentang kertas kerja, pengkuliah , juga panelis forum yang terdiri daripada kalangan pimpinan PAS Pusat. Dengan ribuan peserta yang hadir memenuhi dalam dan luar masjid,program ini dijangka memberikan kesan yang mendalam untuk memerkasakan kembali program tajnid dan merimbunkan kembali program amal tarbawi di dalam gerakan Islam tertua dan terbesar di negara ini.

NOSTALGIA PROGRAM TARBIAH

Ijtimak ini bukan sekadar medan untuk berhimpun dan berukhuwwah ,namun ada sesuatu yang membekas dalam palong hati saya, iaitu Ijtimak Tarbawi 2010 Pemuda akan menerima kehadiran tokoh murabbi PAS yang sangat tidak asing dengan program pembinaan kader pemuda PAS, iaitu al fadhil Ustaz Yahya Othman. Siapa tidak kenal dengan tiang seri tarbiah ini yang mendapat pendidikan di Timur Tengah dan diasuh oleh Ikhwanul Muslimin. Kertas kerja tarbiah ustaz Yahya Othman sering kita lumati dalam program tarbiah, bahkan dada kita turut terisi dengan penyampaian beliau yang tegas. Beliau adalah anak didik kepada Sheikh Kamal Saniri, tokoh Ikhwan yang telah mengalami pemenjaraan dan akhirnya mati syahid akibat disiksa oleh regim Mesir.

Sang Murabbi ini mengabadikan hidupnya untuk mencetak kader dakwah semenjak tahun 70an lagi. Di saat kebangkitan Islam menyelimuti dunia Islam, bahkan negara ini juga tidak terkecuali ,Ustaz yahya Othman bergerak ke seluruh negara untuk membudayakan tarbiah kepada pemuda dan belia Islam.

Dasawarsa 70an dan 80an adalah zaman subur merendang dengan usrah, tamrin, daurah , jaulah dan sebagainya, semua program ini begitu sinonim dengan Ustaz Yahya Othman.Bahkan , PAS berjaya merubah kepimpinan pada tahun 1982 ( transformasi kepimpinan )adalah kerana suburnya gerakan tarbiah dan pembinaan. Kepimpinan ulama yang menjadi teras kepimpinan PAS berjaya direalisasikan akibat hidupnya gerakan tarbiah yang berterusan, juga akibat generasi peserta kebangkitan Islam yang begitu ghairah untuk melihat PAS menjadi gerakan Islam yang bergerak diatas kefahaman ahli.

Kita semua para amilin jemaah akan sentiasa mempunyai ingatan kolektif terhadap jasa dan pengorbanan beliau, bahkan merasa kerinduan yang menggebu dengan sentuhan ‘air tangan’ beliau. Saya semasa menjadi Pengerusi Lujnah Tarbiah DPPWP dan Timbalan Pengerusi Lujnah Tarbiah DPPP, Ustaz Yahya adalah pimpinan yang sentiasa diundang untuk menjadi pengisi program tarbiah pemuda. Beliau sangat serius dalam persoalan menepati masa, bicaranya tenang namun tegas. Bersimpuh dihadapan beliau semasa program seolah didera dalam penjara Guantamao atau berada dalam sel regim Arab, bimbang diterpa soalan ‘cepu mas’ ustaz Yahya.

“Ayat apa tadi akhi?, surah apa?” Tanya sang murabbi dengan cerlungan mata pada peserta program tajnid.
“Ayat apa yang akhir ana cakap tadi…?” Tanya beliau dengan tegas, peserta akan menunduk dan menikus seperti tikus disimbah dengan air sirap bandung.

“Mengapa enta tak menulis semasa ana berkuliah?” Tanya sang Murabbi dengan tatapan tajam disebalik bingkai kaca mata kepada peserta tamrin, sebahagiannya menikus seperti tikus mondok tersimbah air longkang. Saya juga kecut perut seperti baru melintasi bilik mayat selepas jam tiga pagi.

“Mengapa tak menulis dalam jawi?” Tanya Ustaz lagi pada seorang peserta yang duduk di barisan hadapan, teman ini pucat, lulusan kampus tempatan ini adalah produk dasar pendidikan negara yang tidak bersahabat dengan tulisan jawi.

“Ana sayangkan antum semua ini, antum semua anak ana, antum semua masa depan perjuangan Islam” kata sang murabbi dengan lirih, mata beliau berkaca dengan patah kata yang tersekat.

Di akhir program kami saling memeluk beliau, berpamitan dengan penuh ukhuwwah, ustaz sentiasa bermalam dengan peserta tamrin Pemuda, mengunyah apa sahaja yang dihidangkan bersama peserta. Keakraban beliau dengan peserta bukanlah dibuat-buat, keintiman ini berakar daripada kecintaan beliau untuk membina dan mencetak jurudakwah muda.

Buatlah tamrin jauh meranduk kawasan perbukitan , meredah kawasan yang paling rahsia untuk mengelak pengintipan musuh atau ke pulau terbiar, ustaz Yahya tidak pernah gagal untuk hadir. Biasanya pula sang murabbi akan sampai lebih awal daripada peserta tamrin.Sesibuk manapun beliau semasa menjadi Exco Kerajaan Kelantan namun program tarbiah adalah keutamaan.

“Mula pukul berapa akhi program ni” Tanya Ustaz Yahya pada saya dalam satu program pembinaan. Sebenarnya jauh di sudut hati ustaz tidak memerlukan jawapan, soalan itu adalah inzar kepada panitia yang gagal untuk mendisiplinkan peserta.Apa pun teguran yang diberi , saya dan kawan-kawan tidak pernah berkecil hati, malah hari ini ianya menjadi sebuah kerinduan yang sangat mendera perasaan,terakam indah dalam lipatan ingatan kita semua.

Sukarnya untuk melupakan jasa Ustaz Yahya kepada peserta kebangkitan Islam , juga kepada kita semua didalam organisasi Dewan Pemuda. Setiap kali bertemu, hati kecil akan berdoa “ Ya Allah, berilah kekuatan dan kesihatan kepada murabbi kami, kami masih merindui sentuhan beliau”.

Maka , teman-teman sekalian , jangan lupakan Ijtimak Tarbawi yang akan diadakan pada penghujung Syawal ini. Kita bertemu mata dengan penuh rasa ukhuwwah dan keghairahan untuk membedah perjalanan jamaah dan amal tarbawi, saat kita sibuk dibuaikan dengan mimpi-mimpi indah untuk menawan Putra Jaya.Ajak dan iklankan program ini semaksima mungkin, Ustaz Yahya yabg semakin uzur pun akan memberikan pengisian untuk kita semua.

Jom..jangan tak datang!

**Penulis adalah Exco DPPP, pendakwah dan Perunding Motivasi

Reference:
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=28794:ijtimak-tarbawi-revisited-tarbiah-dalam-jamaahq&catid=97:pendapat-dan-analisis&Itemid=131

No comments: