Wednesday, December 31, 2008

Rindukan Pemilik Baytil 'Ateeq : Lebarkan di dalam Hidup

Rabu 31 Disember 2008 | 3 Muharam 1430 Hijrah

Baitullah dikelilingi lambang rindu kepada 'Pemiliknya'

Oleh:
Ustaz Zainuddin Hashim

Fri | Dec 26, 08 | 11:43:37 am MYT

Mengambil iktibar ibadah haji dari sudut falsafah kejiwaan, kaedah mencari rahsia serta makna kerja haji. Dalam setiap amalan haji merupakan ingatan serta nasihat terhadap yang mencarinya.

Sekiranya tersingkap pintu rahsia haji, akan terdedahlah dia kepada setiap yang berkaitan dengan rahsia haji itu. Berdasarkan keadaan suci atau tidak hatinya, mengikut ketinggian atau kedangkalan kefahaman ilmunya.

Setiap amalan haji akan memberi keinsfan kepada orang yang berhajat kepada keinsafan, jika ingat akhirat maka dengan mengerjakan haji itu, ia akan mengingati ehwal akhirat. Allah SWT telah memberi kehormatan kepada Baitul Ataiq, rumah yang antik iaitu Baitullahil Haram. Jika manusia boleh menghargai barang barang antik yang dianggap berharaga, maka mustahil dia tidak menghargai Ka'bah rumah yang paling lama, yang amat berharga di sisi Allah iaitu "Baitullahil Haram."

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya rumah yang mula mula dibangun untuk (tempat beribadah) manusia, ialah Baitullah yang di Bakkah (Makkah) yang diberkati dan menjadi petunjuk bagi semua manusia." (surah A-li Imran ayat 96).

Ahli Kitab mendakwa bahawa rumah yang pertama dibina berada diBaitul Maqdis, oleh itu Allah SWT menyangkalnya dengan menurunkan ayat tersebut sebagai dalil dan hujjah yang tidak dapat disangkal. Sesungguhnya Allah Taala beri kehormatan kepada rumah yang antik ini dengan cara disandar nama-Nya sendiri dengan rumah tersebut iaitu "Baitullah".

Allah SWT tegakkan rumah tersebut dengan tujuan menjadi tumpuan bagi sekalian manusia bergelar hamba-Nya. Di mana saja manusia yang mengaku sebagai hamba-Nya, dikehendakki datang menziarahi Baitullah. Di jadikan tanah di sekeliling Baitullah itu "Haraman" (kehormatan), untuk menimbulkan rasa gerun dan hebat akan kedudukan Baitul Atiq (Ka'bah) itu.

Tanah Haram itu umpama kawasan larangan sebagai halamannya, hingga segala tumbuh tumbuhan dan haiwan serta segala penghuni di dalamnya menjadi larangan untuk diganggu, kerana kawalan yang diberi oleh Allah SWT kepaada Tanah Haram.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:"Ketahwilah bahawa darah dan harga diri serta harta kepunyaan adalah haram bagimu (tanpa sebab) sebagaimana haramnya Tanah Haram dan bulan Haram."

Allah SWT mengukuhkan lagi kehormatan tempat tersebut, dengan mengharamkan memburu binatang buruan. Mengharamkan menebang atau mencabut kayu kayan dan segala yang tumbuh di Tanah Haram itu. Baitullah diletak di Tanah Haram laksana seorang raja, yang jadi tujuan dan sanjungan seluruh manusia dari segenap penjuru alam yang jauh.

Rindu kepada pemilik Baitullah

Apabila manusia tahu bahawa Baitullah ada di bumi Makkah, menziarahinya dengan cara yang dimampui dan terdaya oleh manusia.Meskipun Ka'bah dinamakan Baitullah (Rumah Allah) justeru Allah SWT bukanlah Zat yang memerlukan tempat tinggal, tetapi manusia diajar tentang "ehsan" yang bermaksud apabila menyembah Allah SWT, Seolah-olah menusia melihat-Nya.

Sememangnya tidak mungkin manusia melihat-Nya di dunia ini, tetapi yakinlah bahawa Allah SWT sentiasa melihat manusia yang menyembah-Nya.Manusia diajar begitu apabila mereka berdepan dengan Baitullah (Ka'bah) meskipun Allah SWT tidak bertempat dan berumah, namun ia benar benar memberi erti dari sudut perhambaan kepada Allah SWT dan dari segi tunduk serta patuh kepada-Nya.

Apabila manusia dalam keadaan ihram dan bertalbiyyah dengan; Allhumma Labbik, pekerjaan tersebut dari segi hatinya sedang menyahut panggilan Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Mengerjakan Haji adalah kewajiban manusia terhadap Allah, iaitu bagi sesiapa yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah." (Surah A-li Imran ayat 97).

Sewaktu menatap Baitullah hendaklah ada dalam fikiran tentang Kebesaran Baitullah, di samping itu hendaklah membuat andaian bahawa mereka sedang musyahadah dan amat menghormati Pemilik Baitullah itu.

Apabila tawaf keliling Ka'bah jangan hanya tubuh zahir saja mengelilinginya, tetapi hendaklah sedar bahawa dirinya sedang meniru para malaikat yang terlalu rapat dengan Allah SWT sedang mengelilingi 'Arasy.Seolah perbuatan mengelilingi itu sedang berusaha untuk bertemu dengan Tuhan, yang disebutkan oleh Nabi s.a.w. sebagai seolah olah melihat-Nya.

Meskipun manusia tidak dapat melihat Allah SWT (kecuali dalam syurga), tetapi Dia tetap melihat manusia yang mempunyai keinginan untuk bertemu sedang tawaf mengelilingi "Rumah-Nya". Mengapa manusia begitu berhajat kepada Tuhan, tidak lain kerana menyedari kelemahan dirinya sebagai makhluk yang serba kekurangan.

Terlalu berhajat kepada Allah SWT yang serba cukup dan Maha Berkuasa dan Maha Kaya, agar segala kekurangan sama ada dari segi iman, ilmu serta amal soleh dapat dipenuhi dengan kurnia-Nya. Tujuan asal tawaf bukannya sekadar tubuh yang zahir sahaja, bahkan tawaf bersama hati dan fikiran yang sentiasa ingat serta lidah yang sentiasa menyebut nama Allah SWT.

Apabila selesai tawaf disunatkan supaya bergayut pada tabir Ka'bah serta melekapkan dada di Multazam itu untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Lantaran terlalu rindu kepada Pemilik Baitullah untuk mendapat keampunan dan keberkatan-Nya.-azm _

Reference:
http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18476&Itemid=1

No comments: