Wednesday, April 29, 2009

Semakan Liberalisasi Ekonomi dan Gantian DEB

Cara gaya Liberalisasi Ekonomi dan gantian DEB Malaysia, adalah memerlukan semakan yang wajar dan bijaksana. Jangan diulangi polisi dan dasar Negara yang mencetuskan kegusaran, kesempitan dan ketidaktentuan kaum-kaum di Malaysia. Mungkin dapat dijawab kepada sungutan ini secara sinis, oleh kerana Malaysia sudah bersedia untuk bersaing antara kaum dari sudut politik, ekonomi dan pendidikannya, maka tidak akan menjadi masalah jika bumiputra tidak lagi dibantu dan dibebaskan mereka merebut peluang perniagaan, perindustrian dan industrialisasi kewangan secara terbuka. Namun perlu diingat, pendemokrasian ekonomi dan industrialisasi serta pendidikan dan kemajuan serta perintis kemajuan bandar oleh pelopor-pelopor bumiputra dan bukan bumiputra hendaklah diadili dengan fakta dan realiti kedudukan kemajuan mereka secara sah dan mengikut legalisasi akurat. Pendemokrasian Perundangan dan Kehakiman juga menuntut perlaksanaan TELUS DAN SAKSAMA SERTA ADIL dari segenap sudut.

Negara akan menjadi tidak menentu, jika Liberalisasi Ekonomi, Politik, Pendidikan, kemajuan Industrialisasi dan Pendidikan semuanya dalam genggaman KUASA POLITIK DANGKAL DAN MENGIKUT HAWA NAFSU dan MEMPERTAHAN SETENGAH KUMPULAN, dengan mengenepikan setengah kumpulan yang lain. Inilah budaya 'GANSTERISMA PERINGKAT TINGGI' yang dilaksanakan mengikut kononnya lunas-lunas perundangan yang dirompak keabsahannya. Inilah PADANG-PADANG YANG TIDAK RATA, untuk dilalui dan diharungi oleh para peserta dan pesaing Ekonomi, Politik, Kemajuan Industrialisasi dan Pendidikan warga Malaysia tercinta.

JUSTRU, saya dan rakyat MALAYSIA menuntut suatu keadilan dan kesaksamaan di dalam REFORMASI POLTIK PENTADBIRAN, PERUNDANGAN DAN CORAK EKONOMI MANDIRI untuk masa depan rakyat Malaysia. Marilah kita rakyat Malaysia menggerakkan dan memacu kemajuan negara kita dengan ACUAN KEILMUAN, PROFESIONALISMA DAN ADAB TATASUSILA SERTA BUDI LUHUR KEMANUSIAAN.Paksi keagamaan dan Keislaman JANGAN CUBA DIKETEPIKAN, kerana pengalamn berharga tamadun barat runtuh dan bakal runtuh ANGKARA - MENGENEPIKAN AGAMA SEJAK DARI ABAD PERTENGAHAN LAGI. Wabak dan barahnya merebak hingga ke hari ini. PERSOALAN : ADAKAH MALAYSIA HENDAK MENGUTIP SEMULA FALSAFAH DAN AMALAN MATERIALISMA TANPA RUH BARAT ITU UNTUK DIJADIKAN ACUAN PERADABAN MASA DEPAN KITA..???

JADILAH MASYARAKAT BERFIKIR SAMBIL BEKERJA DAN MENCAPAI KEMAJUAN DAN KEUNGGULAN.

Abu Muhammad Al-Merbawiy

Dungun, MALAYSIA.

__________________________________________________

Lihat debat MECD antara dua blok politik besar Melayu ini:

Berita harian Online – 15 April 2009/19 Rabee ‘u al-Akhir 1430H - Fungsi dan agensi MECD diserap dalam lapan kementerian lain

KUALA LUMPUR: Fungsi dan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) yang dibubarkan, akan diserapkan ke lapan kementerian lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata penyerapan fungsi dan agensi tersebut akan terus memastikan peranan utama MECD sebelum ini akan terus diberi penekanan oleh Kerajaan.

Beilau dalam kenyataannya, berkata ini khususnya bagi melahirkan masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera, memperluaskan dan mempercepatkan pembabitan Bumiputera dalam arus pembangunan ekonomi negara, membangun kawasan pertumbuhan baru dan memperkasakan koperasi.

Katanya, dalam perubahan yang dilakukan, fungsi Pembangunan dan Penggalakan Sistem Francais dan Pembangunan Skim Vendor dipindahkan ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Perdana Menteri berkata, Pembangunan Koperasi, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Maktab Kerjasama Malaysia juga turut dipindahkan ke kementerian tersebut.

Sementara itu, jelasnya, Pembangunan Masyarakat Perindustrian Perdagangan Bumiputera, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan Bank SME dipindahkan ke Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri, katanya.

Tambah beliau, Pusat Khidmat Kontraktor pula dipindahkan ke Kementerian Kerja Raya.

Katanya, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri, Perbadanan Pembangunan Bandar, Perbadanan Nasional Bhd dan Bank Rakyat pula dipindahkan ke Kementerian Kewangan.


Majlis Amanah Rakyat (MARA) dipindahkan ke Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, sementara Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) pula ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, kata beliau.

Selain itu, katanya, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Malaysia-Japan University (MAJU) pula dipindahkan ke Kementerian Pengajian Tinggi.

MECD dibubarkan berikutan pelantikan anggota pentadbiran yang baru pada 10 April lalu. - Bernama

Reference:
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Mutakhir/20090415170910/Article/

Rabu 15 April 2009 | 19 Rabiul Akhir 1430 Hijrah

MECD, payung usahawan yang direntap Najib

Oleh:
Wan Nordin Wan Yaacob

Wed | Apr 15, 09 | 1:27:08 pm MYT

Keadaan mula kecoh selepas Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) dimansuhkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Ramai yang mula melenting terutamanya usahawan Melayu yang merasakan organisasi yang ada di bawah MECD ini akan terabai jika ia diletakkan di bawah kementerian lain.
Pastinya persepsi kegagalan agensi yang sudah tersedia di kementerian lain yang akan menjadi payung baru MARA, TEKUN, LPKP dan sebagainya membayangi perihal pemansuhan MECD ini.

Sebelum ini pun seperti kata beberapa tokoh usahawan, MECD sendiri masih belum cukup kuat dalam pencapaiannya dan ia perlu diperkasakan lagi.

Malangnya tak sempat untuk diperkasakan, MECD dihapuskan menyebabkan usahawan hilang 'arah', terkapai tanpa arah tujuannya hingga detik ini.

Hingga kini kedudukan MARA, TEKUN, LPKP, UDA dan sebagainya termasuk Bank Rakyat belum tentu pastinya, dan ramai yang menyatakan jika agensi ini diletakkan di bawah kementerian lain, apa pula dasarnya selepas ini.

Timbul bibit kebimbangan, tak kira di kalangan orang Umno, PAS, KeADILan mahupun pihak lain akan pemansuhan ini, yang ratanya bimbang dengan nasib usahawan tatkala ekonomi negara pun terumbang ambing,

Sebagai contoh, Pengerusi Biro Ekonomi dan Keusahawanan Majlis Veteran Umno, Dato' Razali Isohak, sendiri berkata majoriti usahawan Bumiputera khususnya orang Melayu kecewa dengan pembubaran MECD.

Razali sendiri menyatakan, sepatutnya kementerian itu perlu diperkukuh dan dipertahankan bagi memperjuangkan nasib usahawan Bumiputera yang masih jauh ketinggalan.

Seperti juga kata Dato' Mahfuz Omar bahawa tindakan kerajaan dengan membubarkan MECD ini sebagai tindakan yang terkebelakang yang hanya akan menjadikan pembangunan usahawan itu terbantut.

Mengikut maklumat, lebih kurang empat juta pertubuhan koperasi dan enam juta ahli koperasi yang akan hilang tempat berteduh dan mengadu nasib.

Malangnya apa yang mungkin difikirkan Najib dalam perihal melaksanakan agenda memansuhkan MECD tatkala usahawan masih belum benar-benar dimantapkan untuk pembangunan ekonomi yang lebih jitu.

Apakah Najib tidak mengambil iktibar dari pembangunan di Jepun dab Korea sebelum ini yang dipacu antaranya dengan pembikinan golongan usahawan yang mantap?

Perihal ini pernah disentuh oleh Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub yang nyata memberi cadangan agar MECD dikembalikan semula dengan penyegaran kepada agensi yang ada di bawahnya supaya ia lebih mantap.

Sejauh mana suara-suara ini akan didengar Najib dalam melakukan reformnya, ia bergantung juga kepada sejauh mana Najib tidak mampu di'kawal' oleh orang-orang di belakangnya.

Namun setakat ini, MECD selaku payung kepada golongan usahawan direntap Najib sebaik sahaja naik takhta, dan entah apa muslihatnya. - mks. _

Reference:
http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=20342&Itemid=1

1 comment:

Abu Muhammad el-Merbawiy said...

Untuk diabadikan kepada pembaca blog ini;

Hati-hati mansuh syarat ekuiti Bumiputera

MEMBACA pandangan pelbagai pihak mengenai pengumuman kerajaan berkaitan liberalisasi 27 subsektor perkhidmatan (lebih tepat pemansuhan syarat pegangan 30 peratus ekuiti Bumiputera) dalam akhbar, terutama media cetak bukan bahasa Melayu, adalah satu pengalaman yang amat menghinakan.

Walaupun terdapat beberapa kebenaran pada fakta yang diketengahkan tetapi keseluruhannya pandangan mereka menjurus kepada tuduhan bahawa syarat khas ini telah membantut perkembangan ekonomi dan menghalang negara daripada maju ke hadapan.

Seolah-olah syarat istimewa ini yang menjadi asas kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak itu tidak memberi sebarang kebaikan kepada rakyat dan negara.

Walaupun saya cuba bersikap rasional dengan mengambil kira dan memahami bahawa negara ini perlu mematuhi syarat keahlian dalam Komuniti Ekonomi ASEAN, Pertubuhan Perdagangan Dunia dan tidak boleh lari daripada persaingan dalam era globalisasi dan pasaran terbuka sekarang, saya masih berpendapat bahawa pemansuhan syarat ekuiti tersebut akan membawa lebih banyak kesan kepada bangsa Melayu sekarang.

Saya khuatir dengan sikap pihak tertentu, setelah berjaya mendesak pemansuhan kuota Bumiputera, mereka akan menggandakan tekanan kepada kerajaan untuk terus meliberalisasi bukan sekadar sektor ekonomi tetapi juga semua aspek kehidupan termasuk bidang pendidikan, pertahanan dan agama.

Perkara ini tidak mustahil kerana telah kedengaran suara-suara sumbang berupa tuntutan untuk memenuhi matlamat tersebut.

Adalah menghairankan kerana sebelum ini semua pihak dikatakan bersetuju bahawa inisiatif yang dianjurkan oleh DEB itu adalah perlu bagi mengagihkan kekayaan negara supaya dinikmati secara adil oleh semua kaum demi perpaduan rakyat di negara ini.

Mereka dikatakan cuma tidak berpuas hati kerana dasar tersebut telah disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai kepentingan. Jika itulah pendirian ikhlas semua kaum, kenapa pula perlu dimansuhkan syarat ekuiti tersebut sekarang?

Bukankah lebih baik pihak yang bertanggungjawab memperbetulkan kesilapan lepas dan mengambil tindakan yang pragmatik termasuk memberi fokus kepada pemantauan yang rapi bagi memastikan kuota 30 peratus Bumiputera itu tercapai?

Saya berpendapat keputusan memansuhkan syarat khas ini dibuat kerana orang Melayu sekarang sudah berpecah-belah dan menyebabkan kuasa politiknya telah terhakis.

Pemimpin Melayu menghadapi tekanan yang kuat untuk memenangi semula kepercayaan kaum lain dan terpaksa mengambil tindakan yang populis walaupun mendatangkan risiko kepada orang Melayu.

Bagi mengatasi keadaan ini, orang Melayu wajar bersatu semula sebagai satu bangsa yang teguh dan berjuang secara ikhlas dengan berpaksikan agama Islam.

Saya juga berpendapat bahawa orang Melayu yang secara keseluruhannya masih ketinggalan dalam bidang ekonomi tiada kekuatan untuk menahan desakan kaum lain yang mahukan ekuiti 30 peratus dimansuhkan segera.

Bangsa Melayu menjadi lemah kerana terdapat ramai yang tamak serta malas bekerja dan rela menjadi sleeping partner sahaja. Tindakan mereka yang mengaibkan itu telah menyebabkan orang Melayu gagal memenuhi aspirasi DEB walaupun ia sudah dilaksanakan hampir 40 tahun.

Sewajarnya golongan yang mengkhianati bangsa ini dihukum agar mereka insaf atas kesalahan yang dilakukan. Bagaimanapun, bukan semua orang Melayu perlu dipersalahkan kerana kesilapan golongan tersebut.

Apabila syarat ekuiti ini dimansuhkan, adakah kita yakin kaum lain dan juga bangsa asing yang mempunyai tradisi berniaga yang jitu dan jaringan yang mantap akan berkongsi pengalaman dan peluang perniagaan dengan bangsa Melayu?

Adakah orang Melayu yang masih kekurangan dalam segenap aspek perniagaan terutama keperluan untuk mengadakan modal kewangan, mampu bersaing atas padang yang rata dengan bangsa lain?

Kita bukan takut pada bayang-bayang atau menolak perubahan tetapi kita perlu realistik mengenai kekuatan diri dalam keadaan semasa. Janganlah kita dibuai oleh kata-kata manis dan janji kosong oleh pihak yang berkepentingan tanpa menganalisisnya dengan terperinci.

Pengalaman silam telah mengajar orang Melayu supaya sentiasa berhati-hati, bekerja keras, bersatu padu dan memberi perhatian khas kepada pendidikan generasi muda agar kita menjadi satu bangsa yang bermaruah dan dihormati.

Kita sangat berharap para pemimpin negara akan mengkaji dengan sehalus-halusnya keputusan mengenai ekuiti ini dan melaksanakan inisiatif-inisiatif lain yang lebih konkrit agar orang Melayu tidak terus ketinggalan di tanah airnya sendiri.

ZAMRI MAHMUD

Wangsa Melawati, Kuala Lumpur

Reference:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0430&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm