Tuesday, February 17, 2009

Isu Penderhakaan Melayu: Muhasabah UMNO

Umno: Dulu menderhaka, kini taat setia?
Oleh:
Ahmad Tajdid
Tue | Feb 10, 09 | 10:38:44 am MYT

Malaysiakini melaporkan hampir seribu orang ahli pemuda Umno dan pertubuhan bukan kerajaan berkumpul di Padang Majlis Bandaraya Ipoh di Jalan Sultan Abdul Jalil dalam apa yang didakwa sebagai perhimpunan menyokong Sultan Perak.

Utusan Malaysia yang dimiliki Umno dan Bernama yang diterajui Dato' Seri Anuar Zaini yang diketahui peranannya dalam pergolakan politik Perak) mendakwa perhimpunan itu dihadiri lebih 5,000 rakyat pelbagai kaum.

'Perhimpunan haram' yang berlangsung selama satu setengah jam itu tidak diganggu polis. Malah demonstrasi jalanan itu diadakan hanya beberapa hari selepas beberapa pemimpin Umno mendakwa BN tidak akan menggunakan kaedah 'demonstrasi jalanan' bagi menyelesaikan krisis politik yang berlaku di Perak.

Seperti biasa, orang yang menjadi hero kepada bantahan anjuran gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro-Umno negeri ini bersama BN Perak ialah Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin. Khairy disertai Ketua Pemuda Umno Perak, Zainol Padzi Paharuddin dan Ketua Pemuda MIC, G. Shamugavelu.

Pemimpin Umno dan BN yang berucap pada 'perhimpunan haram' itu mendesak supaya tindakan diambil terhadap Pengerusi DAP Karpal Singh yang dilaporkan menyatakan hasratnya menyaman Sultan Azlan Shah.

Mereka turut mendesak bekas Menteri Besar, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin supaya menghentikan segala tindak-tanduk 'menderhakai' titah Sultan Perak.

Drama itu disudahi kemuncak dengan gimik kesediaan berarak ke kediaman rasmi MB Perak bagi 'menghalau' Mohammad Nizar dari situ.

Malah Khairy seperti kebiasaan beretorik kononnya pemuda Umno akan menghalang percubaan Nizar dan anggota exconya untuk ke pejabat mereka di Bangunan SUK Perak.
Khairy juga berikrar untuk kononnya mempertahankan institusi beraja hingga 'ketitisan darah yang terakhir'.

Begitulah hebatnya Khairy dan Pemuda Umno beretorik. Seperti merekalah orang yang paling layak mempertahankan Raja-raja Melayu.

Cuma kita ingin bertanya, jika keengganan Nizar untuk melepaskan jawatannya sebagai MB dianggap 'menderhaka' kepada sultan, bagaimana pula dengan keengganan pemimpin Umno Perlis dan Terengganu, Dato' Seri Shahidan Kassim dan Dato' Seri Idris Jusoh mentaati perintah Raja dan Sultan, 10 bulan lalu?

Pastinya kita masih belum lupa bagaimana Shahidan dan Idris dengan sokongan Umno Pusat khususnya Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi membantah calon MB istana.

Malah perhimpunan membantah keputusan istana diadakan di dua negeri terbabit selama beberapa hari. Di Terengganu, satu sepanduk yang dibawa penyokong Idris yang juga Ketua Perhubungan Umno negeri menyifatkan istana sebagai 'natang' (binatang).

Selantang-lantang Karpal Singh tidak sampai ke peringkat menyamakan istana dengan haiwan.

Mengapakah pada waktu itu tiada istilah 'derhaka' terkeluar daripada mulut pemuda Umno, apatah lagi yang menyokong tindakan derhaka itu tidak lain tidak bukan ialah Presiden Umno yang juga bapa mentua Khairy!

Sejarah negara juga memperlihatkan bagaimana institusi istana pernah dipijak dan dihina Umno. Lihat sajalah krisis Perlembagaan yang berlaku pada 1983 apabila perhimpunan-perhimpunan besar dianjurkan Umno untuk berhadapan pihak istana.

Bagaimana pula dengan episod pindaan Perlembagaan bagi menghapuskan imuniti Raja-raja Melayu pada awal dekad 90-an. Bukankah Utusan Malaysia, akhbar yang dimiliki Umno telah menerajui kempen menghina Raja-raja Melayu pada waktu itu?

Setelah sepuluh bulan episod penderhakaan berlaku di Perlis dan Terengganu, tiada sebarang tindakan diambil oleh Umno untuk menghukum sipenderhaka. Shahidan terus kekal sebagai Ketua Perhubungan Umno negeri walaupun terlepas jawatan Menteri Besar.

Idris Jusoh diberi habuan sebagai Pengerusi MARA manakala sebahagian Adun Umno Terengganu yang bersama Adun Ajil, Rosol Wahid membantah calon MB pilihan istana, kini menjawat Exco Kerajaan Negeri.

Jelaslah bahawa Umno sebenarnya 'parti munafik' yang memperalatkan istana. Ketika kedudukan Umno dan BN kukuh, istana diinjak-injak golongan penderhaka ini. Apabila pengaruh Umno mula pudar dan orang Melayu mula meninggalkan parti yang dipenuhi kurap rasuah dan penyelewengan itu, Umno cuba berselindung di sebalik pagar istana dan berpura-pura menjadi pembela institusi Raja.

Jika para pemimpin Umno menganggap hasrat Pengerusi DAP, Karpal Singh untuk menyaman Sultan Perak sebagai 'menderhaka', apakah gelaran paling layak diberi kepada Umno yang bertanggung jawab menghapuskan imuniti Raja-raja dan membolehkan mereka disaman di mahkamah terbuka? _

Reference:
http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=19309&Itemid=1

No comments: