Sunday, March 30, 2008

Alam Raya dan S&T: Cabaran Minda Manusia Moden

Oleh
Abu 'Amrullah Muhammad ADIS Al-Merbawiy (CITU)
UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA Kampus Arau Perlis

Abstract :
“The Universe, Science and Technology are three entities which are crude and abtract in nature. These entities have been further manipulated, abstracted, studied, and synthesized to produce the most meaningful mundane entities called Knowledge and Scientific Researches and Discoveries.Human mind have been developing continuously since the first age of civilization existed on earth. During these process of development, i.e.,over the many ancient civilizations achieved by human being, challenges that took places had to be dealt with and overcome. The main entity involved was surely the human intellect or mind. This faculty had been working continually to abstract, apprehend, synthesize and formulate many accurate meanings of something called knowledge. The mind would venture further to perform more complicated studies in order to elaborate the knowledge into minute details about scientific findings and sub-division of meaning in very practical and sophisticated physical and non-physical explanation. The stages of acquiring knowledge and scientific researches done are in line with the challenges of human mind to apprehend, acquire, synthesize, apply, utilize and culturize societies, Muslim and Non-Muslim. These are ideas in the writing that I would like to expose and share with the knowledgeable participants and audiences in today’s seminar.”

Pendahuluan

1. Pandangan Mengenai Alam Raya

Manusia moden tidak lagi mementingkan sudut Pandangan Alam Raya – world view, Nazariyat al-Islam li al-Kawn, weltanshaung, dll., dari sesuatu perspektif, kerana hal ini telah diserahkan tugasnya kepada penemuan sains dan teknologi semasa untuk menjelaskannya. Usaha pengkajian diteruskan tanpa perlu merujuk kepada sudut Pandangan Alam Raya, samada dari sudut Agama Islam, Kristianiti, Judaism, Hinduism dan lain-lain. Perlu diingat, suatu hakikat bahawa sudut Pandangan Alam Raya inilah yang mencorakkan watak, nama-nama, ciri-ciri dan sifat-sifat sains yang dilahirkan oleh sesuatu bangsa manusia atau peradaban yang mereka bangunkan. Sebagai contohnya, Tamadun Barat mempunyai sudut Pandangan Alam Raya Holistic-Materialism dengan mampu memiliki peraturan Alam sendiri dan berkemampuan mengoperasikan dirinya yang dikenali sebagai ‘Undang-Undang Alam Raya’ atau the Law of Nature, tanpa memerlukan pertolongan mana-mana kuasa termasuk pencipta alam raya itu. Sudut pandangan ini lahir daripada warisan Tamadun Greek purba yang menjelaskan bahawa selesai sahaja Tuhan menjadikan alam raya, maka Tuhan berehat dan semua peraturan di dalam alam raya ini beroperasi sendiri (self-automatic progression). Maka gagasan saintifik yang popular di barat ialah skema mechanistic-materialism berpaksikan nilai kebenaran positif dan objektif di dalam setiap ilmu pengetahuan. Di atas prinsip inilah Tamadun Barat tidak memerlukan campurtangan Tuhan dan Gereja di dalam perkembangan saintifik dan teknologi mereka, hasilnya mereka mengambil sikap sekularistik di dalam hubungan mereka di dalam agama dan sains – secularization. Jelasnya Tamadun Barat bukan milik agama Kristian dan tidak juga Judaism, malah mereka beragamakan falsafah Augustinian (Auguste Comte) iaitu mazhab scientism di abad atau millenium moden, sekarang dan akan datang.

1.1 Alam Raya: Pandangan Islam, Klasik dan Moden

Alam dalam sudut pandangan al-Quran dan Islam ialah suatu tanda (sign) manifestasi kekuasaan (supremacy), keagungan (almighty) dan keluasan ilmu Allah swt serta kebijaksanaan (All knowing and All wise) Ilahi di sekeliling manusia dan makhluk di bumi dan di alam raya ini. Kata ‘alamun – ‘aalameen – di dalam al-Quran merujuk kepada seluruh peringkat alam raya ciptaan Allah swt. Maka alam dalam sudut pandangan Islam merujuk kepada Alam Sarwajagat (Universe) dengannya melakarkan kerumitan dan susunan terperinci Ilmu tuhan yang bakal disediakan untuk manusia mendalaminya dan menguasainya dengan disiplin ilmu pengetahuan dan peningkatan penggunaan kaedah saintifik yang selalu diperbaharui agar ia kekal valid dengan keperluan semasa manusia dan pembangunannya serta peradaban duniawi. Maka medium intellektuallah suatu wahana ke arah menerokai, merungkai masalah, merumuskan fakta dan formula saintifik untuk kegunaan manusia serta pengembangannya ke tahap yang lebih terperinci (further more sophisticated technological advancement).

Manakala pandangan alam raya klasik pula merujuk kepada bagaimanakah alam raya difahami dalam Tamadun Greek, seperti Alam terdiri daripada susunan hukum matematik seperti diungkapkan oleh Pythagoras (580-500 SM). Alam raya adalah terdiri dari air mata Tuhan Venus yang sangat mengasihi dan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan di bumi. Plato (427-347 SM) dan Aristotle (384-322 SM) telah mengelaskan alam raya ini sebagai tingkat teratas alam raya yang tidak berubah (celestial bodies) dan tingkat terendah yang sentiasa binasa (terestial bodies), dan bagi Aristotle menegaskan setiap objek alam mempunyai tempat asalnya (natural palace). Kerana itulah bintang-bintang dan planet bergerak menjauhi bumi, kerana ia kembali ke tempat asalnya, sedangkan bintang dan planet yang menghampiri bumi disebabkan tempat asalnya lebih hampir kepada bumi kerana ia dari bahan yang lebih berat. Sudut pandangan alam klasik lebih mementingkan alam raya sebagai pusat tumpuan dan keagungan kejadian di alam maya ini. Manusia ketika itu bukanlah objek terpenting dan central di alam raya ini.

Selepas zaman pencerahan dan kebangkitan keilmuan dan kesusateraan Roman yang dikenali di barat sebagai Rennaisance, tumpuan manusia kepada alam raya berbeza, kerana mereka menyedari manusialah sebagai pusat alam (central of universe). Lalu segala-gala proses kajian dibuat berasaskan keperluan manusia kepada cakerawala dan sistem planet terjauh. Alam sudah berubah menjadi bahan kajian manusia, di mana mereka huraikan hujah dan rasional mengapa perjalanan planet-palanet bersifat eliptic, menggulung – whirlpool, berlegar di atas talian paksi – circulation dan sebagainya. Oleh kerana itulah gagasan demi gagasan diatur dan diperbaharui seperti teori alam raya Nikolas Copernicus, Johanes Kepler, Galileo Galilie, Isaac Newton dan lain-lain dirumuskan dan didebatkan bagi mendapat gambaran seadilnya mengenai alam raya. Sekalipun ada golongan saintis ini kuat beragama, seperti Isaac Newton, namun teori keagamaan kristian di dalam pengajian astro-fizik dilihat sebagai Mitos dan khurafat yang wajib dihukum bunuh atau dibakar. Namun dengan pembebasan pengaruh Gereja dari Akademi Sains, maka teori-teori saintifik tokoh-tokoh saintis failasuf dimajukan semula dan meninggalkan kesan kemajuan dunia astronomi dan penjelajahan pelayaran samudera ke timur jauh. Serentak dengan itulah sains dan teknologi berkembang di barat di luar lingkungan kegamaan gereja Kristian.

1.2 Alam Manifestasi Ketinggian Keilmuan Tuhan

Alam raya pada hikikatnya adalah manifestasi dari susunan dan gambaran ketinggian Ilmu Ilahi (the ultimate truth) yang maha sempurna itu. Gambaran mudahnya ialah Allah swt memiliki 99 nama-namaNya yang indah (asmaa’ullah al-husnaa) yang mana dengan kualiti-kualiti itulah ditajallikan (sedikit aplikasian penzahirannya) kepada alam ini sebagai penzahiran bukti keagungan dan kemampuan serta keperkasaan Allah swt mencipta dan mengurus tadbir alam raya sehingga ke hari yang dijanjikan. Beberapa asas nama-nama Allah swt yang dominan disebut seperti al-badee‘, al-baari, al-‘aleem, al-qadeer, al-lateef, al-khabir, al-muhyi, al-mumeet dan seterusnya, adalah pencetus (ibda’ wa khalq – Originator and Creator) kepada ciptaan dan pengurusan tadbir Allah swt ke atas alam raya secara langsung setiap saat dan ketika (Laa ta’khuzuhu sinatun wala nauwm – Dia tidak dikuasai mengantuk dan tidur) dan Dia memiliki segala sesuatu di alam raya ini (lahu ma fi al-samawat wama fi al-ard wahuwa al-‘aziz al-hakeem – bagiNyalah segala apa yang ada di langit dan bumi, sedang Dialah yang Maha Perkasa dan Maha Bijaksana).

Apabila Alam raya tercipta, hasil tajalliyat ilmu Ialhi – penzahiran nama-nama Allah swt tersebut terdapat pada setiap unit atau entiti kejadian alam raya bermula dari setitis air sehinggalah gunung ganang yang utuh serta binaan langit yang menakjubkan manusia. Apabila manusia menyelidikinya, mereka bertemu dengan data-data, formula, persamaaan hukum fizik dan bukan fizik yang apabila dirumuskan secara sistematik dan penyelidikan penuh teliti (coherence of divine cannon of something via discursive researches and studies), lahirlah disiplin-displin ilmu yang sangat berguna kepada manusia yang dikenali sebagai sains atau ilmu pengetahuan. Hakikatnya alam raya adalah susunan ketinggian terjemahan ilmu Ilahi setepatnya.

1.3 Alam Raya dan Minda Manusia

Alam raya yang menjadi tempat penjanaan ilmu Ilahi itulah menjadi tarikan dan serasi dengan Minda manusia yang dianugerah Allah swt dengan penuh kemampuan akliah (intellectual ability) hasil pancaran Ruh dari urusan Ilahi jua. Maka Allah swt telah menyediakan subject matters untuk dikaji dan dianalisa oleh minda manusia, bahkan ia sangat berkebolehan untuk menyiasatnya sehingga terbongkarlah segala rahsia-rahsia keindahan aturan alam raya yang telah diatur oleh pencipta Alam raya ini, dengan pendekatan perkaedahan saintifik (scientific methodologies). Capaian akal manusia menerusi pelbagai fungsi minda seperti Minda Penyaringan (synthesist), Minda Pengukuran Unggul (idealist), Minda Anjal (pragmatist), Minda Perumus (analysist) dan Minda Paksi (realist) dilihat mampu menyumbang pengetahuan dan maklumat yang tepat dan adil kepada manusia dalam usaha memahami segala objek alam raya. (lihat Harrison, A.F., & Bramson, R.M., (1982) The Art of Thinking, New York: Berkley Books )

Islam melihat dan mengutamakan manusia Khalifah dan Akal fikiran mereka agar dapat memahami himpunan dan susunan data, fakta dan formula tersurat dan tersirat di alam raya. Maka kekuatan akal dengan bimbingan wahyu sahajalah mampu mencungkil segala rahsia sebenar di alam raya dan di sebaliknya agar kedua-dua susunan tergambar dengan tampak jelas prinsip Ilmu Ilahi yang di pancarkan dan diterjemahkan ke dunia atau alam semesta.

1.4 Alam Hadiah Bimbingan Saintifik

Alam raya tercipta agar manusia mengenal kekuatan dan ketelitian pencipta (al-Lateef al-Khabeer), Allah swt di dalam pekerjaanNya di setiap pelusuk dan ufuk. Dia telah mencabar dan terus mencabar manusia agar berfikir, menganalisis, mengkaji, menghasilkan sinthesis, serta mengulang uji dan berterusan menyelidiki sehingga terlaksananya hajat dan tuntutan manusia sezaman di dalam pelbagai bidang sains dan teknologi manusia moden. Ayat-ayat Allah swt seperti ‘araayta’ – tidakkah kamu melihat, ‘apala yanzuru’ – apakah tidak engkau meneliti, ‘apala tubsirun’ – apakah engkau tidak melihat, ‘apala tatafakkarun’ – apakah engkau tidak menggunakan akal, ‘apala ta‘aqilun’ – apakah engkau tidak berfikir, ‘fa irji‘i al-basar’ – maka ulangi lagi penglihatan kamu, dan banyak lagi cabaran Allah swt agar manusia mencari jawapan di dalam alam raya dan di sebalik Alam tersebut.

Sekalipun ayat-ayat Allah swt ini adalah wahyu, sepatutnya tidak dibincangkan lagi dan harus diterima secara mutlak dan tiada berfikir dan berbicara lebih lanjut, wajib diterima dan dilaksanakan. Dalam anjuran soalan tadi, Allah swt membuka medan manusia menggunakan akal waras mereka dengan segala kapasiti yang Allah swt sediakan; samada bersifat pemerhatian, penelitian, rasionalisasi, emperikal, sinthesis, aksiomasi, induksi dan deduksi dan sebagainya, yang dapat difahami ianya sebagai punca dan sumber metodologi saintifik di dalam al-Quran. Gesaan al-Quran tersebut disahut oleh sebilangan besar ilmuan Islam di zaman kegemilangan Islam tanpa membezakan antara ilmu akli dan wahyu. Budaya saintifik Muslim bersifat integral dan sangat sesuai dengan kapasiti ruang kemahiran otak kiri dan kanan manusia; kepakaran Matematik dan saintifik dan kepakaran bahasa (phonetics) serta sosiologi kemanusiaan (anthropology) dan ilmu Ketuhanan (theology).

Maka di alam raya sana terdapat subjek kajian saintifik berkaitan dengan sains gunaan dan sains kemanusiaan dan bahasa serta seni eastetika dan falsafah. Lalu dapat dijelaskan bahawa alam raya dan manusia, yang juga sebahagian daripada alam raya menjadi hadiah subjek kajian saintifik (taskheer) kepada manusia bagi mereka yang memiliki minda yang terbuka dan integral serta dikuatkan dengan keutuhan makrifat dan bantuan ilham ilmu ilahi seterusnya menghasilkan ilmu pengetahuan yang universal dan holistik tanpa pengasingan dan ta‘asub bidang yang menghalang kesepaduan ilmu seperti yang dihasilkan di dalam Tamadun Islam di Zaman kegemilangan dan masih dapat dibuktikan hari ini dan sepanjang zaman. Inilah kekuatan skema Sains dan Teknologi Muslim yang sekian lama diselewengkan oleh skema penjajahan pensekularan disiplin ilmu sains dan teknologi di negara-negara tanah jajahan (commonwealth countries).

1.5 Alam Raya, Sains dan Teknologi serta Pemuliharaannya

Alam raya yang difahami sebagai susunan tertib Ilmu pengetahuan dan Teknologi serta penjanaan (engineering) Ilahi secara langsung di alam duniawi yang fana ini berlaku setiap detik tanpa cuai dan lalai. Oleh kerana itulah perjalanan alam raya selamat, tertib, tidak berlaku perlanggaran sehingga sampai ketika yang dikehendaki (hari Qiyamah), barulah ia musnah dengan iradah Allah swt.

Sains dan Teknologi, adalah terjemahan atau manifestasi kerja dan penjanaan ilmu Allah swt di alam raya ini melalui Insan kesayanganNya bergelar khalifah. Namun ramai lupa diri dengan janji pengabdian dan pengiktirafan keilmuan tinggi dan kekuasaan serta wibawa (Authority and Supremacy) milik Allah swt. Walau bagaimana pun Sains dan Teknologi diizinkan juga berlaku dan berkembang sekali pun tidak selaras denga Iradah Allah swt seperti pengklonan manusia dan pembedahan kosmetik transeksualiti. Hal ini adalah menurut pilihan insan untuk ingkar dengan teknologi yang ada, sedang Allah swt tidak Mulia dengan ketaatan manusia dan tidak terHina dengan kemaksiatan makhlukNya. Usaha melanjutkan aktiviti-aktiviti sains dan teknologi adalah suatu mekanisma lahiriah, membolehkan manusia bertanggung jawab memahami alam raya, menelitinya, melaksanakan penjagaan kebenaran ilmu tentangnya dan memelihara kemakmuran yang bakal dicipta di dalamnya dengan panduan dari Allah swt melalui kitab al-Quran, sumber peradaban keimuan dan kemanusiaan sejagat.

Maka tugas menjaga Alam raya juga pencapaian sains dan teknologi serta kejuruteraan di dalam segala bidang ilmu pengetahuan, menjadi tanggung jawab Insan Khalifah (mereka yang beriman dan melaksanakan ajaran Islam dan kebenaran ilmu yang mereka temui, memahami dan melaksanakannya). Mereka semestinya terdiri dari kalangan ahli akademik, Ilmuan tulin serta hamba Allah swt yang Muslim, Mukmin dan solehi al-ummah (Umat Islam soleh yang terbaik). – Arb. Inna al-‘ardh yarithuha ‘ibadi al-solihuun. Di tangan mereka segala aktiviti sains dan teknologi, kejuruteraan dan perindustrian, membina peradaban dan ketamadunan adalah perlaksanaan amanah memakmur dan memelihara bumi dan alam raya secara selamat mengikut kehendak dan rencana Allah swt.

2 Kerangka Berfikir Islam dan Muslim

Allah swt telah mengatur dan merangka kerangka berfikir Muslim agar sesuai dengan fungsi mereka sebagai Khalifah di bumi. Dengan Ketinggian Ilmu Ilahi, Dia mengkelaskan bahan-bahan berfikir dan had serta sempadan yang boleh dijangkau dan boleh dimaksimakan atau diminimakannya. Segala subjek perkara yang bersifat kebendaan dan kemanusiaan masih diizinkan untuk diselidiki sehingga terserlah relung-relung disiplin saintifik dengan izinNya. Tidak cukup sekadar itu Allah swt menurunkan prinsip-prinsip umum mengenai sains fizik dan bukan fizik di dalam al-Quran dan al-Hadith Nabawiyyah. Maka tentang diriNya sendiri, manusia boleh memikirkan hasil Tajalliyat dan mengizinkan untuk dikembangkan sains mengenai al-Kitab dan al-Hadith daripada baginda saw dengan membangkitkan tokoh Mufassirin (ahli tafsir al-Quran) dan tokoh Muhadithin (ahli hadith dan tafsirnya) serta prinsip-prinsip perundangan Islam untuk manusia sejagat (Islamic Jurisprudence) berdasarkan metodologinya yang tersendiri. Jadi kerangka berfikir Muslim itu tidaklah bersifat Emperika semata-mata, malah bersifat Penerokaan, Analisis, Induktif dan Deduktif, dan Global serta Universal, melangkaui analisis zahir (Physics) dan batin (Metaphysics). Justru itu, Metodologi saintifik Islam sangat Universal dan praktikal mengikut relung-relung saintifiknya yang tersendiri.

2.1 Al-Quran Panduan Akal dan Jiwa

Al-Quran bukanlah buku Sains dan Teknologi, tetapi ternyata memiliki unsur-unsur bicara saintifik dan teknologi di bidang fizik dan kemanusiaan serta metafizik. Tugas asasi al-Quran adalah mendatangkan Hidayah (guidance to the right path) kepada akal dan jiwa insan. Hasil yang tercetus daripada panduan akal fikiran melahirkan sains dan teknologi, manakala hasil daripada panduan iman dan hidayah kepada jiwa mendatang ketundukan dan penghambaan diri kepada Allah swt, Tuhan pencipta, sebagai sains dan teknologi keagamaan di dalam tingkah laku manusia soleh di sisi Allah swt. Penjanaannya dapat membuka kepelbagaian kebijaksanaan ilmu Ilahi (hikmah Ilahiyah-wisdom of Allah swt) yang membawa insan bersyukur dan sentiasa bernaung di bawah kekuasaan Allah swt. Mereka adalah Awliya’ullah La Khawfun ‘alaihim wala hum yahzanun – yang tidak merasai kerisauan gangguan makhluk, dan tidak akan berdukacita. Kesan bimbingan Allah swt di dalam kedua-dua aspek akal dan jiwa inilah mendatangkan kebahagiaan hakiki kepada insan di dunia dan di akhirat. Inilah destinasi Ilmuan dan sarjana Muslim yang akan menikmati keseronokan dunia Akademik dan keseronokan beramal sehingga mendapat reda Allah swt dan memperolehi kebahagiaan di jiwa (the reality of happiness). Maka al-Quran tegas menjadi panduan akal dan jiwa insan agar mereka mampu melaksanakan tugas mereka dengan baik di dunia ini, dan akan dipanggil balik dengan sejahtera dan aman bahagia dengan jiwa tenteram dan berbahagia (al-nafsu al-mutma’innah – the transquility of human soul).

2.2 Ma‘rifat dan ‘Ulum: Gabungan Jiwa dan Akal

Ma‘rifat ialah mengenal sesuatu perkara secara mendasar sehingga ke intipatinya, tidak sekadar melalui kajian dan penyelidikan, malah menerusi pengalaman dan pembabitan yang berterusan dan melalui tempoh masa yang panjang terhadap sesuatu perkara. Hasilnya pengetahuan tersebut meliputi zahir dan batin, pengetahuan fizik dan metafiziknya.Proses itu dilihat sebagai ‘knowing something’ untuk mendapatkan knowledge – ma‘rifat sesuatu perkara. ‘Ilm pula atau kata jamaknya ‘ulum pula bermaksud pengetahuan tentang data dan maklumat terperinci serta sistematik mengenai suatu sub-bahagian perkara tersebut secara eksklusif, menggunakan kaedah saintifik yang mencapai maksud pengenalan dan pencerapan maklumat tersebut; samada secara sains gunaan atau sains kemanusiaan dan sebagainya. Proses ini dilihat sebagai ‘synthesizing upon data and systematised informations’ untuk mendapatkan ‘thesis’ atau ‘scientia’ atau ‘logos’ – atau ilmu (makna) tentang sesuatu perkara. Contohnya apabila seseorang Professor Botani mengetahui makna kehidupan di alam tumbuhan (hayat al-nabatiyyah), lalu aplikasinya sangat menyeluruh di dalam semua jenis hidupan Botani. Manakala pengetahuan mengenai hayat Genetik Molekul, adalah sebagai pengetahuan ekslusif dan terkhusus tetang kehidupan sesuatu sel dikenali sebagai maklumat daripada data tersusun dan terperinci yang dikenali sebagai Maklumat disiplin ilmu (sains) atau Kejuruteraan Genetik Molekul tumbuhan.

Maka dalam usaha menjelaskan dua bahagian pengetahuan manusia ini, al-Quran mendatangkan dua Istilah yang melengkapi kedua-duanya iaitu al-Basirah – mata hati atau penglihatan batin yang dikaitkan dengan Ma‘rifat atau knowledge dan al-Nazirah – mata lahir atau penglihatan logik rasional yang dikaitkan dengan ‘Ilm atau ‘ulum’ atau sciences. Lalu di dalam Islam proses mendapatkan ilmu perlu merentasi kedua-dua punca ilmu ini. Jadi pengetahuan wahyu dan peraturan Allah swt di alam raya dan maklumat yang diterokai dan ditemui oleh manusia bergabung melahirkan sains dan teknologi secara amalinya. Namun pencetus Idea kefahaman dan penguasaannya melibatkan Intuisi, Petunjuk dan Idea Kefahaman anugerah dari yang maha tinggi, Allah swt. Jadi tidak ada pemisahan antara Jiwa dan akal ketika memperolehi ilmu pengetahuan. Allah swt menggambarkan pencetus idea kefahaman ini sebagai cahaya dariNya, dan cahaya ini akan singgah di jiwa yang bersedia untuk memahami ilmu pengetahuan secara mantap dan mendalam.

2.3 Rangka Tawhid (Tawhidic Framework) : Nash dan Ru’yah

Dalam sains dan teknologi Muslim, rangka keilmuan atau saintifiknya adalah berasaskan Tawhid – the monotheistic framework. Ianya bermakna bahawa setiap punca keilmuan datang dari satu sumber iaitu al-alim – Maha Mengetahui, al-hakim – Maha Bijaksana dan al-Qadir – Maha berkuasa. Soal sebab akibat (causality), aturan alam raya (Divine Law of Nature), graviti antara sistem planet, kejadian alam dan akhirannya, dll., perlulah berdasarkan keyakinan Tawhid. Firman Allah swt yang bermaksud :

“Dia yang menjadi Penguasa langit dan bumi, dan Dia tidak memiliki anak dan juga sekutu di dalam kerajaanNya dan Dia Menjadikan segala sesuatu dan menetapkan ukuran serapi-rapinya.” (Al-Furqan, 25:2)

Pernyataan al-Quran dilihat sebagai Nas atau teks yang tertinggi nilai kebenaran paksinya. Ahli tafsir akan memberi makna berasaskan konteks ayat dan prinsip umum (‘ibrah li ‘umum al-lafdz) yang dapat dijangkau oleh Nas tersebut di dalam realiti alam raya dan masyarakat manusia yang berubah. Sehubungan dengan ayat di atas, secara rangka Tawhidnya, Allah swt adalah pemilik alam raya, Dia menjadikannya dan menentukan neraca ukuran piawaian segala sesuatu yang ada di dalamnya. Maka Allah swt mengendalikankannya disetiap masa dan ketika di bawah satu pengurusan sahaja. Maka Ekoran daripada itu secara emperikal dan rasional pula, dibuktikan kesatuan cipta, sistem pergerakan, kesatuan matlamat kejadian, kesatuan fungsi Taskhir – berkhidmat untuk insan, Kesatuan Kebenaran ilmu dan teknologinya, kesatuan kehidupan dan tenaga, kesatuan kejadian manusia dan kesatuan akal dan jiwa (wahyu) , semuanya berpunca dari sumber yang tunggal.

Semasa sains dan teknologi Allah swt di alam raya dipindahkan kepada sains dan teknologi manusia, semua prinsip-prinsip sains, teknologi dan kejuruteraan Ilahi dipindahkan sedikit kepada kemahiran-kemahiran buatan (artificial skills) sehingga melibatkan peralatan, perkakasan, pendawaian, penjana kuasa – turbine dan makmal kecil manusia dibina di bumi. Sedangkan semua aplikasi ini berpunca daripada Makmal Agung Allah swt di alam raya. Ia tidak kelihatan oleh mata kasar, tetapi dapat dibaca oleh jiwa rasional (the faculty of human soul) dan akal rasional (the faculty of intellect), sehingga menghasilkan rekaan saintifik dan penemuan mesin-mesin teknologi yang canggih dan terkini. Di sinilah peranan Rangka Tawhid; antara pemahaman Nas (al-Nas) dan aplikasi kerasionalan akal fikiran (al-ra’yu) boleh difahami dan diketengahkan serta dihuraikan.

2.4 Daripada enfusion (Tajaliyyaat) Kepada intellection (Ta‘aqqulat) dan praxis and virtues (Ta‘amulat wa Tafaadhulat)

Dalam perbincangan ini, suka diketengahkan hal ehwal ilmu sains dan teknologi yang melalui fasa-fasa alam tinggi menuju alam minda dan jiwa, seterusnya menjanakan teknologi perusahaan di muka bumi dan akhirnya fasa pengaplikasian kebenaran sains dan teknologi yang adil lagi beradab (justice of knowledge) agar mendapat ganjaran keberkatan atau keunggulan pencapaian nilai ketamadunan. Ini adalah sudut pandangan menegak atau vertical view yang melibatkan penzahiran jangkauan ilmu Allah swt (al-Muheet) kepada sains dan teknologi manusia melalui proses pengajaran dan pembelajaran serta penguasaan teknologi. Tajalliyat adalah melahirkan keagungan Allah swt sehingga nampak jelas kehebatannya pada akal, jiwa dan kepakaran individu ilmuan Jurutera dan Teknokrat. Proses pengaplikasian dan penjanaannya hendaklah berdasarkan prinsip-prinsip kebenaran S & T yang mutakhir dan berasaskan prinsip-prinsip perundangan Islam di dalam menepati maksud pembuatan, pengeluaran, ukuran kepiawaian, penggunaan dan pembuangan serta pengitaran semula, masih menepati kualiti barangan, penggunaan, perkhidmatan, perlupusan dan penjagaan alam sekitar. Inilah hasil yang ingin dikongsikan bersama oleh S & T Islam di kalangan umat Islam dan bukan Islam.

Pengamal S & T ini wajib melaksanakannya kerana mematuhi kehendak dan keredaan Allah swt; samada dari aspek keilmuan, Tenologi dan perusahaannya mahu pun dari usaha yang sujud dan menyembah Allah swt dan melaksanakan tugas-tugas memakmurkan muka bumi Allah swt menerusi ciptaan, kemajuan dan kecanggihan mesin industri yang terbaik.

2.5 Budaya Saintifik dan Kebijaksanaan (Scientifics and wisdom)

Budaya saintifik lebih dikenali sebagai budaya ilmu dan pengaplikasiannya, di mana manusia menjalani penghidupan mereka berorientasikan Ilmu pengetahuan dan pengetahuan teknikal (technology know how). Sedar atau tidak, manusia moden berhadapan dengan persekitaran ilmu dan teknologi yang biasa dan canggih. Hasilnya manusia ditarik untuk membudayakan diri dengan sumber penggunaan peralatan dan mesin mudah atau kompleks. Paling minimal manusia perlu tahu bagaimanakah mengoperasikan sesuatu mesin, mengendalikannya dan menamatkan operasi, sekalipun tidak mengetahui membaik pulih bila berlaku kerosakan. Di sinilah Islam memperkenalkan konsep teras al-Itqan (ketertiban susunan) dan al-mizan atau al-tawazun (keseimbangan ciptaan).

Dengan memaksimakan penggunaan akal manusia, susunan dan ketertiban ilmu dan teknologi ini dapat dikenalpasti dan dipelajari sekali pun yang melibatkan pembinaan teknologi kecerdasan buatan (artificial intelligences) di dalam teknologi maklumat, industri Robotik, Industri media-komunikasi dan sebagainya. Cuma, bijaksanakah kita dengan menguasai teknologi ini, tanpa memahami hubungkait keilmuannya, teknikalnya, tujuan dan matlamatnya, amanah kebenaran dan nilai ilmiahnya, tatacara akhlak dan moral penggunaanya dan keupayaan memberikan keuntungan yang tidak berisiko dengan tujuan asalnya?. Prinsip Islam dalam teknologi dan pembangunan ialah memakmurkan (al-‘imarah) dan tidak mendatangkan kerosakan (la tabghi al-fasad) terhadap alam raya. Tambahan pula golongan yang benar-benar bijaksana ialah golongan yang mampu mengekalkan prestasi kerja saintifik dan teknikal mereka merentasi kemajuan di dunia dan akhirat (selepas mati) dalam bentuk ‘amal soleh, dan tidak hanya bertujuan keuntungan kewangan (commercial purposes).

Tegasnya hasil sains dan teknologi yang layak dituai di dunia, dapat dinikmati di dalam bentuk pembangunan dan perindustrian yang mesra alam. Manakala Hasil sains dan teknologi yang bersifat ilmu Ilahi, etika Islami, ketelitian amanah kebenaran ilmu dan kebaikan abadi, sedekah jariah ilmiah dan teknikal di jalan Allah swt, di tangguhkan ganjarannya di syurga Allah swt. Ganjaran kedua ini sangat mencabar minda insan, kerana itu ramai manusia melupakannya. Budaya saintifik dan teknikal seperti inilah yang dikehendaki oleh Islam kerana ia dapat memenuhi kedua-dua keperluan kejadian insan, Ruh dan Jasad; Kemajuan di dunia dan kebahagiaan abadi di akhirat.

2.6 Kreativiti, Daya Cipta dan Inovasi: Latihan dan Dapatan (Anugerah)
Perkembangan S & T melibatkan kreativiti, daya cipta dan inovasi, tanpanya tiada peningkatan dan pembaharuan teknologi terkini di dalam peradaban manusia. Persoalannya bagaimanakah Muslim melihat kreativiti dan inovasi ini?. Kreativiti (creativity) dijelaskan sebagai bakat atau kebolehan luar biasa seseorang. Mereka yang kreatif adalah individu yang sentiasa menunjukkan prestasi tinggi dalam apa sahaja usaha yang berguna kepada masyarakat. Manakala Daya cipta (invention) bermaksud ciptaan mental atau akal, seperti peralatan, perkaedahan dan mesin. Dalam teknologi ciptaan tersebut layak mendapat Paten (Pengiktirafan Hak Harta Intelek). Inovasi pula adalah konsep minda yang menyumbangkan kepada daya penambahbaikan serta pembaharuan berbentuk penambahbaikan atau radikal (perubahan ketara). Inovasi dapat membantu meningkatkan kualiti rekaan, menjimatkan kos, meningkatkan prestasi, prestasi tambahan dan prestasi baru sesuatu produk.

