Thursday, June 19, 2008

MASA PERALIHAN BN KE PR SUDAH TIBA

Khamis 19 Jun 2008 | 14 Jamadil Akhir 1429 Hijrah

Masa untuk menukar kerajaan BN kepada Pakatan Rakyat sudah tiba

Oleh:
Mohd Rashidi Hassan
Tue | Jun 17, 08 | 3:50:23 pm MYT

Difahamkan seawal November 2007 lagi, sudah dilontarkan kemungkinan kenaikan harga minyak dalam mesyuarat di antara Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan anggota exco kewangan kerajaan negeri dari seluruh negara.

Ketika itu, Abdullah dilaporkan sudah membayangkan bahawa subsidi minyak kemungkinan akan dikurangkan atau dihapuskan bagi mengurangkan bebanan kerajaan.

Justeru di kalangan penganalisis ekonomi menjangkakan harga minyak akan dinaikkan sebelum Pilihan Raya Umum ke 12, namun ia segera dinafikan kerajaan.

Jika penarikan balik subsidi minyak dibuat sebelum pilihan raya, nescaya kerajaan Barisan Nasional yang ada pada hari ini, sudah lama pupus di muka bumi.

Tanpa menggunakan isu kenaikan harga minyak pun, Pakatan Rakyat sudah menang di enam negeri (termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) dengan 82 kerusi Parlimen, mungkin jika harga minyak dinaikkan, BN akan 'totaly wiped out' ditolak rakyat.

Langkah menaikkan harga minyak secara mendadak, dengan menarik balik subsidi ini, merupakan langkah yang paling tidak popular, dibuat Abdullah dalam keadaan imejnya, BN dan Umno yang sudah tercalar dari perspektif rakyat.

Ianya merupakan langkah yang paling tidak bijak, yang bakal menunjuk jalan mudah bagi Pakatan Rakyat menumbangkan BN.

Kesan domino menyebabkan ekonomi menguncup

Dalam menguruskan soal ekonomi, Abdullah tidak keseorangan. Beliau dibantu seluruh anggota Kabinetnya, khususnya Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan di bawah JPM sendiri ada Unit Perancangan Ekonomi (EPU).

Timbul pertanyaan di kalangan rakyat, tidakkah kerajaan membuat perbincangan atau perancangan serta mengkaji impak-impak ekonomi dengan menarik balik subsidi?

Apabila harga petrol dinaikkan RM0.78 sen seliter, diesel dinaikkan RM1.00 seliter, ianya menghasilkan kesan domino kepada ekonomi, di mana rakyat begitu merasai tekanan dan terbeban.

Kesan ketara ini, disusuli dengan kenaikan harga makanan, barangan keperluan harian, produk industri serta lain-lain menyebabkan rakyat semakin tertekan.

Tekanan ini menyebabkan ekonomi negara semakin menguncup.

Misalnya jika dilihat dari satu aspek, para peniaga gerai makanan mengadu pelanggan semakin tidak ramai, bila tidak ramai, peniaga akan mengurangkan pembelian bahan mentah. Jika tidak laku, peniaga terpaksa menutup gerai atau memecat pekerja.

Kesan pengurangan pesanan bahan-bahan mentah juga akan menyebabkan industri perkilangan terjejas.

Apabila kuasa beli rakyat berkurangan, perniagaan tidak laku, penghasilan produk yang tidak kompetitif dan ia juga akan menyebabkan indeks pengangguran serta inflasi yang mungkin meningkat.

Aspek ini belum lagi dikaji kesannya kepada bentuk perniagaan yang lain, industri perkilangan, industri pembuatan serta yang terbabit dalam sektor import eksport.

Secara keseluruhannya teori domino yang berlaku kepada ekonomi negara menjejaskan keseluruhan rakyat dari pelbagai sektor dan pekerjaan.

Kegelisahan rakyat dizahirkan tanpa selindung lagi. Di mana-mana sahaja, sama di masjid, pejabat, premis perniagaan, gerai makan, stesyen bas, di kedai kopi, hatta sehingga di pejabat Umno di PWTC juga, rakyat merungut tentang kelemahan PM menguruskan kesejahteraan rakyat.

Tiada kewajaran menyokong kerajaan yang lemah

Rakyat kini, tidak melihat kewajaran bagi sesebuah kerajaan yang juga antara negara pengeluar minyak, menyalahkan kenaikan ekonomi di peringkat global, untuk memujuk rakyat terus menyokong mereka.

Rakyat Malaysia adalah mereka yang matang berfikir serta membuat tindakan. Tahap kematangan yang tinggi ini diungkapkan melalui keputusan PRU lepas.

Rakyat tidak lagi mahu parti yang mempunyai 'solid' majoriti dalam kerajaan. Rakyat mahukan ketelusan serta 'check and balance' dalam pentadbiran negara.

Maka akibat dari kesan ekonomi yang tidak menentu ini, rakyat mula mempersoalkan, apakah pegawai-pegawai kerajaan di EPU dan Kementerian Kewangan tidak buat kerja dan tidak mengkaji kesan seburuk ini?

Atau pun mungkin, kertas kajian mengenai impaknya sudah disediakan, tetapi tidak dibaca atau tidak difahami oleh PM sendiri?

Atau pun mungkin Abdullah yang tidak memahami soal ekonomi, juga terkenal dengan sifat 'spoon feeding'nya, menerima taklimat silap yang diberikan oleh pegawai lulusan Oxford University, yang bukan mahir dibidang ekonomi tetapi major dalam bidang linguistik?

Kesilapan besar Abdullah ialah, beliau tidak disokong dengan kajian yang rapi serta mendalam dan jelas tidak mempunyai langkah pemulihan terancang bagi mengendalikan krisis kenaikan harga minyak dalam negara.

Apabila menerima bantahan menyeluruh di kalangan rakyat, kerajaan mula kelam kabut.

Langkah 'ad hoc' terdesak terpaksa diambil, tiba-tiba elaun anggota Kabinet dipotong 10 peratus, memberi rebet tunai, mengurangkan cukai pendapatan, membayar gaji dua kali sebulan dan entah apa-apa lagi hendak dilakukan.

Semakin banyak langkah 'ad hoc' dibuat, kerajaan menjadi semakin tidak popular.

Apabila tiada cara lain, kerajaan meminta rakyat berjimat cermat, kurang menggunakan kenderaan persendirian, sebaliknya menggunakan pengangkutan awam.

Cadangan kerajaan ini turut menerima rungutan rakyat, macamlah pengangkutan awam negara begitu efisyen.

Jika hendak dihurai soal kelemahan pengangkutan awam ini begitu banyak, ia memerlukan satu topik yang khusus.

Semua ini menimbulkan persepsi negatif rakyat, bahawa langkah 'ad hoc' yang dibuat Abdullah ini tidak akan berhasil. Keyakinan rakyat terhadap kerajaan sukar dipulihkan.

Rakyat bukan tidak boleh menerima kenaikan harga minyak, rakyat juga rasional. Tidak bolehkah Abdullah dan kerajaan membuat sesuatu dasar dengan perancangan yang teliti?

Tidak bolehkah langkah-langkah pemulihan dikemukakan secara terancang, dibentangkan bersekali ketika membuat pengumuman kenaikan harga minyak?

BN 'underestimate' kuasa rakyat

Atau mungkin juga kerajaan BN memikirkan rakyat Malaysia begitu baik dan tidak akan membuat bantahan yang boleh mengakibatkan mereka kehilangan kuasa.

BN sudah membuat kesilapan yang kedua, iaitu kesilapan yang lebih besar apabila mereka 'underestimate' kuasa rakyat.

Kesilapan pertama dilakukan pemimpin BN sewaktu menghadapi PRU ke 12. Mereka terlalu 'confident' untuk mengekalkan kuasa sehingga 'underestimate' pengaruh pembangkang di kalangan rakyat.

Hakikatnya pemimpin BN tidak menyedari bahawa sebarang bentuk kekangan ekonomi yang melampau akan membawa kesan politik yang buruk.

Kelemahan besar anggota komponen BN begitu terserlah apabila mereka terbukti gagal membawa kestabilan politik dan kesejahteraan ekonomi.

Rakyat semakin hilang keyakinan kepada BN. Keadaan negara sekarang ini membuktikan, persepsi bahawa hanya BN sahaja yang mampu memerintah sudah lenyap.

Rakyat bukannya hamba kepada kerajaan BN. Rakyat adalah tuan dalam negara. Tuan berhak menentukan masa depannya sendiri.

Tiada jalan lain untuk mengubah nasib rakyat, selain mengubah kerajaan BN kepada Pakatan Rakyat.