Jika Muslim melihat aktiviti-aktiviti dan kepakaran minda di atas, mereka perlu melihat dari sudut rangka Tawhid dan pertanggung jawaban ilmiah serta perlaksanaan amanah Allah swt di dalam S &T. Kreativiti mendekatkan sainstis dan teknokrat kepada Allah swt al-Khabir–Maha sempurna kepakaranNya, Manakala daya cipta menyakinkan jiwa dan minda mukmin kepada al-Khaliq dan al-Bari – Maha Pencipta dan Pencetus Agung dan Inovasi mengarahkan mereka kepada kesempurnaan ciptaan Allah swt al-Badee‘. Dari sinilah Allah swt menyampaikan mereka kepada sifat Keindahan dan Kesempurnaan Allah swt (al-Jamal dan al-Kamal). Dengan rasa kekerdilan diri, saintis dan teknokrat akan tekun berusaha bagi merealisasikan kebesaran dan keagungan Allah swt di dalam diri dan di luar diri mereka. Apabila S & T memaparkan hakikat kebesaran dan amanah Allah swt, akan timbul rasa keinginan untuk S & T tersebut disempurnakan oleh Allah swt dengan melaksanakannya sepenuh tenaga dan daya manusia. Kemudian sebagai Teknokrat beriman, mereka wajib bertawakkal agar seluruh peringkat S & T beroperasi dengan cemerlang dan mampu memenuhi tuntutan fardu kifayah dengan sempurna. Bagi saintis dan teknokrat yang insaf, mereka telah berusaha untuk mendapat anugerah teknologi dan industri dari yang Maha perkasa melalui usaha gigih manusia.

2.7 Teknologi Wahana Kesejahteraan (sa‘adat wa al-‘umran)

Matlamat S & T adalah untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada manusia sejagat. Tujuan yang mulia ini mesti lahir dari minda dan jiwa yang mulia juga, barulah mampu menghasilkan natijah pembangunan seimbang, sepadu dan sesuai dengan manusia yang dual kejadian ini; unsur ruh dan jasad. Mereka inginkan keselesaan hidup di dunia dan kebahagiaan dan kesejahteraan di akhirat. Aplikasi S & T yang betul menurut paksi kebenaran ilmu pengetahuan dan kebenaran teknologi serta industrinya, membolehkan teknologi menjadi wahana pengabdian diri yang cemerlang kepada Allah swt, Tuhan pencipta manusia. Teknologi tidak akan tunduk kepada kanun ilmu pengetahuan, keadilan ilmu dan aturan etika industri, melainkan pemilik teknologi dan para jurutera itulah yang beriman, insaf dengan keagungan Allah swt dan tunduk menyembahNya di setiap saat dan ketika; di dalam solat dan medan-medan kerja mereka. Pengabdian hamba itulah yang membawa perasaan bahagia insan yang kembali kepada fitrahnya (asal kejadian menjadi hamba Allah swt). Kebahagiaan inilah yang akan memenuhi ruang hati saintis dan teknokrat Muslim-Mukmin. Maka tercapailah syarat kejayaan dalam ukuran Allah swt (al-falah), untuk dianugerahkan kepada penghuni sesebuah negara maju di mana warganya beriman, beramal soleh dan bertaqwa. Sesungguhnya S & T hanya wahana kesejahteraan, dan mereka yang merasai kebahagiaannya ialah manusia soleh, bukan teknologi dan industri.

3 Cabaran Minda Manusia Moden

S & Teknologi adalah merupakan alam-alam mikro yang sentiasa mencabar minda manusia, agar fikiran manusia sentiasa bergerak dan digerakkan untuk menyelesaikan persoalan ilmu dan teknologi ummah semasa. Inilah yang boleh meransang penyelidikan dan pengkajian berterusan. Di dalam suasana inilah saintis dan teknokrat sentiasa mengamalkan budaya fikir dan menilai serta muhasabah diri dalam setiap aktiviti-aktivi saintifik dan teknikal. Individu seperti inilah layak menjadi saintis dan pemikir yang bakal menghasilkan banyak penemuan-penemuan baru. Saintis-pemikir inilah sahaja yang layak menyahut cabaran alam raya, sains dan teknologi. Antara cabaran lain yang harus di hadapi ialah seperti berikut;

3.1 Melihat Alam dengan Tafakkur dan Tadhakkur

Allah swt mencabar jin dan manusia untuk menguasai persada alam tinggi dengan memiliki kuasa ilmu pengetahuan (al-sultan) yang ada pada besi, air, tumbuh-tumbuhan, gunung-ganang, binatang dan cakerawala dan sebagainya. Di dalam segala kejadian langit dan bumi, terdapat bukti kehebatan Allah swt bagi golongan yang berfikir (uli al-albab). Mereka itulah sahaja yang akan mengingati Allah swt (yadhkuruuna al-Allah) di dalam segala suasana dan medan, seterusnya teguh mengiktiraf Kesucian Allah swt di dalam tindakan mereka. Di dalam surah al-Rahman Allah swt mencabar manusia dengan kewibawaanNya ke atas kesempurnaan ciptaanNya sebanyak 31 kali cabaran yang berulang-ulang yang bermaksud : “Maka dengan nikmat-nikmat Tuhanmu yang mana lagikah ingin engkau dustai?.” S & Teknologi perlulah menyampaikan manusia kepada semangat giat berfikir dan menghitung diri serta mengiktiraf keagungan Ilahi serentak di dalam satu nada dan nafas. Melalui usaha tersebut, dapatlah saintis merasai keindahan hidup dan mengendalikan ciptaan sains dan teknologi di bawah naungan Allah swt yang Maha perkasa lagi Bijaksana (al-‘aziz al-hakim).