Justeru, rakyat harus memberikan sepenuh kepercayaan kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk menerajui negara dengan pembentukan Kerajaan Persekutuan Pakatan Rakyat.

Jika 16 September 2008 terlalu lewat, rakyat boleh membantu Anwar menyegerakannya, dengan mengajak wakil rakyat mereka beramai-ramai berhijrah kepada Pakatan Rakyat.

Jika dalam Gerakan, MCA, SAPP, PBB sudah wujud perbincangan 'wajar atau tidak untuk meninggalkan BN', maka parti-parti komponen BN lain juga harus memikirkan opsyen ini.

Berubahlah, berhijrahlah demi kebaikan rakyat. Jika rakyat tidak menyokong mereka, nescaya mereka akan pupus tidak lama lagi.

Reference:
http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=015201&Itemid=109

2 comments:

Abu Muhammad el-Merbawiy said...

Salam Dato' Ron,

Marilah kita bilang parti-parti yang keluar dari BN SATU PERSATU; SAPP, Gerakan, PBS, bayangan HINDRAF, akan ada lagi dan lagi...andainya KERAJAAN BN LAYAN RAKYAT HALAI BALAI!!. Seronoklah MPs mereka tak payah soal jawab dengan BN lagi. 'Happy' dan bersemangat dengan kerajaan baru PR.

Perhatian, jangan dok bilang sahaja. Bertindak dan berfikirlah mengapa rakyat tak mahu dengar dah isu peralihan kuasa Pak Lah kepada Najib, sebaliknya Kerajaan BN kepada Kerajaan PR pulak. Yang pertama tak akan ada apa-apa perubahan, sebab dah berpengalaman. Yang kedua berdasarkan pimpinan yang REFORMIS - benar-benar mahu rakyat keluar dari KEMELUT KEPIMPINAN DAN PENTADBIRAN NEGARA yang tidak menentu, agar dapat mempastikan wawasan 2020 seperti yang telah dicanangkan tersebut masih mampu tercapai dengan baik dan saksama.

UMNO SEJATI, jangan rasa hati noh...,(jangan mare..nanti kena jual lah. P. Ramlee & Ahmad Nisfu) Perhatikanlah gelagat pimpinan UMNO semasa, jangan bernostalgia lagi dengan IDEALISMAnya yang telah dikuburkan. Banyak kali saya cadangkan dengan bloggers iaitu FOKUS KEPADA KEKUATAN MELAYU-ISLAM DI DALAM SATU ACUAN PERJUANGAN UNIVERSAL AGAR KAUM-KAUM LAIN DI MALAYSIA TIDAK CURIGA. MALAH MEREKA AKAN BOLEH TERIMA KONSEP "UMMATAN WAAHIDAH" - SINGLE NATION berteraskan KEADILAN ISLAM serta mematuhi kehendak Ilmu Pengetahuan seperti yang telah ditunjukkan oleh pimpinan Nabi Muhammad saw di Madinah Munawwarah. Maka KEADILAN ISLAM ITULAH YANG MENJADI TERAS - samada PR atau BN yang menggerakkan dasar ini, Malaysia akan kembali gemilang.

Sama-sama berfikir dan bertindak untuk kebangkitan KUASA BARU - SOME SORT OF CHANGE.

TQ, Dato' Ron


Arau

PERLIS DARUS SUNNAH

2:27 PM


Reference:
https://www.blogger.com/comment.g?blogID=29933783&postID=1561127593538256858

Abu Muhammad el-Merbawiy said...

abu muhammad el-merbawiy (21:19:52) :

Salam Anak Sheikh,

Fakta yang mencukupi untuk rakyat berfikir dan membuat keputusan.
minta sahabat-sahabat melihat ulasan Harakahdaily.net 19 Jun 2008.
“MASA PERALIHAN KERAJAAN BN KE PR SUDAH TIBA”
http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=015201&Itemid=109.

Bergeraklah dengan nada dan suara yang sama ke seluruh negara. Mudah-mudahan beban rakyat marhaein dapat dipulihkan dan dibela secara menyeluruh.

Selamat mengatur langkah wahai anak Sheikh.

Dari ambo….

Arau

PERLIS DARUS SUNNAH

Reference:
http://kickdefella.wordpress.com/2008/06/18/hassan-husam-and-the-truth-about-fuel-subsidy/#comments