3.2 Memindahkan Sedikit Kepakaran Pencipta

Teknologi bagi Muslim adalah suatu kekuatan dan kedudukan yang membolehkan manusia berkuasa di bumi dengan kehendak Allah swt. Sekalipun kadar ilmu Tuhan itu sedikit sahaja di anugerahkan, namun cukup untuk manusia mengendalikan kepesatan pembangunan di bumi dengan tidak merosakkan alam sekitar dan manusia. Begitu juga dengan kepakaran teknikal dan urus tadbir yang manusia miliki hanya secebis dari sifat al-Mudabbir – Maha Penyelenggara, namun sudah cukup untuk mengurus dunia yang kecil ini di sisi Allah swt. Dengan kedudukan itu adakalanya Allah swt memberi kuasa urus tadbir (tu’ti mulka man tasyaa’) dan Dia juga yang melucutkan kuasa itu (tanzi‘u al-mulka min man tasyaa’) dari mereka. Semuanya dengan tujuan kebaikan yang berada di tangan Allah swt terhadap apa sahaja yang dilakukan. Sedangkan manusia perlu mengikuti kebaikan dari Allah swt di dalam pengurusan teknologi manusia. Jadi di manalah kesombongan kita sebagai saintis dan teknokrat yang menyedari realiti penguasaan teknologi seperti ini berlaku di dalam kehidupan Muslim dan mukmin.

3.3 Melaksana dan Menjanakan Teknologi Berhemat

Saintis dan teknokrat adalah sebaik-baik khalifah di dalam Islam, dengan syarat mereka perlu memenuhi kriteria-kriteria keadilan ilmu (justice in knowledge – a sense of Adab) dan Syari‘ah Islamiah, melaksanakan amanah, mencegah dari kerosakan dan beriman sepenuhnya kepada Allah swt. Menyedari teknologi itu suatu bentuk kepakaran anugerah Ilahi, dan ianya telah patuh mengikut hukum dan aturan ilmu dan disiplinnya yang menjadi aturan alam raya secara metafiziknya (sunnatuLlah fi al-‘alam), maka penggunaannya wajar selaras dengan matlamat Allah swt menjadikan alam raya; iaitu menyibarkan kemakmuran, keamanan dan kesejahteraan sejagat (rahmatan li al-‘aalamin) agar dikongsikan secara saksama di kalangan semua makhluk.

Dalam konteks perlaksanaan teknnologi canggih ini, saintis dan teknokrat perlulah lebih berdaya cipta, kreatif dan inovatif melahirkan peralatan dan mesin yang cekap dan berkesan sehingga matlamat akhirnya tercapai iaitu pencemaran sifar dan tiada kesan sampingan dari pembuangan sisa industri dan kesan sosial di dalam masyarakat. Hal ini boleh di capai kerana Islam tidak hanya menyediakan teknologi Industri pembuatan barangan semata-mata, malah manusia wajib juga membangunkan kejuruteraan dan teknologi pembangunan manusia dan akhlak Islam menerusi aplikasi perundangan Islam di dalam setiap sistem sosial dan kebudayaan manusia moden. Hasilnya akan lahirlah saintis dan teknokrat yang melaksanakan teknologi berhemat demi keuntungan makhluk sejagat.

4 Ringkasan dan Penutup

Rumusannya, dapatlah diketengahkan bahawa alam raya, sains dan teknologi telah menyediakan landasan yang kuat untuk minda manusia membangun dan memperlengkapkan pencapaian semaksimanya, dengan bantuan Tuhan Pencipta menerusi al-Quran dan Hadith Rasulillah saw sebagai petunjuk paksi Ilmu pengetahuan. Manakala alam yang terbentang luas dan langit serta bumi menjadi makmal Tuhan yang lengkap dengan khazanah ilmu pengetahuan dan teknologi dari Allah swt, Maha pencipta dan Dialah Tuhan yang disembah dan dibina peradaban keranaNya. Menjadi kewajipan manusia moden menyelidiki dan mengkaji khazanah alam untuk membangunkan peradaban yang sepadu mengikut acuan Rabbani (acuan dari Allah swt) dengan melaksanakan sistem pendidikan, sistem ilmu pengetahuan, sains dan teknologi Muslim yang tunduk kepada kehendak dan keredaan Allah swt.

Cabaran terhebat minda ialah bagaimanakah untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti saintifik dan teknologi terkini yang mampu menepati dengan ‘acuan ilmu Ilahi’ ( scientific and knowlegeable technologies) dan menerusi bimbingan Ilahi, saintis dan teknokrat mampu menjadi sebaik-baik khalifah seperti yang diharapkan Allah swt mentadbir alam ini dengan petunjukNya dan memenuhkan kemakmuran untuk warganya. Oleh itu minda manusia moden harus bekerja ke arah pencapaian teknologi berhemat dan mesra alam raya serta memberi kebahagiaan manusia.

14 Ogos 2004
Dewan Kuliah 5
UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA, KAMPUS ARAU
02600 Arau Perlis

“Dia (Beacon) tidak pernah jemu mengisytiharkan pengetahuan orang Arab dan sains Arab adalah jalan kepada pengetahuan yang sebenar”… “Bukanlah sains membawa nafas baru kepada Eropah. Pengaruh luar yang meluas daripada peradaban Islam membawakan cahaya pertama kehidupan Eropah.” (Robert Briffault, di dalam The Making of Humanity)


* Dibentangkan di Seminar Sains dan Teknologi, Anjuran Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Perlis, pada 14 Ogos 2004, di Dewan Kuliah 5, di Bangunan Hal Ehwal Pelajar.

No comments: